Rasa Sayang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Rasa Sayang-Sayange)
"Rasa Sayang"
Lagu
BahasaBahasa Melayu
Tajuk bahasa MelayuRasa Sayang
DitulisDomain awam
Genre
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Rasa Sayang (Jawi: راس سايڠ) ialah sebuah lagu rakyat dalam bahasa Melayu yang popular di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. "Rasa Sayang" agak mirip dengan Dondang sayang dan banyak lagi lagu Melayu lain yang digubah dalam bentuk pantun, salah satu bentuk puisi tradisional Melayu [1]. Ada pendapat yang mengatakan lagu ini berasal dari Ambon, Maluku, Indonesia[2], bagaimanapun dakwaan ini diragukan kerana bahasa Melayu dan tradisi berbalas pantun bukan berasal dari Maluku, tetapi dari lingkungan budaya Melayu itu sendiri. Apabila dimainkan, lagu ini dibentukkan seperti sajak atau pantun yang bersahutan. Lagu ini mempunyai banyak versi kerana liriknya boleh dibuat sendiri berdasarkan maksud dan tujuan yang ingin diajukan. Walaupun begitu, liriknya sentiasa dimulakan dengan frasa serupa seperti ini: "Rasa Sayang hey, Rasa Sayang Sayang hey, Hey lihat Nona Jauh, Rasa Sayang Sayang hey".

Lirik[sunting | sunting sumber]

Bahasa Melayu[3]

Rasa sayang, hei!,
Rasa sayang sayang hei,
Hey lihat nona jauh,
Rasa sayang sayang hei!

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan,

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga,

Dua tiga kucing berlari,
Mana sama si kucing belang,
Dua tiga boleh kucari,
Mana sama abang seorang,

Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati,

Oleh kerana lagu ini adalah dalam bentuk pantun, bagi setiap rangkapnya, dua baris pertama memberikan rima untuk dua baris akhir yang menyampaikan mesej. Terdapat banyak versi lirik "Rasa Sayang", tapi ia mesti dimulakan dengan rangkap berikut:

Rasa sayang hey

Rasa sayang-sayang hey

Hey lihat nona jauh

Rasa sayang sayang hey

Rangkap di atas akan diikut dengan pelbagai jenis pantun Melayu yang popular.

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Lagu ini digunakan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk mempromosikan Malaysia, yang dikeluarkan sekira bulan Oktober 2007. Menteri Pelancongan Malaysia, Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan bahawa lagu Rasa Sayang merupakan lagu kepulauan Nusantara dan milik bersama rumpun Melayu di Indonesia dan Malaysia[4]. Gabenor Maluku Karel Albert Ralahalu pula berkeras bahawa lagu "Rasa Sayange" ialah kepunyaan Indonesia, kerana merupakan lagu rakyat yang telah membudaya di negara itu sejak lama dahulu, dan mendakwa Malaysia mengada-adakan kisah itu.[5] Gabenor berusaha untuk mengumpulkan bukti kukuh bahawa lagu Rasa Sayange merupakan lagu rakyat Maluku, dan setelah bukti tersebut terkumpul, akan diberikan kepada Menteri Kebudayaan dan Pelancongan.

Menteri Pelancongan Malaysia, Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan bahawa rakyat Indonesia tidak boleh membuktikan bahawa lagu Rasa Sayange merupakan lagu rakyat Indonesia, dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim mencabar mana-mana pihak di Indonesia membuktikan siapa penciptanya dan memberikan buktinya[6]. Bagaimanapun, bukti tersebut akhirnya ditemui. 'Rasa Sayange' diketahui dirakam pertama kali di Indonesia oleh PT Lokananta, Solo, Indonesia pada 15 Ogos 1962 dalam piring hitam Gramophone[7] Rakaman induk dari piring ini masih disimpan oleh PT Lokananta. Rakaman ini dikenali sebagai rakaman pertama mengenai lagu ini. Piring hitam tersebut diedarkan sebagai cenderahati kepada peserta Sukan Asian ke-4 tahun 1962 di Jakarta.

Pelbagai dakwaan telah bertali arus mengenai empunya sebenar lagu Rasa Sayang ini, lagu ini sebelumnya pernah dinyanyikan dalam bahasa Hindi oleh Mohd Rafi dan Lata Mangeshkar dalam filem Singapore 1960 arahan Shakti Samanta. Sesi pengambaran telah diadakan sejak tahun 1959 lagi di Singapura, yang mana ketika itu jelas Singapura berada di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Filem ini juga merupakan filem Bollywood pertama yang diadakan sesi penggambaran secara penuh di luar negara India iaitu di Singapura. Filem ini juga dalam bahasa Hindi disebut "Hai Pyar Ka Hi Naam Ra Sa". Ia dibintangi oleh Shammi Kapoor, Maria Menado dan Padmini.[8][9].

Dalam korus yang berlirik Hindi, lagu Rasa Sayang ini berbunyi sebagai: Rasa sayang re, Rasa sayang sayang re, Hey, pyar ka hee nam? (Hey, adakah ini dipanggil cinta?), Rasa sayang sayang re.

Bagaimanapun, lagu tersebut telah lebih dulu digunakan dalam filem Melayu Rasa Sayang Eh yang diterbitkan pada tahun 1959[10][11], dan juga dinyanyikan dalam satu babak filem Antara Dua Darjat (1960) arahan P. Ramlee[12][13]. Lebih daripada itu, pada tahun 1958, sebuah filem Melayu berjudul "Matahari" telah ditayangkan buat tontonan umum, filem ini menceritakan kisah perjuangan menentang penjajahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Filem yang dibintangi oleh Maria Menado, Jins Shamsudin, Aziz Jaafar, Ahmad Mahmud ini turut memaparkan segerombolan tentera yang berjalan sambil menyanyikan lagu "Rasa Sayang Eh".[14][15]

Lagu ini juga turut ditayangkan dalam filem Insulinde, filem yang menggambarkan Hindia Belanda tahun 1937 - 1940.[16]

Lagu Rasa Sayang telah digunakan sebagai salah satu lagu latar dalam filem dokumentari British di Tanah Melayu pada tahun 1938 yang dikenali sebagai FIVE FACES. Ini merupakan versi paling awal yang pernah dirakamkan untuk lagu Rasa Sayang.[17][18]

Trivia[sunting | sunting sumber]

  • Lagu "Rasa Sayang" adalah di antara lagu latar di dalam filem dokumentari "FIVE FACES" yang diterbitkan pada tahun 1938 di Semenanjung Tanah Melayu.
  • Dalam laporan akhbar The Straits Times, 10 Mei 1958, Seorang penyanyi yang tidak dinyatakan namanya oleh pihak wartawan mengaku pernah menyanyikan lagu "Rasa Sayang" di hadapan khalayak ramai buat pertama kali kira-kira 20 tahun yang lalu (1938).[19]
  • Pada tahun 1939, lagu "Rasa Sayang" termasuk di antara lagu-lagu yang diputarkan di Radio Pulau Pinang.[20]
  • Momo Latiff, seorang penyanyi dan pelakon Melayu merakamkan lagu "Rasa Sayang" di Singapura di antara tahun 1930-an dan 1940-an.[21]
  • Lagu Rasa Sayang dinyanyikan dalam filem hitam-putih Jepun yang diterbitkan pada tahun 1943, Marai No Tora ("Harimau Malaya").[22][23]
  • Kerajaan Hindia Timur Belanda pernah membuat rakaman promosi menggunakan lagu ini sebelum Perang Dunia II. Filem ini, berjudul Insulinde zooals het leeft en werkt, diterbitkan antara tahun 1937 dan 1940, dan dikelaskan sebagai filem bisu.[24] Salinan filem digital ini disebarkan melalui laman sesawang Youtube oleh pakar multimedia Roy Suryo yang mendakwa menjumpai filem digital, tetapi mengakui belum menjumpai filem asli.[25]
  • Penyanyi dan Pelakon wanita Melayu terkenal di Singapura iaitu Siput Sarawak merakamkan lagu "Rasa Sayang Suami Isteri" pada tahun 1949.[26]
  • Lagu Rasa Sayang digunakan dalam Matahari (filem) diterbitkan tahun 1958 sebagai lagu latar dan lagu utama dalam rentak kawad dan lagu penutup.[27]
  • Rasa Sayang Eh merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan pada 1959.[28]
  • Lagu ini dinyanyikan dalam filem Melayu 1960, Antara Dua Darjat yang diarah oleh P. Ramlee.
  • Lagu ini pernah dinyanyikan dalam Bahasa Hindi oleh Mohd Rafi dan Lata Mengeshkar dalam filem Singapore atau Hai Pyar Ka Hi Naam Ra Sa tahun 1960 lakonan Shammi Kapoor dan Padmini.[29][30]
  • Lagu "Rasa Sayange" dirakamkan oleh PT. Lokananta, Solo, Indonesia pada 15 Ogos, 1962 pada cakera gramofon. Salinan asal disimpan oleh PT Lokananta. Ini merupakan rakaman ketiga yang diketahui mengenai lagu ini.[perlu rujukan]
  • Dalam filem Nasib Si Labu Labi (1963)" yang diarahkan oleh Tan Sri P. Ramlee, lagu "Rasa Sayang Hey" dinyanyikan oleh seorang pemuda ketika dalam babak berkelah di tepi pantai.[31]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ L. F. Brakel, M. Balfas, M. Taib Bin Osman, J. Gonda, B. Rangkuti, B. Lumbera, H. Kahler (1997). Literaturen (Asian Studies). Leiden, Netherlands: Brill Academic Publishers. m/s. 135. ISBN 90-04-04331-4.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  2. ^ Antara News: "The Governor of Maluku Insists that the Song 'Rasa Sayange' Belongs to Indonesia"
  3. ^ "The Rasa Sayang Song". Rasa Sayang USA. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-04-08. Dicapai pada 2010-08-20.
  4. ^ Malaysia Akhirnya Akui "Rasa Sayange" Sebagai Milik Bersama, antara.co.id Diarkibkan 2008-04-21 di Wayback Machine, diambil 2007-11-14.
  5. ^ Gubernur Maluku Bersikeras Lagu "Rasa Sayange" Milik Indonesia, antara.co.id Diarkibkan 2007-11-16 di Wayback Machine diambil 2007-10-05.
  6. ^ Rasa Sayang lagu Melayu Nusantara
  7. ^ Kompas Cybermedia: Lagu Rasa Sayange Direkam di Lokananta diambil 2007-11-02.
  8. ^ Lagu dan video aktres lama[pautan mati kekal]
  9. ^ Petikan lagu dalam film di Youtube
  10. ^ "Rasa Sayang Eh (1959)". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-10. Dicapai pada 2008-05-26.
  11. ^ 1959 Malay film on Youtube
  12. ^ Antara Dua Darjat di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)
  13. ^ Dari filem Antara Dua Darjat
  14. ^ "Paparan gambar telemovie dari filem judul "Matahari" (1958)- FilemKita". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-02-22. Dicapai pada 2013-02-13.
  15. ^ Pidato Matahari dari petikan filem "Matahari" (1958)- Youtube
  16. ^ Petikan lagu dalam film di Youtube
  17. ^ The oldest Lagu Rasa Sayang recorded (1938)
  18. ^ FIVE FACES OF MALAYA
  19. ^ Young thugs make 'Feeling of Love' taboo The Straits Times, 10 May 1958, Page 6
  20. ^ Pinang Gazette and Straits Chronicle, 31 July 1939, Page 12
  21. ^ Youtube - Momo Latiff Rasa Sayang (klasik 30-an-40-an)
  22. ^ Jeneral Yamashita bukan Harimau Malaya..Tetapi
  23. ^ Youtube - Marai No Tora (マライの虎)
  24. ^ Insulinde
  25. ^ Malaysian national anthem`s melody probably copy of Indonesian song: "expert"
  26. ^ Youtube Nona Sipot AKA Siput Sarawak - Rasa Sayang Suami Isteri (1949)
  27. ^ Youtube - Petikan Filem Matahari (1958)
  28. ^ Filem Malaysia. Rasa Sayang Eh Diarkibkan 2018-03-10 di Wayback Machine.
  29. ^ [http://ro89.com/go/old%20hindi%20atress/video.html[pautan mati kekal] Lagu dan video aktres lama
  30. ^ Petikan filem dalam Youtube
  31. ^ Lagu Rasa Sayang Eh Dalam Filem Nasib Si Labu Labi

Pautan luar[sunting | sunting sumber]