Raja Melewar
Raja Melewar | |
---|---|
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan | |
![]() Potret Raja Melewar mengikut khayalan pelukis | |
Pemerintahan | 1773 – 1795 |
Nama penuh | Raja Mahmud ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil |
Gelaran | Raja atau Tuanku |
Pendahulu | Posisi diwujudkan |
Pengganti | Tuanku Raja Hitam |
Dinasti | Pagaruyung |
Almarhum Raja Mahmud ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil, digelar Raja Melewar (Tulisan Jawi: راج مليوار), ialah seorang putera raja Minangkabau dari kerajaan Pagaruyung. Baginda merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama. [1]
Sejarah awal[sunting | sunting sumber]
Raja Melewar telah dititahkan oleh ayahandanya untuk pergi ke Negeri Sembilan untuk menjadi Yang DiPertuan Besar yang pertama. Sebelum Raja Melewar bertolak ke Negeri Sembilan, Yang DiPertuan Pagar Ruyung telah memerintahkan seorang kerabat diraja bernama Raja Khatib untuk pergi lebih awal membuat persiapan menyambut Raja Melewar di Negeri Sembilan. Bagaimanapun sesampainya Raja Khatib di Seri Menanti, dia telah mengaku sebagai anak raja yang dihantar dari Pagar Ruyung. Penghulu Seri Menanti bernama Penghulu Naam telah mengahwinkan anak perempuannya dengan Raja Khatib.
Sementara itu di Pagar Ruyung,angkatan Raja Melewar mula belayar menuju Tanah Melayu. Bagaimanapun sebelum ke Negeri Sembilan, Raja Melewar terlebih dahulu mengadap Sultan Johor yang kemudiannya menganugerahkan cap mohor dan diberikan kuasa untuk memerintah semua tanah jajahan di Negeri Sembilan.
Selepas pelantikan itu, Raja Melewar dan angkatannya berangkat menuju ke Negeri Sembilan melalui Naning. Sampai sahaja di Naning, angkatan Raja Melewar telah bertembung dengan angkatan perang Bugis pimpinan Daeng Kemboja. Pertempuran berlaku dan akhirnya angkatan Bugis berjaya dikalahkan dan Daeng Kemboja terpaksa melarikan diri.
Raja Melewar kemudiannya meneruskan perjalanan sehingga sampai di Rembau dan ditabalkan menjadi Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di Kampung Penajis. Tempat bersemayam Raja Melewar dinamakan sebagai Kampung Astana Raja.
Selepas pertabalan itu Raja Melewar memimpin satu angkatan perang untuk menyerang Raja Khatib di Seri Menanti. Namun Raja Khatib telah lebih awal melarikan diri. Penghulu Naam lalu bertindak menderhaka dan memberontak menentang Yang DiPertuan Besar Raja Melewar. Dalam peperangan itu, Penghulu Naam berjaya dikalahkan sendiri oleh Raja Melewar dan angkatan senjatanya. Penghulu Naam telah dibunuh sendiri oleh Raja Melewar. Namun ada berpendapat[nyatakan menurut siapa?] bahawa Penghulu Naam dihukum pancung yang mana kepala dan tubuhnya ditanam secara berasingan. Kematian Penghulu Naam telah menyelesaikan ketegangan dalam pemerintahan Negeri Sembilan ketika itu.
Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]
Nama asal baginda ialah Raja Mahmud, anakanda kepada pasangan Yang Dipertuan Sakti Yamtuan Abdul Jalil Johan Berdaulat dan Putri Ratna Indusari Yamtuan Raja Balembang. Baginda mendirikan rumah tangga dengan Che Seni binti Datuk Penghulu Naam dan Cik Puan Jangka binti Datuk Penghulu Ulu Muar.
Hasil perkahwinan tersebut, baginda dikurniakan beberapa orang putera dan puteri antaranya:
- Tunku Puan Aishah binti Raja Melewar
- Raja Khalad bin Raja Melewar
- Tunku Kadir bin Raja Melewar
Baginda juga mempunyai talian persaudaraan dengan
- Raja Ibadat bin Yamtuan Sembahyang I
- Raja Ibadat bin Yamtuan Sembahyang II
- Raja Ibadat bin Yamtuan Sembahyang III
- Yamtuan Bujang bin Yamtuan Abdul Jalil
- Yamtuan Muda Rembau I, Tuanku Adil bin Yamtuan Abdul Jalil
- Yamtuan Lenggang (Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan III memerintah dari 1808 hingga 1824)
Baginda merupakan menantu kepada Penghulu Naam yang dibunuh oleh baginda kerana menderhaka. Raja Melewar juga diiktiraf sebagai seorang yang kebal dan tubuhnya tidak lut dek besi. Ada kisah mengatakan Raja Melewar telah dibunuh dengan menggunakan sebatang buluh kuning yang runcing untuk ditikam ditubuhnya.[2]
Kemangkatan[sunting | sunting sumber]
Raja Melewar mangkat pada 1795. Baginda dikebumikan di Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan. Tempat baginda digantikan oleh menantunya Raja Hitam.
Rujukan[sunting | sunting sumber]
- ^ History behind Negri's unique selection of ruler, The New Straits Times, 29 Disember 2008.
- ^ https://www.geni.com/people/Yamtuan-Raja-Melewar/6000000003326421218 dicapai pada 22 Mei 2017
- Maklumat daripada Warisan Diraja Negri Sembilan Darul Khusus
Didahului oleh Pengasas |
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan 1773-1795 |
Diikuti oleh: Raja Hitam |