Rudolf Diesel

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Rudolph Diesel)
Rudolf Diesel
Kelahiran18 Mac 1858
Meninggal duniaSeptember 29, 1913(1913-09-29) (umur 55)
WarganegaraJerman
Ibu bapaTheodor Diesel, Elise Diesel

Rudolf Christian Karl Diesel (ˈʁuːdɔlf ˈkʁɪstjan ˈkaʁl ˈdiːzəl; 18 Mac 1858 – kali terakhir dilihat masih hidup 29 September 1913) merupakan seorang perekacipta serta jurutera mekanikal, terkenal kerana penciptaan enjin diesel.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Diesel dilahirkan di Paris, Perancis pada tahun 1858[1] sebagai anak kedua daripada tiga beradik kepada Theodor dan Elise Diesel. Ibu bapa Diesel merupakan pendatang yang tinggal di Perancis menurut buku biografi oleh John F. Moon. Theodor Diesel, tukang pembidang buku, meninggalkan kampung halamannya di Augsburg, Kerajaan Bavaria, pada tahun 1848. Dia bertemu isterinya, Elise Strobel, anak kepada saudagar Nuremberg, di Paris pada tahun 1855 dan dia sendiri menjadi pengeluar barangan kulit di sana.

Diesel menghabiskan masa kanak-kanaknya di Perancis, tetapi sebaik sahaja Perang Perancis-Prussia meletus pada tahun 1870, keluarganya terpaksa berhijrah ke London. Namun demikian, sebelum perang tersebut berakhir, ibu Diesel menghantar Rudolf yang baru bserusia 12 tahun ke Augsburg untuk tinggal bersama-sama ibu bapa saudaranya, Barbara dan Christoph Barnickel, agar beliau dapat mempelajari Bahasa Jerman serta melawat Königliche Kreis-Gewerbsschule (Sekolah Perdagangan Kounti Diraja), di mana bapa saudaranya mengajar matematik.

Pada umur 14 tahun, Rudolf menulis surat kepada ibu bapanya menyatakan hasrat untuk menjadi seorang jurutera, dan setelah menamatkan pengajian asasnya dengan cemerlang pada tahun 1873, beliau memasuki Sekolah Perindustrian Augsburg. Lama kemudian, pada tahun 1875, beliau menerima biasiswa daripada Politeknik Diraja Bavaria di Munich yang diterimanya walaupun ditentang oleh ibu bapanya yang mahukan beliau mula bekerja untuk mencari wang.

Di Munich, salah seorang profesornya adalah Carl von Linde. Diesel tidak berupaya bergraduat bersama-sama rakan sekelasnya pada Julai 1879 kerana penyakit tifoid. Semasa menunggu tarikh peperiksaan seterusnya, beliau mencari pengalaman amali kejuruteraan di Gebrüder Sulzer Maschinenfabrik di Winterthur, Switzerland. Diesel bergraduat dengan kepujian akademik tertinggi dari politekniknya pada Januari 1880 dan pulang ke Paris, di mana beliau membantu profesor lamanya di Munich iaitu Carl von Linde berkenaan reka bentuk serta pembinaan sistem penyejukbekuan serta kilang ais. Diesel menjadi pengarah kilang berkenaan setahun demikian.

Pada tahun 1883, Diesel mengahwini Martha Flasche, dan terus bekerja untuk Linde, mengumpul pelbagai paten di Jerman dan Perancis.

Pada awal 1890, Diesel membawa isterinya serta tiga anaknya Rudolf Jr., Heddy dan Eugen, ke Berlin untuk mengambil alih pengurusan jabatan kajian dan penyelidikan korporat Linde serta untuk menyertai beberapa lembaga korporat di situ. Oleh kerana beliau tidak dibenarkan untuk menggunakan paten hasil pembangunannya semasa menjadi pekerja Linde bagi tujuan peribadi, Diesel mengambil langkah meneroka bidang lain di luar bidang penyejukbekuan. Beliau mula berminat dengan enjin wap, kajian beliau terhadap kecekapan bahan api membawa beliau kepada pembinaan enjin wap menggunakan wap ammonia. Semasa ujian, mesin tersebut meletup dan nyaris mengorbankan nyawa, menyebabkan beliau terlantar berbulan-bulan di hospital serta mengalami masalah kesihatan dan penglihatan. Beliau juga mula merekabentuk enjin berasaskan Kitar Carnot, dan pada tahun 1893, tidak lama selepas Gottlieb Daimler dan Karl Benz mencipta kereta pada tahun 1887, Diesel menerbitkan sebuah buku berjudul Theorie und Construktion eines rationellen Wärmemotors zum Ersatz der Dampfmaschine und der heute bekannten Verbrennungsmotoren atau Teori dan reka bentuk enjin haba rasional bagi menggantikan enjin wap dan enjin pembakaran yang dikenali kini serta membentuk asas kepada hasil kerjanya serta penciptaan enjin diesel.

Kehidupan berikutnya[sunting | sunting sumber]

Diesel memahami konsep termodinamik serta had teori dan praktikal kecekapan bahan api. Beliau tahu enjin wap yang paling bagus pun hanya mempunyai kecekapan termodinamik serendah 10-15%, yang bermaksud 90% tenaga yang terkandung dalam bahan api telah dibazirkan. Kerja beliau dalam reka bentuk enjin dibawa oleh matlamat nilai kecekapan yang lebih tinggi. Beliau cuba mereka bentuk enjin berasaskan Kitar Carnot. Walau bagaimanapun, beliau menyerah kalah dengan teori tersebut dan cuba membangunkan kaedah tersendiri. Akhirnya beliau mereka enjin buatannya sendiri dan memperoleh paten bagi rekaannya. Di dalam enjinnya, bahan api disuntik semasa penghujung lejang mampatan serta terbakar akibat suhu tinggi yang terhasil daripada mampatan udara. Pada tahun 1893, beliau menerbitkan buku dalam Bahasa Jerman bertajuk "Teori dan reka bentuk enjin haba rasional bagi menggantikan enjin wap dan enjin pembakaran yang dikenali kini" (terjemahan Bahasa Melayu bagi tajuk asal dalam Bahasa Jerman) dengan bantuan Springer Verlag, Berlin. Beliau membina enjin yang berfungsi mengikut teori dan rekaannya. Enjin ciptaannya serta para penggantinya kini dikenali sebagai enjin diesel. Dari tahun 1893 hingga 1897, Heinrich von Buz, pengarah MAN AG di Augsburg, memberi Rudolf Diesel peluang untuk menguji serta membangunkan idea beliau, menurut sebuah buku oleh John F. Moon. Rudolf Diesel memperoleh paten bagi rekaannya di Jerman serta negara lain, termasuklah di AS (U.S. Patent 542,846  dan U.S. Patent 608,845 ).

Kematian[sunting | sunting sumber]

Pada malam 29 September 1913, Diesel menaiki sebuah kapal api jabatan pos Dresden di Antwerp dalam perjalanan ke satu mesyuarat "Consolidated Diesel Manufacturing Ltd." di London. Beliau makan malam di atas kapal berkenaan dan kembali ke kabinnya lebih kurang pukul 10 malam, dengan pesanan kepadanya untuk dipanggil pada pukul 6.15 pagi. Seterusnya, beliau tidak lagi kelihatan. 10 hari kemudian, kru bot Belanda "Coertsen" terserempak dengan mayat seorang lelaki yang terapung di atas laut. Mayat tersebut telah lama reput sehinggakan mereka tidak dapat membawanya ke darat. Sebaliknya, kru bot berkenaan membawa barangan peribadi daripada pakaian mayat tersebut, dan mengembalikan mayat itu ke dalam laut. Pada 13 Oktober barangan tersebut dikenalpasti oleh anak lelaki Rudolf, Eugen Diesel, sebagai kepunyaan bapanya.

Tiada siapa pun yang pasti bagaimana dan mengapa Diesel boleh hilang dari kapal. Grosser (1978) mengatakan kemungkinan kes bunuh diri. Terdapat teori konspirasi yang mengatakan terdapat kepentingan bisnes pihak tertentu yang mungkin menyediakan motif pembunuhan. Walau bagaimanapun, kesemuanya masih gagal dibuktikan sehingga kini.[2]

Legasi[sunting | sunting sumber]

Rudolf Diesel
(1858-1913)

Selepas kematian Diesel, enjin diesel mengalami banyak perkembangan, serta menjadi pengganti yang sangat penting bagi enjin wap bagi kebanyakan aplikasi. Oleh kerana enjin diesel memerlukan pembinaan yang lebih berat dan lebih kukuh daripada enjin petrol, ia tidak banyak digunakan di dalam penerbangan. Walau bagaimanapun, enjin diesel digunakan secara meluas dalam kebanyakan aplikasi lain, seperti enjin pegun, kapal selam, kapal, dan lama kemudian, lokomotif kereta api, lori, bas, dan kereta moden. Enjin diesel banyak digunakan dalam aplikasi yang memerlukan kilasan yang tinggi tetapi kelajuan enjin yang rendah. Disebabkan binaannya yang kukuh serta kilasannya yang tinggi, enjin diesel menjadi enjin utama yang digunakan dalam industri pengangkutan lori. Baru-baru ini, enjin diesel yang mengatasi masalah berat sudah pun direka, disahkan, serta digunakan dalam kapal terbang ringan. Enjin tersebut direka untuk menggunakan sama ada bahan api diesel ataupun bahan api jet.

Enjin diesel mempunyai kelebihan dapat bergerak dengan kecekapan bahan api yang lebih baik daripada enjin petrol. Diesel terutamanya berminat menggunakan habuk arang batu atau minyak sayuran sebagai bahan api, malah enjinnya sendiri menggunakan minyak kacang tanah. Walaupun bahan api sedemikian tidak begitu popular, kenaikan harga minyak, ditambah pula dengan kerisauan mengenai rizab minyak, membawa kepada penggunaan minyak sayuran dan biodiesel. Punca utama kepada bahan api utama bagi enjin ini dikenali sebagai minyak diesel, hasil sampingan minyak yang diperolehi daripada penapisan petroleum.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Herring, Peter.; Ultimate Train, 2000, Dorling Kindersley, London, ISBN 0 7513 0698 3 , p 148.
  2. ^ http://www.vegoil.us/DieselMystery.htm
  • Cummins, C. Lyle, Jr. (1993), Diesel's Engine: Volume 1: From Conception To 1918, Wilsonville, OR, USA: Carnot Press, ISBN 978-0-917308-03-1 Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan). (C. Lyle Cummins, Jr. was the son of Clessie Cummins, founder of the Cummins Company).
  • Grosser, Morton (1978), Diesel: The Man and the Engine, New York: Atheneum, ISBN 978-0-689-30652-5; Templat:LCCN Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan).
  • Moon, John F. (1974), Rudolf Diesel and the Diesel Engine, London: Priory Press, ISBN 978-0-85078-130-4; Templat:LCCN Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan).

Pautan luar[sunting | sunting sumber]