Abu Bakar as-Siddiq

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Saidina Abu Bakar)
Rupa khat nama Abu Bakar yang menghiasi Aya Sophia.

Abu Bakar al-Siddiq (Arab: أبو بكر الصديق, rumi: Abū Bakr al-Siddīq) ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634 masihi bersamaan 11 hijrah - 13 hijrah. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiakan unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (Yang membenarkan).[1] Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Uthman bin Amir bin Amru[2].

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali dan jurai salasilahnya adalah termasuk dalam Bani Taim iaitu sub keturunan dari Arab Quraisy. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 masihi bersamaan tahun 14 kenabian, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani oleh orang lain. Rasulullah S.A.W mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Pernah menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah. Beliau juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam. Beliau seorang yang jujur, berbudi pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang terpuji. Dilahirkan 2 tahun selepas kelahiran Rasulullah S.A.W.

Beliau mendapat gelaran as-Siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah S.A.W. Peristiwa yang membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa Isra dan Mi'raj yang telah dialami oleh Rasulullah S.A.W. Apabila orang ramai mengatakan baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu. Selain daripada gelaran as-Siddiq, beliau juga mendapat gelaran al-Atiq ada dua riwayat. Riwayat pertama mengatakan ketika zaman Jahiliyah. Dan riwayat yang kedua mengatakan setelah Islam dan yang memberinya ialah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri.

Dalam riwayat Jahiliyah pula ada dua cerita. Cerita pertama mengatakan Abu Bakar as-Siddiq digelar al-Atiq kerana beliau sangat kacak dan tampan. Perkataan al-Atiq berasal dari kalimah Ataqa yang bererti 'segala yang baik'.

Cerita kedua mengatakan berasal dari kata-kata Itqu yeng bererti Yang Membebaskan. Ini adalah kerana Abu Bakar as-siddiq sejak melahirkan anak-anak lelaki sebelum Abu Bakar as-siddiq, semuanya meninggal dunia sejak kecil lagi. Ketika melahirkan Abu Bakar as-siddiq, ibunya membawa ke Ka'bah dan berdoa

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku ini adalah anak yang engkau bebaskan daripada Api Neraka, maka berikanlah dia kepadaku..."

Manakala riwayat dalam Islam pula ialah beliau dikatakan mendapat al-Atiq kerana diberi oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya. Diriwayatkan Rasulullah s.a.w. pernah berkata kepada para sahabat baginda[3];

"Barangsiapa yang mahu melihat kepada orang yang dibebaskan (al-Atiq) daripada api neraka, maka lihatlah kepada Abu Bakar..."

Menjadi khalifah pertama[sunting | sunting sumber]

Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah bai'ah (perbincangan) iaitu bai'ah Syura', yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali bin Abu Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar.Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaihkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membaihkan Saidina Abu Bakar selepas enam bulan. [4]

Jalaluddin al-Suyuti dalam karyanya al-Khulafa al-Rashidun ('Khalifah al-Rashyidun') menyatakan bahawa semasa perjumpaan Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar orang Islam Ansar di rumah Sa'd ibn Ubadah selepas kewafatan Nabi Muhammad (SAW), Sayidina Abu Bakar pada mulanya mencadang dua calon sebagai Khalifah, yakni Sayidina Umar dan seorang Sahabat lain, Abu Ubaidah ibn al-Jarrah. Perbincangan menjadi hangat sehinggalah Sayidina Umar menyuruh Sayidina Abu Bakar menghulurkan tangannya lalu Sayidina Umar mengambil tangan Sayidina Abu Bakar dan memberi bai'ah kepadanya. Tindakan Sayidina Umar diikuti Muhajirin dan Ansar. Selepas mendapat bai'ah, Sayidina Abu Bakar mencari az-Zubair dan Sayidina Ali yang tiada di pertemuan itu. Kedua-dua mereka dipanggil dan memberi bai'ah kepada Sayidina Abu Bakar apabila mereka tiba.[5]

Peperangan Islam-Riddah[sunting | sunting sumber]

Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka. Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w. dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.

Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah al-Kazzab. Namun Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam pertempuran.[6]

Ekspedisi ke Utara[sunting | sunting sumber]

Selepas berjaya mengurangkan golongan riddah, Saidina Abu Bakar menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan Semenanjung Arab dan bukannya di utara.

Pengumpulan al-Quran[sunting | sunting sumber]

Menurut ahli sejarah Islam, selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai pengafaz al-Quran syahid. Saidina Umar Al-Khattab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran[7]. Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan dengan membukukan al-Quran, iaitu mushaf Uthmani, semasa beliau menjadi khalifah.

Kewafatan Saidina Abu Bakar[sunting | sunting sumber]

Saidina Abu Bakar wafat pada tahun 13 hijrah ketika berusia 63 tahun di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Saidina Abu Bakar wafat kerana jatuh sakit beberapa hari sebelum wafat kerana cuaca yang terlampau sejuk. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Saidina Umar Al-Khatab sebagai khalifah yang baru

Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.

Sumbangan Saidina Abu Bakar[sunting | sunting sumber]

Saidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada diantaranya murtad, tidak mahu membayar zakat dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam[8].

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Hassan, Abdul Rauf et al. (2015). Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Arab/Bahasa Arab-Bahasa Melayu Edisi Ketiga. Oxford Fajar. Shah Alam: Vivar Printing Sdn. Bhd. ISBN 978-983-47-1561-8. hlm. 338.
  2. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-08-25. Dicapai pada 2010-03-08.
  3. ^ Kitab Khulafa' Ar-Rasyidin Pertama 11-13 Hijrah (633-635 M) Abu Bakar As-Siddiq Memerangi Kaum Murtad. Penyusun Tarikuddin Bin Haji Hassan, 2006 (Kulit keras)
  4. ^ Islamic Hadith, By Simon Abram
  5. ^ Jalaludin al-Suyuti, al-Khulafa al-Rashidun, terjemahan sebagai The History of the Khalifahs who took the right way oleh Abdassamad Clarke, 3rd revised edition, Ta-Ha Publishers Limited, 1995 ms 51—56 ISBN 9781842000977 (Kulit lembut)
  6. ^ http://surautaalim.blogspot.com/2010/02/kisah-perang-dan-perjuangan-para.html
  7. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-02-14. Dicapai pada 2010-03-08.
  8. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-09-17. Dicapai pada 2010-03-08.
Didahului oleh
Nabi Muhammad s.a.w.
Khalifah
Khulafa al-Rasyidin
(632634)
Diikuti oleh:
Umar Al-Khattab