Pergi ke kandungan

Ratu Seondeok dari Silla

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ratu Seondeok
선덕왕
善德王
Ratu Silla
Pemerintahan632–647 (15 tahun)
Kemahkotaan632
Didahului olehJinpyeong dari Silla
Diikuti olehJindeok dari Silla
KeputeraanTidak diketahui
Kemangkatan20 Februari [G.L.: 17 Februari] 647
Hari kelapan bulan pertama kalendar lunar pada tahun ke-14 zaman Inpyeong.
仁平14年正月8日 (인평14년 정월 8일)
Silla
PemakamanSeondeogyeowangneung, Gyeongju, Korea Selatan
Nama selepas mangkat
Ratu Seondeok (善德王, 선덕왕)
Nama tokong
Seongjo (聖祖, 성조)
AyahandaJinpyeong dari Silla
BondaRatu Maya dari Silla
Ratu Seondeok dari Silla
Hangul
선덕여왕; 선덕왕
Hanja
善德女王; 善德王
PDSSeondeok yeowang; Seondeogwang
MRSŏndŏk yŏwang; Sŏndŏgwang

Ratu Seondeok (Korea: 선덕여왕 sebutan Korea: [sʌn.dʌk jʌ.waŋ]; Tidak diketahui – 20 Februari [G.L.: 17 Februari] 647; Hari kelapan bulan pertama kalendar lunar pada tahun ke-14 zaman Inpyeong. [인평 14년 정월 8일; 仁平14年正月8日]) memerintah sebagai Ratu Silla, salah satu daripada Tiga Kerajaan Korea, dari tahun 632 hingga 647.[1] Baginda merupakan pemerintah ke-27 Silla dan ratu pemerintah pertama kerajaan itu. Baginda juga merupakan pemerintah wanita kedua dalam sejarah Asia Timur yang direkodkan. Dalam Samguk Sagi, Ratu Seondeok digambarkan sebagai 'pemurah, berbelas kasihan, bijaksana dan pintar'.[2] Menurut Legenda Jigwi, baginda juga digambarkan sebagai seorang yang cantik.[3]

Menaiki takhta

[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan sebagai Puteri Deokman (德曼), Seondeok ialah puteri kepada Raja Jinpyeong dan Ratu Maya dari Silla. Baginda mempunyai dua orang adik-beradik, iaitu Puteri Cheonmyeong dan Puteri Seonhwa (walaupun kewujudan Seonhwa dipertikaikan berikutan penemuan bukti pada tahun 2009 yang menunjukkan bahawa ibu Raja Uija ialah Permaisuri Sataek dan bukan Seonhwa seperti yang dinyatakan dalam rekod sejarah). Tidak dapat dipastikan sama ada baginda atau Cheonmyeong yang lahir terlebih dahulu. Menurut teks Hwarang Segi yang dipertikaikan, Cheonmyeong lebih tua daripada Seondeok. Menurut teks sejarah Samguk Sagi, Seondeok ialah puteri sulung.

Menurut Hwarang Segi, oleh kerana Raja Jinpyeong tidak mempunyai putera untuk mewarisi takhta, baginda mula mempertimbangkan menantunya, Kim Yongsu (suami kepada Puteri Cheonmyeong), sebagai bakal pengganti baginda setelah baginda mengiktiraf jasa-jasanya kepada negara. Apabila Puteri Deokman mendengarnya, baginda memohon kepada ayahandanya agar diberi peluang untuk bersaing bagi takhta, dengan menegaskan bahawa baginda juga mempunyai hak yang sama seperti Kim Yongsu untuk menuntut takhta. Melihat tekadnya, raja memberikan peluang kepadanya untuk membuktikan kelayakannya. Walaupun tidak pelik bagi wanita memegang kuasa di Silla (Permaisuri Sado juga pernah bertindak sebagai pemangku bagi Raja Jinpyeong), idea seorang pemerintah wanita masih sukar diterima oleh kebanyakan mereka. Oleh itu, Puteri Deokman perlu membuktikan keupayaannya untuk meraih kepercayaan dan sokongan rakyat. Akhirnya, baginda berjaya dan dinamakan sebagai pengganti Raja Jinpyeong.[4]

Namun demikian, kisah ini tidak disebut dalam teks sejarah Samguk Sagi dan Samguk Yusa. Menurut Samguk Yusa, alasan Seondeok dapat menjadi pemerintah wanita hanyalah kerana tiada lelaki bertaraf Seonggol dalam sistem pangkat tulang.

Keputusan tersebut tidak diterima oleh semua pihak. Akibatnya, beberapa pegawai merancang satu pemberontakan untuk menghalang baginda daripada ditabalkan sebagai pemerintah. Pada Mei 631, Ichan Chilsuk (이찬 칠숙) dan Achan Seokpum (아찬 석품) merancang satu pemberontakan. Walai bagaimanapun, rancangan mereka terbongkar dan berjaya dipatahkan lebih awal. Sebagai hukuman, Chilsuk dihukum pancung di pasar bersama seluruh keluarganya. Seokpum pula berjaya melarikan diri ke sempadan Baekje. Namun demikian, oleh kerana dia merindui isterinya, Seokpum membuat keputusan untuk pulang setelah menukar pakaiannya dengan seorang penebang kayu. Sekembalinya, dia ditangkap oleh askar yang menunggunya di rumahnya, dan kemudian dihukum bunuh.

Pemerintahan

[sunting | sunting sumber]

Pada Januari 632, Ratu Seondeok menjadi ratu pemerintah pertama Silla. Sebagai pemerintah, keutamaan baginda ialah kebajikan rakyatnya. Sejurus selepas ditabalkan, baginda menenangkan rakyat dengan memaklumkan dasar-dasarnya. Baginda menghantar para pemeriksa diraja ke seluruh kerajaan untuk meningkatkan penjagaan terhadap balu, duda, anak yatim, golongan miskin dan warga tua. Pada tahun yang sama, baginda menghantar seorang utusan untuk mempersembahkan ufti kepada Maharaja Dinasti Tang di China dan memaklumkan mengenai pemerintah baharu Silla. Namun demikian, Maharaja Taizong dari Tang menolak untuk mengiktiraf Seondeok sebagai pemerintah kerana baginda seorang wanita.

Balai cerap Cheomseongdae yang dibina semasa pemerintahan baginda.

Pada tahun kedua pemerintahan Ratu Seondeok, sebuah balai cerap astronomi yang dikenali sebagai Cheomseongdae telah dibina untuk membantu para petani.[5] Baginda turut mengisytiharkan pengecualian cukai selama setahun bagi golongan petani dan mengurangkan cukai bagi kelas pertengahan. Melalui tindakan berbelas kasihan ini, ratu berjaya meraih sokongan rakyat dan mengukuhkan kedudukannya berhadapan tentangan golongan aristokrat lelaki. Pada bulan Jun tahun yang sama, Ratu Seondeok sekali lagi mengirimkan seorang utusan untuk mempersembahkan ufti nominal kepada Maharaja Tang; namun Maharaja Taizong tetap enggan mengiktirafnya sebagai pemerintah. Seondeok tidak tergugat kerana para pemerintah Korea sejak dahulu menganggap diri mereka setara dengan pemerintah dinasti-dinasti China.

Menurut Samguk Sagi, pada Mac 636, ratu jatuh sakit dan tiada doa mahupun ubat yang mampu menyembuhkannya. Pada Mac 638, sebuah batu besar di sebelah selatan sebuah gunung bergerak dengan sendirinya, dan tujuh bulan kemudian, Goguryeo menyerang lembah gunung tersebut. Pada tahun berikutnya, air laut di bahagian timur kerajaan Silla bertukar merah, menyebabkan semua ikan di dalamnya mati. Peristiwa-peristiwa ini membuatkan rakyat gelisah, dan sebahagian daripada mereka menganggapnya sebagai petanda buruk yang meramalkan kejatuhan kerajaan Silla.

Pada tahun 642, Uija dari Baekje mengetuai sendiri kempen ketenteraan terhadap Silla dan menawan 40 kubu di bahagian barat Silla. Jeneral Yunchung menawan Kubu Daeya yang penting dari segi strategik dengan 10,000 orang tenteranya serta menghukum bunuh anak perempuan dan menantu Kim Chunchu.[6][7] Pada tahun 643, Baekje dan Goguryeo menawan Kubu Danghang, sekali gus menutup laluan laut penting menuju ke dinasti Tang.[8] Disebabkan situasi tersebut, Ratu Seondeok menghantar seorang utusan kepada Maharaja Tang untuk meminta bantuan. Maharaja itu mengemukakan tiga cadangan. Pertama, baginda akan menyerang Semenanjung Liaodong dan melancarkan kempen laut di bahagian barat untuk menawan Baekje. Kedua, baginda akan membekalkan ribuan pakaian seragam tentera Tang dan panji-panji untuk membantu askar Silla menyamar sebagai tentera Cina. Ketiga, baginda akan menghantar seorang kerabat diraja dinasti Tang untuk dijadikan raja baharu Silla kerana menurutnya, Silla sentiasa terancam disebabkan musuh-musuh mereka tidak takut kepada kerajaan yang diperintah oleh seorang wanita. Utusan itu kembali ke Silla tanpa sanggup menyampaikan cadangan-cadangan tersebut kepada ratu.

Dalam saat genting itu, Ratu Seondeok memanggil sami Buddha terkenal, Jajang yang pernah menuntut dengan para mahaguru Buddha di dinasti Tang selama tujuh tahun. Sami Jajang pulang ke Silla pada tahun 643. Beliau menasihati ratu dan para pembesarnya agar membina pagoda sembilan tingkat besar bagi dua tujuan: menghalang pencerobohan asing dan menenangkan rakyat. Setelah pertimbangan rapi, ratu menerima cadangan Jajang kerana melihatnya sebagai langkah penting untuk mengatasi krisis yang sedang dihadapi. Walau bagaimanapun, semasa bermesyuarat dengan para pembesarnya, baginda mendapati mereka menentang keras rancangan tersebut kerana bimbang tentang keadaan perbendaharaan diraja, memandangkan pembinaan pagoda itu akan membebankan rakyat dengan cukai berat. Walau begitu, ratu tetap meneruskan rancangan itu dengan keyakinan bahawa hasil kerja keagamaan sedemikian akan menyatukan rakyat dan membuktikan bahawa Silla masih jauh daripada kehancuran. Baginda berkata kepada para pembesarnya, “robohkan istanaku dan gunakan bata serta kayunya, jika kamu fikir kita kekurangan dana.” Menjelang dua tahun kemudian, pagoda tersebut akhirnya siap; ia dinamakan Hwangnyongsa (bermaksud "Kuil Naga Diraja") dan dianggap sebagai kuil tertinggi di Asia Timur pada waktu itu.[5] Pada tahun yang sama, Ratu Seondeok melantik seorang bangsawan bernama Bidam ke jawatan tertinggi dalam istana (Sangdaedeung).

Semasa pemerintahan Ratu Seondeok, asas pertama ke arah penyatuan Tiga Kerajaan di bawah Silla telah dibentuk. Siri serangan dan serbuan oleh gabungan tentera Baekje dan Goguryeo telah membawa Silla ke ambang krisis. Ratu memutuskan untuk menjalin pakatan dengan dinasti Tang. Pada mulanya, baginda diejek; namun setelah melihat kekuatan Goguryeo yang semakin meningkat, Maharaja Tang akhirnya menerima tawarannya.

Pada 8 Februari 647 (8 Januari menurut kalendar lunar), Ratu Seondeok menghadapi cabaran terbesar pemerintahannya apabila beberapa pegawai tertinggi kerajaan melancarkan pemberontakan terhadap baginda.[5] Mereka diketuai oleh Bidam, yang mendakwa bahawa; "Raja wanita gagal mentadbir negara, oleh itu wanita tidak seharusnya memerintah." Bidam mempunyai pengaruh politik yang kuat di istana, dan menyebabkan pemberontakan terbesar dalam sejarah Silla. Memandangkan sebahagian besar tentera telah dihantar ke pelbagai wilayah dalam kerajaan untuk mempertahankan Silla daripada kemungkinan pencerobohan asing, pemberontakan itu membawa ancaman besar.

Menurut sebuah anekdot terkenal mengenai pemberontakan Bidam, pada malam pemberontakan itu, keadaan kesihatan Ratu Seondeok merosot dengan cepat akibat penyakit, dan sebuah bintang dikatakan jatuh berhampiran kediaman baginda. Bidam yang melihat kejadian itu, mendakwa ia merupakan petanda kejatuhan ratu, bagi menggalakkan penyokongnya yang berpegangan kuat kepada kepercayaan terhadap hal-hal ghaib. Apabila ratu mendengar peristiwa tersebut, baginda menjadi takut dan gelisah, namun Kim Yushin menenangkannya dengan berkata bahawa baginda tidak perlu bimbang kerana beliau mempunyai rancangan untuk menumpaskan pemberontakan itu. Beliau kemudian menerbangkan sebuah wau besar dengan patung jerami yang dibakar diikat padanya untuk memberikan gambaran seolah-olah bintang yang jatuh itu telah kembali ke tempat asalnya. Penyokong Bidam yang melihatnya menjadi amat kecewa.

Pemberontakan tersebut akhirnya dipatahkan oleh Kim Yushin dan Kim Alcheon. Menurut Samguk Sagi, Bidam dan tiga puluh pengikutnya dihukum bunuh pada 17 Februari 647 (kalendar lunar). Pemberontakan itu berlangsung kurang daripada 10 hari dan gagal mencapai matlamat untuk menggulingkan kerajaan Ratu Seondeok.

Kemangkatan

[sunting | sunting sumber]

Ratu Seondeok mangkat pada 20 Februari 647 (8 Januari 647 menurut kalendar lunar), tidak lama sebelum pemberontakan Bidam berjaya dipatahkan sepenuhnya. Tiada rekod yang diketahui mengenai punca tepat kemangkatannya, tetapi Ratu Seondeok diketahui mengalami penyakit yang tidak dinyatakan jenisnya sebelum kemangkatannya, dan penyakit ini lazimnya dianggap sebagai punca kemangkatannya. Sesetengah ahli sejarah juga menyatakan bahawa kemungkinan baginda mangkat sebahagiannya akibat terkejut dengan tindakan Bidam yang menganjurkan pemberontakan terhadapnya. Ratu Seondeok dikebumikan di sebuah makam di Nangsan, salah satu gunung suci di Gyeongju.[9] Setelah kemangkatan Ratu Seondeok, sepupunya dilantik sebagai pemerintah wanita berikutnya Silla, iaitu Ratu Jindeok.

Makan Ratu Seondeok di Gyeongju, Korea Selatan.

Seperti ayahandanya, Ratu Seondeok tertarik kepada agama Buddha. Semasa pemerintahannya, Silla membina banyak kuil, pagoda, dan patung Buddha. Salah satu kuil terkenal yang dibina pada zaman baginda ialah kuil Hwangnyongsa. Menurut rekod seni bina purba, pagoda tersebut mempunyai ketinggian 68 atau 80 meter, menjadikannya salah satu struktur tertinggi di Asia Timur pada masa itu. Pagoda ini melambangkan hasrat ikhlas Ratu Seondeok dan rakyat Silla untuk melindungi negara serta menyatukan Tiga Kerajaan Korea di bawah satu pemerintah. Ia dijadikan sebagai persembahan kepada Buddha dengan harapan hasrat tersebut dapat dipenuhi. Ratu sering mengunjungi kuil Hwangnyongsa untuk berdoa agar dikurniakan kebijaksanaan dan kekuatan bagi menyelamatkan Silla daripada bahaya.

Semasa pemerintahannya, kuil-kuil lain yang dibina termasuk Bunhwangsa, Oseam, Sangwonsa, Yeongmyosa, Tongdosa, Woljeongsa, Baekdamsa dan Magoksa. Baginda juga membina "Menara Melihat Bintang" atau Cheomseongdae, yang dianggap sebagai balai cerap khusus pertama di Timur Jauh dan membantu para petani pada masa itu. Menara ini masih berdiri di bekas ibu kota Silla, Gyeongju, Korea Selatan, dan merupakan balai cerap tertua yang masih wujud di Asia Timur.

Baginda menggalakkan kebangkitan semula dalam pemikiran, sastera, dan seni di Silla.[10] Baginda memajukan budaya Buddha, memilih bakat-bakat cemerlang, dan menjalin hubungan diplomatik dengan dinasti Tang, meletakkan asas bagi penyatuan Tiga Kerajaan Korea.[11]

Namun demikian, terdapat juga penilaian negatif disebabkan kegagalan ketenteraan dan pembaziran kuasa negara akibat pembinaan kuil yang berlebihan,[12] serta kerana kenaikan Ratu Seondeok ke takhta dicapai melalui kompromi antara dua kuasa yang bertentangan, tiada pembaharuan yang boleh sedikit pun menjejaskan keseimbangan sedia ada dapat dilaksanakan semasa pemerintahannya. Penilaian ini didorong oleh ketiadaan sebarang pencapaian berkaitan penyusunan semula sistem semasa pemerintahan Ratu Seondeok, kecuali upacara keagamaan Buddha seperti pembinaan kuil. Tambahan pula, keseimbangan antara dua kuasa itu dianggap telah tergugat apabila Raja Uija menyerang di bahagian barat Sungai Nakdong pada tahun 642, yang membawa kepada Pemberontakan Sangdaedeung Bidam, pemimpin golongan bangsawan, menjelang kematian Ratu Seondeok pada tahun 647.[13]

  • Bapa: Raja Jinpyeong (진평왕; 眞平王, 567–632)
  • Ibu: Kim Bokhilgu, Permaisuri Maya (김복힐구 마야부인; 金福肹口 摩耶夫人, tarikh tidak diketahui)
  • Adik-beradik:
    • Puteri Cheonmyeong (천명공주; 天明公主, tarikh tidak diketahui), anak perempuan pertama atau kedua
      • Kim Yongsu (김용수; 金龍樹, 578–647), suami Puteri Cheonmyeong, Pungwolju ke-13
        • Kim Chun-chu (김춘추; 金春秋, 604–661), Pungwolju ke-18; kemudian menjadi Raja (Taejong) Muyeol (태종무열왕; 太宗武烈王)
      • Puteri Seonhwa (선화공주; 善化/花公主, tarikh tidak diketahui),[14] anak perempuan ketiga[15] (identitinya sentiasa dipertikaikan)
  • Sepupu:
    • Kim Seung-man (김승만; 金勝曼), satu-satunya anak perempuan Gukban (국반; 國飯) dan Nyonya Wolmyeong dari klan Park (월명부인 박씨; 月明夫人朴氏); kemudian menjadi Ratu Jindeok
  1. ^ Il-yeon: Samguk Yusa: Legends and History of the Three Kingdoms of Ancient Korea, translated by Tae-Hung Ha and Grafton K. Mintz. Book One, page 57. Silk Pagoda (2006). ISBN 1-59654-348-5
  2. ^ Hwang, Kyung Moon (2016). A history of Korea : an episodic narrative (ed. 2nd). London. m/s. 20. ISBN 9781137573568. OCLC 963173954.
  3. ^ 지귀설화. Doosan Encyclopedia (dalam bahasa Korea). Dicapai pada 2022-08-02.
  4. ^ Neff, Robert (November 18, 2023). "Silla, when giants ruled the peninsula". Korea Times. Dicapai pada 7 March 2024.
  5. ^ a b c Yim, Seung Hye (June 30, 2019). "[FICTION VS. HISTORY] 'Queen Seondeok' adds drama to real queen's life: The hugely successful TV series introduced the world to Korea's first female leader". Korea Joongang Daily. Dicapai pada 8 March 2024.
  6. ^ 대역죄인, 역사의 법정에 서다 (dalam bahasa Korea). 책우리. 2009. m/s. 56–57. ISBN 9788993975017. Dicapai pada 6 December 2017.
  7. ^ 대야성 전투. 문화콘텐츠닷컴. Korea Creative Content Agency. Dicapai pada 6 December 2017.
  8. ^ 신라와 백제의 관계. 문화콘텐츠닷컴 (dalam bahasa Korea). Korea Creative Content Agency. Dicapai pada 6 December 2017.
  9. ^ Lee, Soyoung; Leidy, Denise Patry (2013). Silla: Korea's Golden Kingdom. Metropolitan Museum of Art. m/s. 25. ISBN 978-0300197020.
  10. ^ Silla Korea and the Silk Road by Koreasociety
  11. ^ 하영애 (2011). 신라 선덕여왕과 중국 측천여황제의 정치리더십에 관한연구. 담론201 (dalam bahasa Korea). 14 (1): 121–148. ISSN 1598-1118.
  12. ^ 서영교, 《고대 동아시아 세계대전》
  13. ^ 주보돈, 김유신의 정치지향: 연구의 활성화를 기대하며”. 《신라사학보》 (11).
  14. ^ (dalam bahasa Korea) Princess Seonhwa Diarkibkan 2013-01-04 di archive.today at Doosan Encyclopedia
  15. ^ (dalam bahasa Korea) Princess Seonhwa Diarkibkan 2011-07-22 di Wayback Machine at The Academy of Korean Studies

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Ratu Seondeok dari Silla
Tarikh kemangkatan: 647
Gelaran pemerintah
Didahului oleh
Jinpyeong
Ratu Silla
632–647
Diikuti oleh:
Jindeok