Satu negara, dua sistem

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

"Satu negara, dua sistem" (Cina Ringkas: 一国两制; Cina Tradisional: 一國兩制; pinyin: yì guó liǎng zhì) ialah idea yang asalnya dicadangkan oleh Deng Xiaoping pada awal 1980-an, ketika beliau menjadi Ketua Agung Republik Rakyat China (PRC), bagi tujuan mereali-sasikan penyatuan semula China. Beliau menyatakan bahawa dunia ini hanya terdapat sebuah negara China, namun kawasan-kawasan Hong Kong, Makau dan Taiwan boleh mengekalkan sistem ekonomi dan politik kapitalis masing-masing, sementara tempat-tempat lain di China mengamalkan sistem sosialismenya. Menurut cadangan beliau, Taiwan juga boleh mengekalkan tenteranya, namun pulau tersebut tidak boleh mengamalkan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain.

Hong Kong dan Makau[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1984, Deng Xiaoping mencadangkan agar menggunakan prinsip ini pada Hong Kong dalam rundingan dengan Perdana Menteri United Kingdom, Margaret Thatcher mengenai masa hadapan Hong Kong apabila pajakan Wilayah Baru (termasuk New Kowloon) Hong Kong kepada United Kingdom bakal berakhir pada tahun 1997. Prinsip yang sama turut dicadangkan dalam rundingan dengan Portugal mengenai Makau.

Prinsipnya adalah menjelang penyatuan semula kelak, meskipun "sosialisme" diamalkan di tanah besar China, namun Hong Kong dan Makau yang sering dianggap sebagai jajahan masing-masing UK dan Portugal, boleh mengekalkan sistem sedia ada dalam keadaan autonomi yang tinggi selama sekurang-kurangnya lima puluh tahun selepas penyatuan semula. Apa yang bakal berlaku selepas tahun 2047 dan 2049 (50 tahun selepas pengembalian masing-masing Hong Kong dan Makau) tiada sama sekali dinyatakan dalam dokumen-dokumen berkenaan, namun ada yang percaya bahawa prinsip "Satu negara, dua sistem" akan dimansuhkan pada masa itu, maka Hong Kong dan Makau akan disepadukan dalam sistem "sosialis" Tanah Besar China, sama ada secara rela atau paksa.

Perkara 5 Undang-Undang Asas Hong Kong menyatakan bahawa:
Sistem dan dasar-dasar sosialis tidak akan diamalkan dalam HKSAR, sebaliknya sistem dan gaya hidup kapitalis sejak dahulu akan kekal selama 50 tahun."[1][2]

Penubuhan sistem pentadbiran bergelar kawasan pentadbiran khas (SAR), dibenarkan oleh Perkara 31 Perlembagaan Republik Rakyat China, yang menyatakan bahawa Negara boleh menubuhkan SAR apabila perlu, dan sistem-sistem yang akan diperkenalkan kepada wilayah terlibat akan ditentukan oleh undang-undang yang digubal oleh Kongres Rakyat Kebangsaan berdasarkan syarat-syarat tertentu.

Kedua-dua SAR Hong Kong dan Makau masing-masing ditubuhkan pada 1 Julai 1997 dan 20 Disember 1999, sejurus selepas PRC mengambil alih kedaulatan terhadap kawasan-kawasan berkenaan.

Kerangka[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua SAR Hong Kong dan Makau memikul tanggungjawab terhadap hal-ehwal dalaman masing-masing, termasuk tetapi tidak terhad kepada kehakiman dan mahkamah rayuan, imigresen dan kastam, kewangan awam, mata wang dan penyerahan balik. Hubungan diplomatik dan pertahanan negara dua SAR ini pula adalah tanggungjawab Kerajaan Rakyat Pusat di Beijing.

Hong Kong masih menggunakan common law Inggeris. Makau pula masih menggunakan sistem undang-undang sivil warisan Portugal.

Pelaksanaan[sunting | sunting sumber]

Di Hong Kong, sistem ini telah dilaksanakan melalui Undang-Undang Asas Hong Kong yang berfungsi sebagai "perlembagaan kecil" kawasan tersebut, sehaluan dengan Pengisytiharan Bersama China-British. Penyusunan yang serupa juga digunakan di Makau. Mengikut undang-undang asas masing-masinjg, kedua-dua SAR memegang tahap autonomi yang tinggi dan menikmati kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman yang bebas, termasuk penghukuan terakhir. Kedua-dua SAR ini merumuskan dasar kewangan sendiri, menggunakan mata wang sendiri, merumuskan dasar-dasar pendidikan, kebudayaan, sukan, kebajikan sosial dan sebagainya secara tersendiri mengikut kerangka undang-undang asas.

Seperti yang ditentukan undang-undang asas, walaupun Kerajaan Rakyat Pusat PRC bertanggungjawab terhadap hal-ehwal luar negeri dan pertahanan berkenaan SAR, namun wakil-wakil Kerajaan SAR boleh turut serta selaku ahli-ahli perwakilan PRC, dalam rundingan diplomatik yang mempengaruhi Kawasan-Kawasan terbabit secara langsung, dan juga di pertubuhan atau persidangan antarabangsa lain yang terhad kepada negeri dan melibatkan kawasan-kawasan tersebut. Bagi pertubuhan dan persidangan antarabangsa yang tidak terhad kepada negeri, SAR tersebut boleh turut serta dengan nama berbentuk "Hong Kong, China". Selaku entiti ekonomi berasingan, kedua-dua SAR Hong Kong dan Makau adalah anggota-anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia. Hong Kong juga adalah sebuah ekonomi anggota APEC.

Undang-undang asas juga menyediakan perlindungan perlembagaan dari segi hak asasi manusia dan kebebasan asas. Terutama sekali, Waad Hak-Hak Awam dan Politik Antarabangsa diberi taraf berperlembagaan melalui undang-undang asas.

Sesetengah pemerhati dan pertubuhan hak asas manusia antarabangsa telah meluahkan keraguan mengenai masa hadapan kebebasan politik yang dinikmati di Hong Kong, dan juga janji PRC untuk membenarkan begitu banyak autonomi di Hong Kong. Misalnya, mereka berpendapat bahawa cadangan-cadangan dalam Perkara 23 Undang-Undang Asas pada tahun 2003 (yang ditarik balik akibat tentangan meluas) mungkin sedikit sebanyak menjejaskan autonomi.

Sungguhpun beigtu, kedua-dua kerajaan PRC dan Hong Kong menganggap prinsip terbabit dilaksanakan dengan jayanya, dengan memetik laporan rasmi dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Republik China (Taiwan)[sunting | sunting sumber]

Sistem ini juga pernah dicadangkan oleh kerajaan PRC untuk Taiwan, tetapi kerajaan Republik China (ROC) enggan menerima cadangan ini. (Pernah didakwa juga bahawa sistem ini asalnya direka untuk Taiwan.) Peruntukan-peruntukan khas untuk tentera ROC turut dicadangkan juga. Konsep "Satu negara, dua sistem" ini selalunya tidak disambut baik di Taiwan, ditunjukkan oleh undian yang mencatat 80% yang membantah berbanding 10% sahaja yang menyokong.[3] Semua parti-parti politik Taiwan, termasuklah yang cenderung kepada penyatuan semula China turut kuat mengecam idea "satu negara, dua sistem" ini. Ada yang mencadangkan "satu negara, dua kerajaan" yang terang-terang dibangkang oleh Parti Komunis China, manakala ada yang mencadangkan bahawa "satu negara" dalam "satu negara, dua sistem" ini sewajarnya adalah ROC dan bukan PRC. Antara sebilangan kecil orang Taiwan yang terang-terang menyokong "satu negara, dua sistem" termasuklah pengarang novel Li Ao.

Meskipun konsep "satu negara, dua sistem" menjamin sistem ekonomi dan politik Hong Kong tidak akan terjejas selama 50 tahun selepas penyerahan oleh pihak British pada tahun 1997, namun Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Republik China (Taiwan) telah memetik 169 kes di mana mereka mendakwa pihak PRC telah mencabuli hak rakyat Hong Kong untuk berkerajaan sendiri serta bercampur tangan dalam sistem kehakiman dan juga kebebasan bersuara secara mendalam.[4]

Semenjak Hu Jintao mengambil alih tampuk pemerintahan, pihak PRC berhenti memupuk penyatuan semula dengan segera melalui konsep "satu negara, dua sistem" (namun kekal sebagai dasar rasmi) untuk memberi laluan kepada penyepaduan ekonomi dan pertukaran politik secara beransur-ansur.[5] Pendekatan ini ditekankan ketika lawatan parti campuran Seluruh Biru ke tanah besar pada tahun 2005.[6] Kerangka "satu negara, dua sistem" tidak disebut sekali pun dalam Undang-Undang Anti-Pemisahan.

Tibet[sunting | sunting sumber]

Dalai Lama ke-14, Tenzin Gyatso, telah meluahkan minat untuk menggunakan "satu negara, dua sistem" untuk mentadbir Tibet. Beliau pernah berkata bahawa dengan adanya sistem sedemikian beliau sanggup kembali ke Tibet dari buangan. Bagaimanapun, kerajaan PRC, menganggap sistem ini tidak sesuai untuk Tibet kerana "Tibet sudah merupakan sebahagian China" serta khuatir bahawa penggunaan "satu negara, dua sistem" akan membuka laluan kepada kemerdekaan Tibet secara rasmi.[7]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Luo, Jing. Over A Cup Of Tea: An Introduction To Chinese Life And Culture. [2004] (2004). University Press of America China. ISBN 0761829377
  2. ^ Wong, Yiu-chung. [2004] (2004). One Country, Two Systems in Crisis: Hong Kong's Transformation. Lexington Books. Hong Kong. ISBN 0739104926.
  3. ^ Most Taiwanese oppose Beijing formula: MAC
  4. ^ "Chen vows to safeguard Taiwan sovereignty, rejects China overture". MediaCorp News. 29 Jun 2006. Dicapai pada 2007-11-21. Check date values in: |year= (bantuan)
  5. ^ "The Risk of War Over Taiwan is Real". Financial Times. 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 2005-05-07. Dicapai pada 2008-06-29. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  6. ^ "Hopes grow as second Taiwan leader visits China". 2005. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonthday= ignored (bantuan)
  7. ^ Tibet.cn The 14th Dalai Lama’s ‘Middle Way’ ridiculous