Raja Pah Binti Sultan Umar
Raja Pah adalah puteri bongsu Baginda Sultan Umar yang memerintah kerajaan Kelantan yang berpusat di Kota Jembal (Kedai Lalat sekarang) pada abad ke-18. Baginda Raja Pah merupakan isteri kedua kepada Long Bahar anak Datu Pengkalan Tua raja Patani.[1] Hasil dari Perkahwinan baginda bersama dengan suaminya Long Bahar beroleh lima putera iaitu Tuan Kundur yang berpangkat Raja Muda (Raja Muda Kota Seneng), Tuan Nik Junuh (Sultan Haji Yunus Patani), Tun Raja Ali, Tuan Che Wook (Raja Neng Hitam Kota Seribung), Long Nik Halus (Raja Bongsu) serta seorang puteri iaitu Tuan Lipoh bergelar Tuan Puteri Balai Kuning (isteri kepada Sultan Along Yunus Patani).
Pada tahun 1721 atas kehendak kekanda baginda iaitu Raja Kecil Sulung selepas daripada kemangkatan ayahndanya, suami baginda iaitu Long Bahar telah ditabal menjadi Raja pemerintah Kelantan yang baharu bergelar Raja Tuan Besar dengan baginda pula sebagai Permaisurinya. Namun tidak lama kemudian apabila Raja Kecil Sulong mangkat pada tahun 1725, berlaku perebutan kuasa di antara baginda Raja Pah dengan anakanda saudara baginda iaitu Raja Abdul Rahman anak kepada Raja Kecil Sulung yang menuntut hak keatas takhta pemerintahan Kelantan. Kesudahannya, Raja Pah berjaya memperolehi sokongan kuat dengan mempengaruhi para pembesar negeri melalui komplot bersama besannya iaitu Bendahara Tuan Dagang dengan suami baginda kekal sebagai Raja pemerintah Kelantan yang berpusat di Kota jembal.
Legasi baginda Raja Pah bersama suaminya Raja Tuan Besar Long Bahar melalui anakanda kepada putera sulungnya Tuan Kundur (Raja Muda Kota Sening) iaitu Tuan Khomis (Mandur Mis) yang mengasaskan Kampung Lundang serta menjadi Raja Lundang I pada tahun 1762. Dari keturunannyalah yang telah memainkan peranan penting dalam mengawasi kestabilan kedaulatan negeri Kelantan sehingga awal abad ke 20 yang berakhir dengan mangkatnya Dato' Lundang pada 1926. Hingga sekarang, legasi Keturunan Baginda Raja Pah bertebaran khususnya di Lundang Kota Bharu.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Saad Shukri bin Haji Muda. (1971). Detik2 Sejarah Kelantan. Kota Bharu: Pustaka Aman Press.