Pergi ke kandungan

Schnauzer gergasi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Schnauzer gergasi
Nama lain
  • Schnauzer Munich[1]
  • Anjing Munich[1]
  • Schnauzer beruang Rusia[2]
Negara asalJerman
Trait
Berat 35–47 kg (75–105 lb)[3][4]
Tinggi 60–70 cm (24–28 in)[3][4]
Bulu padat dan mirip dawai
Warna
  • hitam legam (dengan lapis bulu bawah hitam)
  • lada dan garam
  • hitam perak
Anjing (Canis lupus familiaris)

Schnauzer gergasi[a] atau schnauzer besar[b] ialah satu baka anjing Jerman jenis schnauzer. Ia lebih besar daripada dua lagi baka schnauzer, schnauzer piawai dan schnauzer kerdil. Pada asalnya dibiakbakakan untuk membantu di ladang dengan menggiring haiwan ternakan ke pasar dan menjaga harta milik peladang, baka ini akhirnya berpindah ke kota untuk bekerja dengan menjaga kilang bir, kedai penyembelih, kandang, dan kilang. Ia tidak terkenal di luar Bavaria sehingga menjadi popular sebagai anjing ketenteraan pada Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Ia mempunyai lapis bulu kasar padat yang melindunginya daripada cuaca dan daripada haiwan perosak. Terdapat tiga keragaman warna: lada dan garam, hitam pejal dengan lapis bulu bawah hitam, dan hitam dan perak.[5] Di tempat yang mengizinkannya, ia ditunjukkan dengan telinga dan ekor terpotong. Seperti schnauzer lain, ia mempunyai janggut dan bulu kening tersendiri. Kini, schnauzer gergasi menyertai banyak sukan anjing, termasuk schutzhund. Satu lagi sukan yang dalamnya ia cemerlang ialah suka yang berkaitan dengan kerja hidung. Oleh sebab sifat waspadanya, anjing ini juga digunakan dalam kerja polis.

Seekor anjing hitam berbaring di atas rumput dengan mainan anjing di kakinya

Asal usul nama baka "schnauzer" tidak diketahui, demikian juga waktu permulaan penggunaannya.[6]:482 Perkataan bahasa Jerman Schnauze memaksudkan muncung, sementara kedua-dua Schnauz dan Schnauzbart memaksudkan 'misai walrus'.[7] Perkataan Schnauzer muncul dalam Bilder und Sagen aus der Schweiz karya Jeremias Gotthelf, yang diterbitkan pada tahun 1842.[6]:482 'Schnauz' ialah nama lazim untuk anjing – beberapa ekor anjing dengan nama ini ditunjukkan di Elberfeld pada tahun 1880.[8]:149 Dalam pertunjukan anjing antarabangsa ketiga oleh Verein zur Veredelung der Hunderassen di Hanover pada tahun 1879, seekor anjing bernama 'Schnautzer' mendapat tempat pertama dalam kelas Rauche Pinscher atau pincer berbulu dawai.[8]:149

Schnauzer berasal dari Jerman selatan[9] dan mengongsi sejarah bersama dengan pincer Jerman.[10] Anjing jenis ini, kedua-dua berbulu kasar dan berbulu licin, secara tradisional dibela sebagai anjing pedati atau sebagai anjing kandang kuda dan kadang-kadang dikenali sebagai Stallpinscher ("pincer kandang kuda"); ia merupakan anjing pemburu tikus berkemampuan.[10] Kedua-dua jenis dikenali sebagai deutscher Pinscher ("pincer Jerman") dan berasal daripada zuriat sama; anak-anak anjing berbulu kasar dan berbulu licin boleh hadir dalam perinduk sama.[10] Jenis berbulu kasar, yang kemudiannya menjadi schnauzer, juga dikenali sebagai Rattler ("[anjing] pemburu tikus").[10][11]:152

Pada tahun 1880, pincer dicatatkan dalam Deutschen Hundestammbuch ("Buku Pembaka Anjing Jerman") bagi Verein zur Veredelung der Hunderassen[12] dan piawaian baka pertama dirangka.[6]:482 Pelbagai warna diperihalkan untuk jenis berbulu kasar, termasuk kelabu besi, perak kelabu, kuning kelabu, kuning jagung, dan kuning karat.[6]:482 Pada tahun 1895, Ludwig Beckmann [de] memerihalkan lima keragaman pincer – pincer berbulu kasar dan berbulu licin, pincer katik berbulu kasar dan berbulu licin, dan pincer monyet.[10][11]:152 Juga pada tahun 1895, sebuah persatuan baka, iaitu Pinscherklub ("Kelab Pincer"), ditubuhkan untuk kedua-dua jenis, kedua-dua berbulu kasar dan berbulu licin.[12][13] Sebuah lagi persatuan, iaitu Schnauzerklub München ("Kelab Schnauzer Munich"), dibentuk di Munich pada tahun 1907 oleh para pembiak baka Mittelschnauzer ("schnauzer sederhana").[13] Pada tahun 1917, dengan edisi keenam bagi buku pembaka, nama bagi baka berbulu kasar diubah secara rasmi daripada rauhaariger Pinscher kepada Schnauzer.[6]:482 Pada tahun 1918, Pinscherklub dan Schnauzerklub München bergabung untuk membentuk Pinscher-Schnauzer-Verband ("Persatuan Pincer Schnauzer"), yang, pada tahun 1921, mengubah namanya kepada Pinscher-Schnauzer-Klub 1895 e.V. yang masih terpakai sampai sekarang.[13]

Schnauzer gergasi pada asalnya dibiakbakakan sebagai anjing ladang serba guna untuk penjagaan harta benda dan penggiringan haiwan ke pasar.[14] Menjelang permulaan abad ke-20, ia digunakan sebagai anjing pengawal di kilang, di kilang bir, pejagalan, dan kurungan ternakan di seluruh Bavaria.[1][15]:266 Baka ini tidak terkenal di luar Bavaria sehingga ia digunakan sebagai anjing ketenteraan dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.[1][15]:266 Schnauzer gergasi pertama diimport ke Amerika pada tahun 1930-an, tetapi ia kekal jarang sehingga tahun 1960-an,[16] apabila baka ini menjadi popular. Pada tahun 1962, terdapat 23 ekor schnauzer gergasi baharu yang berdaftar dengan American Kennel Club; pada tahun 1974, bilangan ini ialah 386; pada tahun 1984, bilangannya melebihi 800 dan pada tahun 1987 terdapat sekitar 1,000 ekor haiwan.[17] Ini menurun kepada 95 ekor anjing baharu yang didaftarkan pada tahun 2011 dan 94 ekor pada tahun 2012.[18]

Pada zaman moden, schnauzer gergasi digunakan sebagai anjing polis; dilatih untuk kepatuhan, ketangkasan anjing, penggembalaan, pencarian dan penyelamatan, dan schutzhund; dan ditunjukkan dalam pertunjukan pengakuran.[15]:266[16] Ia juga digunakan untuk carting.[14] Di Eropah, baka ini dianggap lebih sebagai anjing pekerja daripada anjing pertunjukan.[17] Tumpuan dalam banyak kelab schnauzer Eropah tidak begitu banyak pada pertunjukan pengakuran, tetapi lebih pada keupayaan kerja baka ini.[17] Di beberapa negara, termasuk Jerman, anjing mesti mencapai gelaran Juara Schutzhund sebelum dapat menjadi layak untuk menjadi juara pengakuran.[17]

Hitam dan perak

Walaupun schnauzer gergasi merupakan anjing besar dan gempal, bahagian 'gergasi' dalam namanya tidak sebanding dengan baka anjing besar lain tetapi sebanding dengan schnauzer piawai dan schnauzer katik.[1] Piawaian baka AKC mensyaratkan jantan untuk berdiri setinggi 65–70 sentimeter (25.5–27.5 in) pada paras kelasa dan betina untuk berdiri setinggi 60–65 sentimeter (23.5–25.5 in).[19] Schnauzer gergasi bergaris luar segi empat sama[20] dan patut menyerupai versi lebih besar bagi schnauzer piawai.[15]:266 Ekornya panjang dan telinganya merupakan telinga butang kecil yang terangkat tinggi-tinggi di atas kepala.[14] Di tempat dengan keizinan undang-undang untuk amalan ini, ekornya dan telinganya mungkin dipotong.[20]

Kepala adalah separuh panjang belakang anjing dari kelasa ke pangkal ekor.[15]:266 Pipinya rata, namun cukup berotot.[15]:266 Lapis bulunya padat, mirip dawai, dan kalis cuaca.[20][19] Bulu di mukanya membentuk "janggut" dan kening tersendiri.[15]:266 Langkahnya panjang dan segar.[2]

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat untuk schnauzer gergasi sebanyak 12.1 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[21]

Displasia pinggul dan displasia siku adalah lazim.[20][14] Baka ini juga terdedah kepada masalah mata seperti keratokonjunktivitis sika, glaukoma, katarak, displasia retina multifokal, dan atrofi retina progresif menyeluruh.[22] Ia juga terdedah kepada penyakit kulit, seperti alopesia lambung musiman, vitiligo, dan sista folikel.[22] Kanser kulit adalah lazim pada anjing berwarna gelap, dengan keragaman paling kerap berlaku yang merupakan melanoma pada anggota tubuh dan jari, dan karsinoma sel skuamus jari.[22] Tumor kulit bukan kanser adalah lazim juga.[22]

Sesetengah schnauzer gergasi menghidap diabetes insipidus pusat, hipotiroidisme resesif autosom, malpenyerapan terpilih bagi kobalamin, narkolepsi, katapleksi, dan pelbagai kecelaruan sawan.[14][22] Sesetengah anjing peka terhadap sulfonamida dan emas.[22] Penyakit tulang dan masalah sendi juga menjadi isu.[23] Punca paling lazim bagi kematian pada anjing ini dalam tinjauan The Kennel Club merupakan limfoma dan kanser hati, diikuti oleh serangan jantung dan kegagalan jantung.[24]

  1. Jawi: شناءوزر ݢرݢاسي; Jerman: Riesenschnauzer; bahasa Inggeris: giant schnauzer
  2. Jawi: شناءوزر بسر
  1. 1 2 3 4 5 Stahlkuppe, Joe (31 Mac 2002). Giant Schnauzers: A Complete Pet Owner's Manual [Schnauzer Gergasi: Panduan Lengkap Pemilik Haiwan Peliharaan] (dalam bahasa Inggeris). Diilustrasi oleh Michele Earle-Bridges. Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. ISBN 9780764118845. OCLC 47289437.
  2. 1 2 Rice, Dan (1 Mac 2001). Big Dog Breeds [Baka Anjing Besar] (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. ISBN 9780764116490. OCLC 44860848.
  3. 1 2 "FCI - Standard Nr. 181 RIESENSCHNAUZER" [Piawaian FCI No. 181 Schnauzer Gergasi] (pdf) (dalam bahasa Jerman). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 10 Jun 2021. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  4. 1 2 "FCI-Standard N° 181 RIESENSCHNAUZER (Giant Schnauzer)" [Piawaian FCI No. 181 Schnauzer Gergasi] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Seidler, Chris. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 10 Jun 2021. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  5. "Riesenschnauzer (181): new colour variety as from 01/07/2021" [Schnauzer Gergasi (181): keragaman warna baharu mulai 1 Julai 2011] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 11 Jun 2021. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  6. 1 2 3 4 5 Räber, Hans (5 Jun 2014). Enzyklopädie der Rassehunde: Ursprung, Geschichte, Zuchtziele, Eignung und Verwendung [Ensiklopedia Anjing Baka Tulen: Asal Usul, Sejarah, Matlamat Pembiakbakaan, Kesesuaian, dan Kegunaan] (dalam bahasa Jerman). Stuttgart, Jerman: Franckh-Kosmos. ISBN 9783440143032. OCLC 859358889.
  7. "schnauz". Beolingus (dalam bahasa Inggeris). Chemnitz, Jerman: Universiti Teknologi Chemnitz. Dicapai pada 21 Februari 2026.
  8. 1 2 Ash, Edward Cecil (1931). The Practical Dog Book [Buku Anjing Amali] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). London, United Kingdom: Simpkin & Marshall. OCLC 154277445.
  9. "Deutscher Pinscher" [Pincer Jerman] (dalam bahasa Jerman). Witzenhausen, Jerman: Gesellschaft zur Erhaltung alter und gefährdeter Haustierrassen. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Februari 2022. Dicapai pada 21 Februari 2026.
  10. 1 2 3 4 5 Simantke, Christel. "Die Gefährdete Nutztierrasse des Jahres 2003: Gefährdete Haus- und Hofhunde: Von Spitzen und Pinschern" [Baka Haiwan Ternakan Terancam Tahun 2003: Anjing Peliharaan dan Anjing Ladang Terancam: Spits dan Pincer] (dalam bahasa Jerman). Witzenhausen, Jerman: Gesellschaft zur Erhaltung alter und gefährdeter Haustierrassen. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Jun 2012. Dicapai pada 21 Februari 2026.
  11. 1 2 Beckmann, Ludwig (1895). Geschichte und Beschreibung der Rassen des Hundes [Sejarah dan Perihal Baka Anjing] (dalam bahasa Jerman). 2. Braunschweig, Jerman: Bieweg & Sohn. OCLC 20621908.
  12. 1 2 "Rasseportrait: Schnauzer (Mittelschnauzer)" [Potret Baka: Schnauzer (Schnauzer Sederhana)] (pdf) (dalam bahasa Jerman). Remscheid, Jerman: Pinscher-Schnauzer-Klub 1895. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 12 Julai 2024. Dicapai pada 21 Februari 2026.
  13. 1 2 3 "Die Rasse des Monats: Pinscher und Schnauzer" [Baka Bulan Ini: Pincer dan Schnauzer] (dalam bahasa Jerman). Dortmund, Jerman: Verband für das Deutsche Hundewesen. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Ogos 2020. Dicapai pada 21 Februari 2026.
  14. 1 2 3 4 5 Palika, Liz (27 Ogos 2007). The Howell Book of Dogs: The Definitive Reference to 300 Breeds and Varieties [Buku Howell tentang Anjing: Rujukan Muktamad kepada 300 Baka dan Keragaman] (dalam bahasa Inggeris). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: Wiley. m/s. 250–251. ISBN 9780470009215. OCLC 85485148.
  15. 1 2 3 4 5 6 7 American Kennel Club (31 Januari 2006). The Complete Dog Book [Buku Anjing Lengkap] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-20). New York, New York, Amerika Syarikat: Random House Publishing. ISBN 9780345476265. OCLC 416234912.
  16. 1 2 "GIANT SCHNAUZER" [SCHNAUZER GERGASI] (dalam bahasa Inggeris). Westminster Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Mac 2013. Dicapai pada 16 Januari 2024.
  17. 1 2 3 4 Brown, Catherine (1988). "Origin and History of the Giant Schnauzer" [Asal Usul dan Sejarah Schnauzer Gergasi] (dalam bahasa Inggeris). Giant Schnauzer Club of America. Dicapai pada 16 Januari 2024.
  18. "AKC Dog Registration Statistics" [Statistik Pendaftaran Anjing AKC] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Februari 2015. Dicapai pada 16 Januari 2024.
  19. 1 2 "Get to know the Giant Schnauzer" [Kenali Schnauzer Gergasi] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Februari 2013. Dicapai pada 22 Ogos 2016.
  20. 1 2 3 4 Kern, Kerry V.; Vriends, Matthew M. (1988). The New Terrier Handbook [Buku Panduan Terier Baharu] (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. m/s. 115. ISBN 9780812039511. OCLC 17508196.
  21. McMillan, Kirsten Marie; Bielby, Jon; Williams, Carys Louisa; Upjohn, Melissa Mary; Casey, Rachel Alison; Christley, Robert Matthew (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1). Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan). PMID 38302530 Check |pmid= value (bantuan). S2CID 267382263 Check |s2cid= value (bantuan). Unknown parameter |article-number= ignored (bantuan)
  22. 1 2 3 4 5 6 Gough, Alex; Thomas, Alison (16 April 2004). "3-Dogs" [3-Anjing]. Breed Predispositions to Disease in Dogs & Cats [Predisposisi Baka terhadap Penyakit pada Anjing dan Kucing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Oxford, United Kingdom: Wiley-Blackwell. m/s. 133–137. doi:10.1002/9780470690802.ch3. ISBN 9781405107488. OCLC 53231203.
  23. Stall, Sam (April 2005). "Schnauzer (Giant)" [Schnauzer (Gergasi)]. The Good, the Bad, and the Furry: Choosing the Dog That's Right for You [Yang Baik, yang Buruk, dan yang Berbulu: Memilih Anjing yang Betul untuk Anda] (dalam bahasa Inggeris). Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat: Quirk Books. m/s. 169–170. ISBN 9781594740213. OCLC 61103847.
  24. "Summary results of the Purebred Dog Health Survey for Giant Schnauzers" [Keputusan ringkasan Tinjauan Kesihatan Anjing Baka Tulen untuk Schnauzer Gergasi] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Jawatankuasa Sains The Kennel Club/British Small Animal Veterinary Association. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 21 Oktober 2012. Dicapai pada 16 Januari 2024.