Saga Artakusiad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Halaman ini adalah halaman asas untuk buku-buku dalam siri Saga Artakusiad yang diterbitkan sejak tahun 1987 sehingga 2012, merangkumi siri pertama hingga ke lapan.

Siri Saga Artakusiad merupakan sebuah karya fantasi tersohor di Malaysia, hasil tulisan Ahmad Patria Abdullah. Ia mengisahkan pengembaraan Artakus menentang penaklukan Morrok ke atas Aurora. Ia bukan sahaja sebuah cerita namun di dalamnya terkandung keindahan bahasa yang tidak ternilai harganya. Semangat perjuangan meneruskan kehidupan yang dipaparkan daripada pergolakan serta prinsip kehidupan yang memperjuangkan sebuah kebenaran.

Sejarah Penulisan[sunting | sunting sumber]

Ahmad Patria Abdullah memulakan penulisan siri ini dengan novel Permata Aurorius pada tahun 1987 ketika berusia 17 tahun. Manuskrip novel ini sebenarnya sudah pun dilontarkan ke dalam bakul sampah, namun ayahandanya, Sasterawan Negara Abdullah Hussain mengutip lalu mengusulkan agar dihantar kepada penerbit. Permata Aurorius akhirnya diangkat menjadi Book of the Year - 1987 bagi kategori Penulis Harapan.

Bermula pada tahun 1987 hinggalah ke 1991, di bawah penerbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Saga Artakusiad berkembang menjadi 6 siri fantasi yang hebat. Menyusul Permata Aurorius ialah Kota Arialun, kemudian Kembar Artakus, Petua Azkram, Puteri Alindalia dan Pedang Aurora. Namun penceritaan yang tergantung tanpa kesudahan tentang Artakus dan Aurora membenihkan ribuan tanda soal ke dalam jiwa pembaca. Benih-benih tanda soal kemudian mula tumbuh dan merimbun apabila Ahmad Patria menyepikan diri daripada bidang penulisan.

Hanya pada 2003, usaha mencari Ahmad Patria dimulakan oleh sekumpulan peminat siri ini yang menginginkan sambungannya. Usaha mereka berhasil dan Ahmad Patria berjaya ditemukan, namun memujuknya supaya menulis semula bukanlah satu hal yang mudah. Rindu mereka pada Artakus dan Aurora akhirnya terubat apabila Ahmad Patria bersetuju menyambung siri Saga Artakusiad. Pada 2004, setelah 13 tahun Saga Artakusiad terhenti, siri ketujuhnya berjudul Legenda Numerius dilancarkan penuh gemilang di KLCC sempena International Book Fair 2004. Legenda Numerius adalah cetakan terhad, terbitan Ahmad Patria sendiri.

Selepas Legenda Numerius, Ahmad Patria memulakan penulisan untuk siri kelapan. Namun proses penulisannya mengambil masa yang lama kerana tanggungjawab kepada tugas dan keluarga yang perlu diberi keutamaan. Pada April 2012, siri kelapan, juga terbitan sendiri berjudul Cabaran Lodra mula menemui pembaca. Cabaran Lodra hanya dijual oleh penjual rasmi yang dilantik Ahmad Patria secara online seperti di Gapuraloka dan Elairabookcafe.

Buku-buku di dalam siri Saga Artakusiad (1987-2012)[sunting | sunting sumber]

Buku 1 hingga 8 Saga Artakusiad *Barisan atas adalah cetakan kedua/ketiga
Judul Tahun Cetakan Pertama Terbitan
Permata Aurorius[1] 1987 DBP
Kota Arialun[2] 1987 DBP
Kembar Artakus[3] 1988 DBP
Petua Azkram 1991 DBP
Puteri Alindalia[4] 1991 DBP
Pedang Aurora[5] 1991 DBP
Legenda Numerius 2004 Ahmad Patria
Cabaran Lodra[6] 2012 Ahmad Patria
Seru Katanaga[7] Ahmad Patria

Peta Dunia Aurora[sunting | sunting sumber]

Aurora map2.jpg


Aurora, salah sebuah negeri di benua Imagina, merupakan dunia fantasi yang penuh mistik dan magis. Ia menjadi tunjang dan latar belakang kisah Saga Artakusiad. Selain bangsa Aurora yang terdiri daripada lima kelana - Armorikus, Argida, Jegadai, Inkatus dan Jendai[8], Aurora turut menjadi tempat hunian makhluk-makhluk mistik seperti naga, jembalang, jin, juga entiti-entiti daripada cahaya dan kegelapan.

Aurora dikelilingi oleh Empayar Morrok yang berada di sebelah barat, laut di sebelah timur, padang pasir di bahagian selatan dan negeri kaum Kirkos di bahagian utara. [9]

Aurora juga menjadi 'lokasi' bagi novel Bunga Arianur (terbitan Fajar Bakti) dan siri animasi TV, Karmawizra. Kedua-duanya merupakan karya Ahmad Patria.

Watak-watak[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan penerangan terkini dalam Cabaran Lodra

Alindalia - Wakil golongan Arasis, juga dikenali sebagai widana Arasis.
Artakus - Kesatria dan pahlawan Aurora.
Atinius - Wazir atau ketua kelana Armorikus.
Azkram - Karmawizra terakhir.
Belakios - Kesatria Inkatus dan sahabat Artakus.
Darumir - Wazir atau ketua kelana Jegadai.
Esis - Kesatria Armorikus dan sahabat Artakus.
Herakos - Ketua golongan Draha.
Hunkrakar - Lodra Ahmar atau ketua bagi naga hitam.
Iotan - Wazir atau ketua kelana Argida.
Jenusis - Wazir atau ketua kelana Inkatus.
Jundak - Odetakhun atau pahlawan Morrok yang paling handal, memimpin Legion Tiga, Naga Deru.
Karum - Lodra Ahmar atau ketua naga merah.
Laira - Gadis jelita daripada kelana Armorikus yang menambat hati Artakus.
Merkia - Ketua golongan Arasis.
Naktai - Anak saudara Iotan, pewaris jawatan wazir kelana Argida.
Nazril - Seorang karmawizra yang bertanggungjawab terhadap kebangkitan Artakus sebagai pemimpin dan panglima Aurora.
Olafhul - Kesatria Armorikus dan sahabat Artakus.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Permata Aurorius – ISBN 978-983-62-1580-2. Cetakan Pertama 1987. Cetakan Kedua 2010. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. ^ Kota Arialun – ISBN 978-983-62-0032-7. Cetakan Pertama 1988. Cetakan Kedua 2010. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. ^ Kembar Artakus – ISBN 978-983-62-0260-4. Cetakan Pertama 1988. Cetakan Kedua 1993. Cetakan Ketiga 2010. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
  4. ^ Puteri Alindalia - ISBN 978-983-62-2038-7. Cetakan Pertama 1991. Cetakan Kedua 2010. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
  5. ^ Pedang Aurora - ISBN 978-983-62-2039-4. Cetakan Pertama 1991. Cetakan Kedua 2010. Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
  6. ^ Cabaran Lodra – Cetakan Pertama 2012. Terbitan Ahmad Patria Abdullah.
  7. ^ Seru Katanaga – bakal terbit. Terbitan Ahmad Patria Abdullah.
  8. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan Kedua 2010. pp 13.
  9. ^ Ahmad Patria Abdullah. Permata Aurorius. Cetakan Kedua 2010. pp 6-7.