Sejarah Hungary

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Rencana ini mengenai sejarah zaman kuno, pertengahan dan moden Hungary.

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Ketika zaman Empayar Rom, rantau di barat sungai Danube dikenali sebagai Pannonia. Setelah Empayar Rom Barat runtuh akibat tekanan kedatangan puak Jermanik dan Carpia, Zaman Migrasi terus mengundang banyak lagi penceroboh ke Eropah. Antara yang terawal untuk tiba adalah orang Hun yang mendirikan empayar yang kuat di bawah pemerintahan Attila. Adalah dipercayai pada masa kini bahawa asal-usul nama "Hungary" bukanlah daripada penceroboh nomad Asia Tengah yang bergelar Hun, sebaliknya daripada perikatan Bulgar abad ke-7 bernama On-Ogour, iaitu istilah bahasa Turki lama bagi "Sepuluh Anak Panah"[1][2].

Setelah pemerintahan Hun merudum, puak Ostrogoth Jermanik memerintah di Pannonia, diikuti orang Lombard, dan orang Gepid berkuasa di bahagian timur Lembangan Karpatos selama kira-kira 100 tahun, apabila puak Slav mula menghijrah masuk ke rantau ini. Pada 560-an, puak Slav digulingkan oleh satu kelompok Turkik/Mongol dari Asia Tengah, iaitu orang Avar[3] yang menguasai tanah berkenaan selama lebih dua abad. Orang Frank pimpinan Charlemagne dari barat serta orang Bulgar dari tenggara menggulingkan orang Avar pada awal abad ke-9. Bagaimanapun, tidak lama kemudian orang Frank berundur, dan kerajaan Slavonik Moravia Besar dan Kerajaan Kecil Balaton menguasai kebanyakan Pannonia sehingga akhir abad itu. Orang Magyar berhijrah ke Hungary pada penghujung abad ke-9.

Zaman pertengahan (896 – 1526)[sunting | sunting sumber]

Mengikut tradisi Magyar, Negara Magyar (Magyarország) diasaskan oleh Árpád yang memimpin bangsa Magyar ke Dataran Pannonia sekitar 896 M, dan - menurut lagenda - merupakan saudara jauh kepada Attila. "Sepuluh Anak Panah" yang disebut tadi memaksudkan sepuluh puak yang membentuk perikatan yang dijadikan asas kepada tentera serangan Magyar. Tempoh seabad sejak ketibaan orang Magyar dari dataran Eropah timur dan penggabungan Kerajaan Hungary pada tahun 1001 dipenuhi kempen penjarahan di seluruh Eropah, dari Dania (Denmark) hingga Semenanjung Iberia (Sepanyol).[4][5]

Kerajaan Hungary ditubuhkan pada tahun 1000 oleh Raja St. Stephen. Stephen atau nama asalnya Vajk adalah berketurunan langsung Árpád, dan dibaptiskan sewaktu zaman kanak-kanak. Baginda beristerikan Giselle dari Bavaria, puteri Henry II, Duke Bavaria pada tahun 996, dan setelah kemangkatan ayahanda baginda Putera Géza pada tahun 997, baginda pun naik takhta lalu menjadu raja Hungary beragama Kristian pertama.

St. Stephen I menerima mahkota dan salib hawariun dari Paus Silvester II pada tahun 1000. Selaku penganut beragama Kristian, beliau menubuhkan Gereja Hungary dengan sepuluh kawasan uskup dan pentadbiran diraja negara yang dibahagi kepada daerah (comitatus atau vármegye). Hungary menjadi sebuah kerajaan patrimonial di mana kebanyakan tanahnya adalah milik persendirian pemerintah. Pada tahub 1083, beliau diwalikkan bersama-sama putera baginda, Imre dari Hungary.

Mula-mulanya, sejarah dan politik Hungary berkembang bersama-sama sejarah dan politik Poland dan Bohemia, dipacu oleh campur tangan ramai Paus dan Maharaja Empayar Rom Suci. Antara 1241–1242, di bawah pemerintahan Raja Béla IV, Hungary ranap dan menderita kerana banyak kehilangan nyawa rakyat di tangan tentera Mongol (Tatar) pimpinan Batu Khan yang menewaskan pihak Hungary di Pertempuran Muhi. Serangan Mongol yang hebat ini membunuh separuh populasi Hungary.[6] Meskipun menang, namun orang Mongol tidak menduduki Hungary, sebaliknya berundur sejurus selepas menerima berita kematian Ögedei Khan, lalu meninggalkan sebuah negara dalam kehancuran. Berikutan serangan Mongol ini, Raja Béla IV menjemput 40 hingga 60 ribu orang Cuman dan sekelompok kecil Jazyge untuk menduduki kawasan yang kekurangan penduduk di Dataran Hungary Besar yang bakal menjadi Kunság dan Jazygia. Sebuah kawasan di antara Szolnok dan Debrecen menjadi Cumania Besar manakala sebuah kawasan di antara Kalocsa dan Szeged menjadi Cumania Kecil.

Lama-kelamaan, di bawah pemerintahan dinasti Árpád dan sebelumnya (sejak abad ke-9), Hungary menyertai the tamadun-tamadun besar Eropah Barat. Di bawah pemerintahan Angevins sejak tahun 1308, Kerajaan Hungary lambat laun hilang kuasanya terhadap wilayah-wilayah yang kemudiannya dikenali sebagai Wallachia (1330) dan Moldavia (1359).

János Hunyadi, Pemangku Raja Hungary, berperang berturut-turut - dengan kejayaan sekejap-sekejap - menentang Empayar Uthmaniyyah yang agresif, selalunya di luar Hungary. Adat melaungkan loceng tengah hari berkait rapat dengan pertempuran penting yang dimenangi ke atas pihak Uthmaniyah pada 29 Jun 1456 di Nándorfehérvár.

Putera kepada János, Raja Matthias Corvinus, memerintah Hungary sejak tahun 1458 hingga 1490. Baginda memberikan nafas baru kepada keutuhan Hungary dan kerajaannya: di bawah pemerintahan baginda, Hungary menjadi sebuah pusat kebudayaan dan seni Eropah yang penting ketika Renaissance. Matthias yang berisiterikan seorang Itali, mengimport seniman dari Itali dan Perancis. Begitu juga, budaya Hungary mempengaruhi budaya-budaya lain—contohnya, Komanwel Poland-Lithuania. Tidak mengira berapa kali berjayanya baginda dalam berbagai-bagai pertempuran menentang pihak Uthmaniyah, baginda setakat menangguhkan pertempuran terakhir dengan Empayar Uthmaniyyah yang makin kuat itu.

Pendudukan Uthmaniyah 1526-1686[sunting | sunting sumber]

Dua abad yang berikutnya didominasi oleh peperangan berterusan menentang Empayar Uthmaniyah, kali ini di tanah air Hungary. Orang Uthmaniyah meraih kemenangan muktamad terhadap tentera Hungary di pertempuran Mohács pada tahun 1526. Dekad-dekad berikutnya disifatkan sebagai penuh huru-hara politik; golongan bangsawan Hungary yang berpecah-belah melantik dua orang raja serentak, Ferdinand Habsburg (1526-1540) dan János Szapolyai (1526-1540), namun konflik bersenjata antara kedua-dua raja ini makin melumpuhkan negara. Setelah penaklukan Buda oleh pihak Uthmaniyah pada tahun 1541, Kerajaan Hungary terbahagi menjadi tiga: satu bahagian Hungary jatuh di tangan pemerintahan Uthmaniyah; satu lagi (di barat) kekal di bawah pemerintahan Habsburg (lihat Raja Hungary); dan bahagian yang satu lagi itu, di timur (mula-mulanya menyokong János Szapolyai), kekal berdaulat (Kerajaan Kecil Transylvania) dan kemudiannya menjadi negeri lindungan Empayar Uthmaniyah yang separuh merdeka. Cuma setelah lebih 150 tahun kemudian, pada penghujung abad ke-17, barulah Austria dan sekutu-sekutu Kristiannya mendapatkan kembali wilayah-wilayah Kerajaan Hungary dari Empayar Uthmaniyah. Berabad-abad pendudukan Uthmaniyah, pemberontakan, dan peperangan telah mengurangkan populasi Hungary menjadi separuh, dan sebahagian besar kawasan selatan negara hampir dikosongkan.[7]

Dinasti Habsburg dan Empayar Austria-Hungary 1686-1918[sunting | sunting sumber]

Setelah pengunduran terakhir pihak Uthmaniyah, bermulanya pergelutan antara negara Hungary dan raja-raja Habsburg bagi perlindungan hak kaum bangsawan (maka memastikan kebebasan Hungary). Perjuangan menentang absolutisme Austria menyebabkan pemberontakan, pimpinan bangsawan Transylvania, Ferenc II Rákóczi, untuk kebebasan popular yang tidak berjaya antara tahun 1703 dan 1711. Revolusi dan peperangan 1848–1849 menghapuskan perhambaan dan memastikan hak awam. Akhirnya pihak Austria dapat mengatasinya, itupun dengan bantuan Rusia.

Peta daerah-daerah di Tanah Jajahan St. Stephen (taklukan sebenar Kerajaan Hungary dan Croatia-Slavonia), 1886-1918

Disebabkan kemenangan gabungan Perancis-Itali terhadap Austria (Pertempuran Solferino, 1859) dan Prussia (Pertempuran Königgrätz, 1866), pada tahun 1867, Hungary bakal mampu menjadi separuh sama rata daripada Empayar Austria-Hungary (lihat Ausgleich). Setelah itu, kerajaan Hungary berusaha to menyatukan kerajaan melalui "pemagyaran" bangsa-bangsa lain. Ketewasan pada Perang Dunia I membawa kepada kejatuhan Empayar Austria-Hungary pada tahun 1918, seterusnya mencetuskan huru-hara di seluruh negara.

Antara perang 1918-1941[sunting | sunting sumber]

Pada bulan Mac 1919, pihak Komunis mengambil alih Hungary. Pada bulan April, Béla Kun mengisytiharkan Republik Soviet Hungary. Bagaimanapun, kerajaan Kun tidak bertahan lama sungguhpun menikmati kejayaan ketenteraan awal menentang tentera Czechoslovakia.

Pada 13 Jun 1919, Persidangan Keamanan Versailles mengarahkan Hungary agar meninggalkan wilayah-wilayah utaranya dan Romania pula meninggalkan Tiszántúl. Hungary memenuhi arahan pada 30 Jun 1919. Namun begitu, tentera Romania enggan meninggalkan Tiszántúl.

Perang Hungary dan Romania yang menyusul berakhir dengan kekalahan Tentera Merah Hungary. Pada Ogos 1919, lebih separuh daripada tanah Hungary masa kini, termasuk Budapest, diduduki Romania. Pendudukan Romania kekal sehingga November 1919 apabila tentera Romania berundur.

Perbezaan antara sempadan Kerajaan Hungary dalam lingkungan Austria-Hungary dan Hungary yang merdeka selepas Perjanjian Trianon.

Tentera Hungary berhaluan kanan, pimpinan bekas Laksamana Austria-Hungary Miklós Horthy, memasuki Budapest setelah pemergian tentera Romania dan mengisi kekosongan kuasa negara. Pada Januari 1920, pilihanraya diadakan untuk satu Dewan Undangan tunggal. Laksamana Horthy dipilih sebagai Pemangku Raja, dan dengan itu pemerintahan beraja dipulihkan di Hungary. Bagaimanapun, semenjak itu tiada lagi "Raja Hungary" sungguhpun adanya cubaan bekas pemerintah Habsburg untuk kembali ke bekas takhta kuasa. Horthy memerintah selaku Pemangku Raja sehingga 16 Oktober 1944. Bagaiamanapun, selepas tahun 1932, kecenderungan autokratik beransur kembali akibat pengaruh Nazi dan Kemelesetan Besar.

Pada 4 Jun 1920, Perjanjian Trianon ditandatangan, lalu menandakan sempadan baru bagi Hungary. Hungary kehilangan 71% wilayahnya dan juga 66% penduduknya. Lebih kurang satu per tiga penduduk Magyar menjadi kaum minoriti di negara jiran. Hungary juga kehilangan satu-satunya pelabuhannya di Fiume (kini Rijeka). Kesannya, politik Hungary dan budaya tempoh antara perang didominasi iredentisme (pemulihan Hungary Besar bersejarah). Sepanjang zaman ini, ekonomi Hungary amat tidak menentu, daripada menjadi makmur selepas perang, kemudian banyak menderita ketika dan selepas Kemelesetan Besar, lalu kembali stabil sebentar sebelum terletusnya Perang Dunia II. Negara ini kian mara ke arah Jerman dan Itali pada 1930-an dengan harapan menterbalikkan beberapa kesan Perjanjian Trianon. Beberapa wilayah yang dihilangkannya itu dikembalikan ke Hungary melalui dua Pemberian Vienna.

Hungary dalam Perang Dunia II 1941-1945[sunting | sunting sumber]

Pemimpin Hungary Miklós Horthy dan pemimpin Nazi Adolf Hitler pada 1938

Pada tahun 1941, Hungary menyertai serangan Yugoslavia lalu meraih beberapa wilayah baru tetapi pada masa yang sama sebenarnya menyertai kuasa Paksi (perdana menteri Pál Teleki membunuh diri sebagai bantahan). Pada 22 Jun 1941, ketika Jerman menyerang Kesatuan Soviet dalam Operasi Barbarossa, Hungary mengisytiharkan perang pada 26 Jun, sekaligus memasuki Perang Dunia II. Pada akhir tahun 1941, angkatan Hungary di Barisan Hadapan Timur berjaya di Pertempuran Uman. Menjelang tahun 1943, setelah Tentera Kedua Hungary mengalami kekalahan teruk di sungai Don, kerajaan Hungary hendak merunding penyerahan kalah kepada pihak Berikat. Pada 19 Mac 1944, akibat kependuaan ini, tentera Jerman senyap-senyap menduduki Hungary dalam apa yang dikenali sebagai Operasi Margarethe. Bagaimanapun, pada masa ini adalah jelas bahawa pihak Hungary merupakan "satelit tanpa rela" Jerman. Pada 15 Oktober 1944, Horthy melakukan usaha yang lemah untuk mengeluarkan negara beliau dari kancah peperangan. Kali ini pihak Jerman melancarkan Operasi Panzerfaust dan Horthy diganti oleh sebuah kerajaan boneka di bawah Perdana Menteri Ferenc Szálasi yang pro-Jerman. Szálasi dan Parti Palang Anak Panah (Nyilaskeresztes Párt – Hungarista Mozgalom) pro-Nazi beliau kekal setia kepada pihak Jerman sehingga tamatnya perang. Pada akhir tahun 1944, tentera Hungary di Barisan Hadapan Timur sekali lagi berjaya di Pertempuran Debrecen, namun ini kemudiannya disusuli oleh serangan Soviet terhadap Hungary dan Pertempuran Budapest. Ketika pendudukan Jerman pada Mei-Jun 1944, Parti Palang Anak Panah dan polis Hungary mengusir hampir 440,000 orang Yahudi, kebanyakannya ke Auschwitz.[8] Lebih 400,000 orang Yahudi Hungary dibunuh ketika Holokus, bersama berpuluh ribu orang Romani. Beratus-ratus orang Hungary turut dihukum mati oleh Parti Palang Anak Panah kerana melindungi orang Yahudi. Peperangan ini mengakibatkan Hungary ranap, lebih 60% ekonominya musnah dan bilangan nyawa yang melayang amat banyak sekali. Pada 13 Februari 1945, ibu negara Hungary menyerah kalah tanpa syarat. Pada 8 Mei 1945, secara rasminya tamatlah Perang Dunia II di Eropah.

Zaman Soviet 1945-1989[sunting | sunting sumber]

Kereta kebal Soviet di Budapest semasa Revolusi Hungary 1956.

Berikutan kejatuhan Jerman Nazi, tentera Soviet menduduki seluruh negara dan melalui pengaruh merekalah Hungary beransur-ansur menjadi sebuah negara komunis satelit kepada Kesatuan Soviet. Selepas tahun 1948, pemimpin Komunis Mátyás Rákosi mengasaskan pemerintahan bercorak Stalin di negara, dilengkapi pengkolektifan secara paksaan dan ekonomi terancang. Pemerintahan kerajaan Rákosi agak tidak tertahan oleh warga Hungary yang terjejas akibat perang, lalu tercetusnya Revolusi Hungary 1956 dan pengunduran sementara Hungary dari Pakatan Warsaw. Pihak Soviet membalas dengan kekuatan tentera secara besar-besaran dengan menghantar masuk lebih 150,000 orang askar dan 2,500 buah kereta kebal[9]. Hampir sesuku juta orang meninggalkan negara ketika tempoh singkat apabila sempadan dibuka pada tahun 1956. Sejak 1960-an hingga akhir 1980-an, Hungary sering disindir dengan gelaran "berek yang paling gembira" di kalangan blok Timur. Ini berlaku ketika di bawah pemerintahan autokrasi pemimpin komunis yang penuh kontroversi, János Kádár. Askar Soviet yang terakhir meninggalkan negara ini pada tahun 1991, maka berakhirnya kehadiran tentera Soviet di Hungary. Dengan kelenyapan Kesatuan Soviet, bermulanya peralihan Hungary ke ekonomi pasaran.

Republik Hungary 1989-kini[sunting | sunting sumber]

Pada akhir 1980-an, Hungary mengetuai gerakan membubarkan Pakatan Warsaw dan beralih ke demokrasi pelbagai calon. Parti komunis MSZMP ketika itu masih merupakan parti politik majoriti, dan pemilihan beberapa calon bebas mengemukakan lebih tekanan untuk pembaharuan dalam parti. Mereka juga dialihkan ke arah ekonomi berteraskan pasaran. Pada 23 Oktober 1989, Mátyás Szűrös mengisytiharkan Republik Hungary Ketiga dan menjadi Presiden sementara. Pilihanraya bebas pertama Hungary diadakan pada tahun 1990. Berikutan kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Hungary mengeratkan hubungan dengan Eropah Barat dan juga negara Eropah Tengah yang lain. Hungary menjadi ahli Kumpulan Visegrad pada tahun 1991, menyertai NATO pada tahun 1999, dan menjadi ahli Kesatuan Eropah pada 1 Mei 2004.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ OSZK Diarkibkan 2008-04-16 di Wayback Machine.
  2. ^ Hungary, Encyclopædia Britannica.
  3. ^ The Avar Khaganate
  4. ^ "The Magyars (650-997 AD)". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-06-07. Dicapai pada 2007-10-25.
  5. ^ "The Maygars of Hungary". Diarkibkan daripada yang asal pada 2001-08-15. Dicapai pada 2001-08-15.
  6. ^ Welcome to Encyclopædia Britannica's Guide to History
  7. ^ Hungarian Studies Review, 2000
  8. ^ United States Holocaust Memorial Museum; Holocaust Encyclopedia
  9. ^ Findley, Carter V., and John Rothney. Twentieth Century World. sixth ed. Boston: Houghton Mifflin, 2006. 278.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Encyclopaedia Humana Hungarica (1–5)[sunting | sunting sumber]