Ramakrishna Mission

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Ramakrishna Mission merupakan sebuah pertubuhan yang ditubuhkan oleh Swami Vivekananda berdasarkan kepada ajaran Sri Ramakrishna. Pertubuhan ini merupakani sebahagian daripada pergerakan reformasi Hindu yang bermula di India. Ibu pejabat Ramakrishna Math dan pertubuhan kembarnya, Ramakrishna Mission terletak di Belur Math (di Bengal Barat, India). Ramakrishna Mission merupakan sayap sosial Ramakrishna Math yang terlibat dengan pelbagai aktiviti kemanusiaan dan penyebaran ajaran Ramakrishna-Vivekananda. Kedua-dua Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission juga dikenali sebagai Ramakrishna Order atau Ramakrishna Sangha.

Ramakrishna Mission ditubuhkan pada 1 Mei 1897 oleh Swami Vivekananda. Pertubuhan ini telah mencatatkan sejarah dengan rekod ketelusan yang tidak dapat dipertikaikan.

Setakat 2015, pertubuhan kembar ini mempunyai 179 cawangan dalam dan luar India. Di India, terdapat 46 cawangan Ramakrishna Math, 65 cawangan Ramakrishna Mission, 23 cawangan gabungan Math dan Mission. Di luar India pula terdapat 23 cawangan Ramakrishna Math, 12 cawangan Ramakrishna Mission, dan 10 cawangan gabungan.

Logo Ramakrishna Math & Mission

Ibu Pejabat[sunting | sunting sumber]

Biara Belur, pusat Ramakrishna Math & Ramakrishna Mission

Ibu pejabat Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission ialah Biara Belur (Belur Math). Biara Belur juga menjadi pusat bagi semua rahib-rahib Ramakrishna Sangha yang tinggal di serata India dan di luar India.

Matlamat utama biara ini ialah untuk melatih golongan rahib berdasarkan kepada ajaran Sri Ramakrishna. Motto pertubuhan ini adalah आत्मनो मोक्षार्थम् जगद्धिताय च (Atmano Mokshartham Jagad Hitaya Ca) yang bermaksud kesedaran Diri dan khidmat kepada dunia sejagat.

Pemuda-pemuda yang ingin menyertai kehidupan rahib, perlu mengambil ikrar Brahmacharya dan menjalani latihan di bawah rahib-rahib kanan selama hampir sepuluh tahun. Seorang Brahmacharin yang berjaya menamatkan latihan ini akan diberikan ikrar Samnyasa sekiranya memenuhi semua kelayakan.

Antara aktiviti-aktiviti harian seorang rahib Ramakrishna Sangha ialah seperti meditasi, Japa, pembelajaran kitab suci, disiplin rohani dan mematuhi dua ikrar Samnyasa iaitu kesucian dan kemiskinan. Selain itu, pelbagai aktiviti kebajikan dan perkhidmatan sosial juga menjadi sebahagian daripada disiplin kerohanian seorang rahib.

Ciri-Ciri Utama[sunting | sunting sumber]

Berbeza daripada sami atau rahib Hindu lain, Persaudaraan Rahib Ramakrishna mempunyai beberapa ciri-ciri unik seperti berikut:

Tidak Bersifat Sektarian[sunting | sunting sumber]

  • Meskipun prinsip dan ideal kehidupan rahib tradisional seperti kesucian dan kemiskinan dipatuhi, persaudaraan ini mengamalkan fahaman yang luas. Seluruh sistem dan perkembangan agama dan rohani masyarakat Hindu diterima tanpa had. Malah, penganut-penganut daripada budaya asing dan agama lain juga diterima sebagai ahli. Sebenarnya, perkataan 'asing' sendiri adalah sesuatu yang asing dalam tradisi Ramakrishna-Vivekananda!

Disiplin rohani, pembelajaran dan pengajaran[sunting | sunting sumber]

  • Sankaracharya menekankan bahawa pengikut-pengikutnya yang menjadi ketua biara mesti mengamalkan disiplin rohani (Tapas), pembelajaran untuk memperkembangan ilmu (Jnana) dalam kehidupan mereka dan melakukan lawatan (Pravasa) demi menyebarkan Dharma. Vivekananda juga telah menetapkan bahawa semua rahib-rahib Ramakrishna mesti mematuhi tradisi ini. Sejak penubuhannya, persaudaraan Ramakrishna telah cuba untuk mengekalkan tradisi mulia ini.

Kehidupan komuniti dan etika kerja[sunting | sunting sumber]

  • Rahib-rahib Hindu, kebiasaannya hidup bersendirian. Namun, rahib-rahib Ramakrishna hidup bersama-sama dalam biara mereka sebagai satu Sangha (pertubuhan). Ini mempunyai beberapa kelebihan seperti inspirasi yang diterima daripada pengaruh kerohanian sesama mereka. Kehidupan komuniti juga menjadi satu disiplin rohani yang dapat membantu perkembangan dan pembentukan keperibadian seseorang rahib.

Aktiviti-Aktiviti[sunting | sunting sumber]

Falsafah Kerja[sunting | sunting sumber]

  • Sri Ramakrishna sering berkata, 'Manusia ialah Narayana (Tuhan). Jika Tuhan boleh menjelma menerusi patung, kenapa tidak menerusi manusia juga?' Beliau menyatakan bahawa kesedaran-Tuhan adalah matlamat hidup manusia. Namun, cara untuk mencapai matlamat ini adalah tidak terkira. Adakah Tuhan hanya wujud apabila mata kita tertutup dan Dia tidak akan wujud apabila mata terbuka?' beliau menyoal. Sri Ramakrishna juga menunjukkan bahawa 'agama bukan untuk perut kosong'. Meskipun Sri Ramakrishna memberi amaran tentang kegiatan kebajikan menjadi aktiviti untuk mencari nama dan populariti, beliau memuji tindakan kebajikan yang dilakukan tanpa kepentingan diri sebagai tindakan yang mulia. Beliau memberitahu Ishwar Chandra Vidyasagar, seorang pendidik dan dermawan terkenal bahawa:
  • "Kerja untuk kebaikan orang adalah di bawah Rajas. Namun, Rajas ini mempunyai asas Sattva dan oleh itu, ia tidak membawa keburukan. Rishi Suka dan rishi-rishi lain mempunyai simpati dalam hati mereka untuk memberikan ajaran agama kepada manusia, untuk mengajar mereka tentang Tuhan. Kamu sedang mengagihkan makanan dan pendidikan. Itu juga bagus. Jika aktiviti-aktiviti begini dilakukan dengan semangat tidak mementingkan diri, ia akan membawa kamu kepada Tuhan."

  • Semasa menerangkan doktrin penting dalam agama Vaishnava, Sri Ramakrishna berkata, "Simpati untuk semua makhluk! ... Tidak, tidak! Bukan simpati untuk jiwa tetapi amal ibadat kepada jiwa sebagai Shiva."
  • Swami Vivekananda telah memperkembangkan idea ini sebagai falsafah khidmat sosialnya. Dalam sepucuk surat kepada Sharat Chandra Gupta, pada 3 Julai 1897, Swamiji menulis:

"Ini adalah sesuatu yang ganjil: apabila kamu berkhidmat untuk seseorang dengan idea bahawa dia ialah Jiwa, itu adalah Daya (simpati) dan bukannya Prema (cinta). Tetapi apabila kamu berkhidmat kepadanya dengan idea bahawa dia ialah Atman, itu adalah Prema. Menurut Shruti, Smriti, dan pengalaman terus, satu-satunya objek cinta ialah Atman. ... Maka, prinsip kita ialah kasih sayang, dan bukannya simpati. ... Tugas kita bukan untuk berbelas kasihan tetapi beramal ibadat. Kita tidak harus merasakan simpati tetapi kasih sayang, dan merasakan Atman dalam diri semua orang."

  • Swami Vivekananda mencipta terma Daridra Narayana, Tuhan dalam rupa orang miskin. Beliau meminta kita untuk beramal ibadat kepada-Nya: "Di manakah kamu hendak mencari Tuhan? Bukankah semua orang miskin, orang yang menderita, orang yang tidak berdaya, ialah Tuhan? Kenapa kamu tidak menyembah mereka dahulu?" Konsep 'khidmat sebagai ibadat' menerangkan pandangan Ramakrishna Sangha dalam semua kegiatan khidmat sosialnya.
  • Vivekananda menggariskan empat bentuk khidmat sosial: '
  • Pemberian ilmu rohani dan kerohanian adalah pemberian yang tertinggi. Kedua ialah pemberian ilmu sekular. Selepas itu, menyelamatkan nyawa, dan akhir sekali, pemberian makanan.'

  • Konsep penguasaan Vivekananda berdasarkan kepada Vedanta praktikal. Vivekananda menunjukkan bahawa Upanishad-Upanishad ialah sebuah khazanah kekuatan. Upanishad mendedahkan Atman, iaitu sumber segala kuasa. Vivekananda juga menekankan bahawa 'konsep-konsep Vedanta mesti didedahkan. Ia tidak harus berada di hutan dan gua sahaja. Ia mesti keluar untuk berfungsi di kamar peguam dan hakim, di tempat ibadat, dan di dalam pondok orang miskin. Ini kerana, jika seorang nelayan berfikir bahawa dia ialah Jiwa, dia akan menjadi nelayan yang lebih baik. Jika seorang pelajar berfikir bahawa dia ialah Jiwa, dia akan menjadi pelajar yang lebih baik; dan seterusnya.'
  • Untuk ahli-ahli Ramakrishna Sangha, khidmat ialah 'Vedanta praktikal'. Manusia perlu berkhidmat kepada orang lain kerana penderitaan mereka, ialah sebenarnya, penderitaan kita sendiri. Hanya dengan membuat mereka gembira, kita sendiri boleh hidup bahagia.[1]

Elemen-elemen Utama[sunting | sunting sumber]

Beberapa elemen utama dalam aktiviti-aktiviti Ramakrishna Sangha ialah:

  • Penyembahan Tuhan dalam manusia atau “Shiv Jnane Jeev Seva”.
  • Tidak bersifat politik dan mengelakan publisiti.
  • Pengurusan kewangan yang teratur, telus dan bertanggungjawab.
  • Tiada diskriminasi agama, etnik, wilayah atau sebab lain.
  • Penglibatan masyarakat setempat dalam proses perancangan dan implementasi↵projek-projek tertentu.
  • Perkhidmatan yang cepat, berkesan, dan penggunaan teknologi terkini.
  • Tumpuan pada pembangunan sosio-ekonomi, alam sekitar dan kebudayaan serta strategi↵pemulihan yang menumpukan kepada pencegahan.

Bantuan Bencana Alam[sunting | sunting sumber]

  • Sejak awal penubuhannya, Ramakrishna Sangha telah terlibat dengan pelbagai aktiviti bencana seperti kemarau, banjir, kebuluran, kebakaran besar, wabak epidemik, puting-beliung, tornado, tsunami, rusuhan, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya. Tindakan menyelamatkan, memindahkan dan pemulihan mangsa-mangsa bencana dilakukan secara besar-besaran sepanjang tahun.
  • Aktiviti bantuan kemanusiaan yang pertama telah dimulakan oleh Swami Akhandananda, hanya dua minggu selepas penubuhan Ramakrishna Mission oleh Swami Vivekananda pada 1 Mei 1897. Sri Ramakrishna ialah inspirasi Swami Akhandananda untuk perkhidmatan kemanusiaan. Sri Ramakrishna sering berkata bahawa “Jika Tuhan boleh disembah dalam suatu berhala, kenapa tidak menyembah-Nya dalam manusia?” Swami Akhandananda mengikuti ajaran gurunya secara literal dengan menukar perkhidmatan kebajikan kepada amal ibadat.
  • Mendengar tentang aktiviti yang dimulakan oleh Akhandananda, Vivekananda menulis, "Akhandananda sedang bekerja dengan hebat di Mahula. Tetapi sistem ini tidak baik. Nampaknya mereka sedang membazir tenaga di sebuah kampung kecil dan hanya mengagihkan beras. Saya tidak mendengar tentang apa-apa khutbah agama disamping dengan bantuan ini. Semua kekayaan dunia tidak dapat membantu sebuah kampung kecil India sekiranya orang tidak diajar untuk berdikari. Kerja utama kita ialah pendidikan moral dan intelektual." Perspektif penguasaan holistik ini menjadi visi dalam Ramakrishna Sangha sehingga ke hari ini.

Perkhidmatan Kesihatan[sunting | sunting sumber]

  • Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission juga memberikan perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital, dispensari pesakit luar, perkhidmatan unit bergerak, rumah orang tua, bengkel pemeriksaan mata dan sebagainya. Mission juga mempunyai 2 Kolej latihan jururawat, 5 sekolah jururawat, 2 institusi penyelidikan dan lepasan ijazah dan 1 institusi kursus paramedik.
  • Salah satu kegiatan kesihatan ialah oleh Vivekananda Swasthya Parisheva Prakalpa (Health Services Project for Mothers & Children) dan mempunyai 126 unit di 22 negeri. Hampir 13,500 ibu dan anak telah menerima perkhidmatan setakat 2014.[1]

Aktiviti Pendidikan[sunting | sunting sumber]

  • Swami Vivekananda mengatakan bahawa sebuah negara menjadi maju sejajar dengan perkembangan pendidikan dan ilmu dalam kalangan penduduknya. Oleh itu, Vivekananda mendesak bahawa 'Pendidikan, pendidikan, pendidikan sahaja' adalah punca segala masalah di India. Menyedari ini, Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission mencuba untuk memberikan pendidikan khususnya kepada kumpulan masyarakat yang terpinggir.
  • Pusat-pusat ilmu daripada peringkat rendah hingga peringkat tertinggi telah berkembang di seluruh India.
Ramakrishna Mission Vivekananda University

Ramakrishna Mission Vivekananda University

  • Ia adalah sebuah universiti yang ditadbir oleh Ramakrishna Mission. Pada Julai 2005, kerajaan India telah mengisytiharkannya sebagai 'Deemed University' di bawah Section 3 University Grants Commission Act, 1956.
  • Setakat 2015, terdapat empat kampus Universiti ini di Belur, Coimbatore, Ranchi dan Narendrapur. Kursus-kursus yang ditawarkan ialah dalam bidang pembangunan luar bandar dan kaum asli, pengurusan kekurangan fizikal dan pendidikan khas, pendidikan sains asas, dan kebudayaan dan kerohanian India.

Pembangunan Wanita[sunting | sunting sumber]

  • Semua negara telah mencapai kemajuan dengan memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada kaum wanita. Sebuah negara tidak boleh maju dengan mengabaikan kaum wanita, sama seperti seekor burung tidak boleh berterbang dengan sebelah sayapnya sahaja. Maka, Ramakrishna Sangha tidak mengabaikan atau memandang rendah pada golongan wanita. Semua bantuan kemarau, kebajikan, perkhidmatan kesihatan diberikan kepada semua jantina tanpa berat sebelah. Wanita juga dibenarkan untuk beribadat di kuil-kuil Sri Ramakrishna, menyertai sambutan umum perayaan, kelas-kelas, ceramah-ceramah dan perpustakaan di semua cawangan.
  • Beberapa cawangan Ramakrishna Mission juga memberikan perkhidmatan yang khusus untuk kaum wanita. Perkhidmatan hospital ibu dan kanak-kanak, pusat latihan kemahiran untuk jururawat, sekolah perempuan, dan pusat penjagaan wanita kurang upaya adalah beberapa perkhidmatan yang diberikan.
  • Antara program penting yang dijalankan untuk kaum wanita ialah:
  1. Bahagian keibuan di hospital dan klinik Ramakrishna Math & Ramakrishna Mission di Kolkata (Seva Pratishthan), Vrindaban, Thiruvananthapuram dan lain-lain tempat.
  2. Pusat penjagaan warga emas wanita di Varanasi.
  3. Sebuah institusi pendidikan rendah hingga menengah untuk pelajar perempuan oleh Ramakrishna Mission Sarada Vidyalaya, Chennai.
  4. Sekolah tinggi dan menengah perempuan oleh cawangan Chennai Math, Chengalpattu, Jamshedpur dan Sarisha.
  5. Program latihan jururawat bergabung dengan hospital-hospital di cawangan Kolkata (Seva Pratishthan), Lucknow, Vrindaban, Itanagar and Thiruvananthapuram.
  6. Program penguasaan wanita dengan membentuk kumpulan bantu-diri, memberikan latihan vokasional dan sebagainya bagi membentuk wanita yang berdikari. Antara kegiatan-kegiatan penguasaan wanita ialah Sarada Palli Vikas Prakalpa (Women Self-Empowerment). Pusat ini mempunyai 10 unit cawangan di 8 negeri dan seramai 1619 orang perempuan telah mendapat faedah setakat 2014.[2]

Pembangunan Belia[sunting | sunting sumber]

  • Selain program-program pendidikan dan kebudayaan untuk pelajar-pelajar yang dijalankan oleh pusat-pusat pendidikan Ramakrishna Math dan Mission, terdapat beberapa program khas untuk rekreasi dan kebudayaan yang dikenali sebagai Balak Sangha (kelab kanak-kanak) dan Yuvak Sangha (kelab belia) di Bangalore, Belgaum, Chennai (Math), Hyderabad, Indore, Kankurgachhi, Malda, Mangalore, Mysore, Ponnampet, Pune, Rajkot, Ranchi (Morabadi), Salem, Shivanahalli, Ulsoor, Vijayawada, dan beberapa tempat lain. Di pusat-pusat ini, kanak-kanak diberikan nutrisi tambahan dan panduan dalam amalan nilai-nilai sosial, moral dan rohani, di samping pengajaran asas sastera agama, bacaan ayat-ayat suci, nyanyian lagu-lagu suci, dan sebagainya.
  • Pada tahun 2014, sejumlah 1178 Program Pendidikan Nilai (Value Education Program) telah dijalankan dan seramai 1,61,478 orang menyertainya. Sejumlah 1760 Kem Kebudayaan seperti Pembinaan Personaliti juga telah dianjurkan dan disertai oleh 1,96,808 orang. Pada tahun yang sama juga terdapat 148 Balak Sangha dan seramai 28,418 orang menyertai dalam pelbagai program yang dianjurkan.

Pembangunan Masyarakat Luar Bandar dan Orang Asli[sunting | sunting sumber]

Pembangunan masyarakat luar bandar dan orang asli dilakukan dalam tiga cara:

(a) menerusi cawangan-cawangan yang terletak di luar bandar dan kawasan orang asli.

(b) menerusi cawangan-cawangan di bandar yang telah mengambil projek pembangunan di luar bandar dan kawasan orang asli; dan

(c) menerusi institusi-institusi pendidikan dan perubatan di kawasan separa bandar di mana penduduk luar bandar merupakan kumpulan benefisiari yang terbesar.

Antara aktiviti-aktiviti pembangunan masyarakat luar bandar ialah membaiki taraf hidup, menyediakan kemudahan infrastruktur, pembentungan, pertanian moden, pembangunan sumber ternakan, program-program kesedaran kesihatan, imunisasi, kesedaran sivik, dan alam sekitar, perkhidmatan kesihatan seperti kem-kem perubatan, pemeriksaan kesihatan dan unit perubatan bergerak, pendidikan formal dan latihan vokasional.

Kerohanian dan Kebudayaan[sunting | sunting sumber]

  • Perkembangan idea-idea kerohanian dan kebudayaan India merupakan satu tugas utama Ramakrishna Sangha. Sri Ramakrishna, Sri Sarada Devi dan Swami Vivekananda telah memberikan nafas baharu lagi moden kepada kerohanian dan kebudayaan India. Semua idea-idea mereka disebarkan melalui kegiatan aktiviti pengajaran, ceramah, seminar, kem belia, Balak Sangha, Yuvak Sangha, sambutan perayaan, penerbitan buku, majalah dan jurnal, pameran, tayangan video mengenai nilai-nilai kebudayaan dan keagamaan, dan sebagainya.
  • Pada tahun 1993, Vivekananda Veda Vidyalaya, Biara Belur, sebuah institusi berasrama telah ditubuhkan. Ini ialah impian Swami Vivekananda untuk menyebar dan memperkembangkan pembelajaran bahasa Sanskrit, terutamanya pembelajaran Veda. Pelajar-pelajar lelaki daripada golongan miskin diberikan pendidikan percuma dalam suasana sistem Gurukula purba.

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Setakat 2015, terdapat lebih 4000 judul yang diterbitkan dari lebih 18 pusat penerbitan khususnya, di cawangan Mayavati, Baghbazar (Kolkata), Chennai, Hyderabad, Nagpur, Mysore, Rajkot, Thrissur dan Bhubaneswar. Sastera Ramakrishna-Vivekananda-Vedanta boleh diperolehi dalam bahasa Sanskrit, Inggeris, Bengali, Tamil, Hindi dan pelbagai vernakular India dan asing. Setakat 2015, terdapat 22 jurnal dalam 14 bahasa dengan langganan sejumlah 438,000. Antara jurnal-jurnal yang terkenal ialah:

  • Prabuddha Bharata dalam Bahasa Inggeris
  • Udbodhan dalam bahasa Bengali
  • Vedanta Kesari dalam bahasa Inggeris
  • Ramakrishna Vijayam dalam bahasa Tamil
  • Ramakrishna Prabha dalam bahasa Telugu
  • The Global Vedanta dalam bahasa Inggeris
  • Nirvana dalam bahasa Inggeris

Penghargaan & Pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

  • Pada tahun 1998, kerajaan India telah menganugerahkan Hadiah Keamanan Gandhi kepada Ramakrishna Mission. Ramakrishna Mission Fiji pula menerima anugerah untuk perkhidmatan kebajikan dan membawa keharmonian kebudayaan di Fiji. Beberapa kerajaan negeri India juga telah memberikan anugerah dan penghormatan kepada beberapa cawangan Ramakrishna dan Ramakrishna Math untuk perkhidmatan mereka.
  • UNESCO juga telah mengiktiraf Ramakrishna Mission Vivekananda University sebagai salah satu ahli GUNi (Global University Network for Innovation) dan memulakan Vivekananda Chair di unit Coimbatore.
  • Di luar India, Sarada Kindergarten yang ditubuhkan oleh Ramakrishna Mission, Singapura telah menerima anugerah ECDA (Early Childhood and Development Agency) daripada Kementerian Pendidikan Singapura untuk Anugerah Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Terbaik 2013 (Outstanding Centre for Teaching and Learning Award 2013). Pengetua Tadika ini juga menerima Anugerah ECDA Pemimpin Pendidikan Awal Terbaik 2013 (Outstanding Early Childhood Leader Award 2013).
  • Ramakrishna Mission Fiji pula telah menerima Anugerah Pravasi Bharatiya Samman daripada Kerajaan India. Anugerah ini diberikan untuk mengenang sumbangan Ramakrishna Mission yang memberikan perkhidmatan masyarakat di Fiji, lantas meningkatkan martabat India.

Sumbangan kepada Dunia[sunting | sunting sumber]

  • Pertubuhan berkembar Ramakrishna memberikan penyelesaian secara idealogi untuk beberapa masalah manusia sejagat yang telah membingungkan golongan pemikir sejak berkurun-kurun. Pendiriannya jelas, mudah dan berani. Tema utama kewujudan ialah fakta tentang Tuhan yang telah terbukti. Hanya ada satu kewujudan dan jiwa individu dan Roh yang Agung ialah sama. Apabila identiti asas ini dilupakan atau diabaikan, maka masalah kewujudan timbul dan merebak. Semua masalah di dunia boleh diselesaikan hanya dengan melihat implikasi identiti yang agung dalam semua konteks manusia iaitu fizikal, mental, dan rohani. Kita boleh bermula di mana-mana sahaja, dan berlengah-lengah ikut suka hati. Namun, kita mesti ingat bahawa destinasi perjalanan ini ialah Tuhan. Maka, kita mesti mara ke hadapan, ke arah Tuhan. Namun, Dia tidak berada jauh dari kita, kerana Dia wujud di semua tempat.
  • Maka, Gerakan Ramakrishna memberikan jawapan yang berani dalam bentuk soalan yang mencabar: jika Tuhan boleh disembah menerusi arca, kenapa tidak menerusi manusia? Gerakan ini memperkenalkan falsafah Vedanta klasikal dalam bahasa yang mudah difahami dan mudah diterima oleh semua orang: "Cubalah untuk menjadikan dunia ini milikmu. Anakku, sesiapa pun bukan orang asing. Seluruh dunia ini ialah milikmu." (Sri Sarada Devi)
  • Usaha yang sebenar untuk "Jadikan milikmu" perlu dilakukan. Semua interaksi harus mengikuti hukum: "Bantulah dan jangan bergaduh", "Penerimaan dan bukan pemusnahan", "Harmoni dan keamanan dan bukannya Perpecahan." Hanya dengan mempraktikan falsafah yang tertinggi dalam kehidupan, kita dapat memberikan makanan yang dapat memenuhi keperluan fizikal, fikiran dan rohani setiap manusia. Sesiapa pun tidak perlu berlapar di dunia ini. Kita boleh mengelap air mata semua orang. Perkara yang paling penting ialah kasih sayang untuk melaksanakan idea-idea murni. Memang semua orang perlu makan. Namun, semua orang tidak akan mendapat makanan, walaupun jika makanan yang cukup ada. Ini hanya menjadi kenyataan apabila seluruh dunia menjadi milikmu. Fahaman politik tidak boleh membawa kasih sayang dalam hati manusia. Sebaliknya, agama yang diamalkan dengan sebenar boleh membawa kasih sayang untuk seluruh dunia. Matlamat Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission ialah untuk menjadikan ideal-ideal murni ini praktikal dalam kehidupan seharian.[3]

Bacaan Lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Harshananda, Swami, “A Concise Encyclopedia of Hinduism”, Ramakrishna Math, Bangalore (2008). Vol.3, ISBN-13 978-81-7907-057-4
  • Gahanananda, Swami, “Ramakrishna Mission for All", Sri Ramakrishna Math, Chennai, ISBN 81-7120-375-2
  • Prabhananda, Swami, “The Ramakrishna Movement," The Ramakrishna Mission Institute of Culture, Calcutta, (1991), ISBN 81-87332-38-7
  • Budhananda, Swami, "The Ramakrishna Movement , Its Meaning for Mankind," Advaita Ashrama, Kolkata (1980), ISBN 81-85301-56-5
  • Prabhananda, Swami, "The Early History of the Ramakrishna Movement," Sri Ramakrishna Math, Chennai (2005), ISBN 81-7823-226-X
  • Shraddhananda, Swami, "The Story of An Epoch," Sri Ramakrishna Math, Chennai, (1980), ISBN 81-7120-517-8
  • "Monasticism: Ideals and Traditions," Sri Ramakrishna Math, Chennai (1991) ISBN 81-7120-359-0
  • Report of Governing Body for 2013-2014

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

  • ^ REPORT OF THE GOVERNING BODY FOR 2013-14
  • ^ REPORT OF THE GOVERNING BODY FOR 2013-14
  • ^ Budhananda, Swami, The Ramakrishna Movement, Its Meaning for Mankind (1980)