Sejarah Sistem Kehakiman Indonesia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sistem Kehakiman Indonesia moden dibentuk oleh pemerintahan Hindia Belanda. Pada tahun 1798 , Raad van Justitie menjadikan mahkamah di Batavia sebagai "Mahkamah Agung" untuk sebarang rayuan terhadap keputusan mahkamah-mahkamah di Semarang dan Surabaya di Indonesia. Walaupun demikian, Bataafse Republiek yang dikeluarkan pada tahun 1804 menetapkan bahawa: "Susunan Kehakiman untuk penduduk pribumi akan tetap tinggal menurut undang-undang serta adat mereka". Walaupun piagam tersebut tidak pernah dikuatkuasakan kerana Bataafse Republiek dengan segera digantikan oleh pemerintahan Hindia Belanda, ketentuan tersebut banyak mempengaruhi pelaksanaan tugas Herman Willem Daendels, Gabenor Jeneral Hindia Belanda, yang dilantik pada tahun 1807.

Pada tahun 1812 semasa pemerintahan British, susunan kehakiman untuk penduduk Eropah diperluas oleh Leftenan Jeneral Stamford Raffles untuk merangkumi penduduk asli yang tinggal di Batavia, Semarang, dan Surabaya.

Dalam Konvensyen London pada tahun 1814 selepas kekalahan Napoleon Bonaparte dalam peperangan di Eropah, hampir semua daerah jajahan Hindia Belanda yang diduduki oleh pihak British dikembalikan kepada Belanda. Penyerahan kembali Pemerintahan Belanda tersebut diatur dalam St. 1816 No. 5. Pada tahun 1819, St. 1819 No. 20 menetapkan bahawa undang-undang jenayah dan sivil akan digubal untuk seluruh Jawa dan Madura, kecuali Jakarta, Semarang, dan Surabaya, serta daerah-daerah berjiran yang masih dikekalkan di bawah bidang kuasa Raad van Justitie. Dengan demikian, terdapat perbezaan dalam susunan mahkamah antara penduduk asli yang tinggal di kota-kota tersebut dan sekitarnya dengan penduduk asli yang tinggal di "desa-desa" (di pedalaman). Bagi penduduk Eropah pula, susunan mahkamah seperti yang berikut dibentuk: Mahkamah Hooggerechtshof di Jakarta, dan Mahkamah Raad van Justitie masing-masing di Jakarta, Semarang dan Surabaya. Mahkamah Hooggerechtshof juga bertindak sebagai mahkamah rayuan untuk keputusan-keputusan Mahkamah Raad van Justitie.

Keputusan Gabenor Jeneral Hindia Belanda pada 3 Disember 1847 yang dikuatkuasakan pada 1 Mei 1848 menetapkan susunan mahkamah di Jawa dan Madura seperti yang berikut :

  1. Mahkamah Hooggerechtshof (Mahkamah Agung)
  2. Mahkamah Raad van Justitite
  3. Mahkamah Rechtbank van Omgang
  4. Mahkamah Landraad
  5. Mahkamah Regentschapsgerecht (Mahkamah Keregenan)
  6. Mahkamah Districtsgerecht (Mahkamah Daerah)

Susunan mahkamah berdasarkan keputusan Gabenor Jeneral tersebut membeza-bezakan antara penduduk Indonesia dengan penduduk Eropah seperti yang berikut:


Bangsa Indonesia Bangsa Eropah
Undang-undang Sivil
  1. Districtsgerecht
  2. Regentschapsgerecht
  3. Landraad
  4. Raad van Justitie
  5. Hooggerechtshof
  1. Residentiegerecht
  2. Raad van Justitie
  3. Hooggerechtshof
Undang-undang Jenayah
  1. Idem
  1. Landraad
  2. Raad van Justitie
  3. Hooggerechtshof


Selepas penubuhan Republik Indonesia[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1944 semasa pendudukan Jepun, Mahkamah Hooggerechtshof (Saikoo Hooin ), badan kehakiman yang tertinggi dibubarkan melalui Undang-undang No. 2 tahun 1944. Segala tugasnya, iaitu kekuasaan melakukan pengawasan tertinggi terhadap jalannya kehakiman, diberikan kepada Mahkamah Tinggi (Kooto Hooin ). Oleh itu, pada saat pembentukan Perlembagaan Republik Indonesia 1945, Indonesia ti­dak mempunyai Badan Kehakiman yang tertinggi.

Satu-satunya ketentuan yang menunjuk ke arah pembentukan badan kehakiman yang tertinggi ialah Fasal 24, Ayat 1 dalam Perlembagaan Republik Indonesia 1945. Maka dengan keluarnya Penetapan Pemerintah No. 9/S.D. tahun 1946, Jakarta ditetapkan sebagai kedudukan Mahkamah Agung Republik Indonesia. Walaupun demikian, peraturan tersebut hanya menetapkan tempatnya sahaja. Barulah dengan Undang-undang No. 7 tahun 1947 bahawa susunan kekuasaan Mahkamah Agung dan Kejaksaaan Agung ditetapkan pada 3 Mac 1947. Namun dengan pembentukan Perlembagaan Republik Indonesia pada 18 Ogos 1945, Mahkamah Agung sebagai suatu badan kehakiman yang tertinggi menjadi suatu kenyataan.

Pada tahun 1948, Undang-undang No. 7 tahun 1947 digantikan dengan Undang-undang No. 19 tahun 1948 yang menetapkan bahawa:

  1. Mahkamah Agung Indonesia ialah mahkamah persekutuan yang tertinggi.
  2. Mahkamah-mahkamah persekutuan yang lain boleh diasaskan melalui undang-undang persekutuan, dengan pengertian bahawa Daerah Persekutuan Jakarta akan membentuk sekurang-kurangnya sebuah mahkamah persekutuan yang mengadili pada peringkat pertama, serta sekurang-kurangnya satu mahkamah persekutuan yang mengadili pada peringkat rayuan.

Oleh sebab Perlembagaan Republik Indonesia 1945 telah dikembalikan dan tidak sesuai dengan keadaan, maka pada tahun 1965, undang-undang digubal untuk menggantikan Undang-undang No. 19 tahun 1948 dan Un­dang-undang No. 1 tahun 1950 dengan Undang-undang No. 13 tahun 1965 tentang mahkamah-mahkamah awam dan Mahkamah Agung.

Mahkamah Agung pernah ditempatkan di luar Jakarta, iaitu di Yogyakarta, mulai dari bulan Julai 1946 sebelum dikembalikan ke Jakarta pada 1 Januari 1950 dengan pemulihan kedaulatan, setelah selesainya Sidang Meja Bulat dengan pihak Belanda yang hendak mengembalikan penjajahan mereka di Indonesia. Dengan demikian, Mahkamah Agung terletak di luar Jakarta selama tiga tahun setengah.

Pada mula-mulanya, Mahkamah Agung dan Kejaksaan Agung berada di bawah satu atap, bahkan di bawah satu jabatan, iaitu Jabatan Kehakiman. Kejaksaan Agung dipisahkan daripada Mahkamah Agung sejak lahirnya Undang-undang Pokok Kejaksaan (Undang-Undang No. 15 tahun 1961) di bawah Pendakwa Agung Gunawan yang telah menjadi Menteri Pendakwa Agung.

Para penjawat Mahkamah Agung (Ketua, Timbalan Ketua, Hakim, dan Pendaftar) mulai diberikan pangkat tentera bergelar dengan Peraturan Pemerintah 1946 No. 7 yang bertarikh 1 Ogos 1946, sebagai pelaksanaan Fasal 21 Undang-undang No. 7 tahun 1946 tentang Mahkamah Tentera.

Pada 1 Januari 1950, Dr. Kusumah Atmadja mengambil alih pejabat dan bekas kakitangan Mahkamah Hooggerechtshof. Pada waktu ini, keanggotaan Mahkamah Agung terdiri daripada:

  • Ketua: Kusumah Atmadja
  • Timbalan Ketua: Satochid Kartanegara
  • Anggota: Husen Tirteamidjaja, Wiijono Prodjodikoro, dan Sutan Kali Malikul Adil
  • Pendaftar: Soebekti
  • Pendakwa Agung: Tirtawinata.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]