Saitō Makoto
Saitō Makoto | |
|---|---|
斎藤 実 | |
| Perdana Menteri Jepun | |
| Dalam jawatan 26 Mei 1932 – 8 Julai 1934 | |
| Raja | Hirohito |
| Didahului oleh | Inukai Tsuyoshi Takahashi Korekiyo (pemangku) |
| Digantikan oleh | Keisuke Okada |
| Penyimpan Mohor Diraja | |
| Dalam jawatan 26 Februari 1935 – 26 Februari 1936 | |
| Raja | Hirohito |
| Didahului oleh | Makino Nobuaki |
| Digantikan oleh | Ichiki Kitokurō |
| Pemangku Menteri Pendidikan | |
| Dalam jawatan 3 Mac 1934 – 8 Julai 1934 | |
| Perdana Menteri | Beliau |
| Didahului oleh | Ichirō Hatoyama |
| Digantikan oleh | Genji Matsuda |
| Menteri Luar Negeri | |
| Dalam jawatan 26 Mei 1932 – 6 Julai 1932 | |
| Perdana Menteri | Beliau |
| Didahului oleh | Kenkichi Yoshizawa |
| Digantikan oleh | Uchida Kōsai |
| Gabenor Jeneral Korea | |
| Dalam jawatan 17 Ogos 1929 – 17 Jun 1931 | |
| Raja | Hirohito |
| Didahului oleh | Yamanashi Hanzō |
| Digantikan oleh | Kazushige Ugaki |
| Dalam jawatan 12 Ogos 1919 – 14 April 1927 | |
| Raja | Taishō Hirohito |
| Didahului oleh | Hasegawa Yoshimichi |
| Digantikan oleh | Kazushige Ugaki (pemangku) |
| Menteri Tentera Laut | |
| Dalam jawatan 7 Januari 1906 – 16 April 1914 | |
| Perdana Menteri | Saionji Kinmochi Katsura Tarō Yamamoto Gonnohyōe |
| Didahului oleh | Yamamoto Gonnohyōe |
| Digantikan oleh | Yashiro Rokurō |
| Maklumat peribadi | |
| Lahir | 27 Oktober 1858 Domain Mizusawa, Wilayah Mutsu, Jepun |
| Meninggal dunia | 26 Februari 1936 (umur 77) Yotsuya, Tokyo, Jepun |
| Parti politik | Bebas |
| Pasangan | Saitō Haruko (k. 1892) |
| Saudara | Nire Kagenori (bapa mentua) |
| Tempat belajar | Akademi Tentera Laut Imperial Jepun |
| Anugerah awam | Darjah Bunga Kekwa Darjah Bath (Honorary Knight Grand Cross) |
| Tandatangan | |
| Perkhidmatan tentera | |
| Kesetiaan | |
| Cabang/khidmat | |
| Tahun khidmat | 1879–1928 |
| Pangkat | |
| Pangkalan | Akitsushima Itsukushima |
| Perang/Pertempuran | Perang China-Jepun Pertama Perang Rusia-Jepun Perang Dunia I |
Viscount Saitō Makoto (斎藤 実, 27 Oktober 1858 – 26 Februari 1936) ialah seorang laksamana dan ahli politik Jepun yang pernah menjadi Perdana Menteri Jepun dari tahun 1932 hingga 1934.[1] Setelah menonjolkan diri semasa mengetuai dua buah kapal penjelajah dalam Perang China–Jepun Pertama, Saitō dengan cepat naik pangkat menjadi laksamana muda pada tahun 1900.
Beliau kemudiannya dinaikkan ke pangkat laksamana madya semasa Perang Rusia–Jepun pada tahun 1904. Selepas berkhidmat sebagai Menteri Tentera Laut dari 1906 hingga 1914, Saitō dilantik sebagai Gabenor Jeneral Korea dari tahun 1919 hingga 1927, dan sekali lagi dari 1929 hingga 1931.
Apabila Perdana Menteri Inukai Tsuyoshi dibunuh pada Mei 1932, Saitō mengambil alih jawatan tersebut dan memerintah selama satu penggal. Pada Februari 1935, beliau kembali berkhidmat dalam kerajaan sebagai Mohor Diraja, tetapi setahun kemudian beliau dibunuh dalam Peristiwa 26 Februari.
Saitō bersama Takahashi Korekiyo merupakan bekas Perdana Menteri Jepun terakhir yang dibunuh sehinggalah tahun 2022, apabila Shinzo Abe turut dibunuh.
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]Saitō dilahirkan di Domain Mizusawa, Wilayah Mutsu (kini sebahagian daripada Bandar Ōshū, Wilayah Iwate), sebagai anak kepada seorang samurai daripada puak Mizusawa. Pada tahun 1879, beliau menamatkan pengajian dari Akademi Tentera Laut Imperial Jepun kelas ke-6 dengan kedudukan tempat ketiga daripada 17 orang kadet.[2]
Beliau ditauliahkan sebagai ensain pada 8 September 1882 dan dinaikkan pangkat ke leftenan muda pada 25 Februari 1884.
Kerjaya ketenteraan
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1884, Saitō pergi ke Amerika Syarikat selama empat tahun untuk belajar sebagai atase tentera. Beliau dinaikkan pangkat ke leftenan pada 14 Julai 1886. Pada tahun 1888, selepas pulang ke Jepun, beliau berkhidmat sebagai anggota Staf Am Tentera Laut Imperial Jepun.
Selepas dinaikkan pangkat ke leftenan komander pada 20 Disember 1893, beliau bertugas sebagai pegawai eksekutif di atas kapal penjelajah Izumi dan kapal perang Fuji.
Semasa Perang China–Jepun Pertama, Saitō berkhidmat sebagai kapten kapal penjelajah Akitsushima dan Itsukushima. Beliau menerima kenaikan pangkat dengan cepat: menjadi komander pada 1 Disember 1897 dan kapten pada 27 Disember tahun yang sama. Pada 10 November 1898, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Tentera Laut, dan pada 20 Mei 1900 beliau dinaikkan pangkat ke laksamana muda.[3]
Kerjaya politik
[sunting | sunting sumber]Saitō sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Menteri Tentera Laut pada permulaan Perang Rusia–Jepun. Beliau dinaikkan pangkat ke laksamana madya pada 6 Jun 1904. Pada tahun 1906, beliau dianugerahkan Darjah Matahari Terbit (Kelas Pertama). Selepas perang tamat, beliau berkhidmat sebagai Menteri Tentera Laut selama lapan tahun, dari 1906 hingga 1914. Sepanjang tempoh itu, beliau sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan dan memperluas kekuatan angkatan laut Jepun.
Pada 21 September 1907, Saitō dikurniakan gelaran bangsawan baron (danshaku) di bawah sistem bangsawan kazoku. Pada 16 Oktober 1912, beliau dinaikkan ke pangkat laksamana penuh. Bagaimanapun, pada 16 April 1914, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Tentera Laut kerana dikaitkan dengan Skandal Siemens, dan secara rasmi dimasukkan ke dalam simpanan (rezab).
Pada September 1919, Saitō dilantik sebagai Gabenor Jeneral Korea yang ketiga di Korea. Beliau memegang jawatan itu sejurus selepas kemuncak gerakan kemerdekaan Korea, dan terus menjadi sasaran cubaan pembunuhan oleh Kang Woo-kyu, seorang nasionalis Korea yang radikal.[4][5] Saitō berkhidmat sebagai Gabenor Jeneral Korea sebanyak dua kali, iaitu dari 1919 hingga 1927,[1] dan sekali lagi dari 1929 hingga 1931.[6] Dalam tempoh itu, beliau melaksanakan beberapa langkah untuk melembutkan dasar Jepun terhadap rakyat Korea. Pada tahun 1924, beliau dianugerahkan Darjah Bunga Paulownia. Pada 29 April 1925 pula, taraf gelarannya dinaikkan kepada viscount (shishaku).
Pada tahun 1927, Saitō menjadi anggota delegasi Jepun ke Persidangan Tentera Laut Geneva mengenai pelucutan senjata. Selepas itu, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Diraja
Perdana Menteri Jepun
[sunting | sunting sumber]Selepas Perdana Menteri Inukai Tsuyoshi dibunuh pada 15 Mei 1932 oleh pegawai tentera laut yang fanatik dan menganggap Inukai terlalu berlembut (melalui Peristiwa 15 Mei), Putera Saionji Kinmochi, salah seorang penasihat terdekat dan paling berpengaruh kepada Maharaja Jepun, cuba menghalang Jepun daripada jatuh sepenuhnya ke tangan pemerintahan tentera.
Sebagai langkah kompromi, Saitō dipilih untuk menggantikan Inukai sebagai Perdana Menteri. Sadao Araki kekal sebagai Menteri Perang dan segera mula membuat tuntutan kepada kerajaan baharu. Semasa pemerintahan Saitō, Jepun mengiktiraf kemerdekaan Manchukuo dan menarik diri daripada Liga Bangsa.
Pentadbiran Saitō merupakan antara yang paling lama bertahan dalam tempoh antara perang. Ia berterusan sehingga 8 Julai 1934, apabila seluruh kabinet meletakkan jawatan beramai-ramai akibat Skandal Rasuah Teijin. Selepas itu, Keisuke Okada mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri.
Kerjaya akhir dan pembunuhan
[sunting | sunting sumber]Saitō terus menjadi tokoh penting dalam politik sebagai Penjaga Mohor Diraja Jepun bermula 26 Disember 1935. Bagaimanapun, beliau dibunuh semasa Peristiwa 26 Februari 1936 di rumahnya di Yotsuya, Tokyo. Takahashi Korekiyo, yang merupakan pendahulunya, turut ditembak mati pada hari yang sama, bersama beberapa lagi ahli politik berpangkat tinggi yang menjadi sasaran pemberontak.
Selepas kematiannya, Saitō dianugerahkan secara anumerta Darjah Bunga Kekwa, iaitu anugerah kehormatan tertinggi di Jepun.
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b Nussbaum, Louis-Frédéric. (2005). "Saitō Makoto" in Japan Encyclopedia, p. 809.
- ^ Imperial Japanese Navy (IJN), "Graduates of Naval Academy class 6th," Saito Makoto; retrieved 2012-10-18.
- ^ Nishida, Imperial Japanese Navy.
- ^ Pratt, Keith (2007). Everlasting Flower: A History of Korea. Reaktion Books. m/s. 218. ISBN 9781861892737.
- ^ Ion, A. Hamish (1993). The Cross and the Rising Sun: The British Protestant Missionary Movement in Japan, Korea and Taiwan, 1865-1945. 2. Wilfrid Laurier University Press. m/s. 206.
- ^ WorldStatesmen.org, Republic of Korea, Governors-General; ewreiwcws 2012-10-18.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Bix, Herbert P. (2001). Hirohito and the Making of Modern Japan. Harper Perennial. ISBN 0-06-093130-2.
- Brendon, Piers (2002). The Dark Valley: A Panorama of the 1930s. Vintage; Reprint edition. ISBN 0-375-70808-1.
- Gordon, Andrew (2003). A Modern History of Japan: From Tokugawa Times to the Present. Oxford University Press. ISBN 0195110609/ISBN 9780195110609; ISBN 0195110617/ISBN 9780195110616; OCLC 49704795
- Jansen, Marius B. (2002). The Making of Modern Japan. Harvard University Press. ISBN 0674003349/ISBN 9780674003347; OCLC 44090600
- Sims, Richard (2001). Japanese Political History Since the Meiji Renovation 1868-2000. Palgrave Macmillan. ISBN 0312239149/ISBN 9780312239145; ISBN 0312239157/ISBN 9780312239152; OCLC 45172740
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Saitō Makoto |
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Nishida, Hiroshi. "Materials of IJN: Saito Makoto". Imperial Japanese Navy. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-12-04. Dicapai pada 2007-08-03.
- Republic of Korea
- Petikan akbar mengenai Saitō Makoto di 20th Century Press Archives daripada ZBW