Rekonstruksi linguistik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Rekonstruksi linguistik ialah amalan mewujudkan ciri-ciri sesuatu bahasa leluhur yang belum ditentusahkan kepada satu atau lebih bahasa yang terlibat. Terdapat dua jenis rekonstruksi:

  • Rekonstruksi dalaman menggunakan penyimpangan sebutan yang terdapat pada sesuatu bahasa untuk membuat kesimpulan tentang peringkat awal bahasa itu, yakni hanya berdasarkan bukti sedia ada yang terdapat pada sesuatu bahasa itu.
  • Rekonstruksi bandingan, atau sekadar dikenali sebagai rekonstruksi, ialah kaedah mengasas ciri-ciri linguistik bahasa leluhur daripada dua atau lebih bahasa yang berkaitan, di bawah keluarga bahasa yang sama, melalui kaedah perbandingan. Bahasa yang direkonstruksi melalui kaedah ini selalunya dirujuk sebagai bahasa purba (leluhur bersama semua bahasa pada sesuatu keluarga bahasa); contohnya seperti bahasa Indo-Eropah Purba dan bahasa Austronesia Purba.

Teks yang membincangkan rekonstruksi linguistik biasanya mendahului bentuk-bentuk rekonstruksi itu dengan tanda bintang (*) untuk membezakannya dengan bentuk yang sudah ditentusahkan.

Sesuatu perkataan yang terbit dari sesuatu akar kata yang direkonstruksi pada sesuatu bahasa purba dikenali sebagai refleks. Refleks ialah terbitan yang diketahui daripada bentuk terdahulu, yang kewujudannya mungkin dapat dibukti atau direkonstruksi. Refleks pada sumber kata yang sama dikenali sebagai kata kognat (atau kata seasal).

Kaedah-kaedah rekonstruksi[sunting | sunting sumber]

Langkah pertama melibatkan pengenalpastian bahasa-bahasa berasal daripada satu bahasa purba yang sama melalui beberapa kriteria tertentu supaya dapat dikumpulkan bersama, dan proses ini dikenali sebagai pensubkelompokan. Memandangkan pengelompokan ini hanya berdasarkan kaedah linguistik, naskhah-naskhah dan apa-apa juga dokumentasi sejarah lain perlu dianalisis untuk mencapai langkah ini. Namun, perlu elak daripada membuat andaian bahawa penyempadanan linguistik sentiasa selari dengan sesuatu budaya dan etnik tertentu. Kriteria pertama ialah bahasa-bahasa yang disubkelompokan perlu menunjukkan adanya pembaharuan berkongsi. Maksud di sini ialah bahasa-bahasa tersebut mesti menunjukkan perubahan linguistik yang sama dibuat sepanjang sejarah. Kriteria kedua pula ialah kebanyakan bahasa berkumpulan perlu mempunyai pengekalan berkongsi. Hal ini serupa dengan kriteria pertama, cuma bezanya ialah ciri-ciri linguistik bersama tersebut tidak mengalami perubahan dan kekal sama dalam beberapa bahasa yang dibandingkan. [1]

Oleh kerana bidang linguistik mementingkan aspek kesederhanaan seperti dalam bidang saintifik lain, prinsip paling penting dalam proses rekonstruksi linguistik adalah menjana bilangan fonem yang paling sedikit yang bersesuaian dengan data sedia ada. Prinsip ini juga digunapakai untuk pemilihan kualiti bunyi fonem, kerana bunyi-bunyi yang menghasilkan perubahan paling sedikit (berkaitan dengan data) lebih diutamakan.[2]

Rekonstruksi bandingan menggunakan dua prinsip yang agak umum, iaitu: Prinsip Majoriti dan Prinsip Pembangunan Paling Semulajadi.[3] Prinsip Majoriti ialah pemerhatian apabila satu set kata kognat memaparkan corak tertentu (seperti huruf berulang dalam kedudukan tertentu dalam sesuatu perkataan), kemungkinan pola ini dikekalkan daripada bahasa ibundanya. Prinsip Pembangunan Paling Semulajadi ialah beberapa perubahan dalam bahasa-bahasa dibandingkan, secara diakronik, adalah lebih biasa berlaku berbanding yang lain. Terdapat empat kecenderungan utama dalam evolusi bahasa:

  1. Bunyi vokal akhir pada sesuatu perkataan mungkin boleh tertanggal.
  2. Bunyi-bunyi yang tanpa suara (getaran pita), selalunya di antara beberapa vokal, menjadi bersuara.
  3. Bunyi-bunyi fonetik letupan/hentian menjadi bunyi-bunyi geseran.
  4. Bunyi-bunyi konsonan menjadi tidak bersuara di kedudukan akhir kata.

Pembinaan bunyi[sunting | sunting sumber]

Prinsip Majoriti digunakan untuk mengenal pasti sebutan berkemungkinan paling besar untuk etimon yang diramalkan (yakni perkataan asal kepada kata-kata kognat itu). Memandangkan Prinsip Pembangunan Paling Semulajadi menerangkan arah umum di mana bahasa kelihatan berubah, seseorang boleh mencari petunjuk ini. Contohnya seperti perbandingan perkataan 'cantar' (bahasa Sepanyol) dan 'chanter' (bahasa Perancis), dari perbandingan ini seseorang boleh berhujah bahawa, kerana bunyi fonetik hentian biasanya menjadi bunyi frikatif, kata-kata kognat dengan bunyi letupan [k] (bunyi "c" untuk "cantar") adalah lebih tua berbanding kata-kata kognat berbunyi frikatif [ʃ] (bunyi "ch" untuk "chanter"), yang pertama berkemungkinan lebih hampir menyerupai sebutan asal. [3]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

  • Perubahan bunyi

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Fox, Anthony (1995). Linguistic Reconstruction: An Introduction to Theory and Method (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. ISBN 9780198700012.
  2. ^ Smith, John Charles; Bentley, Delia; Hogg, Richard M.; van Bergen, Linda (1998–2000). Historical linguistics 1995: selected papers from the 12th International Conference on Historical Linguistics, Manchester, August 1995. Amsterdam: John Benjamins. ISBN 9027236666. OCLC 746925995.
  3. ^ a b Yule, George (2 January 2020). The Study of Language 2019. New York, NY: Cambridge University Printing House. ISBN 9781108499453.Yule, George (2 January 2020). The Study of Language 2019. New York, NY: Cambridge University Printing House. ISBN 9781108499453. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama ":0" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza

Sumber[sunting | sunting sumber]