Sejarah Sekolah Melayu di Negeri Perak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Sejarah Sekolah Melayu di Negeri Perak

Tujuan utama diwujudkan sekolah Melayu sekitar tahun 1800-an adalah untuk membasmi buta huruf dalam kalangan kanak-kanak Melayu seramai yang mungkin. Inilah yang menjadi dasar sekolah-sekolah Melayu pada awalnya. Mungkin kerana itu juga had umur minimum kanak-kanak yang belajar di sekolah Melayu pada zaman awal tidak dihadkan. Hitung panjang umur kanak-kanak ke sekolah di negeri Perak pada tahun 1890 ialah 9.2 tahun dan tiada yang di bawah umur 6 tahun. Namun demikian, ada yang berumur 18 tahun.

Negeri Perak tidak mencontohi negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang mengadakan undang-undang mewajibkan kanak-kanak lelaki Melayu berumur antara 7 dan 14 tahun, yang tinggal dalam lengkungan dua batu dari sekolah Melayu hadir ke sekolah. Namun begitu, penghulu-penghulu di negeri Perak menjalankan daya usaha sendiri untuk menggalakkan kanak-kanak belajar di sekolah.

Pada lazimnya, sekolah Melayu ditubuhkan apabila ada permintaan daripada penghulu mukim atau ketua kampung supaya sekolah Melayu diwujudkan. Biasanya penghulu dan ketua kampung didesak oleh ibu bapa di sesebuah kampung supaya mendirikan sekolah Melayu. Sekolah-sekolah tersebut diwujudkan dengan syarat tidak kurang daripada 20 orang murid. Biasanya sesebuah sekolah Melayu yang ditubuhkan di sesuatu tempat, bangunannya disewa lebih dahulu dalam tempoh satu atau dua tahun. Bangunan sekolah yang tetap akan didirikan selepas mendapat laporan daripada Nazir Sekolah terlebih dahulu dan mendapat persetujuan daripada Orang Besar Perak di daerah atau mukim setempat. Pada zaman itu, bentuk bangunan sekolah Melayu lebih menampakkan kedesaan atau kekampungan Melayu, iaitu bumbung lima atau bumbung memanjang. Atapnya daripada daun rumbia, daun bertam atau daun nipah. Dindingnya daripada pelupuh buluh atau kulit bertam yang direndam dalam sungai atau tasik selama kira-kira seminggu sebelum dianyam berkelarai.

Pada zaman awal pemerintahan Inggeris, penubuhan Sekolah Melayu bertujuan untuk memberikan pelajaran kepada anak-anak Melayu menerusi bahasa ibunda mereka. Pada ketika itu, anak-anak Melayu perlu menerima pelajaran demi mencari nafkah sebagai nelayan, petani, penoreh getah, pekedai, dan yang berkaitan dengan pekerjaan kampung. Untuk mencapai tujuan ini, mata pelajaran yang diajarkan dihadkan kepada sistem 3R, iaitu membaca, menulis, dan mengira, termasuk Ilmu Asas, dan karangan. Di samping itu, pengetahuan tatatertib kesopanan ditekankan agar semua murid rajin, taat setia, dan menepati masa.

Peperiksaan dijalankan untuk menguji bacaan, tulisan, dan Kira-kira. Semua pelajaran tersebut bertujuan untuk memudahkan pentadbiran Inggeris. Cara pendidikan sedemikian telah berjalan hingga menjelang tahun 1956.

Tahun 1916 ialah tahun yang penting dalam perkembangan Sekolah Melayu. Laporan seorang pegawai pentadbir Malaya, R.O. Winstedt menjadi satu titik pemisahan antara zaman permulaan sekolah Melayu dengan zaman awal pemerintahan Inggeris. Selain syor beliau untuk menubuhkan sebuah maktab perguruan tunggal bagi semua guru pelatih di Tanah Melayu, satu polisi turut dirangka untuk mewujudkan satu sistem pelajaran yang baik bagi Sekolah Rendah Melayu, iaitu kurikulum yang berhubung rapat dengan alam keliling kanak-kanak Melayu.

Walaupun Negeri-negeri Selat telah mempunyai Inspektor Sekolahnya sejak tahun 1872 tetapi hanya pada tahun 1890, seorang guru sekolah telah dilantik sebagai Inspektor Sekolah di Pejabat Pelajaran Perak. Sementara itu, pelantikan Guru Pelawat telah dilaksanakan pada bulan Mac pada tahun tersebut. Semenjak itu, sekolah-sekolah di negeri Perak telah berkembang dengan pesatnya.


Jajahan 1889 1890 1891 1892 1893 1894
Larut - 1 8 14 17 19
Kuala Kangsar 1 3 7 8 9 12
Hulu Perak - - 1 1 1 3
Kinta 1 4 5 6 7 8
Batang Padang - 1 3 4 6 6
Hilir Perak - 6 9 11 11 12
Krian 6 8 10 10 11 10
Selama 1 4 5 5 5 5
Jumlah 9 27 47 59 67 75

Jadual 1: Sekolah yang Dibina Mengikut Jajahan

Sumber: Perak Annual Report, 1890-1892

  • Jajahan Dinding yang dahulunya sebahagian daripada negeri Pulau Pinang, kini merupakan sebahagian daripada jajahan dalam negeri Perak.


Tahun Banyak Sekolah Keramaian H.P. Kedatangan H.P.
1889 9 251 160
1890 27 821 543
1891 47 1,963 1,549
1892 59 2,477 1,612
1893 67 2,648 1,911

Jadual 2: Keramaian Murid Seluruh Negeri Perak

Sumber: Perak Annual Report,1890-1892

  • Hitung panjang ialah kiraan rata bagi keramaian dan juga kedatangan. Keramaian hitung panjang bukanlah berdasarkan banyak murid yang didaftarkan di sesebuah sekolah.


Tahun Bil.Sekolah Keramaian H.P. Kedatangan H.P.
1909 171 - 7,864
1910 171 9,188 7,227
1911 180 10,061 -
1912 184 10,295 7,391
1913 191 9,898 7,736
1914 194 9,975 7,600
1915 193 9,203 7,650

Jadual 3: Jumlah Sekolah dan Murid, 1909-1915

Sumber: Perak Administration Report, 1906-1915


Pada tahun 1919, barulah Penolong Nazir Sekolah-sekolah Melayu di negeri Perak dilantik bagi menggantikan sistem lama Guru Pelawat dan tugasnya seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Pelajaran 1936.

Tujuan asal penjajahan Inggeris dalam pendidikan sekolah Melayu menjelang Perang Dunia Kedua adalah untuk menjadikan anak-anak petani atau nelayan yang berpelajaran di samping berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan seperti peon, mandor, kerani kecil, drebar, askar, polis, dan buruh kasar. Sementara mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke darjah 6 atau darjah tambahan yang mula diadakan pada tahun 1931, dilantik sebagai guru Sekolah Melayu.

Perkembangan pelajaran perkebunan dan perusahaan membuat bakul telah menjadi pelajaran tradisi sekolah Melayu sebelum Laporan Razak 1956. Perkembangan tersebut adalah selaras dengan bidang pelajaran yang rural bias yang diperlukan untuk mendapat sijil berhenti sekolah.


Tahun Bil.Sekolah Keramaian H.P Kedatangan H.P Guru
1930 209 15,582 14,083 -
1931 212 15,606 14,223 600
1932 213 15,733 14,372 562
1933 211 15,006 13,595 554
1934 211 16,382 15,088 564
1935 222 17,430 16,074 583
1936 224 19,109 17,738 620

Jadual 4: Jumlah Sekolah, Murid, dan Guru, 1930-1936

Sumber: Federated Malay States Annual Report, 1931-1936


Selain dasar yang diwarisi daripada sistem pelajaran sebelum perang, negeri Perak tidak mempunyai dasar pelajaran dan pendidikan yang tetap dan progresif. Keadaan ini amat merugikan kanak-kanak Melayu seperti yang terkandung dalam Penyata Pelajaran 1938, iaitu ibu bapa Melayu:

“...dengan sukarela menghantar anak2 mereka ka-sekolah Kuran untuk mendapatkan didekan ugama, atau ka-sekolah Inggeris untok kebajikan mata benda, tetapi tidak ka-sekolah Melayu kerana sadikit pun tidak memberi faedah dunia atau akhirat...”

(Aminuddin Baki. Pendidekan dan Pelajaran Kebangsaan Malaya. Mastika. Singapura. Julai 1952. ms 11.)


Kesedaran terhadap pelajaran Melayu terbit daripada semangat perjuangan atau pergolakan orang Melayu ketika menuntut kemerdekaan dan menentang Malayan Union. Kesedaran tersebut hasil daripada seruan atau dakwah para ulama seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Ustaz Abu Bakar Albaqir, dan guru-guru Melayu lepasan Maktab Latihan Melayu Matang, Taiping (1913) dan Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim (1922). Negeri Perak yang mempunyai tiga buah persatuan guru, iaitu Persekutuan-persekutuan Guru-guru Melayu Perak Utara, Kuala Kangsar dan Perak Selatan telah bersatu menjadi Persekutuan Guru-guru Melayu Perak dan bergabung dalam Kesatuan Persekutuan Guru-guru Melayu Semenanjung (KPGMS) pada 13 April 1946 yang bertujuan meluas, meninggikan, memajukan pelajaran, dan menjaga muslihat guru-guru Melayu.

Kemuncak kegelisahan orang Melayu terhadap sistem pelajaran rendah Melayu telah bermula daripada pemogokan yang diadakan oleh penuntut-penuntut SITC pada tahun 1951. Ekoran daripada peristiwa tersebut, Jawatankuasa Pelajaran Melayu telah ditubuhkan dan sekolah-sekolah Melayu terus bertambah bagi menampung permintaan kanak-kanak Melayu. Pertambahan ini telah menjangkau sejumlah 52,901 orang pada tahun 1956 dengan 353 buah sekolah berbanding pada tahun 1946 sejumlah 24,558 orang dengan 224 buah sekolah sahaja.

Di negeri Perak sahaja sebanyak 97 buah sekolah Melayu telah dibinakan dalam tempoh tersebut. Seterusnya, 322 buah sekolah Melayu telah dibina sejak tertubuhnya Sekolah Matang Gelugor, di Matang, yang merupakan sekolah Melayu pertama didirikan di negeri Perak pada tahun 1826. Sementara sekolah Melayu yang terawal dibina di daerah Perak Tengah hanya ada tujuh buah, iaitu Sekolah Melayu Bota Kiri (1881), Sekolah Melayu Belanja (1892), Sekolah Melayu Layang-layang Kiri (1896), Sekolah Melayu Tok Pelita (1896), Sekolah Melayu Pasir Panjang Ulu (1896), Sekolah Melayu Bandar (1896), dan Sekolah Melayu Lambor Kanan (1898). Hanya tiga daripada sekolah tersebut terletak di DUN Bota, iaitu Sekolah Melayu Bota Kiri (1881), Sekolah Melayu Layang-layang Kiri (1896), dan Sekolah Melayu Lambor Kanan (1898).


Tahun Bil.Sekolah Keramaian H.P Kedatangan H.P
1946 224 24,558 22,102
1947 233 28,930 27,051
1948 249 35,275 32,451
1949 266 38,277 35,251
1950 285 44,215 40,749
1951 312 45,679 42,598
1952 334 49,773 46,372
1953 352 51,279 47,930
1954 356 49,261 45,630
1955 354 52,652 48,630
1956 353 52,901 48,256


Jadual 5: Perkembangan Sekolah Melayu Sesudah Perang

Sumber: Annual Report on Education, Federation of Malaya, 1948-1956


Penubuhan Sekolah Kebangsaan Padang Tenggala

Mohd. Nor Long dalam buku Sejarah Perkembangan Sekolah-sekolah Melayu Negeri Perak (sebelum merdeka), menyatakan bahawa kehadiran kanak-kanak Melayu ke sekolah pada tahun 1946 hingga tahun 1956, laksana kalkatu mengejar cahaya. Senario ini merupakan hasil kesedaran semangat kebangsaan orang Melayu dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Kesedaran tersebut telah mewujudkan Sekolah Melayu Padang Tenggala pada tahun 1948. Bangunan asal sekolah tersebut didirikan dengan kerjasama para penduduk Kampung Padang Tenggala, Bota. Pada masa itu, mereka di bawah pimpinan Orang Besar Tiga Puluh Dua, Tok Sakna Bongsu Syed Harun bin Syed Alang Jusoh yang juga Ketua Kampung Padang Tenggala.

Bangunan asal sekolah tersebut ialah bangunan kayu, beratapkan daun rumbia, dan berdindingkan buluh pelupuh atau tepas yang disusun jarang-jarang dan didirikan di atas sebidang tanah berhampiran kawasan Masjid Raisiah, Padang Tenggala. Tanah tersebut telah diberikan kebenaran untuk diguna pakai sementara sebagai tapak sekolah oleh Tok Sakna Bongsu, Syed Harun bin Syed Alang Jusoh.

Sekolah Melayu Padang Tenggara dirasmikan pembukaannya pada 15 Ogos 1948. Pada peringkat awal sekolah tersebut mempunyai kira-kira 100 orang murid daripada darjah 1 hingga 5. Pada masa itu hanya ada empat orang guru yang mengajar di sekolah tersebut, iaitu Guru Besar Cikgu Mior Shaharuddin bin Mior Ahmad, Cikgu Mior Muhammad bin Mior Ahmad, Cikgu Yahya bin Mat Akap, dan guru agama Islam Mior Abdullah bin Mior Ahmad.

Bangunan sekolah yang baharu telah dibina di atas tanah tapak sekolah sekarang pada 28 Januari 1955 bagi menggantikan bangunan sekolah asal. Bangunan tersebut dibina di atas sebidang tanah seluas 3.5 ekar, Lot 195 dan Lot 196 yang telah dibeli oleh Pejabat Pelajaran Negeri Perak semasa kerajaan British pada tahun 1954 daripada dua orang penduduk Kampung Padang Tenggala, iaitu Tok Sidang Ramli bin Uda Aji dan Kulop Jusoh. Sementara menunggu bangunan sekolah baharu itu siap dan untuk menampung lebih banyak murid, maka bahagian bawah rumah Guru Besar Sekolah Melayu Padang Tenggala telah dijadikan kelas-kelas sementara manakala sekitar kawasan rumahnya telah dijadikan kebun sayur yang diusahakan oleh murid-muridnya.

Bangunan sekolah yang baharu, yang mula digunakan pada 6 Jun 1955 merangkumi sebuah bangunan separuh kekal yang mempunyai lima buah bilik darjah. Sejak dibuka hingga kini, bangunan sekolah tersebut telah beberapa kali mengalami proses naik taraf dan baik pulih.

Sekitar tahun 1990-an, sekolah ini telah memperoleh bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah bangunan yang lebih besar. Bangunan tersebut masih wujud hingga sekarang, iaitu bangunan tambahan yang mempunyai empat (4) buah bilik darjah dan pejabat guru besar.

Berdasarkan catatan sejarah Sekolah Kebangsaan Padang Tenggala sejak dibuka hingga kini, sejumlah 14 orang guru besar telah berkhidmat di sekolah ini. Cikgu Sarah binti Mahmud merupakan guru besar yang ke-14. Beliau mula berkhidmat di sekolah ini pada 16 Januari 2010 bagi menggantikan Cikgu Che Zauyah binti Ali.

Pada tahun 2010, Sekolah Kebangsaan Padang Tenggala mempunyai 10 orang guru dan 30 orang murid daripada darjah 1 hingga darjah 6 dengan kemudahan enam bilik darjah. Kemudahan lain yang terdapat di sekolah ini antaranya termasuklah bilik pemulihan, bilik sains, bilik kemahiran hidup, dan bilik komputer.


Nama Baharu Sekolah Kebangsaan Padang Tenggala

Pada 10 Mac 2010, pertukaran nama sekolah ini telah diluluskan daripada Sekolah Kebangsaan Padang Tenggala kepada Sekolah Kebangsaan Cikgu Mior Shaharuddin. Kelulusan ini tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), iaitu mengikut peraturan P.U. (A) 534/97, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendaftaran Institusi Pendidikan) 1997. Perubahan nama ini telah dipersetujui sebulat suara oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini melalui usul Sayed Chek bin Sayed Mohammad dalam Mesyuarat Agung PIBG kali ke-30, pada 27 Mac 2009, agar Sekolah Kebangsaan Padang Tenggala ditukarkan kepada nama baharu, iaitu Sekolah Kebangsaan Cikgu Mior Shaharuddin. Pertukaran nama tersebut adalah untuk mengenang jasa Cikgu Mior Shaharuddin bin Mior Ahmad yang telah berkhidmat selama 20 tahun sebagai guru besar pertama di sekolah ini, iaitu dari tahun 1948 hingga 1968.