Rejimen Renjer Diraja
Rejimen Renjer Diraja (RRD) | |
---|---|
Logo Rejimen Renjer Diraja | |
Aktif | 16 September 1963 (ditubuhkan) |
Negara | ![]() |
Kesetiaan | Yang di-Pertuan Agong Malaysia |
Cawangan | Tentera Darat Malaysia |
Jenis | Infantri |
Saiz | 10 Batalion |
Pusat latihan | Port Dickson, Negeri Sembilan |
Moto | Agi Hidup Agi Ngelaban |
Rejimen Renjer DiRaja (singkatan RRD) adalah salah satu pasukan tempur infantri di dalam Tentera Darat Malaysia. Pasukan ini terkenal dengan cogan kata "Agi Hidup Agi Ngelaban" yang berasal daripada Bahasa Iban yang bermaksud "Selagi Ada Hayat, Selagi Itulah Berjuang". Cogan kata ini berasal daripada motto keluarga Brooke iaitu "Whilst there is life, there is fight" dan digunakan oleh Sarawak Rangers. Cogan kata "Agi Hidup Agi Ngelaban" adalah dianggap sebagai keramat bagi bekas-bekas pegawai dan anggota Renjer kerana ia telah banyak menyemarakkan semangat mereka apabila bertempur dengan musuh.
Sepertimana Rejimen Askar Melayu DiRaja dan Kor Armor DiRaja, Rejimen Renjer Malaysia merupakan elemen tempur Tentera Darat Malaysia. Walaupun usia sebagai Rejimen dalam Tentera Darat Malaysia adalah lebih muda daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja, namun keberanian dan semangat kepahlawanan anggota Rejimen Renjer sebagai pasukan barisan hadapan pertahanan negara adalah amat digeruni oleh pihak musuh.
RRD adalah rejimen yang kedua terbesar dalam Tentera Darat. Rejimen ini merupakan satu rejimen yang amat unik di mana dianggotai oleh pelbagai kaum dan agama. Pada awalnya, rejimen ini secara majoritinya dianggotai oleh kaum pribumi Sabah dan Sarawak dan beberapa orang pegawai British. Semenjak daripada itu, keanggotaan rejimen telah dibuka kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Kehadiran kaum pribumi memberi identiti tersendiri bagi Rejimen Renjer DiRaja dan menjadikan ia kaya dengan pelbagai kebudayaan yang tidak terdapat dalam rejimen-rejimen lain.
Sejarah penubuhan[sunting | sunting sumber]
Asal usul penubuhan[sunting | sunting sumber]
Rejimen Renjer DiRaja mempunyai asal usulnya dalam pembentukan pasukan Sarawak Rangers dalam abad ke-19 oleh Kerajaan Brooke di Sarawak untuk menjaga keamaan di kawasan pedalaman di Sarawak. Pada tahun 1862, satu pasukan Renjer seramai 120 orang anggota ditubuhkan di Kuching di bawah pimpinan Mejar W.H. Rodway.
Anggota-anggota pasukan ini diambil di kalangan bumiputera Sarawak dan ditambah dengan anggota dari kaum India dan kaum Jawa. Pasukan ini mempunyai pusat latihan di Kuching. Jasa Sarawak Rangers kepada Kerajaan Brooke untuk menjaga ketenteraman Sarawak amat besar. Sarawak Rangers terlibat dalam tindakan perang menentang pemberontak seperti Rentap (1857-1861), Julau Dayak (1856), Kayan Besar (1863), Katibas (1868-1871) dan Ulu Ai (1875).
Pasukan Sarawak Rangers ini diserap masuk ke dalam Pasukan Polis Sarawak (Sarawak Constabulary) pada tahun 1932. Pasukan Sarawak Rangers ditubuhkan semula oleh pihak British sebagai persediaan menghadapi Perang Dunia II, dan selepas British tewas selepas serangan Jepun pada tahun 1942, anggota-anggota Sarawak Rangers telah ditahan oleh tentera Jepun.
Selepas 1948[sunting | sunting sumber]
Dalam tahun 1948, Persekutuan Tanah Melayu dilanda krisis pemberontakan bersenjata yang didalangi oleh Parti Komunis Malaya. Walaupun krisis tersebut dipanggil oleh pihak berkuasa British sebagai darurat, sebenarnya ia satu pemberontakan bersenjata yang melibatkan peperangan secara terbuka di antara pihak yang bertelagah.
Dalam tahun 1948, kekuatan Rejimen Askar Melayu hanya sebanyak 3 batalion Infantri. Pasukan Tentera India pula dipanggil pulang ke India selepas India mencapai kemerdekaan. Sebahagian besar tentera yang ditugaskan untuk mempertahankan Tanah Melayu merupakan rejimen-rejimen tentera British yang tidak biasa dengan peperangan di hutan tebal.
Sarawak Rangers telah turut serta membanteras kegiatan pengganas komunis di Malaysia. Askar Iban telah dibawa oleh pasukan Tentera British untuk menjejak pergerakan pengganas komunis di hutan belantara Tanah Melayu. Dalam tahun 1953, pasukan “Askar Iban” tersebut disusun semula di dalam sistem rejimen dengan menubuhkan semula Sarawak Rangers sebagai satu rejimen dalam Tentera British yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.
Malaysian Rangers[sunting | sunting sumber]
Dalam tahun 1963, dengan penubuhan Malaysia, Kerajaan Kolonial British memutuskan supaya pasukan Sarawak Rangers ditukarkan pentadbiran dan diserahkan untuk menjadi satu rejimen di dalam Tentera Darat Malaysia. Pasukan tersebut ditukarkan nama menjadi Renjer Malaysia dan menjadi pasukan tempur infantri Tentera Darat Malaysia yang mempunyai keanggotaan pelbagai kaum. Renjer Malaysia sekali gus memenuhi keperluan untuk mewujudkan satu pasukan tempur yang dianggotai pelbagai kaum seperti yang dihasratkan semasa penubuhan Rejimen Persekutuan pada tahun 1952.
Penyerahan Batalion Pertama dan Batalion Kedua Renjer Malaysia kepada Kerajaan Malaysia telah dilakukan dalam satu upacara bersejarah di Kem Syed Putra, Ipoh pada 4 Oktober 1965. Tarikh ini dirayakan sebagai hari ulang tahun kelahiran Rejimen Renjer. Nama unit ini ditukar menjadi Rejimen Renjer dalam tahun 1971, dan setelah diberikan gelaran “DiRaja’ dalam tahun 1992, pasukan ini dikenali dengan nama Rejimen Renjer DiRaja.
Kolonel Yang DiPertua[sunting | sunting sumber]
Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis merupakan seorang Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer DiRaja pada ketika ini. Disamping Kolonel Yang DiPertua, RRD juga mempunyai seorang ketua kor ataupun Pengerusi Rejimen Renjer. Pengerusi Rejimen adalah merupakan pegawai kanan rejimen yang menjawat pangkat yang tertinggi di dalam Tentera Darat Malaysia. Bekas Pengerusi Rejimen Renjer DiRaja adalah Leftenan Jeneral (B) Datuk Muhamad Effendi Mustafa. Beliau telah berkhidmat sebagai Panglima 1 Divisyen sebelum bersara.Susulan persaraan Lt Jen Dato' Effendi,jawatan Pengerusi Rejimen Renjer DiRaja kini disandang oleh Leftenan Jeneral Dato' Wira Mohd Zaki Hj Mokhtar, Panglima Medan Timur Tentera Darat sejak Oktober 2007.
Organisasi dan unit[sunting | sunting sumber]

Rejimen Renjer DiRaja kini mempunyai 10 buah batalion. Batalion Rejimen Renjer DiRaja tidak dikumpulkan di dalam sesuatu briged secara bersama-sama tetapi sebaliknya diagih-agihkan kepada briged-briged tempur dalam Tentera Darat Malaysia. Batalion Rejimen Renjer DiRaja disusun kelengkapan dan diberikan peranan seperti mana batalion Rejimen Askar Melayu DiRaja. Kebanyakan batalion disusun menjadi batalion infantri standard.
Namun demikian, Batalion Kelapan (8 Renjer) Rejimen Renjer DiRaja mencatat sejarah pada 1 Julai 1990 apabila menjadi battalion infantri standard yang pertama ditukarkan menjadi Batalion Infantri Para. Kesemua anggota 8 Renjer telah melalui dan telah lulus kursus payung terjun, yang membolehkan keseluruhan batalion tersebut bersama pasukan bantuan tempurnya dimasukkan ke dalam kawasan operasi dengan cara mendarat menggunakan payung terjun.
Batalion Ketujuh Rejimen Renjer DiRaja (7 Renjer) pula telah disusun semula menjadi satu batalion infantry mekanis, dan sebagai pasukan infantri yang bergerak ke medan pertempuran menggunakan kenderaan berperisai ACV ataupun IFV.
Tradisi dan budaya[sunting | sunting sumber]
Tarian Dayak[sunting | sunting sumber]
Rejimen Renjer sering memperagakan Tarian Ngajat, adat suku kaum Iban semasa menyambut tetamu kehormat. Umpamanya, tarian ini dipersembahkan oleh 4 Renjer kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. [1]
Hackle[sunting | sunting sumber]
Rejimen Renjer DiRaja merupakan satu-satunya rejimen tetap Tentera Darat Malaysia yang dibenarkan menggunakan hackle sebagai sebahagian daripada pakaian seragam mereka sebagai satu simbol penghormatan yang tidak terdapat di dalam rejimen-rejimen TD yang lain. Rejimen Renjer DiRaja menggunakan hackle berwarna hitam. Pada masa yang sama juga, pegawai dan anggota RRD akan menggunakan butang baju bewarna hitam apabila memakai Pakaian Kerja/Pejabat, No.3. [2]
Batalion Rejimen Renjer DiRaja[sunting | sunting sumber]
Pada masa ini RRD mempunyai 10 batalion yang ditempatkan di seluruh negara.
1 Renjer[sunting | sunting sumber]
Rejimen 1 Renjer yang ditubuhkan pada 16 September 1963 di Kem Baird, Ulu Tiram sehari selepas pembubaran Sarawak Renjer merupakan sebuah rejimen yang pernah digeruni musuh negara satu ketika duhulu.
Berpaksikan kepada slogan Agi Idup Agi Ngelaban ataupun Selagi Hidup Selagi Melawan, 1 RRD telah menempah tempoh kegemilangan dan kejayaan dengan membunuh 91 pengganas dan menawan lapan musuh negara, merupakan rekod terbaik bagi unit infantri di bawah TD pada tahun 60-an hingga 80-an.
Atas kecemerlangan tersebut, kerajaan negeri Sarawak juga telah menganugerahkan Truncheon pada 19 November 1966 yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama, Tun Abang Openg Abang Sapiee.
Selain itu, batalion 1 RRD turut dianugerahkan Panji-Panji Rejimen pada 8 Oktober 1979 di Kem Terendak oleh Kolonel Yang Dipertua RRD, Tuanku Syed Putra Almarhum Syed Hassan Jamalullail sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan dan pengorbanan pasukan 1 Renjer.[1]
Batalion ini kini ditempatkan di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur, kem yang sebelum ini diduduki oleh 6 RRD. Rejimen ini dikenali sebagai Batalion Istiadat dan bernaung dibawah perintah 12 Briged infantri bersama-sama 1 RAMD Istiadat. Batalion ini adalah merupakan batalion yang tertua dan yang paling kanan didalam Rejimen Renjer DiRaja, batalion ini juga dikenali dengan gelaran Sarawak Rangers.Sarawak Rangers juga ada mempunyai kugiran pasukan yang dahulunya dikenali sebagai BLACK HACKLE,dan kini nama Black Hackle telah ditukar menjadi ''''D'Royal Rangers.
.
2 Renjer[sunting | sunting sumber]
Tinta emas kelahiran Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja telah bermula apabila Tentera British telah menubuhkan sebuah pasukan infantri yang dikenali dengan 'THE SABAH RANGERS', pada 16 Sep 1963, bertempat di Kem NYASSA, ULU TIRAM, Johor. Pada asalnya batalion ini telah diwujudkan dengan dianggotai oleh 8 orang Pegawai British yang diterajui oleh Lt Col W.G WOOD MC, selaku Pegawai Memerintah. Batalion ini telah diletakkan di bawah“RANGERS GROUP HEADQUARTERS” yang mana bertanggungjawab di dalam aspek menyelaraskan polisi penubuhan dan latihan di antara Tentera British dan Angkatan Tentera Malaysia sehingga tahun 1965.
Batalion ini menggunakan warna hijau tua yang membawa maksud sedia untuk berjuang. Majoriti daripada anggota pasukan ini adalah daripada anak negeri Sabah. Suku kaum yang majoriti di dalam pasukan ini adalah daripada kaum Kadazan. Pada 1 Jun 1969, cogan kata pasukan ini telah diistiharkan dengan rasminya dalam bahasa Kadazan iaitu “OSIOU OH KAMANANG” yang bermaksud “SIAPA BERANI MENANG (WHO DARES WIN)”.
Batalion Kedua Rejimen Renjer telah dianugerahkan dengan Panji-panji Rejimen oleh DYMM Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer pada 30 April 1980 bertempat di Stadium Larkin, Johor Bharu, Johor Darul Takzim. Pegawai yang diberi penghargaan sebagai Pegawai Panji-panji adalah Lt M Nor Azman bin Mohd Yahya (3000871).
Setelah hampir 20 tahun mengharungi cabaran, mencurahkan tenaga dan berkerjasama membantu dalam pembangunan negara, panji-panji pasukan telah diusahakan pertukarannya dalam suatu perbarisan yang penuh bersejarah dan pengiktirafan pada 27 Nov 2000 bertempat di padang kawad Kem SYED PUTRA. Istiadat Pertukaran Panji-panji Rejimen ini telah disempurnakan oleh Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer Diraja, DYMM Tuanku Raja Perlis. Ketua perbarisan selaku Pegawai Memerintah pasukan pada ketika itu adalah Lt Kol Zulkifli bin Mansor manakala Pegawai Panji-panji adalah Lt Annuar bin Abdullah dan SMR Perbarisan adalah PW 1 Ibrahim bin Abun.
Batalion ini ditempatkan di Kem Syed Putra, Ipoh. Sebelum ini kem tersebut dikenali sebagai Sulva Lines dan menempatkan Rumah Rejimen Renjer.
Pegawai Memerintah Bn Ke 2 Rejimen Renjer Diraja kini ialah Lt Kol Firdaus bin Shah Budin.
3 Renjer[sunting | sunting sumber]
Pasukan ini telah ditubuhkan secara rasminya pada 1 Jul 65 di Kem Sulva Line Ipoh (sekarang dikenali sebagai Kem Syed Putra). Pegawai Memerintah yang pertama ialah Lt Kol D.I Mackenzie. Keanggotaannya terdiri daripada pegawai-pegawai dan PTT Kanan yang dipinjamkan daripada Tentera British. Seramai 48 orang anggota telah ditukarkan ke pasukan ini dari Tentera British di Singapura dan seramai 52 orang anggota lagi dibawa khas dari Batalion Pertama dan Kedua Rejimen Renjer. Kemudian seramai 50 orang rekrut lagi, kesemuanya adalah merupakan bekas anggota kerahan tenaga rakyat seluruh Semenanjung Malaysia telah diambil. Penubuhan pasukan ini adalah hasrat dari keinginan untuk menubuhkan sebuah batalion yang terdiri daripada berbilang bangsa di Malaysia. Siri pengambilan rekrut telah diadakan di seluruh Malaysia untuk memenuhi kekuatan batalion ini. Pengambilan rekrut yang pertama telah menamatkan latihan mereka pada 19 Februari 66 iaitu seramai 350 orang. YAB Allahyarham Tun Abdul Razak pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan telah menerima tabik hormat. Pengambilan kedua telah menamatkan latihan mereka pada 19 Mac 66 dan upacara tabik hormat diambil oleh Ketua Turus Tentera Darat (KTTD) ketika itu iaitu Mej Jen Dato’ Abdul Hamid Bin Bidin seramai 150 rekrut. Ini diikuti pula dengan upacara tamat latihan pengambilan ketiga pada 23 April 66 di mana Brig Jen Mohd Noor Bin Hj Tamin pada ketika itu merupakan Panglima Briged Kedua telah menerima tabik hormat.
Selepas 3 RRD mengambil alih 1 RRD Di Kem Sulva Line dan buat pertama kalinya, papan tanda batalion dipaparkan di hadapan Markas Batalionnya dan bendera batalion dikibarkan dengan megahnya. Adalah nyata sekali bahawa Pegawai Memerintahnya seorang graduan United State Staff College, menyimpan pengaruh Tentera Amerika Syarikat. Ini telah terbukti apabila ia meminjam cogan kata United States Infantry School, Fort Benning yang berbunyi ‘Follow Me’ atau ‘Ikut Saya’ sebagai cogan kata batalion ini. Warna lambang perjuangan pasukan ini ialah merah. Warna ini telah dipilih sendiri oleh Pegawai Memerintah sebelum beliau sampai ke Malaysia lagi. Menjelang bulan April 66, pasukan ini telah mempunyai keanggotaan yang mencukupi. Latihan lanjutan telah dilancarkan dengan pesatnya sejak latihan pengambilan rekrut yang pertama. Sebagai acara kemuncak kepada latihan tersebut, satu latihan hutan selama 5 hari telah diadakan berhampiran dengan bandar Ipoh. Semasa latihan tersebut, GOC 17 Gurkha Division iaitu Mej Jen Peterson telah melawat pasukan ini pada 10 Mei 1966. Pegawai memerintah merasakan bahawa nilai dan semangat perjuangan yang tinggi telah ditunjukkan oleh semua anggota di dalam kompeni dan merasakan bahawa mereka kini layak untuk melaksanakan operasi. 3 RRD Merupakan pasukan pertama dalam Tentera Darat khususnya dan ATM amnya yang menerima anugerah daripada masyarakat tempatan Tawau, Sabah pada 8 Oktober 1989. Penghargaan ini sebagai tanda pengorbanan dan mengenang jasa anggota pasukan ini sepanjang tempoh bertugas mulai Disember 1986 sehingga Disember 1989. Kejayaan ini dimana pasukan berjaya menyelamatkan ratusan nyawa dan harta benda daripada kebakaran di Kampung Titingan, Tawau, Sabah. Pengurniaan tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Hj Abd Ghani Bin Rashid (Presiden Majlis Perbandaran Tawau).
Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja telah dianugerahkan dengan Panji-panji Rejimen oleh DYMM Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer pada 4 Okt 1980 bertempat di Kem terendak, Melaka. Pegawai yang diberi penghormatan sebagai Pegawai Panji-panji adalah Lt M Mohd Sani bin Hj Royan. Pada 4 Okt 2004, pasukan sekali lagi terlibat dalam pertukaran Panji-panji Rejimen yang baru setelah 23 tahun dianugerahkan Panji-panji Rejimen pada 4 Okt 1980. Seramai 9 pegawai dan 180 LLP yang diketuai oleh Pegawai Memerintah ketika itu iaitu Lt Kol Mas’od bin Hj Muhammad terlibat dalam pertukaran Panji-Panji Rejimen ini yang dilakukan di Padang Kawad Pasukan. SPB Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Jamalullail, selaku Kolonel Yang Dipertua Kor Renjer telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan pertukaran panji-panji tersebut dalam upacara yang gemilang. Lt M Mohd Ikhsan Bin Mansor (3009446) telah ditugaskan untuk mengusung panji-panji baru dan dibawa mengarak di hadapan para hadirin dan di hadapan battalion.
Alamat Kem :
Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja, Kem Oya, 96000 Sibu, Sarawak.
4 Renjer[sunting | sunting sumber]
Batalion ini ditempatkan di Kem Oran, Bukit Keteri, Kangar, Perlis.
5 Renjer[sunting | sunting sumber]
Berjuang Terus Berjuang
Sejarah Pasukan
Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja telah ditubuhkan pada 16 Mei 1969 di Kem Sg Udang Melaka, ekoran dari peristiwa 13 Mei 1969 dan kegiatan berleluasa Parti Komunis Malaya. Pada awal penubuhannya, pasukan ini di kenali sebagai Batalion Kedua Rejimen Infantri Malaysia, dan beberapa elemen telah diserapkan bagi penyediaan sebuah Batalion Infantri. Pada bulan jun 1969, Batalion ini berfungsi dengan sepenuhnya dan telah bertukar nama kepada Batalion Ke 12 Rejimen Askar Melayu Diraja(RAMD). Pada Ogos 1969, Pasukan ini telah berpindah ke Kem Segenting, Port Dickson dan namanya telah ditukarkan kepada Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja.
Penempatan Pasukan
Semenjak penubuhannya, Pasukan ini telah ditempatkan dibeberapa buah Kem diseluruh negara. Diantara Kem-kem yang pernah diduduki oleh Pasukan ini seperti berikut:
a. Kem Sg Udang, Melaka - 16 Mei 69 - 31 Jul 69 b. Kem Segenting, Port Dickson - 01 Ogos 69 - 21 Sept 75 c. Kem Wong Padong, Simanggang - 22 Sept 75 - 20 Dis 76 d. Kem Terendak, Melaka - 21 Dis 76 - 04 Okt 78 e. Kem Pakit, Simanggang - 05 Okt 78 - 29 Dis 80 f. Kem Wardieburn, Kuala Lumpur - 30 Dis 80 - 18 Okt 89 g. Krm Tasik Biru, Bau - 19 Okt 89 - 19 Nov 93 h. Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu - 20 Nov 93 - Sekarang
Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja sekarang di bawah pemerintahan Lt Kol Jafri bin Sulaiman
Alamat Kem :
Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja, Kem Desa Pahlawan, 16500 Kota Bharu, Kelantan.
6 Renjer[sunting | sunting sumber]
Pada 18 Ogos 2016, Batalion ini telah berpindah dari Kuala Lumpur ke Kem Ulu Tiram, Johor dan bernaung dibawah 7 Briged Infantri.[1]
7 Renjer Mekanise[sunting | sunting sumber]
Batalion ke 7 Rejimen Renjer Diraja ataupun 7 Renjer telah ditubuhkan pada 10 Mei 1970 di Kem Quetta II Kluang, Johor dengan peruntukan seramai 202 rekrut baru untuk penubuhan 2 Kompeni infantri.
Pasukan ini kemudiannya dikukuhkan dengan pindahan anggota satu Kompeni infantri daripada tiap-tiap batalion 8 Melayu, 2 Renjer, 3 Renjer dan 4 Renjer. Dengan pindahan kompeni-kompeni tersebut, 7 Renjer lengkap ditubuhkan sebagai batalion infantri yang beroperasi penuh. Pegawai Memerintah yang pertama iaitu Leftenan Kolonel Osman bin Mohd Zain. [4]
Batalion ini telah ditukarkan disignasi menjadi sebuah batalion mekanize dan menjadi salah satu tunjang kekuatan dalam pasukan 4 Briged Mekanize. Batalion yang kini dilengkapkan dengan kenderaan jenis Adnan ini ditempatkan di Kem Batu Lima, Mentakab, Pahang dan sering menyertai perarakan hari kebangsaan.
8 Renjer Para[sunting | sunting sumber]
Batalion Kelapan Rejimen renjer Diraja (8 Renjer) merupakan salah satu batalion yang membentuk 10 Bridged Para. 8 Renjer Para sekarang berpangkalan di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka. Batalion ini terkenal dengan kebolehan seluruh anggotanya yang berkemampuan untuk diaturgerak ke sesuatu kawasan operasi secara diterjunkan melalui udara atau turun menggunakan tali dari helikopter.
9 Renjer[sunting | sunting sumber]
Batalion ini ditempatkan di Kem Taiping, Perak.
10 Renjer (diaktifkan semula)[sunting | sunting sumber]
Batalion Ke 10 Rejimen Renjer Diraja telah ditubuhkan pada 1 Jan 1980 melalui surat kuasa KP/TD/ATUR/4664 Jilid 5 bertarikh 22 Dis 1979. Namun begitu, Nukleus 10 RRD mula wujud pada 1 Apr 1980 di Wade Wing, KEMENTAH dengan keanggotaan nukleus terdiri daripada 2 Pegawai dan 22 LLP. Kemudiannnya barulah ditambah beberapa kompeni dari batalion-batalion lain setelah diarahkan untuk bergerak ke Bau, Sarawak. Ia dilaksanakan secara berperingkat. Anggota-anggota dari 6 RRD telah bergerak dari Kem Oya, Sibu, Sarawak pada 15 Mei 1980 dengan menaiki bot ekspres. Anggota-anggota dari 5 RRD bergerak dari Kem Simanggang, Seri Aman pada 7 dan 10 Jun 1980 sementara anggota-anggota dari 1 RRD dan 4 RRD bergerak dari Pelabuhan Klang dengan menaiki Kapal MV Sang Fajar pada 22 Julai 1980.
Namun pada 12 Julai 1995, Di bawah rancangan penyusunan semula struktur Tentera Darat menjelang tahun 2000, 10 RRD telah diputuskan untuk diletakkan di bawah implimentasi semula (under implimentation). Istiadat Paluan Berundur sempena under implimentation pasukan telah dilaksanakan pada 12 Jul 1995 di padang kawad pasukan. Dengan rancangan under implimentation ini, semua anggota 10 RRD telah diserapkan ke batalion - batalion Rejimen Renjer Diraja yang lain. Terdapat juga anggota-anggota yang diserapkan ke lain-lain Kor di dalam Tentera Darat.
Penubuhan semula 10 Renjer adalah selaras dengan keputusan Jawatankuasa Pembangunan TD Siri 9/08 pada 31 Dis 2008, Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja telah ditubuhkan semula pada 1 Okt 2009 di Kem Muara Tuang, Kuching, Sarawak. Penubuhan semula 10 RRD adalah bertujuan untuk melengkapkan 3 buah batalion infantri di bawah naungan 3 Bgd dan memenuhi keperluan menempatkan 1 x batalion infantri di Kem Muara Tuang.[2]
11 Renjer
Batalion ini pernah ditubuhkan pada awal tahun 1980-an tetapi telah dibubarkan pada tahun 1990-an ekoran perubahan struktur elemen tempur dalam Tentera Darat Malaysia selepas ketiadaan ancaman dari pengganas komunis. Walau bagaimanapun pada tahun 2020, Kerajaan akan mengaktifkan semula 11 Rejimen Renjer Diraja (11 RRD) di bawah formasi 5 Briged , bersama-sama dengan penubuhan Batalion Ke-27 Rejimen Askar Melayu Diraja (27 RAMD) yang akan berpangkalan di pantai barat Sabah, Malaysia.[3]
Serang Hendap Oleh 6 Renjer di Klian Intan[sunting | sunting sumber]
Pada 27 Ogos 1970, 6 Renjer berjaya membunuh 5 orang pengganas komunis di kawasan Tanah Hitam, Intan Klian di negeri Perak. Antara yang dibunuh ialah seorang Ahli Jawatankausa Cawangan Parti Komunis Malaya. Beberapa senjata api juga dapat dirampas.
Berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh Cawangan Khas, 60 orang pengganas komunis akan menyusup hutan Tanah Hitam untuk ke Gerik. Kompeni C dengan 3 pegawai dan 94 anggota lain telah ditugaskan untuk membuat serang hendap di laluan yang digunakan pengganas.
Kompeni C berpecah kepada 3 kumpulan, dengan Markas Kompeni dan 9 Platun menjadi pasukan penghalang utama. 7 Platun diletakkan di sebelah kanan dan 8 Platun diletakkan disebelah kiri pasukan rintangan utama. Pasukan diberikan 2 hari untuk menyedia kedudukan serang hendap dan memasang periuk api Claymore dan jerangkap samar lain-lain.
Pada 20 Ogos, 1 Seksyen yang dianggotai 8 anggota mendengar desiran dahan dan buluh patah dipijak manusia. 1 Seksyen bersiap sedia tetapi tidak melepaskan tembakan. Renjer Abu bin Mat melihat seorang pengganas komunis berada 35 meter daripada kedudukan mereka. Nyata sekali pengganas tersebut sedang meninjau laluan untuk kumpulan pengganas yang lebih besar. Renjer Abu dan Renjer Abu Samah Hashim yang menggunakan GPMG berserta Lans Koperal Abdullah bin Nawi tidak melepaskan tembakan dan terus menunggu. Tidak lama kemudian, lebih ramai pengganas muncul.
Pada jam 3.45 petang, Lans Koperal Abdullah meletupkan bom Claymore sementara anggota yang menggunakan MGKA melepaskan tembakan. Pada jam 4.20 petang, pengganas Komunis menghentikan tembakan dan cuba mendapatkan rakan mereka yang gugur dan cedera tetapi rancangan mereka dipatahkan. Percubaan ini diulangi pada malamnya, tetapi juga tidak berhasil. Mejar Ismail meminta bantuan artileri dan mengarahkan tembakan berhampiran dengan kedudukan 1 Seksyen. Pengganas Komunis berundur pada waktu pagi sebelum terang. Pencarian yang dilakukan pada waktu pagi hari berikut mengesahkan 5 pengganas komunis terkorban.
Mejar Ismail bin Salleh selaku Ketua Kompeni “C” dan Leftenan Muda David Fu Chee Ming selaku Ketua 8 Platun telah diberikan kurnia Panglima Gagah Berani pada 2 Jun 1971 atas kejayaan yang dicapai.
Perwira Renjer[sunting | sunting sumber]
Kol (B) Ismail Salleh[sunting | sunting sumber]
Pada 23 Ogos 1970 Kompeni C 6 Renjer pimpinan Ismail Salleh digerakkan untuk menyekat penyusupan pengganas komunis. Musuh yang ada awalnya berundur bertindak menyerang balas dengan kekuatan lebih kurang 70 orang. Dengan bantuan tembakan artileri, Mej Ismail memimpin kompeninya untuk menggempur kedudukan musuh yang terkepung. Beliau mempamerkan ketabahan dan kecekalan yang tinggi sepanjang tujuh jam pertempuran tersebut berlangsung. Hasil daripada pertempuran ini seramai empat orang pengganas berjaya dibunuh. Beliau dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani pada 2 Jun 1971.
Lt.Kol (B) Robert Rizal Abdullah[sunting | sunting sumber]
Pemegang Pingat Gagah Berani (PGB)
PW I (B) Kanang anak Langkau[sunting | sunting sumber]
Pada 19 Feb 1980 Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer diketua Kapten Johnson anak Meling ke kawasan Tanah Hitam untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 Melayu beberapa hari sebelumnya.
Sarjan Kanang dan kumpulannya berjaya menjejak pengganas yang dicari. Beliau melepaskan tembakan dan terus menyerbu ke kedudukan musuh. Musuh berjaya melepaskan diri dan penjejakan diteruskan. Sarjan Kanang bertindak sebagai peninjau hadapan. Semasa bergerak, Sarjan Kanang berjaya mengesan jerangkap samar yang dipasang musuh. Tiba-tiba mereka dihujani tembakan musuh. Sarjan Kanang menunjukkan keberanian luar biasa. Tanpa menghiraukan kecederaannya, beliau terus menggempur ke arah musuh sambil memberikan kata-kata semangat kepada anggota-anggotanya.. Beliau mengalami kecederaan parah. Beliau dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada 3 Jun 1981. [5] [6]
PW II Lenggu Ak Cina[sunting | sunting sumber]
Pada 20 Jan 1971 semasa menjalankan operasi di Sungai Katibas, PW II Lenggu bersama kumpulan yang diketua oleh Leftenan Muda Anuar Basha Khan Akaria diserang hendap di Tanjung Batu Babi. Tembakan musuh tidak menghalang PW II Lenggu merapati tebing sungai dan menggempur kedudukan musuh. Kumpulan PW II Lenggu berjaya membunuh empat orang pengganas komunis dan memaksa mereka meninggalkan kedudukan. Beliau dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada 2 Jun 1971.
Mejar Michael Riman ak Bugat[sunting | sunting sumber]
Pada 1 Jun 1979 Platun Risik Gempur (UCIS) dianggotai oleh Kapten Michael Riman ak Bugat dan diketuai Sjn Kanang ak Langkau berjaya menjejak kesan musuh sehingga bertembung dengan tempat rehat mereka. Dalam pertempuran tersebut, Michael dengan berani menyerang dan merempuh ke arah musuh. Michael dan kumpulannya berjaya membunuh seramai lima orang pengganas komunis. Seorang anggota kumpulannya terbunuh dan Michael sendiri cedera parah. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 6 Jun 1984.[4]
UCIS[sunting | sunting sumber]
UCIS ataupun "Unit Combat Intelligence Section or Squad" juga dikenali sebagai "Risik Gempur". Pada awal penubuhan 1 Renjer, unit yang serupa turut dikenali sebagai "Platun Ngelaban". Unit ini merupakan unit elit di dalam setiap batalion Renjer. Ia mempunyai kekuatan diantara satu seksyen sehingga satu platun. Pegawai dan anggota unit ini juga menjalani latihan yang lebih khusus dan lasak daripada anggota Renjer biasa iaitu mirip kepada kepakaran unit komando seperti menjalankan rondaan jangka panjang, risikan medan, payung terjun dan sebagainya.
Rujukan[sunting | sunting sumber]
- ^ a b http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
- ^ http://bujangberani10.blogspot.com/
- ^ https://www.airtimes.my/2020/09/12/tentera-darat-malaysia-tubuh-briged-infantri-perkukuh-pertahanan-sabah/
- ^ Michael - Peristiwa ditembak musuh dalam ingatan.