Sejarah Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Sebahagian daripada siri tentang
Sejarah Malaysia
Kemerdekaan Malaya dan proklamasi penggabungan Borneo Utara dan Sarawak bagi membentuk Malaysia.
 
Portal Malaysia

Dalam konteks sejarah Malaysia (سجاره مليسيا), walaupun nama "Malaysia" merupakan sebuah konsep moden yang baru diciptakan pada separuh kedua abad ke-20, Malaysia kontemporari tetap menganggap keseluruhan sejarah Tanah Melayu dan Borneo, merangkumi ribuan tahun yang lalu termasuk zaman prasejarah, sebagai sejarahnya tersendiri.[1]

Catatan awal Barat mengenai negara ini bermula sejak orang-orang Yunani seperti Cladius Ptolemy menamakan semenanjung yang terdapat di negara ini sebagai Semenanjung Emas (kini digelar Semenanjung Malaysia) atau "Golden Khorsenese" di dalam buku Geographia yang ditulisnya pada sekitar 150 M.[2] Agama Hindu dan Buddha dari India dan China masing-masing mendominasi sejarah awal negara ini dan mencapai kemuncaknya semasa pemerintahan kerajaan Srivijaya yang berpusat di Sumatera, yang mempunyai pengaruh yang meluas di seluruh Sumatera sendiri, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian besar Borneo dari abad ke-7 hingga ke-17.

Walaupun kedatangan Islam di Semenanjung Tanah Melayu telah berlaku seawal abad ke-10, Islam mula mengukuhkan kedudukannya di Tanah Melayu pada abad ke-14. Penerapan Islam pada abad ke-14 telah menyaksikan kebangkitan kesultanan-kesultanan, yang paling menonjol ialah Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Brunei. Islam sememangnya mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap orang Melayu. Pada tahun 1511, Melaka telah berjaya ditawan oleh Portugis yang merupakan kuasa penjajah Eropah pertama yang mengukuhkan kedudukan mereka di Semenanjung Tanah Melayu dan Asia Tenggara. Kemudian, Melaka ditawan oleh Belanda pada tahun 1641. Akhirnya, British yang asalnya menubuhkan pangkalannya di Jesselton, Kuching, Pulau Pinang dan Singapura, memperoleh hegemoni mereka di seluruh wilayah Tanah Melayu melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Perjanjian tersebut menetapkan sempadan antara Tanah Melayu British dan Hindia Timur Belanda (yang menjadi Indonesia). Kemudian, Perjanjian Inggeris-Siam 1909 pula menetapkan sempadan antara Tanah Melayu British dan Siam (yang menjadi Thailand). Fasa keempat pengaruh asing ialah kemasukan buruh-buruh dari negara China dan India untuk memenuhi keperluan ekonomi kolonial yang diciptakan oleh British di Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo.

Pencerobohan Jepun ketika Perang Dunia Kedua mengakhiri penguasaan British di Tanah Melayu setelah pentadbiran British di Singapura menyerah kalah secara rasmi terhadap Jepun. Pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak dari tahun 1942 hingga 1945 meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk tempatan (walaupun nasionalisme penduduk tempatan telah wujud sebelum Perang Dunia Kedua lagi ketika penjajahan British tetapi kebanyakannya digagalkan). Setelah Jepun berundur dari Tanah Melayu selepas dikalahkan oleh pihak Pihak Berikat, Malayan Union ditubuhkan pada tahun 1946 oleh pentadbiran British tetapi ekoran daripada penentangan oleh orang Melayu, penubuhan itu disusun semula sebagai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 sebagai sebuah protektorat hingga tahun 1957. Di Semenanjung Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya melancarkan pemberontakan bersenjata untuk menentang British dan ketegangan ini menyebabkan pengisytiharan darurat selama 12 tahun dari 1948 hingga 1960. Tindak balas ketenteraan yang serius terhadap pemberontakan ini serta Rundingan Baling yang dilaksanakan pada tahun 1955 membawa kepada kemerdekaan di Tanah Melayu yang dicapai secara diplomatik pada 31 Ogos 1957 melalui rundingan dengan British. Tunku Abdul Rahman menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama ketika itu. Pada tahun 1960, darurat ditamatkan setelah ancaman komunis semakin berkurangan dan pengunduran mereka ke sempadan di antara Tanah Melayu dengan Thailand. Pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia ditubuhkan berikutan penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Kira-kira dua tahun kemudian, parlimen Malaysia meluluskan rang undang-undang tanpa persetujuan penandatangan Perjanjian Malaysia 1963 untuk memisahkan Singapura dari Persekutuan Tanah Melayu. Konfrontasi dengan Indonesia turut berlaku pada awal 1960-an berikutan pembetukan Malaysia. Rusuhan kaum pada tahun 1969 iaitu Peristiwa 13 Mei membawa kepada pelaksanaan darurat, penggantungan parlimen, penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) serta pembentukan Rukun Negara oleh MAGERAN pada tahun 1970 yang menjadi ideologi kebangsaan bagi mendorong perpaduan dalam kalangan rakyat. Dasar Ekonomi Baru juga telah diperkenalkan pada tahun 1971 yang digunakan hingga tahun 1991 bagi membasmi kemiskinan serta menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Dasar tersebut disambung dengan Dasar Pembangunan Nasional dari tahun 1991 hingga 2000.

Sejak tahun 1970, gabungan Barisan Nasional yang diketuai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah memerintah Malaysia hinggalah dikalahkan oleh gabungan Pakatan Harapan yang diketuai oleh bekas pemimpin UMNO, Mahathir Mohamad dalam pilihan raya umum Malaysia pada 9 Mei 2018. Menjelang akhir tahun 2018, terdapat penentangan besar-besaran terhadap rancangan kerajaan untuk mengesahkan ICERD di Malaysia terutamanya daripada kalangan orang Melayu dan juga Bumiputera lain kerana mereka menegaskan bahawa pengesahan tersebut melanggar perlembagaan negara dan keadaan ini menyebabkan pembatalan pengesahan itu sendiri. Pada bulan Februari 2020, krisis politik di Malaysia baru-baru ini bermula apabila gabungan Pakatan Harapan jatuh ketika anggota parti BERSATU, BN, PAS, GPS, dan GBS bersama-sama membentuk kerajaan di bawah nama Perikatan Nasional yang dipimpin oleh pemimpin BERSATU iaitu Muhyiddin Yassin.

Sejarah awal سجاره اول[sunting | sunting sumber]

Lukisan prasejarah di Gua Tambun, Perak

Sejarah awal Malaysia bermula dengan kewujudan manusia awal berusia 40,000 tahun yang ditemui di Kompleks Gua Mulu dan kompleks Gua Niah, Sarawak. Secara dasarnya sejarah negara ini telah melalui empat zaman utama sejarah manusia iaitu Zaman Prasejarah, Proto Sejarah, Zaman Pertengahan dan Zaman Kolonial. Namun begitu, penemuan terbaharu oleh sejarawan terhadap penemuan artifak seperti tulang, batu dan sisa makanan penghuni di gua di rantau Asia Tenggara termasuk di Malaysia menunjukkan adanya sebaran kebudayaan pada zaman prasejarah seminar 60,000 tahun.[3]

Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan mereka melalui pelabuhan di Selat Melaka. Penemuan beberapa tapak arkeologi Zaman Proto Sejarah membuktikan kewujudan penempatan pesisiran pantai seawal abad ke-2 Masihi lagi. Ia membawa kepada kemunculan kerajaan awal sebelum abad ke-10 yang merupakan penempatan di pesisir pantai dan pelabuhan kecil. Kerajaan awal ini termasuk Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Beruas dan Gangga Negara di Perak serta Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik keminatan penakluk daripada Portugis pada tahun 1511 diikuti oleh Belanda dan Britain untuk mewujudkan penempatan atau koloni di Selat Melaka.

Manakala di Borneo pula, kewujudan Kerajaan Purba Marudu sebelum abad ke-13 Masihi dan Santubung lebih awal lagi membuktikan telah wujud entiti politik yang mendahului kewujudan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu.

Tamadun Awal Asia Tenggara تمدون اول اسيا تڠڬارا[sunting | sunting sumber]

Pengaruh Agama Hindu Buddha dalam Kerajaan Awal ڤڠاروه اڬام هيندو بودا دالم كراجأن اول[sunting | sunting sumber]

Sebelum kedatangan pengaruh kebudayaan India, masyarakat Asia Tenggara secara umumnya telah mengembangkan budaya sendiri semenjak dari Zaman Logam.

Cara Kedatangan Hindu Buddha ke Asia Tenggara چارا كداتڠن هيندو بودا كاسيا تڠڬارا[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa pendapat tentang kedatangan pengaruh agama Hindu Buddha ke Asia Tenggara.

  • Pendapat Pertama

Pengaruh India telah dibawa oleh golongan ksyatria atau tentera.

  • Pendapat Kedua

Pengaruh tersebut dibawa oleh golongan pedagang atau vaisya.

  • Pendapat Ketiga

Pengaruh ini dibawa oleh golongan Brahmin atau pendeta.

Zaman penjajahan زمان ڤنجاجهن[sunting | sunting sumber]

Penempatan terawal British di Malaysia bermula dengan pendudukan Pulau Balambangan pada tahun 1769 hasil perjanjian dengan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Manakala penempatan Selat Koloni DiRaja Britain diwujudkan pada 1826, dan Britain sedikit demi sedikit menyebarkan pengaruh dan kawalannya ke seluruh semenanjung. Penempatan Selat termasuk Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Pada 1867, British menjadi semakin agresif dan mula mendapatkan negeri-negeri Melayu lain. Disebabkan oleh perang saudara dan gangguan persatuan sulit Cina, Britain telah dipilih untuk menyelesaikan masalah-masalah penduduk Negeri Selat. Akhirnya, Perjanjian Pangkor didatangni yang mengakibatkan perluasan kuasa Britain ke negeri-negeri Melayu (iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikenali juga Negeri-negeri Bersekutu). Negeri-negeri lain yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Tidak Bersekutu ialah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang berada di bawah kuasa Thai.

Di Borneo pula, Borneo Utara yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu (sekarang Sabah) telah berada di bawah pajakan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada tahun 1881 sehingga 1946 apabila ia ditabalkan sebagai Koloni Diraja British. Manakala Sarawak menjadi milik keluarga Brooke sebelum detik itu.

Akibat penaklukan Jepun pada Perang Dunia II dan kebangkitan komunis, kesedaran untuk merdeka semakin menyerlah dan kuat. Perkara ini amat dikhuatiri oleh British khususnya dalam menjaga kepentingannya dan masyarakat imigran. Justeru, British mewujudkan Malayan Union. Lantas, masyarakat Melayu bangun menentang dan mahukan sistem yang pro-Melayu, menolak kemasukan Singapura dan mahukan sistem kewarganegaraan tunggal (berbanding dwiwarganegara, yang membolehkan kaum pendatang mendapat status warganegara Malaya dan negara asal mereka). Kemerdekaan untuk semenanjung diperolehi pada 1957 di bawah nama Persekutuan Malaya, tanpa Singapura.

Lihat juga: Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu

Penubuhan Malaysia ڤنوبوهن مليسيا[sunting | sunting sumber]

Pada 16 September 1963, sebuah persekutuan baru diwujudkan bagi menggantikan Persekutuan Tanah Melayu/Malaya di bawah nama Malaysia yang terdiri daripada 5 entiti iaitu

Kesultanan Brunei pada mulanya menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia, akan tetapi telah menarik diri akibat tentangan sebahagian rakyat Brunei dan Sultan Brunei diletakkan di tempat terakhir dalam penggiliran sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk sistem Raja Berperlembagaan serta isu masa depan royalti minyak asli. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia untuk menakluk Malaysia, dan tuntutan yang dibuat oleh Filipina terhadap Sabah.

Pada tahun 1965, Singapura pula dikeluarkan daripada Malaysia dan berlakunya desakan ekonomi daripada kaum Cina pimpinan mendiang Lee Kwan Yew.

Dengan itu, Malaysia kekal dengan 3 entiti sahaja sehingga ke hari ini.

Rujukan رجوكن[sunting | sunting sumber]

Pautan luar ڤاوتن لوار[sunting | sunting sumber]