Sejarah Perancis

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sejarah Perancis bermula sejak era prasejarah.

Sejarah awal Perancis[sunting | sunting sumber]

Semapadan Perancis moden lebih kurang sama seperti sempadan Gaul purba yang pernah diduduki oleh orang Gaul Celtic. Gaul ditakluki oleh Rom di bawah Julius Caesar pada abad pertama SM, maka orang Gaul mula bertutur dalam bahasa orang Rom (bahasa Latin, yang berevolusi menjadi bahasa Perancis) serta juga budaya Rom. Agama Kristian mula bertapak pada abad ke-2 dan ke-3 Masihi, lalu kuat bertapak pada abad ke-4 dan ke-5 sehingga St. Jerome pernah mencatat bahawa Gaul satu-satunya kawasan yang "bebas daripada kekafiran".

Pada abad ke-4 M, sempadan timur Gaul sepanjang Sungai Rhine dicerobohi puak-puak Jerman, terutamanya orang Frank, iaitu punca terhasilnya nama kuno "Francie". nama zaman sekarang "France" berasal daripada nama kawasan feudal Raja-Raja Capet di Perancis sekitar Paris. Orang Frank merupakan puak pertama antara penakluk Jermanik di Eropah setelah terjatuhnya Empayar Rom untuk memeluk mazhab Katolik dan bukan Arianisme (namun Raja Clovis memeluknya pada tahun 498); maka Perancis digelar "Saudari Tertua Gereja" (La Fille Ainée de l'Eglise), maka orang Perancis menerimanya sebagai justifikasi bagi menggelar diri mereka sebagai "Kerajaan Perancis Paling Beragama Kristian".

Kewujudan perancis sebagai entiti berasingan bermula dengan Perjanjian Verdun (tahun 843), dengan pembahagian Empayar Carolignian Charlemagne menjadi Francia Timur, Francia Tengah dan Francia Barat. Francia Barat hampir sama keluasannya dengan wilayah Perancis zaman kini, dan menjadi pelopor kepada Perancis moden dan juga negeri Perancis pertama.

Raja-raja Carolingian memerintah Perancis sehingga tahun 987, apabila Hugh Capet, Duke Perancis dan Count of Paris, dinobatkan sebagai Raja Perancis. Keturunannya, iaitu Capetian Terus, Cabang Valois dan Cabang Bourbon, secara progresifnya menyatukan negara melalui beberapa peperangan dan pewarisan dinastik. Kerajaan ini mencapai kemuncaknya ketika abad ke-17 di bawah pemerintahan Louis XIV. Kewtika masa itu Perancis memiliki bilangan penduduk terbesar di Eropah (lihat demografi Perancis) dan mempunyai pengaruh amat besar terhadap dasar kerajaan, ekonomi dan budaya Eropah. Sehinggalah berakhirnya era ini, Perancis memainkan peranan penting dalam Revolusi Amerika dengan memberi aset modal dan ketenteraan kepada pemberontak anti-British. Kemenangan Perancis yang amat penting terhadap Britain di Pertempuran Chesapeake disusuli Pengepungan Yorktown pada tahun 1781 menamatkan Perang Revolusi Amerika lalu membolehkan Amerika Syarikat mencapai kemerdekaan daripada British.

Penubuhan republik negara Perancis[sunting | sunting sumber]

Perancis diketuai raja-raja sehingga Revolusi Perancis pada tahun 1789. Raja Louis XVI dan ratu baginda, Marie Antoinette, dihukum mati, bersama beribu-ribu warga Perancis yang lain. Setelah berlalunya serantai skim kerajaan yang singkat tempoh hayatnya, Napoleon Bonaparte mengambil alih pemerintahan Republik pada tahun 1799, menjadikan diri beliau Konsul Pertama, dan kemudiannya Maharaja Empayar Perancis Pertama (18041814). Melalui peperangan, tentera beliau menakluki kebanyakan tanah besar Eropah, serta ahli-ahli keluarga Bonaparte dilantik sebagai r aja-raja kerajaan baru.

Setelah kekalahan terakhir Napoleon pada tahun 1815 sewaktu Perang Waterloo, pemerintahan beraja Perancis dipulihkan, namun dengan batasan perlembagaan baru. Pada tahun 1830, pemberontakan sivil menubuhkan Kerajaan July berpelembagaan yang bertahan sehingga tahun 1848. Republik Kedua yang juga singkat hayatnya tamat pada tahun 1852 apabila Louis-Napoléon Bonaparte mengisytiharkan Empayar Perancis Kedua. Louis-Napoléon diturunkan dari takhta setelah kalah dalam Perang Perancis-Prusia pada tahun 1870 dan rejimnya digantikan oleh Republik Ketiga.

Perancis mempunyai milikan penjajahan dalam pelbagai bentuk, sejak awal abad ke-17 sehingga 1960-an. Pada abad ke-19 dan ke-20, empayar jajahannya di seluruh dunia merupakan yang kedua terbesar selepas Empayar British. Pada zaman kemuncaknya, antara tahun 1919 dan 1939, empayar jajahan Perancis kedua mencapai tanah seluas 12,347,000 kilometer persegi. Termasuk Perancis metropolitan, jumlah keluasan wilayah di bawah kedaulatan Perancis mencapai 12,898,000 kilometer persegi pada 1920-an dan 1930-an, iaitu 8.6% daripada jumlah tanah di Bumi.

Meskipun menang di Perang Dunia I, Perancis dengan teruknya kehilangan nyawa manusia dan harta benda, menjadikannya kian lemah dalam dekad-dekad seterusnya. Era 1930-an menyaksikan banyak pembaharuan sosial yang diperkenalkan kerajaan Barisan Popular. Apabila Perang Dunia II terletus, Perancis melaksanakan saut siri kempen penyelamatan yang kurang berjaya di Norway, Belgium dan Belanda dari tahun 1939 hingga 1940. Menjelang pencerobohan tiba-tiba pada pertengahan tahun 1940 oleh Jerman Nazi yang disokong Itali Fasis sejak 10 Jun 1940, kepimpinan politik Perancis menolak cadangan Winston Churchill mengenai Kesatuan Perancis-British lalu menandatangani penyerahan Gencatan Senjata Kedua di Compiègne pada 22 Jun 1940. Dasar berpakat dengan musuh yang dibangkang sesetengah pihak, mencetuskan pembentukan Angkatan Pembebasan Perancis di luar Perancis serta penentangan Perancis dalam negara. France dibebaskan dengan usaha bersama Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Angkatan Pembebasan Perancis dan penentangan Perancis pada tahun 1944. Kemudian Nouvelle Armée Française ("tentera Perancis baru") ditubuhkan dengan bantuan bahan dan kelengkapan buatan Amerika Syarikat secara besar-besaran, lalu menyertai perjuangan bersama pihak Berikat dalam pelbagai pertempuran termasuk kempen Itali.

Republik Perancis Keempat ditubuhkan selepas Perang Dunia II untuk cuba mengekalkan status ekonomi dan politiknya sebagai negara yang dominan. Perancis cuba menguatkan genggamannya pada empayar penjajahannya, tetapi kemudiannya menghadapi masalah. Cubaan mengawal semula Indochina secara tidak bersungguh-sungguh pada tahun 1946 mengakibatkan Perang Indochina Pertama, yang berakhir dengan kekalahan Perancis di Pertempuran Dien Bien Phu pada tahun 1954. Cuma beberapa bulan kemudian, Perancis menghadapi konflik terbaru yang kian ganas dalam jajahan terlamanya, Algeria.

Perdebatan mengenai sama ada terus mengawal atau tidak bumi Algeria yang dijadikan tempat tinggal lebih sejuta penduduk Eropah, merapuhkan lagi negara dan nyaris mencetuskan perang saudara. Pada tahun 1958, Republik Keempat yang lemah memberi laluan kepada Republik Kelima yang bercirikan kedudukan Presiden yang lebih kukuh. Selaku presiden Republik Kelima, Charles de Gaulle berupaya memastikan perpaduan negara sambil mengambil langkah menamatkan perang. Perang Algeri dan Perang Saudara Perancis-Perancis yang terletus di ibu kota Algiers, diakhiri dengan rundingan damai pada tahun 1962 yang membolehkan kemerdekaan Algeria.

Kebelakangan ini, pendamaian dan kerjasana Perancis dengan Jerman terbukti penting kepada persepaduan politik dan ekonomi untuk evolusi Kesatuan Eropah, termasuk pengenalan matawang euro pada bulan Januari 1999. Perancis telah menerajui negara-negara ahlu Kesatuan Eropah yang hendah memperoleh faedah daripada kekuatan kesatuan kewangan ini untuk mencipta sistem politik, pertahanan dan keselamatan Kesatuan Eropah yang lebih bersatu dan berkebolehan. Namun, para pengundi Perancis tidak merestui ratifikasi Perjanjian Perlembagaan Eropah pada Mei 2005.