Sejarah Cuba

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sejarah tercatat Cuba bermula pada 24 Oktober 1492, ketika Christopher Columbus menemui pulau ini semasa pelayaran sulungnya dan menuntut pulau ini untuk Sepanyol. Ketika itu, pulau ini telah didiami oleh orang-orang Amerindian yang dikenali sebagai Taíno dan Ciboney. Nenek moyang mereka datang dari Amerika Selatan beberapa abad dahulu. Kaum Taino adalah petani, manakala kaum Ciboney adalah pemburu-pemungut. Nama Cuba berasal daripada perkataan Taino, cubanacán, yang bermaksud "tempat pusat".

Pantai Cuba dipetakan secara lengkap oleh Sebastian de Ocampo pada tahun 1511. Pada tahun itu, Diego Velazquez de Cuellar mengasaskan petempatan Sepanyol yang pertama di Baracoa. Bandar-bandar yang lain kemudian diasaskan, termasuk Havana pada 1515. Sebagaimana yang dilakukan oleh mereka di seluruh benua Amerika, orang-orang Sepanyol menindas dan mengabdikan hampir 100,000 orang asli di pulau ini. Dalam tempoh satu abad, kesemua orang asli itu tidak wujud lagi, akibat kesan-kesan gabungan yang terdiri daripada penyakit, kerja paksa, dan pembunuhan kaum. Peneroka-peneroka Sepanyol kemudian membawa masuk abdi-abdi Afrika yang tidak lama kemudian merupakan sebahagian besar penduduk-penduduk di Cuba.