Sastera Parsi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Manuskrip Parsi Kelileh va Demneh bertarikh 1429, berasal dari Herat, menggambarkan seekor serigala cuba menyesatkan ketua singa.


Kesusasteraan Parsi (Parsi: ادبیات پارسی) merupakan antara kesusasteraan yang tertua di dunia yang berumur 2 ribu tahun. Namun begitu, kebanyakan sastera-sastera Parsi sebelum kedatangan Islam telah pun hilang ditelan zaman. Sumber sastera berasal daripada negara-negara yang pernah menjadi sebahagian daripada Empayar Parsi, iaitu Iran an beberapa negara di Asia Tengah, Asia Barat Daya dan Asia Selatan. Jalaluddin Muhammad Rumi contohnya merupakan seorang sasterawan Parsi yang hidup di Konya, Turki. Ketika itu, Konya merupakan ibu kota kerajaan Seljuk. Kerajaan Parsi Ghaznavid pula pernah menakluki banyak wilyah di Asia Tengah dan Asia Selatan, menghasilkan banyak karyawan-karyawan Parsi di Afghanistan, Pakistan, India dan Asia Tengah. Tidak semua karya Parsi ditulis dalam Bahasa Parsi. Terdapat juga beberapa hasil tulisan bangsa Parsi dalam Bahasa Arab dan Bahasa Greek

Karya Parsi tertua bertarikh 650 SM, merupakan sebuah inskripsi yang dikarang ketika wangsa Achaemenid. Kebanyakan karya Parsi bertarikh selepas kedatangan Islam atau di mana bangsa Parsi telah memluk Islam. Ketika zaman pemerintahan Abasiyah, kesusasteraan berkembang dengan pesatnya. Bangsa Parsi mula menerbitkan karya dalam Bahasa Parsi dan Bahasa Arab. Sasterawan-sasterawan Parsi seperti Sa'di, Hafez, Rumi dan Omar Khayyam merupakan antara sasterawan yang terkenal di dunia dan banyak mempengaruhi dunia sastera.

Kesusasteraan Parsi Klasik[sunting | sunting sumber]

Kesusasteraan Sebelum Kedatangan Islam[sunting | sunting sumber]

Tidak banyak sastera-sastera purba Parsi yang masih ada pada hari ini. Kebanyakan sastera-sastera purba ini adalah inskripsi-inskripsi mengenai raja-raja Achaemenid seperti Darius I (522-486 SM) dan puteranya Xerxes. Karya-karya Majusi pula banyak dimusnahkan ketika peperangan tentera Parsi dengan tentera Islam. Penganut-peganut Majusi yang melarikan diri ke India ketika zaman ini membawa bersama hasil tulisan hukum-hukum Majusi seperti Avesta dan Zend. Terdapat juga beberapa karya zaman Sassanid yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab seperti karangan penyelidikan geografi dan pengangkutan ketika zaman Sassanid.

Kesusasteraan Parsi Ketika Zaman Islam[sunting | sunting sumber]

Pada mulanya, kesusasteraan Parsi ketika zaman Islam dibayangi kesusasteraan Arab, terutamanya ketika zaman Umayyah dan awal Abbasiyah. Pada pertengahan zaman Abbasiyah, kesusasteraan Parsi mula bercambah dan akhirnya berkembang di Asia Tengah. Kelahiran semula sastera Parsi dalam Bahasa Parsi merupakan sebuah jasa sasterawan-sasterawan Parsi seperti Ferdowsi, Unsuri, Daqiqi, Rudaki dan sasterawan-sasterawan lain yang sezaman dengan mereka. Mereka menggunakan semangat nasionalisme Parsi untuk menghidupkan semula bahasa dan kebudayaan Parsi.

Memetik kata-kata Ferdowsi dalam tulisan Shahnamanya:

بسی رنج بردم در این سال سی
عجم زنده کردم بدین پارسی

"Selama tiga puluh tahun, aku menahan kesakitan dan persengketaan,
dengan bahasa Parsi aku memberi Ajam keghairahan dan kehidupan".

Puisi[sunting | sunting sumber]

Kebolehan bangsa Parsi mempelbagaikan ekspresi mereka dalam tulisan menghasilkan sejumlah karangan-karangan Parsi dalam segala bidang seperti sastera, sains, atau metafizik, yang digubah dalam bentuk puisi. Oleh itu, kebolehan menghasilkan puisi merupakan syarat utama untuk setiap cendiakawan Parsi. Contohnya, lebih separuh daripada hasil tulisan Ibnu Sina adalah di dalam bentuk puisi.

Hasil sastera Parsi awal dipengaruhi oleh naungan istana yang kuat, kebanyakannya adalah puji-pujian yang panjang lebar untuk raja-raja dan khalifah-khalifah yang memerintah Parsi. Tradisi mungkin bermula ketika zaman Sassanid dan diturunkan ke zaman Abbasiyah dan Samanid dan akhirnya ke dinasti-dinasti Parsi selepasnya. Bentuk puisi pujian yang teragung pula ialah Qasideh dan puisi pujian berangkap empat seperti yang digunakan Omar Khayyam dalam Rubaiyat juga terkenal.

Daripada istana-istana dan sistem naungan ini, lahirlah sebuah puisi berbentuk epik dan epik Shahnama karangan Ferdowsi adalah yang terkenal. Dengan menceritakan keagungan wira-wira dan raja-raja dalam sejarah Parsi, beliau beberapa orang sasterawan seperti Daqiqi dan Asadi Tusi memberikan golongan "Ajam" sumber kebanggaan dan inspirasi yang menolong mereka mengekalkan identiti Bangsa Iran untuk berkurun lamanya.

Pada abad ke tiga belas, lahirlah kesenian ghazal dan puisi Sufi dan mistik. Gaya ini selalunya dikenali sebagai Gaya Iraqi dan terkenal dengan kualiti liriknya yang penuh beremosi, kekayaan pola iramanya dan juga kesederhanaan gaya bahasanya. Penyair-penyair seperti Sana'i, Attar, Khaqani Shirvani, Anvari, Rumi, Saadi, Hafez dan Nezami dihormati sebagai penulis ghazal yang agung.

Dalam penulisan didaktik, Hadiqatul Haqiqah karangan Sanai dan Makhzan-ul-Asrār karangan Nezami adalah dua karya yang terkenal. Selain itu, beberapa karya Attar dan kebanyakan karya Rumi adalah tulisan didaktik. Namun begitu, karya-karya mereka ini juga turut mempunyai unsur-unsur mistik dan emosi. Kitab Bostan karangan Saadi merupakan sebuah tulisan didaktik dan merupakan tulisan didaktik Parsi yang teragung.

Selepas abad ke lima belas, sastera Parsi mula dipengaruhi dengan kebudayaan India dan gaya penulisan ini digelas Isfahani atau Safavi. Gaya ini berakar umbi ketika era Timurid dan antara sasterawannya ialah Amir Khosrow Dehlavi

Kisah-Kisah Pelipur Lara[sunting | sunting sumber]

Kisah Seribu Satu Malam (Parsi: هزار و یک شب) merupakan sebuah karya Arab dan Parsi yang terbit di Zaman Pertengahan. Epik ini diceritakan oleh Shahrazad atau Šarzād, seorang permaisuri kerajaan Sassanid kepada suaminya yang kejam. Suaminya, Raja Shahryar merupakan raja Sassanid yang terkenal dengan kekejaman membunuh isteri-isterinya. Bagi menangguhkan niat raja Sassanid ini, permaisuri Shahrazad menceritakan kepada beliau Kisah Seribu Satu Malam yang panjang lebar ini. Cerita-cerita yang terkandung dalam epik ini dicipta oleh generasi-generasi terdahulu daripada beliau. Ketika zaman pemerintahan Khalifah Harun Al-Rasyid daripada Bani Abbasiyah, Baghdad menjadi pusat tumpuan perdagangan dunia. Pedagang-pedagang dari Parsi, China, India, Afrika dan Eropah dapat ditemukan di kota ini. Ketika zaman inilah banyak kisah-kisah pelipur lara dikumpul secara lisan dan akhirnya dibukukan. Cerita bingkai Shahrazad tampaknya ditambah ketika abad ke 14.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]