Rosnah Mohd Noor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rosnah Mohd Noor
Kelahiran 1959
Meninggal dunia 4 Ogos 2013 (umur 54)
Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sebab kematian Barah payu dara
Warganegara  Malaysia
Pekerjaan Pelakon
Terkenal kerana Filem Kisah Seorang Biduan
Anak 3 orang

Rosnah Mohd. Noor (1959-2013) merupakan seorang pelakon filem Melayu era-1980-an. Beliau mula menceburi bidang lakonan pada awal tahun 1982 ketika dia membintangi filem Ribut Di Hujung Senja bersama Allahyarham Ed Osmera, Ismail Mahmud dan Gaya Zakry.[1] Meskipun dalam filem sulung lakonannya itu, Rosnah memegang watak pembantu namun popularitinya melonjak dalam sekelip mata, kerana ramai peminat yang menyangka dia sebagai Rosnah Abdul Rahman, seorang lagi pelakon yang popular menerusi filem Kisah Seorang Biduan pada tahun yang sama.

Menurut Rosnah sungguhpun filem Ribut Di Hujung Senja telah memperkenalkan Rosnah dalam gelanggang perfileman, namun lakonannya dalam filem Di Ambang Kasih paling diingati ramai. Dalam filem yang diterbitkan pada tahun 1985 itu, lakonannya sebagai Ayu, isteri muda kepada Yusof Haslam, benar-benar meruntun hari dan jiwa seorang wanita bergelar isteri. Ayu yang berkahwin dengan abang iparnya (Yusof Haslam) sehingga mempunyai anak, setelah kakaknya (Rubiah Suparman) hilang ingatan terpaksa membuat pilihan antara kasih suami dan kasih seorang adik terhadap kakaknya.

Hasil lakonan beliau dalam filem tersebut telah meletakkan nama Roanah di bibir para peminat sehingga memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-6 pada tahun 1986. Filem itu bukan sahaja menjadi titik tolak nama Rosnah terus kukuh di persada seni tanah air malah ia juga menjadi rebutan penerbit filem dan drama.

Kerjaya lakonannya[sunting | sunting sumber]

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Rosnah telah berlakon beberapa buah filem antaranya ialah filem Hantu Siang (1986), Di Ambang Kasih (1984), Aku Yang Berhormat (1983), Esok Untuk Siapa (1982) dan Ribut Di Hujung Senja (1982).

Sementara Sentuhan Kasih dan Jauh Dikenang, Dekat Disayang merupakan antara dua drama RTM arahan Allahyarham Roslee Jalil yang membuatkan Rosnah mendapat perhatian daripada para peminatnya.

Rosnah yang memang meminati bidang terbitan kemudiannya telah menubuhkan syarikat penerbitan sendiri RMN Production Sdn. Bhd., pada tahun 1988 apabila menyedari peluang menerbitkan drama untuk TV semakin terbuka. Racun Bulan Madu untuk slot Cerekarama TV3 arahan Datuk Aziz Sattar bukan sahaja menjadi drama pertama terbitan syarikatnya malah ia juga menjadi drama pertama lakonan Rosnah dan suaminya ketika itu, penyanyi Iwan.

"Setelah berkahwin pada Disember 1988, syarikat saya menerbitkan drama itu dan apabila menyedari Iwan minat berlakon , Aziz Sattar memberi ruang kepadanya berlakon. Itulah drama pertama dan terakhir kami berlakon berdua," cerita Rosnah sambil ketawa.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Hasil perkahwinannya dengan penyanyi dangdut Iwan, beliau dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Ramada Agus Putra, (menamatkan pengajian di Australia), Wan Shamira Putri Octavia, dan Wan Syahira Putri Aprena. Sebaik menceburi bidang penerbitan, Rosnah mengambil keputusan berhenti berlakon kerana mahu memberi tumpuan pada RMN. Bagaimanapun apabila negara dilanda gawat pada tahun 1997, RMN terus menyerikan diri dan Rosnah menumpukan perhatian pada perniagaan lain.

Selepas berpisah dengan suami pertamanya, Iwan, Rosnah mendirikan perkahwinan keduanya pada tahun 1998 dengan Kazmin Kuzi.

Rosnah pernah dimasukkan ke HKL apabila tulang pada bahagian paha kirinya patah akibat kesan komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser payudara yang dihadapinya sebelum ini. Beliau sering mendapatkan rawatan di HKL akibat penyakitnya itu, sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 4 Ogos, pukul 2.55 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Rujukan[sunting | sunting sumber]