Sejarah biologi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian

Sejarah biologi menceritakan sejarah kajian ilmu kehidupan dan makhluk dari zaman kuno hingga moden. Meskipun konsep biologi sebagai satu bidang khusus muncul pada abad ke-19, ilmu biologi yang muncul dari tradisi perubatan dan sejarah alam menjangkaui zaman Ayurveda, ilmu perubatan Mesir purba dan karya-karya daripada Aristoteles dan Galen dalam dunia Yunani-Rom purba. Karya-karya kuno ini dikembangkan lebih lanjut pada zaman pertengahan oleh para doktor Muslim dan ulama seperti Ibnu Sina. Ketika Renaissance di Eropah dan zaman moden awal, pemikiran biologi mengalami revolusi di Eropah dengan minat baru dalam kajian empirik dan penemuan banyak organisma baharu. Tokoh-tokoh menonjol dalam gerakan ini termasuk Vesalius dan Harvey, yang menggunakan eksperimen dan pemerhtian dalam fisiologi, dan ahli alami seperti Linnaeus dan Buffon yang mulai mengklasifikasikan kepelbagaian makhluk dan catatan fosil, serta perkembangan dan tingkah laku organisma. Mikroskop mengungkapkan dunia mikroorganisma yang sebelumnya tidak diketahui lalu meletakkan asas bagi teori sel.

Pada abad ke-18 dan ke-19, ilmu-ilmu biologi seperti botani dan zoologi menjadi disiplin ilmu yang semakin profesional. Lavoisier dan para ilmuwan fizik mulai mengaitkan antara dunia benda hidup dan bukan hidup melalui fizik dan kimia. Penjelajah-naturalis seperti Alexander von Humboldt menyelidik interaksi antara organisma dan persekitaran, dan cara-cara perhubungan ini tergantung pada geografi; ini meletakkan dasar-dasar biogeografi, ekologi dan etologi. Golongan naturalis mula menolak esensialisme dan mempertimbangkan pentingnya kepupusan dan mutabilitas spesies. Teori sel memberikan perspektif baru tentang asas kehidupan. Perkembangan ini, serta hasil daripada kajian embriologi dan paleontologi, disintesis dalam teori evolusi berdasarkan pemilihan semula jadi Charles Darwin. Akhir abad ke-19 melihat jatuhnya generasi spontan dan munculnya teori kuman penyakit, meskipun mekanisme pewarisan tetap menjadi misteri.

Pada awal abad ke-20, penemuan karya Mendel menyebabkan kepesatan perkembangan ilmu genetik oleh Thomas Hunt Morgan dan murid-muridnya, dan pada tahun 1930-an, berlaku kombinasi ilmu genetik populasi dan pemilihan semula jadi dalam "sintesis neo-Darwin". Disiplin ilmu ini berkembang pesat, terutamanya setelah Watson dan Crick mengusulkan struktur DNA. Setelah pembentukan dogma pusat genetik dan pemecahan kod genetik, sebahagian besar biologi terbahagi antara biologi organisma, iaitu bidang yang berurusan dengan seluruh atau kelompok organisma, dan bidang-bidang berkenaan biologi sel dan molekul. Pada akhir abad ke-20, bidang baru seperti genomik dan proteomik membalikkan trend ini, dengan ahli-ahli biologi organisma menggunakan kejuruteraan molekul sementara ahli biologi molekul dan sel meneliti interaksi antara gen dan persekitaran serta genetik populasi alami organisma.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]