Rusuhan Kuala Terengganu 2007

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Rusuhan Kuala Terengganu terjadi di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia pada 9 September 2007, jam 9.00 malam. Sepatutnya ceramah disampaikan oleh Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim; Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Anggota Dewan Undangan Negeri Triang, Pahang, Leong Ngah Ngah dari DAP.

Kira-kira 750 orang dipercayai pengikut parti PAS dan Keadilan mahu mendengar ceramah tetapi ceramah itu tidak mendapat permit ceramah dari Balai Polis Kuala Terengganu. Berikutan itu mereka merusuh dan menyerang polis PDRM dan FRU selepas diarahkan bersurai.

Rentetan peristiwa[sunting | sunting sumber]

Walaupun tanpa permit, 250 orang masih berkumpul di padang belakang Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin dan 500 orang di hadapan Hotel Permai Inn.Polis terpaksa mengadakan sekatan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Batu Buruk dan jalan ke Jalan Sultan Mahmud. Sebuah bas di Jalan Temasya, Batu Buruk turut ditahan sehingga menimbulkan kekecohan.

Kumpulan terbabit membaling batu, kayu, besi dan botol menyebabkan 7 orang termasuk 4 anggota keselamatan cedera. Ada perusuh membaling bom api sehingga merosakkan kenderaan dan harta awam bernilai RM1 juta. Seorang koperal terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk mempertahankan diri setelah dipukul oleh 20 lelaki berhampiran Hotel Permai Inn . Dua perusuh turut cedera.

350 polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditugaskan bagi menenangkan keadaan. Gas pemedih mata dan tembakan meriam air turut digunakan .Jam 2.00 keadaan kembali reda. Polis dari Kuala Terengganu diketuai Datuk Ayub Yaakub telah menahan reman 23 orang , lingkungan 20-an dan 30-an.Dua perusuh terkena tembakan berusia 21 dan 38 tahun dan dirawat di Hospital Sultanan Nur Zahirah .

Rusuhan ini dianggap terburuk selepas gerakan reformasi ekoran pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 . Polis menolak permohonan permit mengadakan ceramah kerana lokasi berhampiran dengan kawasan perumahan pegawai kerajaan dan istana. Tempat itu sempit . Lebih baik lokasi dipindahkan ke Rusila di Marang. Wakil penganjur tidak hadir ke Balai Polis Terengganu untuk berbincang sehingga 6.00 petang.

Membakar bendera Jalur Gemilang[sunting | sunting sumber]

Polis Kuala Terengganu telah menyiarkan gambar 3 orang yang terlibat dengan pembakaran bendera jalur gemilang pada malam rusuhan tersebut. Siasatan ini dibawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967. Sehingga 1 Oktober 2007, seramai 21 daripada 46 individu yang dicari dan gambar mereka disiarkan di media massa telah melapor diri ke balai polis berhubung pembakaran jalur gemilang, merosakkan harta benda awam dan rusuhan di Batu Buruk dan di Jalan Sultan Mahmud. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis.Turut menyerah diri ialah pelajar tingkatan 4 sekolah menengah agama swasta di Binjai Bongkok, Marang. Seorang lagi pelajar tingkatan 3 sekolah menengah Pasir Panjang , Kuala Terengganu. Seorang peniaga dari Kampung Padang Luar, Kuala Ibai , Terengganu telah direman sehingga 4 Oktober 2007.[1]

Tuduhan mencederakan polis[sunting | sunting sumber]

Suwandi Ab Ghani(38) dan Muhammad Azman Aziz(21) didakwa di mahkamah pada 9 Disember 2007 kerana mencederakan polis semasa rusuhan di Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 8 September 2007, hanya setelah 3 bulan berlalu dan perhimpunan Hindraf berlaku. Dakwaan di mahkamah ini dikira terlalu lewat.

Polis yang ditugaskan menyuraikan rusuhan telah melepaskan peluru hidup bagi menyelamatkan diri dari dikejar. Suwandi dan Azman terkena tembakan dan mereka dirawat di Hospital Kuala Terengganu dan pembedahan di HUSM Kubang Kerian. Rusuhan itu menyebabkan seorang polis yang bertugas malam itu cedera parah iaitu Wan Aziz Wan Omar (RF143706)setelah dibelasah hingga jatuh ke tanah.[2]

Mereka didakwa di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 333 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara untuk tempoh lima tahun atau denda. Suwandi dan Azman dituduh bersama 18 orang yang lain pada 8 September 2007 , jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.[3] Kedua-dua mereka telah ditahan di Penjara Terbuka Marang selepas sembuh dari kecederaan.Kemudian laporan polis telah dibuat kerana pihak Ketua Pengarah Penjara telah memukul Azman semasa dalam tahanan.

Pada 31 Disember 2007, Hakim Hassan Abdul Ghani di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu tidak membenarkan mereka diikat jamin. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengendalikan sendiri kes tersebut telah memohon perbicaraan kes itu ditangguhkan dan perbicaraan itu digabungkan .Bekas Ketua Hakim Negara ,Tun Mohd Salleh Abas bersama Dato Wan Abdul Muttalib Embong dan Mohamad Hanipa Maidin bertindak sebagai peguambela.[4]

Lebih 1000 pwnyokong PAS hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu termasuk Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Dato' Abu Bakar Chik dan Ariffin Deraman, Naib Presiden dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub.

Siasatan awam Suhakam[sunting | sunting sumber]

Mesyuarat Suhakam ke-93 pada 12 November 2007 melantik 3 pesuruhjaya menyiasat insiden itu. [5] Ekoran dakwaan di mahkamah pada 9 Disember 2007, pada 13 Disember 2007, Dato' Muhammad Shafee Abdullah selaku pengerusi panel penyiasatan Suhakam membatalkan proses siasatan awam Suhakam. Semua sapina dari Suhakam turut dibatalkan kerana Suhakam tidak mahu mengganggu prosiding mahkamah.

Azman dan Suwandi tidak bersalah[sunting | sunting sumber]

Pada 4 Jun 2012, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu membebas dan melepaskan mangsa tragedi tembakan polis di Batu Burok iaitu Muhammad Azman Aziz, 26, dan Suwandi Ab. Ghani, 43. Mereka berdua dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah setelah pihak peguam belanya berjaya mewujudkan keraguan dalam perbicaraan tersebut. Mereka dituduh merusuh pada 8 September 2007. dan dua lagi tertuduh di bawah Sesyen 27(5)(a) Akta Polis iaitu Hisham Aziz@Abdul, 43, dan A.Rahman Abdullah, 67, turut dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. Mereka diwakili Tetuan Aziz & Co. Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Mohammad Khalid Haji Ab. Karim kes itu. Mahkamah juga membebaskan Hisham Aziz@Abdul dan A.Rahman Abdullah yang dituduh di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis.

Suwandi dan Azman dituduh bersama 18 orang yang lain pada 8 September 2007, jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang. Polis semasa perhimpunan , Wan Aziz Wan Omar (RF143706) telah melepaskan tembakan peluru hidup hingga hampir meragut nyawa Suwandi dan Azman. Seramai 350 anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditugaskan bagi mengawal keadaan dengan melepaskan gas pemedih mata serta tembakan meriam air terhadap orang awam. Ketua Polis Terengganu ketika itu, Datuk Ayub Yaakob telah menahan reman seramai 23 orang yang terlibat dengan insiden berkenaan. Azman dan Suwandi dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan pembedahan bagi mengeluarkan peluru hidup dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Rujukan luar[sunting | sunting sumber]