Matsumoto Rangiku

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Rangiku Matsumoto)
Watak Bleach
Matsumoto Rangiku
Peranan Leftenan shinigami Divisyen ke-10
Tarikh lahir 29 September
Zanpakutō Haineko
Seiyū Kaya Matsutani
Pelakon suara latar Megan Hollingshead

Matsumoto Rangiku (松本 乱菊) ialah seorang watak fiksyen dalam siri anime dan manga Bleach yang dicipta oleh Tite Kubo. Matsumoto merupakan leftenan dalam Divisyen 10 di bawah Hitsugaya Tōshirō. Secara berasingan, namanya iaitu Rangiku membawa maksud "mogok/perang" dan "kekwa" manakala Matsumoto membawa maksud "pokok pinus" dan "asal-usul". Dalam bancian terkini tahun 2006, Matsumoto menduduki tempat ke-17 dengan 1,628 buah undian, dikalahkan oleh Soifon sebanyak 300 buah undi dan mengalahkan Aizen Sōsuke dengan 111 buah undi.

Watak dan perwatakan[sunting | sunting sumber]

Buah dada Rangiku sentiasa menjadi ciri tokok-tambah dalam siri Bleach.

Rangiku merupakan seorang wanita menawan dengan rambut yang panjang berwarna merah strawberi keperang-perangan (dia berambut pendek semasa kecil), mata berwarna biru, dan tahi lalat kecil di sebelah kanan mulutnya. Ciri fizikal Rangiku yang paling menarik perhatian merupakan buah dadanya yang sangat besar; lebih besar berbanding buah dada Inoue Orihime dari segi saiz. Rangiku dan Orihime juga gemar memakan makanan yang pelik. Dia berpakaian pakaian seragam shinigami yang biasa, meskipun jubahnya dilonggarkan untuk mendedahkan buah dadanya. Dia memakai seutas rantai leher beserta sehelai skaf merah jambu di atas bahunya. Simbol leftenan Rangiku dipakainya pada pinggangnya dan bukan di lengannya seperti leftenan shinigami yang lain.

Rangiku mempunyai sikap malas dan tidak suka melakukan kerja-kerja menulis, selain daripada tabiatnya yang gemar meminum saké. Dia tidak sedikitpun cuba untuk merendah-rendahkan dirinya tentang paras rupanya, seringkali berkata-kata atau merungut akan buah dadanya yang besar dalam perbualan-perbualan seharian. Malah, Rangiku pernah menggunakan asetnya tersebut untuk menyogok Kurosaki Ichigo untuk membenarkannya tinggal di rumahnya, meskipun percubaannya gagal. Personaliti Rangiku yang seringkali bergembira dan penuh dengan keceriaan adalah berlawanan dengan personaliti Hitsugaya, meskipun mereka berdua dilihat bersama hampir setiap masa dan Rangiku telah menunjukkan kesetiaannya terhadap kaptennya itu dalam beberapa kejadian. Rangiku kadang-kalanya dilihat sebagai seorang yang mementingkan diri sendiri, namun Rangiku adalah sensitif terhadap perasaan yang dilihatnya pada orang lain. Ini dibuktikan dalam beberapa kejadian, seperti kebimbangan yang dirasai Hitsugaya terhadap Hinamori Momo, perasaan serba bersalah yang dikongsinya bersama Kira Izuru apabila Ichimaru Gin didedahkan sebagai seorang pembelot, dan juga apabila Orihime berasa tertekan terhadap peranannya di dalam kehidupan Kurosaki Ichigo. Walaupun Rangiku bersifat acuh tak acuh kebanyakan masanya, personalitinya boleh berubah menjadi serius apabila keadaan memanggil. Dia dilihat bersifat agak keibu-ibuan, terutamanya terhadap Orihime dan Hinamori.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tidak banyak yang diketahui tentang sejarah silam Matsumoto. Dia berasal daripada Rukongai dan diselamatkan oleh Ichimaru Gin semasa dia masih kecil lagi; mereka berdua kemudiannya menjadi sahabat baik. Dalam satu bab yang ringkas daripada manga, Matsumoto pernah sekali disoal oleh Ichimaru tentang tarikh lahirnya semasa dia masih kecil lagi. Dia menjawab bahawa dia tidak mengetahui tarikh lahirnya kerana sejak dahulu lagi dia hidup bersendirian. Ini mungkin sekali bermaksud bahawa dia merupakan anak yatim sebaik sahaja dia dilahirkan. Apabila Ichimaru Gin mendengar jawapannya, dia berkata bahawa hari lahirnya akan jatuh pada hari mereka bertemu (pada hari dirinya tidak lagi bersendirian).

Kejadian-kejadian yang membawanya menjadi seorang shinigami, mahupun bagaimana dia dijadikan leftenan dalam Divisyen ke-10 masih menjadi tanda tanya, akan tetapi Matsumoto didedahkan telah memegang jawatannya lebih lama berbanding kapten terkininya, iaitu Hitsugaya Tōshirō. Matsumoto pertama kali bertemu dengan kaptennya di Rukongai apabila mereka berdua berjumpa satu sama lain. Menyedari bahawa kuasa Hitsugaya adalah kuat, dan kesannya terhadap seorang perempuan tua yang tinggal bersama budak lelaki itu, Matsumoto telah berjaya menyakinkan Hitsugaya untuk menjadi seorang shinigami supaya dia dapat mengawalnya.[1]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Rangiku berkongsi citarasa bersama-sama Inoue Orihime.

Kebanyakan kemunculan Rangiku adalah selari dengan kaptennya, seringkali berada di sebelahnya atau di dalam misi-misi di bawah arahannya. Rangiku, bersama-sama kaptennya, telah cuba untuk menghentikan hukuman bunuh Kuchiki Rukia, dan kemudian telah cuba untuk menghentikan kecurigaan Gin, yang telah mengejutkan mereka setelah kebenaran konspirasi tersebut didedahkan. Rangiku kemudian dihantar ke Bandar Karakura untuk menyelesaikan masalah penaklukan golongan Bount, dan kemudian di dalam penaklukan golongan arrancar. Sewaktu kehidupannya di dunia manusia, dia telah mengenali Inoue Orihime dengan rapat dan telah berperanan sebagai seorang kakak.

Haineko[sunting | sunting sumber]

Tahap shikai Haineko.

Zanpakutō Rangiku bergelar Haineko (灰猫, makna masar: Kucing Abu). Bahagian pemegangnya berbentuk kepala kucing. Bentuk zanpakutō Rangiku adalah seperti sebilah wakizashi lurus. Arahan untuk mengaktifkan Haineko ialah "deram" (Jepun: 唸れ, Hepburn: unare).

Dalam tahap shikainya, Haineko larut menjadi abu, membenarkan Rangiku mengawal abunya. Abunya mampu memotong bersih objek-objek sepertimana yang mampu dilakukan sebilah pedang, menggunakan prinsip yang serupa dengan Senbonzakura Kuchiki Byakuya. Dalam judul permainan video Bleach iaitu Bleach: Heat the Soul 3, abu yang dihasilkan Haineko mampu bergabung menjadi seekor kucing atau sejenis binatang berupa seekor harimau bintang.

Rangiku sedang cuba mempelajari tahap bankai Haineko, namun, Haineko yang seringkali bersifat muram, malas, dan mementingkan diri sendiri seperti tuannya menjadikan proses ini lebih sukar.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Manga Bleach; bab -15, halaman 12.
  2. ^ Manga Bleach; bab 229, halaman 19.