Santosh Subramaniam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Santhosh Subramaniam
Santosh Subramaniam.png
PengarahM. Raja
PenulisAbburi Ravi
Bhaskar
M. Raja
Dihasilkan olehKalaprathi S. Agoram
DibintangiJayam Ravi
Genelia D'Souza
Prakash Raj
Kirat Bhattal
Santhanam
Kausalya
Geetha
Disunting olehMohan
Muzik olehDevi Sri Prasad
Tarikh tayangan
11 April 2008
NegaraIndia
BahasaTamil

Santosh Subramaniam (juga dieja sebagai Santhosh Subramaniam; Tamil: சந்தோஷ் சுப்பிரமணியம்) merupakan filem cinta dan muzikal yang diarah serta ditulis oleh Raja Mohan dan diterbitkan oleh Kalaprathi S. Agoram. Filem ini dibintangi oleh Jayam Ravi dan Genelia D'Souza. Santosh Subramaniam diadaptasi dari filem yang bertajuk Bommarillu (Telugu: బొమ్మరిల్లు) yang menimbulkan kontroversi apabila filem ini diadaptasikan ke bahasa lain.[1] Filem ini juga diadaptasikan sebagai filem Hindi yang bertajuk It's My Life yang dibintangi oleh Harman Baweja bersama-sama Genelia yang memainkan wataknya yang sama untuk kali ketiga.[2]

Filem ini mengisahkan tentang hubungan seorang anak dengan ayahnya yang tidak serasi bersama. Kesemua pilihan yang dibuat oleh anak tersebut diganggu oleh ayahnya yang bersifat terlalu mengkongkong. Akhirnya ayahnya sedar tentang kesilapan yang dilakukan olehnya.

Filem ini ditayangkan di India pada 11 April 2008, bersamaan dengan Tahun Baru Tamil.[3] Filem yang mengetengahkan unsur kekeluargaan ini mendapat sambutan yang amat positif.[4]

Plot[sunting | sunting sumber]

Filem ini dimulakan dengan seorang bayi yang mula berjalan dengan kali pertama dan dibantu oleh ayahnya. Penglipur cerita ini menyatakan bahawa seorang ayah mempunyai hak untuk menjaga anaknya dengan baik, tetapi bertanya adakah perlu untuk seorang ayah menjaga anaknya yang berumur 24 tahun seperti seorang budak. Santosh (Jayam Ravi) yang berang mula memarahi kesemua ayah di dunia. Apabila ditanya mengapa dia berbuat demikian, Santosh menyatakan bahawa ayahnya, Subramaniam (Prakash Raj) terlampau mengkongkong dan memberikan terlampau banyak benda kepada dirinya. Walau bagaimanapun, Santosh menyatakan bahawa dia akan memilih kerjaya dan calon isterinya sendiri.

Muthu (Sathyan), pembantu rumah Subramaniam yang setia mengejutkan Santosh yang sedang nyenyak tidur pada waktu pagi. Ibu Santosh, Lakshmi (Geetha) memasak sambil menyanyi di dapur. Di meja makan, Subramaniam, iaitu pengarah bagi syarikat pembinaan mereka, merancang perkahwinan Santosh secara senyap. Minggu berikutnya, Santosh pulang ke rumah apabila menyedari bahawa dia akan bertunang dengan Rajeswari (Kirat Bhattal) walaupun dia tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Rajeswari memberitahu Santosh bahawa pertunangan ini adalah pilihan bapanya dan dia sendiri tidak bersetuju. Walau bagaimanapun, untuk menggembirakan bapa masing-masing, mereka akhirnya bertunang.

Apabila menyoal tentang keputusannya di sebuah kuil, Santosh menjumpai Hasini (Genelia D'Souza), iaitu seorang pelajar kejuruteraan secara tidak sengaja. Melihat perwatakannya yang kebudak-budakkan dan ceria, Santosh mula menyukai Hasini. Mereka mula berkenalan dan Santosh akhirnya menyedari bahawa dia mencintai Hasini.

Genelia D'Souza dan Jayam Ravi sebagai Hasini dan Santosh masing-masing di dalam sebuah duet.

Santosh juga mengambil pinjaman di bank untuk memulakan perniagaan sendiri. Dia bercadang untuk melamari Hasini dan memberitahu Hasini bahawa dia telah bertunang dengan Rajeswari walaupun pertunangan itu bukan hajatnya. Keesokan harinya, Hasini menerima lamaran Santosh. Subramaniam menyedari tentang kejadian ini dan berasa marah. Santosh memberitahu keluarganya bahawa dia tidak mahu mengahwini Rajeswari. Apabila ditanya tentang sebab mengapa dia mencintai Hasini, Santosh menyatakan bahawa jika Hasini dapat tinggal bersama keluarganya selama seminggu, kesemua persoalan mereka akan terjawab. Dengan kebenaran ayah Hasini, Govindan (Sayaji Shinde), Santosh membawa Hasini ke rumahnya.

Apabila Hasini diperkenalkan kepada keluarga Santosh, dia mendapat sambutan yang sangat hambar. Hasini masih menetap di rumah Santosh walaupun dia berasa sukar dengan pilihan tersebut. Subramaniam berasa berang apabila mengetahui bahawa Santosh mengambil pinjaman bank dan rancangannya. Santosh juga berasa marah apabila pilihannya tidak disetujui oleh bapanya. Suatu hari, Hasini bersama keluarga Santosh menghadiri sebuah majlis perkahwinan. Hasini menceriakan majlis tersebut dengan perwatakannya yang serba riang. Govindan secara tiba-tiba menyedari bahawa Santosh merupakan seorang pemuda yang mabuk yang dijumpai olehnya. Hasini secara senyap keluar dari majlis perkahwinan tersebut untuk mengelak daripada disedari oleh bapanya. Santosh memarahi Hasini disebabkan oleh gelagatnya di majlis tersebut. Hasini yang sedih keluar dari rumah Santosh dengan alasan bahawa Santosh bukan seperti dirinya yang dahulu.

Lakshmi bersemuka dengan Subramaniam tentang pilihan dan keputusan Santosh. Dalam proses tersebut, Santosh melepaskan perasaannya kepada Subramaniam dan Subramaniam akhirnya sedar tentang kesilapan besar yang dilakukan olehnya. Santosh memberitahu keluarga Rajeswari untuk membatalkan perkahwinannya bersama Rajeswari dan Rajeswari juga bersetuju dengan keputusan tersebut. Subramaniam yang telah insaf berjaya memujuk Govindan tentang perkahwinan Santosh dan Hasini. Govindan bersetuju dengan syarat bahawa Santosh perlu tinggal bersama keluarganya selama seminggu supaya Govindan dapat mengenalinya dengan lebih rapat. Subramaniam bersetuju dan cerita ini diakhiri dengan klip-klip semasa Santosh tinggal bersama keluarga Hasini dan penonton-penonton filem tersebut diberikan gambaran tentang perkahwinan Santosh bersama Hasini.

Watak[sunting | sunting sumber]

  • Jayam Ravi sebagai Santosh. Seorang pemuda yang ingin mencapai cita-citanya dalam hidup tanpa gangguan bapanya. Personaliti dirinya yang sebenar ditonjolkan apabila bertemu dengan Hasini.
  • Genelia D'Souza sebagai Hasini. Seorang yang ceria, kebudak-budakan dan menghargai setiap detik dalam hidupnya. Dia menjadi matang apabila bertemu dengan Santosh.
  • Prakash Raj sebagai Subramaniam, merangkap bapa Santosh. Seorang bapa yang menginginkan kehidupan anaknya seperti kehendaknya.
  • Sayaji Shinde sebagai Govindan, merangkap bapa Hasini.
  • Geetha sebagai Lakshmi, merangkap ibu Santosh. Seorang ibu yang penyayang.
  • Kirat Bhattal sebagai Rajeswari. Tunang Santosh walaupun dia tidak meminatinya.
  • Santhanam sebagai Srinivasan. Rakan baik Santosh yang suka berjenaka.
  • Premji Amaren sebagai Shekar. Rakan baik Santosh.

Pembikinan[sunting | sunting sumber]

Elemen penting[sunting | sunting sumber]

Walaupun spekulasi menyatakan bahawa pasukan sama yang terlibat dalam pembikinan filem asal Bommarillu, termasuk Bhaskar dan Dil Raju akan mengadaptasikan filem tersebut dalam bahasa Tamil, mereka menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk berbuat sedemikian.[5] Dil Raju menawarkan hak milik mengadaptasi filem tersebut untuk dijual kepada pihak yang berminat.[6] Editor veteran, Mohan, di bawah syarikatnya, Jayam Combines, mendapat bidaan tersebut setelah menewaskan Prakash Raj yang juga membida untuk filem tersebut dan merancang untuk menjadikan Vinay Rai sebagai watak utama.[7] Pembida-pembida lain termasuklah Vishal Krishna di bawah GV Films, Vijay di bawah Appachan Films, Bhagyaraj di bawah anaknya Saranya dan Ravi Krishna di bawah A. M. Rathnam.[8] Mohan memberikan tugas mengarah filem tersebut kepada anaknya, Raja Mohan yang juga merupakan kawan sekelas Bhaskar, dan watak utama kepada anak keduanya, Jayam Ravi. Filem ini merupakan filem keempat pasukan bertiga tersebut yang diadaptasikan dari bahasa Telugu. Santosh Subramaniam mengambil masa lebih kurang sembilan bulan untuk disiapkan dan dilancarkan pada 16 Julai 2007.[9]

Pemilihan watak, lokasi dan muzik[sunting | sunting sumber]

Jayam Ravi dipilih untuk memainkan watak lelaki utama disebabkan oleh penglibatan abang dan ayahnya sebagai pengarah dan pemilik hak cipta masing-masing bagi filem tersebut. Genelia D'Souza dipilih disebabkan oleh lakonannya dalam Bommarillu yang dipuji dan dia berpendapat bahawa filem ini adalah penting untuk memperluaskan kerjayanya di dalam industri perfileman Tamil.[10]

Lokasi rumah keluarga Santosh adalah di Ramanaidu Studios di Nanakramguda, Hyderabad dengan sedikit pengubahsuaian. Penggambaran untuk trek-trek lagu dilakukan secara montaj dan separuh daripadanya di Wellington dan tempat-tempat lain di New Zealand serta sebuah lagu di sebuah kuil di Kakinada.[11]

Devi Sri Prasad ditugaskan sebagai pengarah untuk runut bunyi filem ini, Savitha Reddy ditugaskan sebagai pengalih suara untuk Genelia manakala Siddharth Narayan, selaku pelakon utama Bommarillu merakamkan salah sebuah lagu untuk filem ini.[12]

Tayangan[sunting | sunting sumber]

Sambutan[sunting | sunting sumber]

Santosh Subramaniam memulakan tayanganya pada 11 April 2008 dengan klasifikasi "U" (Umum: Sesuai untuk semua lapisan masyarakat) oleh Lembaga Penapisan Filem India disebabkan oleh unsur kekeluargaan filem tersebut.[13] Filem ini mendapat sambutan yang baik dan mencatatkan kutipan sebanyak 5 kror di India.[14] Filem ini juga diterima dengan baik di United Kingdom dengan mencatatkan kedudukan #40 di United Kingdom Box-Office Chart[15] dan mencatatkan kutipan sebanyak £24,962.[16]

Pujian[sunting | sunting sumber]

Rediff mengesyorkan filem ini untuk seisi keluarga di samping memuji lakonan Jayam Ravi, Genelia dan Prakash Raj.[17] Sify Entertainment menyatakan bahawa Genelia merupakan "kekuatan utama" filem ini di samping "menghidupkan filem ini". Ravi dikatakan matang dalam lakonannya manakala Prakash amat menakjubkan. Devi Sri Prasad dipuji untuk karya muziknya.[18] Kesimpulannya, filem ini diterima dengan baik oleh para pengkritik.

Runut bunyi[sunting | sunting sumber]

Filem ini mengandungi enam lagu hasil oleh komposer Devi Sri Prasad dengan lirik-lirik lagu hasil pena Na. Muthukumar dan Yugabharathi. Runut bunyi Santosh Subramaniam dikeluarkan pada 23 Mac 2008, tiga minggu sebelum filem tersebut ditayangkan.[19]

Tajuk lagu Penyanyi Penerangan
Senthamizh Pesum Azhagu Juliet Andrea dan Ranjit menerangkan tentang Santosh dan rakan-rakannya yang mencari Juliet idaman mereka
Adada Adada Adada Siddharth Narayan Santosh melepaskan perasaannya dalam lagu ini
Kadhaluku Kanngal Illai Devi Sri Prasad mengisahkan tentang percintaan Santosh dengan Hasini
America Yendralum Aandipatti Yendralum Pushpavanam Kandasaamy, Manicka Vinayagam, Priya, Naveen dan Premji Amaren dinyanyikan oleh keluarga Subramaniam di majlis perkahwinan yang dihadiri mereka
Uyire Uyire Piriyadhey Sagar mengisahkan tentang halangan dalam cinta Santosh dengan Hasini
Yeppadi Irundha Yem Manasu Tippu dan Gopika Poornima lagu romantik yang dinyanyikan oleh Santosh dan Hasini

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Nota: Semua rujukan adalah dalam Bahasa Inggeris.

  1. ^ Rangarajan, Malathi. "Another from Telugu". Hindu.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  2. ^ "Jayasudha plan to remake Bommarillu in Hindi". Nowrunning.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  3. ^ "'Santosh Subramaniam' releases today". Entertainment - MSN.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-04-13. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  4. ^ Shankar, Settu. "Santosh Subramaniam Review". OneIndia.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  5. ^ "The man behind Telugu hit Bommarillu". Rediff. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  6. ^ "Dil Raju to remake Bommarillu in Tamil". Idlebrain.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  7. ^ "Vishal bags Vijay's film". Behindwoods.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  8. ^ "Bewitched by 'Bommarilu'!". Sify. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  9. ^ "'Santosh Subramaniam'". Entertainment MSN.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-04-13. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  10. ^ ""Oh no, I can't do" - Genelia". Behindwoods.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  11. ^ "'Santhosh Subramaniyam' songs in New Zealand". Indiaglitz.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  12. ^ "Siddharth sings in 'Santosh Subramaniam'". Indiaglitz.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  13. ^ "Santosh Subramaniam gets a U certificate". Kollywoodtoday.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  14. ^ "'Santosh Subramaniam' going strong & steady". Indiaglitz.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  15. ^ "Weekend of April 11, 2008 - April 13, 2008". New York Times. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  16. ^ "Weekend of April 18, 2008 - April 20, 2008". New York Times. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  17. ^ "Santhosh Subramaniam is a masala entertainer". Rediff. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  18. ^ "Santhosh Subramaniam". Sify. Dicapai pada 18 Disember 2008.
  19. ^ "'Santhosh Subramaniam' audio release on Sunday". Indiaglitz.com. Dicapai pada 18 Disember 2008.