Pergi ke kandungan

Sadmatra daktilik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
δάχτυλος dakhtylos adalah panjang satu "ruas" sebatang jari membahagikan sesepatah kata dalam serangkap sajak.

Sadmatra daktilik, sadmatra wira atau matra epik (bahasa Inggeris: Dactylic hexameter; Jawi: سدمترا داکتيليک؛ سدمترا ويرا؛ مترا ايڤيک) ialah sejenis matra atau pola ritma yang sering digunakan dalam puisi Yunani dan Latin Kuno. Skema sadmatra biasanya seperti berikut (tanda – untuk suku kata panjang, u untuk suku kata pendek, dan u u untuk posisi yang boleh jadi satu suku kata panjang atau dua pendek):

| – uu | – uu | – uu | – uu | – uu | – –

Di sini, "|" (simbol paip) menandakan bermulanya satu pada (ruas) dalam baris. Kesemuanya ada enam pada, setiap satunya boleh jadi beruas (dakhtylos: – u u) atau sponde (– –). Empat pada pertama boleh jadi daktil, spondi ataupun campuran. Pada kelima juga kadang-kadang boleh menjadi spondi tetapi ini jarang digunakan, kerana paling kerap ia adalah daktil. Pada terakhir ialah spondi.

Sadmatra secara tradisinya dikaitkan dengan puisi epik klasik dalam kedua-dua bahasa Yunani dan Bahasa Latin. Disebabkan itu, ia dianggap sebagai gaya ulung puisi klasik Barat. Beberapa contoh terkenal penggunaannya ialah Ilias dan Odýsseia karya Homeros, Argonautika oleh Apollonios dari Rodos, Aeneis karya Vergilius, Metamorphoses karya Ovidius, Pharsalia karya Lucanus (epik tentang perang saudara Caesar), Argonautica Valerius Flaccus, dan Thebaid karya Statius.

Walau bagaimanapun, sadmatra banyak digunakan di luar karya-karya epik. Karya Yunani bersadmatra termasuk Kerja-Kerja dan Hari-Hari dan Theogonia oleh Hesiodos, Idylls Theocritos, dan lagu-lagu pujian Kallimakhos. Dalam Latin, karya terkenal termasuk De rerum natura oleh Lucretius, Eclogues dan Georgics Virgilius, buku 10 manual Columella tentang pertanian, serta puisi satira Latin oleh penyair Lucilius, Horatius, Persius dan Juvenalis. Sadmatra terus digunakan pada zaman Kristian, contohnya dalam Carmen paschale oleh penyair Ireland abad ke-5 Sedulius dan satira Bernard dari Cluny dari abad ke-12 berjudul De contemptu mundi, antara ramai lagi.

Sadmatra juga digunakan dalam puisi-puisi elegi kedua-dua bahasa tadi, yang mana kuplet elegi mengandungi baris sadmatra daktilik yang digandingkan dengan garis pancamatra daktilik. Puisi bentuk ini digunakan dalam puisi-puisi cinta oleh Propertius, Tibullus dan Ovidius, dalam surat-surat Ovidius dari buangan, dan dalam kebanyakan epigram Martialus.