S. Vijayaratnam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

S. Vijayaratnam
Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia
Butiran peribadi
Lahir12 Jun 1950
Seremban, Negeri Sembilan, Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia)
Meninggal dunia3 November 2008 (umur 58)
Seremban, Negeri Sembilan
PasanganDatin Anucia Tharumaratnam
Anak-anakAshta, Ayra, Seeralan dan Ahalya
HubunganS. Seeveratnam (bapa), Vejayaletchumy Seeveratnam (ibu) & S. Jothiratnam (adik)
ProfesionDoktor perubatan

Datuk Dr. S. Vijayaratnam (12 Jun 1950 - 3 November 2008) merupakan doktor dan ahli politik Malaysia berbangsa India (Tamil). Beliau merupakan Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan merupakan pemimpin bukan Cina tertinggi dalam parti Gerakan. Beliau memang berasal dari keluarga politik. Bapanya adalah Ahli Parlimen Seremban Barat manakala mendiang pakciknya, S. Rajaratnam merupakan Menteri Luar Singapura. Pada 3 November 2008, beliau mati akibat jatuh dari bumbung klinik beliau di Seremban.[1]

Kehidupan dan pendidikan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada 12 Jun 1950 di Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Pada tahun 1965 beliau mendapat pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah St. Paul, Seremban. Kemudian, beliau melanjutkan pelajarannya di St. Andrew's School, Singapura pada tahun 1967 dan seterusnya pada tahun 1973 di University of Agra di dalam bidang kedoktoran (MBBS).

Beliau berkahwin dengan Datin Anucia Tharumaratnam dan dikurniakan empat orang anak iaitu Ashta, Ayra, Seeralan dan Ahlya. Abangnya Jothiratnam merupakan seorang pensyarah sambilan.[2]

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Di dalam Parti Gerakan[sunting | sunting sumber]

Beliau menceburi bidang politik dan memegang jawatan pengerusi Sungai Ujong, Negeri Sembilan dan kemudiannya memegang Naib Pengerusi Negeri Sembilan. Selepas itu beliau dilantik menjadi Pengerusi Biro Hal-Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Etnik Parti Gerakan. Akhirnya beliau mendapat sokongan untuk menjawat jawatan Naib Presiden Parti Gerakan pada 1999.

Vijayaratnam merupakan pemimpin bukan Cina tertinggi dalam parti Gerakan. Beliau berjaya mengekalkan jawatan naib presiden bagi penggal kedua pada 11 Oktober 2008. Vijayaratnam mendapat 678 undi – kedua tertinggi selepas bekas ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong (1,153 undi) dan bekas ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Huan Cheng Guan (568).

Di dalam kerajaan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1997 hingga 1999, beliau menjadi Kaunselor di dalam Majlis Perbandaran Seremban. Kemudian beliau dilantik menjadi Senator pada tahun 2002. Seterusnya pada tahun 2006, beliau menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi. beliau juga merupakan ahli Majlis Perundingan Ekonomi Malaysia Kedua (Mapen II).

Di dalam badan sosial dan profesional[sunting | sunting sumber]

beliau pernah menjadi naib presiden Persatuan Kriket Negeri Sembilan (1987-1989) dan Setiausaha Persatuan Perubatan Malaysia cawangan Seremban pada 1996. Vijayaratnam dianugerahi bintang kebesaran Dato Setia Negeri Sembilan (DSNS), yang membawa gelaran Datuk oleh kerajaan Negeri Sembilan pada 2000.

Pada tahun 1999, beliau menerima anugerah Fellow Royal Society of Health, London dan Honorary Fellow of the Indian College of General Practitioners, New Delhi. Kemudian pada tahun 2007, beliau menerima Fellow of Faculty of Occupational Medicine, Royal College of Physicians, Ireland.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Pada 3 November 2008, Dr S. Vijayaratnam jatuh dari bumbung bangunan tiga tingkat 'Vijay Mahal' miliknya di Jalan Tengku Hassan, Seremban, Negeri Sembilan pada kira-kira jam 11.30 pagi. Ketika itu, beliau dipercayai sedang bekerja di klinik beliau, dan pada masa itu beliau sedang memeriksa kawasan atap bangunan Vijaya Mahal. Jasad beliau telah ditemui oleh pemandunya dan mati akibat kecederaan kepada kepalanya.

Kematian ini dikategorikan sebagai kematian mengejut. Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk bedah siasat. Polis tidak menemui sebarang nota pada badan mangsa atau di tempat kejadian. Sebelum ini ada yang nampak Vijayaratnam terjun dari bumbung tingkat 3. Mayatnya tertiarap di tepi bangunan dengan kecederaan parah di kepala dan badan. Vijayaratnam pernah diserang sakit jantung.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]