Sejarah Selangor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pada abad ke-15, Selangor terletak di bawah pemerintahan Melaka. Selepas kejatuhan Melaka, ia menjadi rebutan antara penjajah Portugis, Johor, Aceh dan Siam. Selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka, mereka membawa masuk askar upahan Bugis dari Sulawesi.

Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir serta Perang Kelang ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur.

Pada 1896, Residen Frank Swettenham bertanggungjawab menyatukan Selangor dengan Negeri Sembilan, Perak dan Pahang untuk membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan ibu negeri Selangor, Kuala Lumpur sebagai pusatnya. Negeri-negeri Bersekutu ini menjadi Persekutuan Malaya pada 1948 dan seterusnya Persekutuan Malaysia pada 1963. Pada 1974, Selangor melepaskan Kuala Lumpur kepada kerajaan persekutuan untuk dijadikan ibu negara. Hal ini terjadi semula terhadap Putrajaya pada 1995. United Estate Project seterusnya telah dijalankan untuk memajukan ladang kelapa sawit yang sebelumnya ladang getah dan kawasan perlombongan bijih timah kepada USJ dan Sungei Way-Subang (SS) yang terletak di daerah Petaling dan Shah Alam. Projek ini merupakan usaha antara syarikat Sime Darby dengan kerajaan negeri Selangor kerana ladang-ladang dan lombong merosot.

Kini, Selangor seluas 7,956 km persegi dan mempunyai penduduk yang paling banyak di Malaysia. Pada 2005, Menteri Besar Selangor mengumumkan status negeri maju terhadap Negeri Selangor Darul Ehsan.

Prasejarah dan zaman kuno[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan kajian, terutamanya penemuan arkeologi, perkembangan awal sejarah dan kebudayaan Selangor boleh dilihat seawal zaman Neolitik, dan kemudiannya terus berkembang pada zaman logam dan protosejarah.[1] Pada abad ke-20, berlakunya penemuan beberapa artifak seperti gendang gangsa Dong Son di kawasan-kawasan sekitar Klang. Peralatan-peralatan logam prasejarah juga ditemui di kawasan Klang. Walau bagaimanapun, akibat kekurangan bukti, perihalan masyarakat prasejarah ini tidak dapat dihuraikan secara lengkap, melainkan dapatan bahawa masyarakat ini menggiat dalam menangkap ikan.[2]

Pada 1977, sebuah penemuan arkeologi berlaku di lombong timah Kampung Jenderam Hilir yang membawa kepada penemuan artifak-artifak Neolitik selewat 2,500 SM.[3] Berdasarkan artifak-artifak yang ditemui, dianggap bahawa penduduk Neolitik di sini cenderung mengamalkan gaya hidup bertetap, dan mungkin mengamalkan pertanian. Selain itu, tinggalan tembikar berkaki tiga juga ditemui, dan disahkan merupakan rekaan masyarakat itu sendiri. Penemuan ini menjadi asas kepada hipotesis suatu budaya tembikar setempat di kawasan Semenanjung Malaysia, beserta dengan penemuan serupa di utara Malaysia serta kawasan Thailand.[4]

Tidak banyak rekod arkeologi ditemui daripada zaman kuno. Penemuan serpihan kayu di tapak arkeologi Jenderam Hilir membawa kepada pengesahan petempatan di tebing Sungai Langat pada abad kelima Masihi.[4]:35 Zaman kuno Selangor dikaitkan dengan pengusahaan bijih timah yang tertumpu di kawasan Sungai Klang dan Langat, dan berterusan hingga zaman pertengahan, seiring dengan perkembangan perdagangan maritim Asia Tenggara dan empayar sekitar seperti Srivijaya.[4]

Zaman Majapahit dan Melaka[sunting | sunting sumber]

Rekod bertulis terawal berkenaan Selangor hanya wujud sejak abad ke-14. Petempatan Klang disebut dalam puisi Nagarakretagama daripada seorang pujangga kerajaan Majapahit pada 1365, yang menandakan Klang sebagai antara petempatan jajahan Majapahit.[5]

Pada abad ke-15, beberapa petempatan seperti Klang, Jeram, Langat dan Jugra telah muncul di bawah perintah Kesultanan Melaka melalui pembesar-pembesar tempatan.[6] Tun Perak, anak bendahara Melaka Tun Perpatih Sedang, dilantik oleh Sultan Muzaffar Shah (1446-1459) pada 1446 sebagai penghulu Klang. Jeram pula pernah ditadbir oleh Paduka Mamat, putera Sultan Mansur Shah (1459-1477).[6] Dalam Sejarah Melayu, tercatat peristiwa kunjungan Tun Jana Khatib dan tuan jajahan Buguran dan Selangor menemui Paduka Seri Maharaja, pemerintah Singapura pada abad ini.[5] Laksamana Cheng Ho turut mencatatkan kedudukan Selangor dan juga Klang di dalam peta pelayarannya. Ini membuktikan bahawa Selangor telah dikenali ketika itu dengan Klang yang berfungsi sebagai pusat perdagangan utamanya.[1]

Pasca-Melaka[sunting | sunting sumber]

Setelah penaklukan Melaka oleh Portugis, pentadbiran petempatan-petempatan di Selangor mula diserah ke keturunan diraja Johor (yang terwaris daripada keturunan Melaka) seperti yang berlaku di petempatan Kuala Selangor dan Klang.[7]

Kedatangan Bugis[sunting | sunting sumber]

Pada abad ke-17, bermula kemunculan orang Bugis di Selangor, meskipun tak dapat dipastikan ketua asal mereka.[8] Apapun begitu, kehadiran warga Bugis di Selangor turut disertai lima raja Bugis bersaudara yang memiliki pengaruh kuat terhadap perang-perang di Nusantara sepanjang awal abad ke-17. Masyarakat Bugis di Selangor diketahui memiliki hubungan kuat dengan warga Bugis di Riau, dan juga sering dikerah bagi tujuan perang seperti menggulingkan Raja Kechil di Riau dan kerabat Sultan Perak.[9]

Kesultanan awal[sunting | sunting sumber]

Daeng Chelak, salah satu daripada raja Bugis saudara ini, yang menjadi pemerintah Riau pada 1740-an bertindak menabalkan anakandanya, Raja Lumu sebagai Yamtuan Selangor pada 1743. Ini menjadikannya sebagai raja pertama Selangor, dan bermulanya kesultanan Selangor. Walau bagaimanapun, rekod terawal pengiktirafan pemerintahan sendiri Selangor paling awalnya 1756. Pengiktirafan ini diberikan oleh kerabat Perak dengan gelaran Raja Selangor.[10] Baginda berkahwin dengan adik anak saudara Sultan Perak pada 1766, dan pada November tahun sama, diiktiraf sebagai Sultan oleh kerabat Perak.[11] Zaman ini menampakkan perancakan industri perlombongan timah yang menarik perhatian pedagang asing, tetapi terbitnya konflik dengan Belanda akibat konflik harga jual beli timah di Selangor yang mengganggu hubungan dengan Belanda.[12] Sultan kedua, Sultan Ibrahim Shah dilantik setelah kemangkatan ayahandanya oleh ayahanda saudara Raja Haji Fisabilillah pada 1778.

Permulaan zaman kolonial[sunting | sunting sumber]

Pemerintahan Sultan Ibrahim Shah diganggu kerengganan hubungan Raja Haji dengan pihak kolonial Belanda berikutan suatu konflik maritim yang menimbulkan amarahnya pada 1782 lalu membawa kepada konflik di Riau dan Melaka yang turut disertai Ibrahim Shah, di samping lanjutan konflik jualan timah di Selangor.[13][14] Kemuncak konflik berlaku pada 13 Julai 1784 ketika pihak Belanda menyerang Kuala Selangor sebagai balas dendam terhadap Ibrahim Shah sehingga berjaya menawan tempat itu, menyebabkan kerabat baginda terpaksa berundur ke Pahang.[15] Sungguhpun begitu, Kuala Selangor berjaya ditakluki semula pada tahun berikutnya dengan bantuan Pahang.[16] Meskipun begitu, Kuala Selangor dikepung pihak Belanda tidak lama kemudian, membawa kepada suatu krisis makanan serta terhalang perdagangan di antara Selangor dan Melaka. Isu ini selesai pada 1786 dengan termeterai perjanjian antara Selangor dan Belanda.[17]

Sejak akhir abad ke-18, pihak Selangor mula berhubung dengan kolonial British yang mula bertapak di Semenanjung.[18] Hubungan ketara dengan British bermula pada 1818 dengan termeterai perjanjian ekonomi yang membenarkan perniagaan sesama pihak British (di Pulau Pinang) serta rakyat Selangor di kedua-dua belah pihak.[19][20] Satu lagi krisis timbul pada awal 1800-an antara pihak Selangor dan Perak, lalu membawa kepada perang di kawasan Sungai Perak pada 1804.[21] Konflik ini menyebabkan kawasan Perak berada di bawah penguasaan Sultan Ibrahim, dan konflik berterusan hingga perjanjian dimeterai dengan British pada 1825.[22] Sultan Ibrahim mangkat pada 1826 dan takhta diwarisi oleh Sultan Muhammad Shah.

Sultan Muhammad diketahui memiliki penguasaan yang lemah terhadap pembesar-pembesar negeri sehingga Selangor berpecah kepada beberapa badan tadbiran tempatan.[22][23] Isu ini ditambah lagi dengan ketiadaan pelantikan Raja Muda yang membawa kepada konflik perebutan untuk mewarisi pemerintahan Sultan Muhammad.[24] Walau bagaimanapun, pemerintahannya menyaksikan perkembangan industri bijih timah yang membawa kepada pembukaan serta kemajuan petempatan-petempatan tumpuan lombong seperti Lukut, Ampang dan Lumpur (Kuala Lumpur) yang dikawal oleh pembesar tempatan. Ini juga membawa kepada pembawaan buruh Cina ke Selangor untuk mengerjakan lombong-lombong ini. Akan tetapi, perkembangan industri ini membawa masalah-masalah seperti pemerasan buruh oleh pembesar. Ini membawa kepada isu seperti serangan antara kaum Cina-Melayu di Lukut pada 1834 yang membunuh warga pembesar Lukut serta masalah jangkitan seperti malaria.[25]

Sultan Abdul Samad[sunting | sunting sumber]

Ketiadaan pelantikan Raja Muda selepas kemangkatan Sultan Muhammad pada 1857 menyebabkan suatu kekosongan kuasa pemerintah, dan anakanda Sultan Muhammad, Raja Mahmud, masih terlalu muda untuk berkuasa. Setelah penilaian, menantu Sultan Muhammad, Raja Abdul Samad, ditabalkan dengan persetujuan kerabat.[26] Sumber-sumber menyatakan bahawa kekosongan ini berlanjutan selama dua tahun.[27] Namun, baginda hanya memiliki kekuasaan di kawasan Langat, dengan kawasan Selangor lain ditadbir oleh pembesar-pembesar tempatan, dan dikatakan tidak banyak menumpukan perhatian terhadap pemerintahan negeri.[28][29] Walau bagaimanapun, industri perlombongan timah tetap berkembang. Perkembangan ini juga membawa kepada lanjutan bawaan buruh Cina ke Selangor, tetapi ini juga mula menerbitkan masalah terbitan kedatangan kongsi gelap.[29]

Perang Klang dan permulaan zaman British[sunting | sunting sumber]

Pintu masuk kubu pertahanan Raja Mahdi, dibina pada 1866.

Pada 1854, Sultan Muhammad melantik Raja Abdullah sebagai pembesar kawasan lombong Klang, menggantikan Raja Sulaiman.[30] Ini menimbulkan kemarahan terhadap anakanda Raja Sulaiman, Raja Mahdi (juga cucunda Sultan Muhammad), terutamanya ketika lombong yang diusahakan Raja Muhammad menjadi maju. Hal ini menimbulkan cubaan untuk menguasai lombong ini.[31] Pada 1866, Raja Abdullah melantik pedagang bagi tujuan mengutip cukai bagi perdagangan candu di Klang lalu membawa lagi kemarahan Raja Mahdi yang menolak pengutipan itu.[31] Ketegangan turut disertai golongan kongsi gelap yang turut berebut kawalan perlombongan biji timah, dengan kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin lama-kelamaan masing-masing berpihak kepada pihak Raja Abdullah dan Raja Mahdi.

Selain itu, ketegangan juga berlaku antara kelompok Bugis Selangor dan kelompok Batu Bara dari Sumatra.[32] Konflik ini terbit dalam keengganan Raja Abdullah untuk menghukum seorang pegawai Bugis yang membunuh seorang warga Batu Bara, menyebabkan ketua Batu Bara, Mohamed Akib untuk berpihak kepada Raja Mahdi sekiranya ingin melawan Raja Abdullah. Dengan ini, puak Raja Mahdi meyerang dan menakluki Klang pada 1967. Kerabat Raja Abdullah melarikan di ke Melaka hingga kematiannya, di mana pertempuran diwarisi anaknya, Raja Ismail dan Raja Hasan.

Pada tahun sama, putera Kedah, Tengku Kudin berkahwin dan menjadi sebahagian kerabat raja Selangor, dan dilantik Sultan Abdul Samad untuk merunding hal-ehwal pertelingkahan mereka. Walau bagaimanapun, Raja Mahdi menolak permintaannya, menyebabkan beliau berpihak kepada puak Raja Ismail. Selain itu, puak Batu Bara berpaling daripada Raja Mahdi akibat kegagalannya untuk menunaikan janjinya setelah menakluki Klang, dan mula berpihak kepada Tengku Kudin lalu menakluki semula Klang pada 1870. Raja Mahdi kemudiannya menakluki Kuala Lumpur pada 1872, tetapi ditakluki semula pada 1874 dengan bantuan Pahang. Dengan ini, Raja Mahdi kalah dan lari ke Johor dan menetap di sana hingga kematiannya.

Ketika ini, campur tangan British semakin ketara di Selangor atas kebimbangan kesan perang Klang terhadap kegiatan ekonomi bijih timah mereka. Dengan ini, mereka bertindak memberi bantuan kepada Tengku Kudin. Lama-kelamaan, kerabat diraja Selangor mula membawa Residen British sebagai pentadbir kolonial tertinggi. Pada Ogos 1974, Sultan Abdul Samad melantik Frank Swettenham sebagai penasihatnya, dan kemudiannya James Guthrie Davidson sebagai Residen pertama rasmi, dan mempunyai hubungan rapat dengan Tengku Kudin.

Pemerintahan British[sunting | sunting sumber]

Dalam pemerintahan baharu British, Klang secara rasminya menjadi ibu kota Selangor, tetapi kurang berkembang memandangkan pemerintahan baharu masih kurang menyesuaikan diri dalam memerintah Selangor, dan pembesar belum rapat dengan pihak British. Apapun begitu, Majlis Mesyuarat Negeri ditubuhkan pihak Douglas pada 1877 sebagai platform pemerintahan British, dan berada di bawah kuasaan Gabenor Singapura.[33] Pembangunan dan ekonomi menjadi lebih rancak ketika ibu kota dipindah ke Kuala Lumpur, dan Frederick Weld mula menggalas tugas sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat pada 1880.[34] Pada 1886, laluan kereta api pertama dibina di Selangor, yakni laluan Kuala Lumpur—Kuala Muda, dan tidak lama kemudian, disambung ke Klang pada 1890, diikuti pelbagai laluan kereta api lain.[35] Kegiatan pendidikan juga merancak, dengan sekolah-sekolah agama dan Melayu mula dibina di Selangor selepas perang.[36]

Istana Mahkota Puri

Selangor, dengan wilayah-wilayah lain, dimasukkan ke dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) oleh British pada Julai 1895, dengan Kuala Lumpur menjadi ibu kota.[37] Sultan Abdul Samad mangkat pada 1898, dan digantikan dengan cucundanya sebagai Sultan Alauddin Sulaiman Shah (anakanda Raja Muda Raja Musa yang meninggal dunia pada 1884). Pemerintahan baginda menampilkan pembangunan pesat infrastruktur negeri, termasuk perumahan dan pengangkutan, terutamanya di Kuala Lumpur dan Klang.[1] Pada 1901, kawasan pelabuhan tempatan di muara Sungai Klang dinaik taraf oleh Residen Frank Swettenham menjadi Port Swettenham, dan menjadi pelabuhan terpenting Selangor, dan kemudiannya Malaysia moden sebagai Pelabuhan Klang.[38] Sepanjang awal abad ke-20, bijih timah dan getah menjadi punca ekonomi utama Selangor, diikuti dengan kemunculan ekonomi baharu seperti arang batu, padi dan kelapa sawit.[39]

Walau bagaimanapun, sistem dan perlembagaan NNMB menimbulkan beberapa masalah, terutamanya autonomi kewangan yang dilihat menyebelahi pihak persekutuan sehingga menjejaskan kerajaan negeri, dan dilihat sebagai usaha pengukuhan penguasaan British ke atas Selangor dan Tanah Melayu secara am.[40] Pada 1905, istana baharu Selangor telah dibina olehnya, Istana Mahkota Puri, dan menjadi tempat bersemayam baginda hingga mangkat pada 1938.

Zaman 1930-an memperlihatkan kerancakan peristiwa sosial dan politik di Selangor. Komuniti-komuniti sekaum mula menjadi terorganisasi, dengan pertubuhan-pertubuhan kaum utama mula terbentuk, seperti Persatuan Melayu Selangor dan Central Indian Association of Malaya.[41] Parti Komunis Malaya (PKM) pula ditubuhkan pada 1930, dan menumpukan perluasan pengaruh kepada komuniti Cina di estet-estet sekitar negeri sehingga mencetuskan mogok pekerja dari semasa ke semasa.[42]

Sementara itu, Raja Muda Tengku Musa Eddin meninggalkan jawatannya pada 31 Oktober 1934.[43] Dalam catatan Sejarah Selangor, kejadian tersebut dikatakan berlaku atas hasutan Residen Theodore Samuel Adams (1885–1961; memegang jawatan 1935-1937) kerana dakwaan "kelakuan buruk", termasuk tuduhan sebagai pemboros dan gemar berjudi. Bagaimanapun, naratif utama orang Melayu di Selangor ialah Tengku Musa Eddin enggan menuruti arahan Adams.[44] Dengan itu, perbincangan diraja dibuat unutk menggantikannya, dan mesyuarat para pembesar pada 28 November menetapkan sokongan majoriti terhadap Tengku Laksamana Alam Shah berbanding anakanda seterusnya, Tengku Panglima Besar Tengku Badar, dan selesai ditabalkan pada 6 Julai 1936.[45] Sultan Alauddin mangkat pada 31 Mac 1938, dan Raja Muda Alam Shah ditabalkan menjadi Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Zaman Jepun[sunting | sunting sumber]

Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah ibni Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah

Tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua berjaya menakluki kawasan Selangor tanpa halangan besar. Tentera Jepun dengan mudah menakluki Kuala Lumpur pada Januari 1942 selepas melumpuhkan British dalam pertempuran Slim River sehingga British secara amnya berputus asa mempertahankan kawasan Selangor dan berundur ke selatan.[46][47]

Dalam peringkat kesultanan, penaklukan Jepun di Tanah Melayu pada 1940-an melihatkan penukaran Sultan Selangor atas kehendak Jepun. Dalam pertemuan dengan pihak Jepun pada 15 Januari 1942, Sultan Hisamuddin baginda mengaku bahawa baginda telah membuat ucapan dukungan terhadap British, tetapi dikatakan dipujuk oleh Residen untuk berbuat demikian. Dengan itu, Sultan Hisamuddin Alam Shah telah disingkirkan oleh pihak Jepun, dan pihak tentera Jepun mengisytiharkan Tengku Musa Eddin sebagai Sultan Selangor sebagai Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah.[48] Pertabalannya dilakukan pada November 1943 dengan kehadiran pembesar dan pegawai tentera Jepun. Walau bagaimanapun, baginda tidak memiliki sebarang kuasa ketara ketika pentadbirannya, menyebabkan fokus baginda hanya ditumpukan kepada kerabatnya sepanjang pertabalannya.

Dalam pemerintahan Jepun, kegiatan politik Jepun terus meningkat; Liga Kemerdekaan India membuka cawangan di Kuala Lumpur pada awal zaman Jepun, sementara PKM menonjolkan diri sebagai penyelamat, dan berkembang menjadi parti dengan pentadbiran lebih tersusun.[49]

Setelah pengunduran Jepun pada 1945, Sultan Musa telah dilucutkan takhta oleh British di bawah Lord Louis Mountbatten selepas kuasa British kembali, dan digantikan semula oleh Sultan Hisamuddin. Baginda kemudiannya dibuang negeri ke Kepulauan Cocos (Keeling). Baginda hanya dibawa pulang ke Selangor selama beberapa bulan sebelum kemangkatan baginda pada 1955.

Pascakemerdekaan[sunting | sunting sumber]

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu merdeka daripada tadbiran British. Sultan Hisamuddin kekal sebagai Sultan Selangor selepas kemerdekaan, dan menjadi timbalan jawatan ketua negara baharu, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), di bawah Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan.[50] Baginda menjadi YDPA selepas kemangkatan Tuanku Abdul Rahman pada 14 April 1960. Walau bagaimanapun, baginda mangkat hanya beberapa bulan kemudian pada 1 September; satu tindakan penting baginda selaku YDPA ialah pengisytiharan penamatan Darurat Tanah Melayu pada 30 Julai. Baginda disemadikan pada 3 September di Makam Diraja. Anakandanya, Tengku Abdul Aziz Shah kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pada 10 Mei 1969, pilihan raya umum negara menyaksikan Perikatan hilang majoriti di Selangor, di samping beberapa negeri lain. Hal ini menjadi pencetus kepada serangan politik—rasis antara pihak Parti Tindakan Demokratik (DAP) majoriti Cina dengan pihak Melayu sehingga membawa kepada rusuhan kaum Melayu—Cina, kini dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei, terutamanya di kawasan Lembah Klang. Peristiwa ini memaksa Tun Abdul Razak meletak jawatan serta pelbagai tindakan yang memberi kesan terhadap seluruh negara, termasuk pengisytiharan darurat negara yang hanya dibubarkan pada 1973.

Wilayah Persekutuan[sunting | sunting sumber]

Pada 1974, Selangor secara rasmi menyerahkan Kuala Lumpur kepada tadbiran terus Persekutuan, seterusnya membentuk entiti baharu: Wilayah Persekutuan.[51] Sultan Selangor memperingati pemindahan bandar itu dengan membina gerbang Kota Darul Ehsan yang merentasi bahagian Lebuhraya Persekutuan antara Bangsar dan Petaling Jaya. Ibu negeri telah dipindahkan ke Shah Alam selepas penyerahan ini. Putrajaya, sebuah bandar baharu yang dibina sebagai pusat pentadbiran baharu Malaysia, mulai dibina oleh Persekutuan pada 90-an, dan dengan itu, tanah Putrajaya diserahkan oleh Selangor kepada tadbiran Wilayah Persekutuan pada 2001.[52][53]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c "Sejarah Negeri Selangor". Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor. 14 Mei 2019. Dicapai pada 16 Mei 2022.
  2. ^ Adil 1971, m/s. 1-2.
  3. ^ Mat Hayin, Nor ‘Asyikin (10 Januari 2018). "Zaman Neolitik di Jenderam Hilir". Harian Metro.
  4. ^ a b c Leong, Saung Heng (1989). Prasejarah dan Proto Sejarah Selangor. Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya.
  5. ^ a b Adil 1971, m/s. 3.
  6. ^ a b Adil 1971, m/s. 4.
  7. ^ Adil 1971, m/s. 5.
  8. ^ Adil 1971, m/s. 6.
  9. ^ Adil 1971, m/s. 9-12.
  10. ^ Adil 1971, m/s. 15.
  11. ^ Ahmad Farhan Abdullah Zakaria; Mohd Samsudin (July 2019). "Pembentukan Istilah dan Stratifikasi Aristokrat Melayu Selangor Era Sultan Salehuddin, Sultan Selangor Pertama, 1766-1782". Journal of Southeast Asia Social Sciences & Humanities. 89 (2 (2019)). eISSN 0126-8694. ISSN 0126-5008.
  12. ^ Sabtu 2005, m/s. 97.
  13. ^ Adil 1971, m/s. 22-23.
  14. ^ Sabtu 2005, m/s. 98.
  15. ^ Adil 1971, m/s. 27.
  16. ^ Leong, Ewe Paik (2017). "More than fireflies in Kuala Selangor" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 2018-09-24.
  17. ^ Adil 1971, m/s. 30.
  18. ^ Adil 1971, m/s. 31.
  19. ^ Adil 1971, m/s. 35.
  20. ^ Great Britain. Colonial Office (1890). Papers Relating to the Protected Malay States [Annual Report]. m/s. 26. Dicapai pada 2018-09-24.
  21. ^ Adil 1971, m/s. 33.
  22. ^ a b Sabtu 2005, m/s. 100.
  23. ^ "Selangor Sultanate - the History". Irfan Nughoro. Melayu Online, Indonesia. 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Januari 2009. Dicapai pada 25 Jun 2009.
  24. ^ Adil 1971, m/s. 48.
  25. ^ Adil 1971, m/s. 46-51.
  26. ^ "The History of Yap Ah Loy - The Death of Sultan Muhammad". Kongsi NetWorks. Tripod. 12 September 2000. Dicapai pada 26 Jun 2009.
  27. ^ "Salasilah kesultanan Selangor mulai 1756". Selangor state government website. 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Jun 2011. Dicapai pada 25 Jun 2009.
  28. ^ Tan Ding Eing (1975). A Portrait of Malaysia and Singapore. Oxford University Press. m/s. 82–85. ISBN 978-0195807226.
  29. ^ a b Sabtu 2005, m/s. 101.
  30. ^ J.M. Gullick (1983). "Chapter 2: The State of Selangor". The Story of Kuala Lumpur, 1857-1939. Eastern Universities Press (M). m/s. 8–29. ISBN 978-9679080285.
  31. ^ a b J.M. Gullick (1983). "Chapter 4: The Selangor Civil War (1867-1873)". The Story of Kuala Lumpur, 1857-1939. Eastern Universities Press (M). m/s. 17–23. ISBN 978-9679080285.
  32. ^ "Raja Mahadi Fort (Kota Raja Mahadi)". Perpustakaan Negara Malaysia. 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 November 2003. Dicapai pada 25 June 2009.
  33. ^ Mohd. Supian 2005, m/s. 338.
  34. ^ Hj. Mustajab & Mohd Tamrin 1990, m/s. 74-75.
  35. ^ Hj. Mustajab & Mohd Tamrin 1990, m/s. 76.
  36. ^ Mohd. Supian 2005, m/s. 244-245,250.
  37. ^ Mohd. Supian 2005, m/s. 174.
  38. ^ Abdul Aziz, Kamaruddin (1989). "Pelabuhan Swettenham 1945 - 1963". Selangor Darul Ehsan: Satu Persepsi Sejarah. Muzium Selangor Darul Ehsan. m/s. 144–145.
  39. ^ Khoo 1992.
  40. ^ Mohd. Supian 2005, m/s. 173-174.
  41. ^ Khoo 1992, m/s. 51.
  42. ^ Khoo 1992, m/s. 50.
  43. ^ Mohd. Supian 2005, m/s. 106.
  44. ^ Adil 1971.
  45. ^ Mohd. Supian 2005, m/s. 107-108.
  46. ^ Warren, Alan (Januari 2006). Britain's Greatest Defeat (dalam bahasa Inggeris). ISBN 9781852855970. Dicapai pada 27 Disember 2014.
  47. ^ Smith, Colin (2006). Singapore Burning. Great Britain: Penguin Group. ISBN 978-0-14-101036-6.
  48. ^ Willan, HC (7 Oktober 1945) Interview with the Malay Rulers CAB 101/69, CAB/HIST/B/4/7
  49. ^ Khoo 1992, m/s. 52.
  50. ^ Harry Miller (4 August 1957). "Eight votes to one in ballot: Sultan of Selangor deputy". The Straits Times. Singapore. m/s. 1. Dicapai pada 10 April 2018.
  51. ^ "The Birth of a Metropolis ..A Moment of History For All ". New Straits Times. 29 January 1974. Dicapai pada 25 October 2010.
  52. ^ "Putrajaya milik Persekutuan, Selangor dibayar RM200 juta". Utusan Malaysia. 8 November 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 May 2018. Dicapai pada 23 May 2018.
  53. ^ "PM isytihar Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan". Utusan Malaysia. 2 February 2001. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 August 2018. Dicapai pada 23 May 2018.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Adil, Haji Buyong (1971). Sejarah Selangor. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Khoo, Kay Kim (1992). "Riwayat Kerajaan Negeri Selangor". Dalam Haji Awang, Adnan; Othman, Mohd. Fadzil (penyunting). Selangor: Sejarah dan Proses Pembangunannya. Jabatan Sejarah Universiti Malaya. m/s. 36-55.
  • Hj. Mustajab, Mohd Sarim; Mohd Tamrin, Khazin, penyunting (1990). "Bandar Klang: Perkembangan 1870-1941". Klang 1890-1990: Sejarah dan Pentadbiran. Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Klang.
  • Sabtu, Mohd. Supian (2005). Ghazali, Abdullah Zakaria (penyunting). Sejarah Negeri Selangor: Dari Zaman Prasejarah hingga Kemerdekaan. Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor.