Rusuhan Masjid Ubudiah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Rusuhan Masjid Ubudiah di Bukit Chandan kira-kira 2 km dari bandar diraja Kuala Kangsar, Perak berlaku pada 6 Februari 2009. Lebih 5,000 orang Melayu dipercayai daripada Pakatan Rakyat (PKR) berkumpul di sana bagi menyatakan perasaan tidak setuju terhadap Sultan Perak yang dianggap menyebelahi Barisan Nasional (BN). Jam 3 petang selepas sembahyang Jumaat, majlis angkat sumpah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak di balai rong Istana Iskandariah.

Kronologi[sunting | sunting sumber]

Pada 5 Februari 2009, Sultan Azlan Shah menemu bual sendiri dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dan seorang ADUN Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mengiytiharkan diri menjadi ADUN Bebas. Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa dua kali berulang alik ke Istana Kinta untuk mendapatkan perkenan Sultan untuk menjayakan kerajaan baharu Barisan Nasional di Perak. Antara yang bersemuka dan menyatakan pengesahan di hadapan Sultan ialah Hee Yit Fong, Jamaluddin Mohd Radzi (PKR) dan Mohd Osman Mohd Jailu dan 27 orang ADUN UMNO dan seorang ADUN Persatuan Cina Malaysia (MCA).

Pada 10.30 pagi 6 Februari, Mohammad Nizar Jamaluddin mendapati bilik Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Jalan Panglima Bukit Gantang, Ipoh dikosongkan tanpa notis. Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak Datuk Abdul Rahman Hashim turut mengarahkan wartawan keluar dari sidang akhbar spontan yang hendak diberikan oleh Mohammad Nizar. Beliau dibenarkan masuk untuk mengambil barang persendirian sahaja dan bukan mengadakan sidang media. Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias turut mengarahkan mereka meninggalkan premis.[1]

Pada 12.00 tengah hari, Mohammad Nizar bergerak ke Masjid Ubudiah untuk sembahyang Jumaat. 50 orang anggota polis bersama lima buah trak polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di Bukit Chandan.[2]

Radio 24 Bernama melaporkan rusuhan penyokong Pakatan Rakyat diadakan di luar masjid bermula jam 3.00 petang. Ketua Polis Kuala Kangsar tidak membenarkan perarakan ke istana iaitu kira-kira 1 km dari Istana Iskandariah. Akibatnya, polis dijergah dan dibaling batu. Mereka membawa pelbagai sepanduk merayu Sultan Perak agar tidak meneruskan majlis pelantikan menteri besar yang baharu menggantikan Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin. Bilangan anggota polis dan FRU tidak mencukupi untuk mengawal kawasan yang luas dan orang ramai yang menyokong dan memerhati. Perusuh yang berjubah dan kerketayap putih mengadakan sekatan jalan raya agar majlis itu ditangguhkan sahaja. Lebih 10 orang berbaring di tengah jalan raya dan memegang bendera Palestin bagi menyekat kereta peronda polis yang mengiringi kereta Raja Muda Perak.

FRU terpaksa melepaskan lebih 20 biji tin gas pemedih mata agar orang ramai bersurai serta-merta dan tidak berhimpun lagi di Masjid Ubudiah dan di jalan raya. Jemaah masjid yang tidak terlibat turut terkena gas pemedih mata. Lebih 10 orang diheret ke trak polis. Wartawan Shahrul Aini Shahran daripada BERNAMA yang berada 200 meter dari masjid itu juga pedih-pedih mata. Orang ramai bertempiaran lari ke pelbagai arah untuk mengelak daripada ditangkap polis yang mengejar mereka.[3]

Puluhan kereta yang tersekat akhirnya bergerak semula. Cermin kereta rasmi Raja Nazrin Shah telah pecah mungkin akibat dibaling batu atau diketuk dengan benda keras. Akibatnya, Raja Nazrin terlewat menghadiri majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah melaporkan 10 orang lelaki berusia 22 hingga 55 tahun ditahan dan didakwa melakukan rusuhan bersenjata di Kuala Kangsar. Antaranya ialah seorang warga Indonesia.[4] Naib pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, setiausaha agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Kamaruddin Jaffar turut berada di tempat kejadian. Seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Perak, Khalilul Rahman Abdul Samad, menaiki lori FRU dan berucap kepada baki 1000 orang penyokong Pakatan Rakyat menyatakan mesej telah disampaikan ke seluruh dunia.

Antara yang ditangkap untuk diambil keterangan ialah Yusuf Jaafar, Muhammad Faiz Muhammad Arshad, Muhammad Ismail SM A. Kadir, Pat Latif Mansur, Isha Riduan Ishak, Idris Muhammad Amin, Adi Helmy Muhammad Nasir, Meor Safizal Meor Muhammad Amin dan Zulhaizam Zulkifli. Pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Misbahul Munir Masduki, Norazli Musa, M. Kulasegaran dan beberapa orang peguam berada di Balai Polis Kuala Kangsar.[5]

Fenomena ini dianggap menderhaka terhadap Sultan Perak yang telah menitahkan supaya Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan serta-merta atau secara automatik dikosongkan.[6][7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]