Sejarah Switzerland

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Switzerland merupakan sebuah negara yang terletak di tengah Eropah. Negara ini memiliki banyak sejarah tersendiri. Penubuhan Switzerland dapat dilihat dengan penubuhan Gabungan Swiss Lama. Namun, dasar perluasan tanah Napoleon Bonaparte menyebabkan Switzerland berpecah belah. Walau bagaimanapun, Switzerland mengamalkan sikap neutral selepas Kongres Vienna pada tahun 1815. Ini menyebabkan Switzerland dapat mengelakkan negaranya ketika Perang Perancis-Prusia, Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Malah, Switzerland tidak campur tangan dalam Perang Dingin yang mengancam dunia.

Zaman prasejarah hingga Empayar Rom[sunting | sunting sumber]

Sebuah bangunan yang ditinggalkan oleh tentera Rom di Tasik Geneva.

Bumi Switzerland moden ini mula didiami sejak akhir Zaman Batu. Namun dikaitkan dalam sejarah dalam tahun 58 Sebelum Masihi selepas penaklukan Rom. Dalam bahasa Latin, Switzerland dikenali Helvetia selepas puak itu tinggal di kawasan itu ketika penaklukan Rom. Pada tahun 400 Masihi, puak-puak Jermanik mula berhijrah ke kawasan itu termasuk puak Bourgogne di barat (berbahasa Perancis), puak Allamangne di timur laut (berbahasa Jerman) dan puak Lombardy di selatan (berbahasa Itali). Maka, terbentuklah sebuah negara yang berbilang bahasa. Pada abad ke-6, Switzerland dikuasai oleh Empayar Frank hingga abad ke-10, Switzerland menjadi sebahagian daripada Empayar Rom.

Kelahiran Persekutuan Switzerland[sunting | sunting sumber]

Persekutuan Swiss Lama pada abad ke-18

Tanah di kawasan banjaran Alp di bawah jajahan Empayar Rom, jadi ia mempunyai kuasa autonomi. Bagaimanapun, apabila Empayar Habsburg di Austria mengembangkan kuasanya ke kawasan Alp, ketiga-tiga kanton iaitu Uri, Schwyz dan Unterwalden menandatangani perjanjian perikatan di puncak Rütli pada tahun 1291 untuk menentangnya. Di situlah bermulanya Persekutuan Swiss Lama. Tidak lama kemudian, semakin banyak kanton menyertai persekutuan menjadikan kekuatan angkatan tentera Switzerland bertambah. Pada tahun 1499, angkatan tentera Switzerland berjaya mengalahkan angkatan tentera Maximilian I dalam Pertempuran Dornach. Akhirnya, Switzerland mendapat kemerdekaan dari Empayar Suci Rom. Persekutuan Swiss Lama terbentuk dengan 13 kanton pada tahun 1513.

Reformasi agama[sunting | sunting sumber]

Huldrych Zwingli, tokoh penggerak Reformasi Swiss.

Pada abad ke-16, wujud gerakan agama membantah kuasa Gereja Roman Katolik. Perikatan 13 kanton di Switzerland juga berpecah belah kepada agama tradisi iaitu memihak gereja dan golongan reformasi menyokong bentuk agama fahaman baru iaitu Protestan. Perselisihan agama telah memecahbelahkan seluruh Eropah. Dalam Perang Tiga Puluh Tahun di Eropah, Switzerland merupakan negara pertama yang menyatakan status neutral. Angkatan tentera juga ditempatkan di sempadan untuk menjaga ketenteraman negara dan menghalang sebarang penjajahan atau kebangkitan perang saudara di negara jiran. Pada tahun 1648, Empayar Habsburg menandatangani Perjanjian Westphalia untuk menamatkan rusuhan agama. Switzerland juga berjaya mendapat kemerdekaan dan status negara yang tidak berpihak atau neutral diiktiraf.

Status neutral selamanya[sunting | sunting sumber]

Henri Guisan, seorang jeneral Swiss ketika Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1798, tentera Perancis yang diketuai Napoleon Bonaparte menyerang Switzerland dengan memecahbelahkan hubungan persekutuan lalu membentuk Republik Helvetia. Selepas Napoleon kalah dalam peperangan, kemerdekaan dan status neutral Switzerland diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam Kongres Vienna pada tahun 1815. Persekutuan Switzerland yang terdiri daripada 26 kanton tetap mengekalkan status neutral dalam kedua-dua perang dunia. Ketika Perang Dunia Kedua, Adolf Hitler pernah merancang untuk menjajah Switzerland dengan menggunakan laluan strategik Alp. Bagaimanapun, Jeneral Henri Guisan terlebuh dahulu mengetahui niat Hitler dan mengancam untuk meletupkan terowong kawasan Alp serta menutup laluan ke Itali menyebabkan Hitler membatalkan hasratnya. Switzerland dapat mengekalkan kedudukan neutralnya dan tidak terlibat dalam peperangan.

Kini, banyak organisasi antarabangsa berpusat di Geneva. Pada tahun 1863, sebuah organisasi amat terkenal dunia iaitu Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa ditubuhkan oleh Henry Dunant menjadi antara pelopor organisasi kebajikan lain di dunia.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Kembara Khazanah Switzerland m/s 50-51