Sejong-daero

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Sejongno)

Sejong-daero (Hangul: 세종대로; Hanja: 世宗大路) atau Laluan 24 Metro Seoul (Laluan Bongrae ~ Sejongro) ialah sebatang jalan yang bermula di 67-2 Namdaemun-ro 5-ga, Jung-gu, Seoul dan berakhir pada 1-58 Sejong-ro, Jongno-gu, dan merupakan sebahagian daripada Laluan Nasional 48 dan 49 Pentadbiran Metropolitan Seoul. Sebelum pengumuman nama jalan tersebut dengan nama sekarang, sebahagian Jongno-gu disebut Sejong-ro (Hangul: 세종로, Hanja:世宗路), dengan bahagian utara Sungnyemun di Jung-gu ialah Taepyeong-ro (Hangul: 태평로, Hanja:太平路), dan bahagian selatannya ialah Namdaemun-ro (Hangul: 남대문로, Hanja:南大門路).

Ia mempunyai kelebaran 100 meter, menjadikannya jalan terlebar di Korea. Di samping itu, bangunan pusat budaya dan pentadbiran tertumpu di jalan ini, termasuk Pejabat Pendakwa Raya, Bangunan Kyobo, Pusat Seni Persembahan Sejong, Kompleks Pentadbiran Pusat, dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Di hadapan Shinhan Bank cawangan Gwanghwamun, berhampiran Bangunan Peringatan Cheonggyeong sempena tahun ke-40 Raja Gojong naik takhta, terletaknya kilometer sifar yang dibentuk oleh Pentadbiran Metropolitan Seoul pada tahun 1914. Ia menjadi tanda asas untuk mengukur jarak antara Seoul dan setiap bandar.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Dinasti Joseon[sunting | sunting sumber]

Sejong-ro adalah jalan terlebar yang dibina semasa Dinasti Joseon iaitu 58 kaki lebar. Di samping itu, ia juga menjadi pusat kepada pemerintahan kerana menjadi tempat pegawai-pegawai besar seperti Uijeongbu (Majlis Negara Joseon, Yukjo (Enam Kementerian) dan Pentadbiran Hanseong (nama lama Seoul). Oleh itu, kawasan ini juga disebut 'Jalan Enam Kementerian' atau 'Hwangtomaru (Hangul: 황토마루, Hanja: 黃土峴)' kerana terdapat sebuah bukit kecil di sekitar persimpangan Gwanghwamun. Ia juga pernah digelar 'Perkarangan Haetae' kerana dahulu terdapat patung Haetae terletak di persimpangan Sejong-ro.

Nama Taepyeong-ro pula berasal dari Taepyeong-gwan (太平 館), sebuah tempat penginapan yang digunakan oleh pasukan Dinasti Ming sebelum Perang Imjin semasa Dinasti Joseon.

Era penjajahan Jepun[sunting | sunting sumber]

Pejabat Pentadbiran Metropolitan Gyeongsong (Seoul) dilihat dari Taepyeong-tong.
Bangunan Kerajaan Jeneral Jepun dari pandangan menghala ke Gerbang Gwanghwamun (yang sudah diroboh ketika ini)

Jalan Enam Kementerian, yang terbentang ke selatan dari pintu depan IstanaGyeongbokgung, diganti namanya menjadi Gwanghwamun-tong (Hangul:광화문통, Hanja: 光化 門 通)[1] setelah Korea jatuh di bawah penguasaan Jepun. Pada tahun 1912, jalan besar yang disebut Taepyeong-tong telah dibina dari Gwanghwamun-tong menuju ke Namdaemun. Bangunan Kerajaan Jeneral Jepun dan Pejabat Pentadbiran Metropolitan Gyeongsong dibina di jalan ini pada tahun 1926, dan bangunan-bangunan pentadbiran penting lainnya juga terpusat di sepanjang jalan itu, menjadikan Gwanghwamun-tong sebagai simbol rejim penjajah. Jalan di hadapan Taepyeongwan juga dinamakan semula sebagai Taepyeongtong.[2]

Pada tahun 1936, Gabenor Jeneral Joseon mengubah lebar Gwanghwamuntong menjadi kira-kira 53m.

Selepas pembebasan[sunting | sunting sumber]

Perbarisan tentera Korea yang memperingati penubuhan pemerintahan Korea melalui Sejong-daero pada 15 Ogos 1948.
Sejong-ro (2006, sebelum pembinaan Plaza Gwanghwamun )

Pada 1 Oktober 1946, nama jalan ini ditukar kepada Sejong-ro dan Taepyeong-ro. Nama "Sejong-ro" digunapakai kerana jalan tersebut tidak jauh dari Junsubang, tempat kelahiran Raja Sejong, dan merupakan jalan utama di hadapan Istana Gyeongbokgung, istana kerajaan Dinasti Joseon.

Pada 25 Mac 1952, Sejong-ro diperluas ke tahap jalan sekarang. Ketika nama jalan tersebut dirasmikan pada 7 November 1984, ketiga-tiga jalan di Gwanghwamun ditetapkan sebagai titik permulaan dan akhir di persimpangan Sejongno.

Pada 27 Mei 2008, pembinaan Dataran Gwanghwamun bermula dnegan menggunakan enam lorong di bahagian Jongno-Gwanghwamun Samgeori daripada Sejongno[3] dan siap pada pertengahan 2009. Ia dibuka untuk warga Seoul pada 1 Ogos tahun yang sama.

Pada tahun 2010, Sejong-ro dan Taepyeong-ro digabungkan untuk memberikan nama baru 'Sejong-daero'.[4]

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Pada 29 November 2009, sebahagian jalan ditutup untuk lalu lintas selama dua belas jam untuk merakam adegan tembak-menembak yang panjang bagi drama televisyen terbitan Korean Broadcasting System (KBS) 2009 berjudul Iris, dibintangi oleh Lee Byung-hun, Kim Tae-hee, Jung Joon-ho, Kim Seung-woo dan Kim So-yeon. Lima lorong di sepanjang Plaza Gwanghwamun di hadapan Pusat Seni Persembahan ditutup untuk lalu lintas dari jam 07:00 hingga 19:00, sementara lima lorong di sebelah Pusat Buku Kyobo tetap terbuka untuk lalu lintas. Ini menandakan pertama kalinya Pentadbiran Metropolitan Seoul memberikan kebenaran untuk menyekat lalu lintas di sepanjang Plaza untuk penggambaran dan ini adalah sebahagian daripada rancangan Kerajaan untuk mempromosikan tarikan pelancongan utama di bandar ini; termasuk Sungai Cheonggye dan Sungai Han.[5][6]

Pada 23 September 2012, Pentadbiran Metropolitan Seoul memulakan percubaan untuk sebahagian Sejong-ro sepanjang 550 m yang ditetapkan sebagai pejalan kaki sahaja dibuka dan dibenarkan untuk penunggang basikal. Bahagian ini merangkumi jalan dari persimpangan tiga arah Gwanghwamun, di sepanjang Plaza Gwanghwamu di hadapan Pusat Seni Persembahan Sejong ke persimpangan Sejong-ro.[7]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ s:조선총독부 경기도 고시 제7호(1914년 4월 1일)
  2. ^ 조선총독부 경기도 고시 제32호(1936년 3월 23일) 참조.
  3. ^ <서울 광화문광장 내년 6월 '시민 품으로'> 연합뉴스 2008.05.27
  4. ^ 서울 세종로·태평로 합쳐 ‘세종대로’로《경향신문》2010-04-25 17:55:00
  5. ^ Kim Mi-ju; Kim Gyeong-jin (28 November 2009). "Spy drama shoots in central Seoul". Joongang daily. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 April 2013. Dicapai pada 4 March 2013.
  6. ^ Kim, Hannah (3 December 2009). "Iris will be back for a second season, sans Lee Byung-hun". Joongang Daily. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 April 2013. Dicapai pada 4 March 2013.
  7. ^ "Pedestrian Zone Planned for Central Seoul". Chosun Ilbo. 21 September 2012. Dicapai pada 3 November 2012.