Sekolah Agama Menengah Hulu Langat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Agama Menengah Hulu Langat
Lokasi
 Malaysia Batu 10, Jalan Cheras, HULU LANGAT, Selangor
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Agama Menengah, Sekolah kerajaan, Sekolah Kluster Kecemerlangan
MotoBERILMU BERTAQWA BERBAKTI
Nombor sekolah03-90751343
Kod sekolahBFT4001[1]
Pengerusi PIBGTuan Hj Mohammed Ismail Bin Kamarudin
PengetuaPn. Mahani binti Othman
Slogan"Bumi Mukmin Profesional"
GPK Pentadbiran dan AkademikTn. Hj. Ismail bin Mohd Ali
Penolong Kanan Hal Ehwal MuridPn. Mastura binti Ismail
Penolong Kanan KokurikulumPn. Doren Dazila binti Abdul
Faks03-90754537


Sekolah Agama Menengah Hulu Langat atau nama ringkasnya SAM Hulu Langat, merupakan sebuah Sekolah Agama Menengah yang terletak di Batu 10, Jalan Cheras. Nama singkatan terdapat pelbagai bentuk iaitu SAMTEN, SAM ASYARAH (gelaran ini jarang digunakan), SAMHULA dan HULISS "Hulu Langat Islamic Secondary School". Panggilan terkenal untuk sekolah ialah SAMTEN sama ada disebut oleh guru dan pelajar tersebut mahupun orang luar.

Pada 2009, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat memiliki 423 pelajar lelaki dan 512 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 935 orang. Ia mempunyai seramai 53 orang guru.2009

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah Agama Menengah Hulu Langat telah ditubuhkan pada 1 Januari 1983 dan dibuka dengan rasmi serta beroperasi sepenuhnya pada 2 Januari 1983 di Sekolah Rendah Agama Batu 10, Cheras. Pembinaan sekolah ini adalah di atas kehendak ibubapa yang ingin melanjutkan pelajaran anak-anak mereka di peringkat menengah.Pengambilan pelajar pada tahun itu seramai lebih kurang 70 orang iaitu hanya pelajar tingkatan satu sahaja. Ini disebabkan oleh bilangan kelas yang terhad iaitu hanya dua buah kelas. Tambahan pula bilangan tenaga pengajar yang sedikit iaitu seramai 4 orang guru sahaja. Di antara guru-guru yang terawal adalah seperti Ustaz Manaf, Cikgu Joseph, Cikgu Siti Zubaidah dan Ustazah Jamaliah. Setelah 6 bulan berlalu, berkat kesabaran pelajar-pelajar menyalin nota, akhirnya bekalan buku teks diterima.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, bilangan kemasukan pelajar ke sekolah ini meningkat. Ditambah pula dengan beberapa masalah lain yang dihadapi, pihak pentadbiran sekolah mengambil keputusan untuk berpindah ke Sekolah Rendah Agama Batu 9, Cheras. Namun demikian, perpindahan ini tidaklah menjanjikan keselesaan kepada para pelajar dengan keadaan persekitaran yang bising daripada pembaikian Masjid Ubudiah, Batu 9 ditambah lagi dengan kekurangan kemudahan asas seperti makmal dan bengkel serta masalah banjir kilat ekoran daripada pembangunan setempat, segalanya menjadikan impian yang diidamkan tidaklah seindah mana.

Bertitik tolak daripada itu, pihak kerajaan memperuntukan sebanyak RM 6 juta untuk membina sebuah sekolah di atas tanah yang berkeluasan 7 ekar persegi. Kerja-kerja pembinaan bermula pada tahun 1986 dan tergendala selama beberapa tahun. Akhirnya, kerja-kerja pembinaan siap pada tahun 1991.

Visi dan Misi Sekolah[sunting | sunting sumber]

Visi Sekolah : Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang

Misi Sekolah : Sekolah Agama Menengah Hulu Langat Melahirkan Insan Rabbani Melalui Pendidikan Berkualiti Berlandaskan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Pencapaian Akademik[sunting | sunting sumber]

Pada mulanya SAM Hulu Langat tidak memberi saingan yang kuat pada sekolah-sekolah lain. Namun begitu, SAM Hulu Langat menampakkan peningkatan dari masa ke masa dari segi aspek kurikulum, kokurikulum dan agama sehingga tersenarai dalam tangga ke-5 dalam sekolah terbaik JAIS daripada 25 buah sekolah yang lain di negeri Selangor.

  • Penilaian Menengah Rendah
  1. Sijil penghargaan kerana Pencapaian PMR 2011 Melebihi 90% Peringkat Negeri
  2. Sijil penghargaan di Sidang Media Keputusan PMR 2011 Peringkat Negeri
  3. Anugerah daripada Bahagian Pendidikan Islam (JPS) Tempat Ke-8 daripada 10 Sekolah SABK Terbaik dalam PMR 2010 Peringkat Negeri
  4. Anugerah Peningkatan PMR (96.1) Kepada (98.12)Peringkat Negeri(PMR 2010)
  5. Sijil Penghargaan SABK Terbaik PMR 2010 Ke-3 PMR 2010
  6. Anugerah Peningkatan Pencapaian PMR 2010 Peringkat Daerah Hulu Langat
  7. Anugerah Pencapaian PMR Melebihi 95% pada tahun 2011
  8. Anugerah Peningkatan PMR 2008 (95) kepada (97.8) tahun 2008
  9. Anugerah Pencapaian Cemerlang PMR 2008 Peringkat Daerah
  10. Anugerah Pencapaian Cemerlang PMR 2009 (96.1) Peringkat Daerah
  11. Anugerah Pencapaian Cemerlang Tempat ke-8 daripada 10 Sekolah Terbaik PMR 2010, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia
  12. Anugerah Pencapaian Cemerlang PMR 2010(98.52) Peringkat Daerah Hulu Langat.
  • Sijil Menengah Agama
  1. Anugerah Sekolah Cemerlang SMA Peringkat Negeri(SMA 2010)
  2. Anugerah Cemerlang Sijil Menengah Agama Peringkat Negeri Selangor Tahun 2010(GPS-2.51), Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia
  3. SMA semua lulus (SMA 2014)
  • Sijil Pelajaran Malaysia
  1. Anugerah Pencapaian Gemilang SPM 100% Peringkat Negeri(SPM 2010)
  2. Anugerah Pencapaian Gemilang Negeri Berturut-Turut 2009&2010 Peringkat Daerah (SPM 2011)
  3. Anugerah pencapaian Gemilang SPM 100% Peringkat Daerah(SPM 2009)
  4. Anugerah Gemilang SPM (Sempena Karnival Hari Guru PKG Cheras) peringkat Daerah(SPM 2009)
  5. Sijil Penghargaan Mengekalkan Kecemerlangan SPM 2007 Peringkat Negeri(SPM 2007)

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

  1. 2 buah bangunan sekolah
  2. 4 buah blok asrama
  3. 23 buah kelas
  4. 3 buah makmal sains
  5. 6 buah bengkel kemahiran hidup
  6. sebuah pusat sumber
  7. sebuah Kelas Khas Al-Quran
  8. 2 buah bilik guru
  9. sebuah dewan besar
  10. sebuah dewan makan
  11. sebuah kantin sekolah
  12. 2 buah koperasi (1 daripadanya di asrama)
  13. 2 buah surau asrama (1 daripadanya adalah Surau Jumaat)
  14. 2 buah pondok pengawal
  15. sebuah gelanggang futsal
  16. 2 padang sekolah
  17. sebuah gelanggang bola tampar
  18. sebuah gelanggang bola jaring
  19. sebuah gelanggang sepak takraw
  20. 7 buah wakaf
  21. sebuah bilik sukan
  22. 2 buah astaka
  23. sebuah bilik apd
  24. sebuah bilik bacaan
  25. kuarters

Keistimewaan bangunan[sunting | sunting sumber]

Reka bentuk pelan

Sekolah ini mempunyai reka bentuk pelan yang menarik dan sistematik. Bangunan utama sekolah ini ialah Dewan Az-Zamakhsyari. Kelas-kelas yang terletak di Blok A dan Blok B terletak berhampiran dengan dewan. Dewan pula terletak di sebelah kantin. Ini memudahkan pelajar untuk membeli makanan dan minuman di kantin dengan lebih cepat. Asrama Putera terletak bersebelahan dengan asrama puteri. Dewan Makan Asrama pula terletak di antara dua bangunan tersebut. Ini memudahkan pelajar pulang ke asrama dengan lebih cepat selepas makan di dewan makan.

Bahan binaan[sunting | sunting sumber]

Bahan yang digunakan untuk membina sekolah ini ialah simen, pasir, batu-bata dan sebagainya.

Pengubahsuaian[sunting | sunting sumber]

Banyak pengubahsuaian yang telah dilakukan. Antaranya ialah pembinaan makmal KHB dan tempat rehat pelajar pada tahun 2001. Pada tahun 2008, kerajaan telah memperuntukan sejumlah wang untuk memperbaiki infrastruktur sekolah seperti mengecat bangunan sekolah semula, menggantikan pintu bagi semua kelas, menceriakan kawasan sekolah dan sebagainya. Berbalik kepada awal, terdapat renovasi sekolah yang dilakukan pada akhir tahun 2008. Pada peringkat pertama, dinding sekolah dicuci terlebih dahulu untuk menanggalkan kesan cat lama untuk memudahkan proses pengecatan selepas ini. Warna cat sekolah digantikan daripada warna kuning dan hijau dengan warna merah pekat dan cair. Kerja ini siap pada awal tahun 2009 dan berlakunya proses pembersihan kelas masing-masing dengan membasuh dan mencuci oleh para pelajar pada sesi 2009.

Pengubahsuaian agak ketara apabila menjelang tahun 2010 sejak datangnya pengetua baru ketika itu, Puan Siti Zubaidah binti Ahmad. Antaranya ialah penulisan khat di dinding sekolah yang dilukis oleh Uztaz Hazrin dari Banting yang memakan kos sebanyak RM 1500 dan jenis tulisannya ialah khat sulus iaitu Surah Al-Mu' minun. Namun tahun 2012, terdapat penambahan tulisan khat iaitu berkaitan dengan hadis dan kalam ulama'. Dan tahun seterusnya juga, terdapat penambahan khat berkaitan dengan Asmaul Husna dan lain-lain. Selain itu, Taman Angkat Persatuan diwujudkan untuk pihak kelab dan persatuan memainkan peranan penting dalam keceriaan sekolah untuk menampakkan keindahan kawasan tersebut.

Bermula tahun 2011, berlakunya pengubahsuaian surau sekolah hasil sumbangan PIBG dan orang-orang luar dan terdapat penambahan fungsi surau selain daripada merupakan tempat ibadah malah menjadi pusat pendidikan seperti mengadakan ceramah, talkshow dan program-program yang lain. Selain itu, Penambahan pintu belakang bagi kelas yang ada pintu hadapan sahaja - isu ini timbul berikutan terdapat satu kelas yang mempunyai pintu hadapan sahaja iaitu kelas 4 Tarmizi (kini dikenali sebagai 4 Al Khawarizmi) akan tetapi ia mempunyai jumlah pelajar yang sangat ramai iaitu 50 orang pada tahun 2011. Menurut guru GPK HEM, ia akan menimbulkan masalah apabila berlakunya kecemasan seperti kebakaran dan lain-lain yang turut menyukarkan pelajar untuk keluar kelas. Namun begitu, kelas lain juga ada yang mempunyai satu pintu hadapan iaitu kelas 1 Muslim dan 1 Nasaie.

Pada tahun 2012, Penukaran nama kelas menengah atas - sudah mula dikuatkuasakan mulai tahun 2012 dengan mengekalkan nama kelas menengah rendah tetapi ditukar pula nama kelas menengah atas daripada kelas Bukhari kepada Ibnu Sina, kelas Muslim kepada Ibnu Nafis iaitu kelas sains tulen, kelas Tarmizi kepada Al-Khawarizmi iaitu kelas sains ikhtisas dan kelas Nasaei kepada Al Farabi iaitu kelas sastera ikhtisas.

Terdapat penambahan item-item yang lain seperti lukisan mural pada lantai untuk menuju ke surau sekolah. Di sudut surau sekolah, terdapat taman mini dan sudut ilmu di situ. Pada tahun 2015, surau sekolah diberi nama iaitu Surau Ittihad hasil pemilihan cadangan nama surau yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Pada tahun 2016, terdapat pengubahsuaian dari segi kedudukan kelas yang dibuat. Selain itu, terdapat penambahan info berkaitan dengan pelajaran di laluan dari asrama ke sekolah dan papan kenyataan masih dikekalkan.

Selain itu, terdapat penambahan tempat menanam pokok pada kawasan taman di hadapan tandas dan tangga sekolah. Perkara ini dapat menyerikan suasana di kawasan tersebut. Bukan itu sahaja, terdapat penambahan aksesori pokok bunga di hadapan bilik komputer, bilik mesyuarat guru dan bengkel kemahiran hidup dan penambahan mural anti dadah di ruang tangga sekolah blok B sekolah.

Hiasan dalaman[sunting | sunting sumber]

Tatar atur hiasan dalaman diberi tumpuan agar mencerminkan budaya keilmuan dan suasana segar serta kondusif kepada pelajar melalui tanaman dan hiasan yang menghijau, barisan pokok-pokok yang berjajar sepanjang laluan masuk dan pokok-pokok bunga hiasan yang cantik dan menarik. Usaha menghias dan menyediakan hiasan sekolah adalah sebahagian daripada tugas 3k yang diterapkan dalam gerak kerja dan budaya sekolah. Sejak tahun 1997, dengan kerjasama PIBG, sedikit demi sedikit mercu tanda dibangunkan untuk memenuhi ruang-ruang kosong agar dapat dimanfaatkan oleh pelajar untuk kegiatan belajar, riadah dan merehatkan minda. Keindahan dan kebersihan adalah tonggak penting dalam pengurusan sekolah berkesan. Hal ini juga, memberikan petanda kepada pelawat dan pengunjung sekolah tentang pengurusan sekolah yang cekap dan keperibadian seluruh warga sekolah.

Kegunaan dahulu dan sekarang[sunting | sunting sumber]

Dahulunya, dataran sekolah digunakan untuk berhimpun pada perhimpunan pada hari Jumaat. Kini, dataran itu digantikan dengan gelanngang sepak takraw dan juga digunakan untuk perhimpunan pada hari Selasa-Khamis dan perhimpunan khas. Selain itu, Dewan Az-Zamakhsyari juga digunakan sebagai gelanggang badminton tetapi kini dewan tersebut digunakan untuk perhimpunan pada hari Isnin dan kadang-kala pada hari Jumaat.

Lencana[sunting | sunting sumber]

Hijau: Melambangkan warna agama Islam. Ini bersesuaian dengan ciri-ciri sekolah agama, pelajar-pelajar dan guru-guru beragama Islam.

Merah: Melambangkan kebenaran. Ini bermakna pelajar-pelajar sekolah ini adalah diharapkan menjadi insan yang benar-benar berani terutamanya untuk memburu kejayaan dunia dan akhirat.

Hitam: Warna hitam dipilih sebagai tanda keadilan. Ini melambangkan wujud ikatan yang kuat antara pelajar dengan guru dan antara pelajar sesama pelajar untuk membentuk ukhuwah yang kukuh tanpa mewujudkan perasaan pilih kasih.

Bulan & bintang: Kedua-dua objek ini melambangkan perpaduan yang wujud dalam agama Islam. Pecahan bintang kepada 5 bahagian yang memberi erti setiap muslim hendaklah berpegang kepada Rukun Islam yang mengandungi 5 perkara.

Al-Quran & tangga: Objek-objek ini pula saling berkaitan antara satu sama lain iaitu al-quran memainkan peranan yang penting dalam agama Islam dan kedudukannya amatlah tinggi di puncak teratas sekali. Tangga pula bererti setiap pelajar akan melalui dan memenuhi cabaran secara berperingkat-peringkat sebelum sampai ke puncak kejayaan.

3 pecahan berwarna hijau: Iman, Islam dan Ehsan yang dititikberatkan dalam perlembagaan sekolah.

Berilmu, Bertaqwa dan Berbakti: Cogankata ini dijadikan landasan oleh guru-guru untuk memupuk cita-cita para pelajar. Cogankata ini asalnya ialah ‘Usaha Tangga Kejayaan’ dan telah dipinda pada tahun-tahun kebelakangan ini. Cogankata baru ini menggambarkan harapan guru-guru agar pelajar-pelajar yang keluar daripada sekolah ini berilmu dan bertaqwa. Oleh itu diharapkan ilmu yang ada dalam diri pelajar-pelajar dapat dimanfaatkan dengan berbakti kepada masyarakat, agama dan negara.

Bendera[sunting | sunting sumber]

Bendera ini telah direka bentuk pada tahun 1993 dan dikuatkuasakan pada tahun 1995. Penciptaan bendera adalah hasil adaptasi daripada lencana sekolah.

Hijau: Menggambarkan semangat jihad dikalangan pelajar sekolah ini untuk berjaya dalam pelajaran.
Merah: Merah itu berani. Keberanian adalah penting bagi pelajar-pelajar untuk berjaya di dalam akademik mahupun kokurikulum.
Putih: Melambangkan agama Islam itu suci.
Bulan & bintang: Objek ini melambangkan perpaduan yang wujud antara guru dan pelajar sekolah ini. Ia juga melambangkan keunggulan agama Islam itu sendiri.
Kuning: Merah dan kuning akan membentuk bendera negeri Selangor Darul Ehsan. Ini bermakna sekolah ini adalah di bawah naungan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pakaian seragam sekolah[sunting | sunting sumber]

Pakaian lelaki yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah bercirikan islamik dan kemas. Baju yang dikancing akan tampak kemas. Pakaian lelaki pada hari Jumaat pula bercirikan baju tradisional masyarakat melayu iaitu baju melayu. Samping berwarna hijau melambangkan keunggulan agama Islam. Pakaian perempuan pula lebih bercirikan pakaian tradisional masyarakat melayu iaitu baju kurung dan bertudung labuh untuk menutup aurat. Baju yang dikancing akan tampak sopan dan kemas.Kain sarung hijau juga melambangkan keunggulan agama Islam.

Lagu Sekolah Agama Menengah Hulu Langat[sunting | sunting sumber]

Maju selangkah mara kehadapan,

Memegang dunia satu kemestian,

Agama Islam satu kewajipan,

Pegangan kami SAM Hulu Langat,


Hari mendatang penuh cabaran,

Berilmu beramal asas kemajuan,

Amal dan bakti untuk masa depan,

Hidup hala tuju kecemerlangan,


Nasihat guru amat dihargai,

Wadah etika semangat dedikasi,

Hidup saling hormat-menghormati,

Membentuk jiwa ummah yang sejati,


Walau perit tempuh rintangan,

Untuk berjaya kami lalui,

Demi hasrat capai kejayaan,

Bagi mencapai apa dihajati,


Maju selangkah mara kehadapan,

Memegang dunia satu kemestian,

Agama Islam satu kewajipan,

Pegangan kami SAM Hulu Langat,


Hari mendatang penuh cabaran,

Berilmu beramal asas kemajuan,

Amal dan bakti untuk masa depan,

Hidup hala tuju kecemerlangan,


Walau perit tempuh rintangan,

Untuk berjaya kami lalui,

Demi hasrat capai kejayaan,

Bagi mencapai apa dihajati.


Lagu Sekolah ini telah dilancarkan dan diperkenalkan kepada seisi warga SAM Hulu Langat pada 3 September 2010 yang lalu iaitu ketika perhimpunan mingguan dijalankan. Setelah lagu ini dilancarkan, maka telah rasmilah lagu ini sebagai Lagu Sekolah dan akan dinyanyikan pada setiap perhimpunan mingguan yang diadakan pada masa akan datang.

Senarai Nama Pengetua dari Tahun 1983 hingga kini[sunting | sunting sumber]

Bil Nama-Nama Pengetua Tahun Mula Berkhidmat Tahun Tamat Berkhidmat Catatan
1 Encik Abdul Manaf bin Rofaii 1983 / 1986 1984 / 1986
2 Encik Samuri bin Jaafar 1985 / 1987 1985 / 1990
3 Encik Ismail bin Ibrahim 1991 1997
4 Encik Bustaman bin Abdul Latif 1998 1998
5 Puan Jamaah binti Shahbudin 1999 2002
6 Encik Abdullah Salleh bin Sulaiman 2003 2005
7 Encik Samsuri bin Yosok 2006 2007
8 Puan Serifah Mahaya binti Syed Dakian 2007 2010
9 Puan Siti Zubaidah binti Ahmad 2010 2014
10 Encik Mohamad Rahman bin Sulaiman 2014 2016
11 Tn. Hj. Mohd Zainul Arifien bin Mohd Jaid 2016 2022
12 Tn. Hj. Mashanizat bin Ngasri 2022 2024
13 Pn. Mahani binti Othman 2024 Kini

Pembaharuan Sekolah Agama Menengah Hulu Langat[sunting | sunting sumber]

  1. Pembinaan 13 tiang bendera sekolah - dibina sejak tahun 2005 atau ditaja oleh Jabatan Pelajaran Selangor dan oleh Lembaga Disiplin Sekolah
  2. Astaka mini bersebelahan parking motor - dibina pada awal tahun 2010 untuk menggantikan tempat perhimpunan lama dan kosnya dianggarkan dalam RM 4000
  3. Pengubahsuaian bilik disiplin - terletak antara kelas 4 Al-Farabi dan bilik guru lelaki dan diubahsuai pada awal tahun 2009
  4. Penubuhan Firqah Abu Ubaidah Al-Jarrah - rumah sukan ini telah dicadangkan dalam mesyuarat kokurikulum supaya bilangan pelajar dalam firqah tidak terlalu ramai dan memberi peluang pelajar untuk merangkul hadiah. (kini Firqah ini telah dimansuhkan)
  5. Kampus Astro
  6. Bilik Pengurusan Sukan - memakan kos sebanyak RM 10 000 hasil daripada PIBG dan orang ramai
  7. Badan Dakwah dan Rohani - mula ditubuhkan pada tahun 2010 yang bertujuan untuk menyebarkan dakwah dalam menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran
  8. Bilik Badan Dakwah dan Rohani - mula diwujudkan berhampiran tangga sekolah blok A pada tingkat teratas. (Bilik ini dipindah ke Pejabat Surau Al-Ittihad manakala bilik lama dijadikan Bilik Operasi PIBG)
  9. Pembinaan kelas khas untuk pelajar Kelas Khas Al-Quran (KKQ) bersebelahan pondok pengawal asrama dan blok A asrama lelaki.

Pendidikan Sekolah[sunting | sunting sumber]

Pendidikan Sekolah Agama Menengah Hulu Langat berorientasikan seimbang antara akademik dan agama yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai ilmu agama yang tinggi di samping mahir dalam bidang akademik. Pada tahun 1983, sekolah ini hanya menekankan ilmu agama sahaja dan dari tahun ke tahun sekolah ini mula berdaftar bawah Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 90-an.

Penilaian Menengah Rendah (PMR)

Sekolah ini memulakan Sijil Rendah pelajaran (SRP) pada tahun 1985. Mempunyai 9 subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup Bersepadu ( sama ada Kemahiran Teknikal atau Ekonomi Rumah Tangga ) termasuk Bahasa Arab. Mulai tahun 2012, PMR mula dimansuhkan dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) atas arahan Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada 2014, PBS turut diselaraskan dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun 2014.

Sijil Menengah Agama

Mempunyai 10 subjek iaitu Tilawah Al-Qur'an wa Hifz, Bahasa Arab 1 (Nahu & Sorof), Bahasa Arab 2 (Mutolaah & Insya'), Tauhid Feqah, Tafsir Hadis, Sirah Nabi dan Balaghah. Sukatan ini digunakan dalam bahasa Arab secara keseluruhan dan bertujuan untuk memantapkan bahasa Arab dalam kalangan pelajar di samping mendalami ilmu agama.

Sijil Pelajaran Malaysia

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah bermula pada tahun 1987 iaitu dua tahun selepas SRP dimulakan. Mempunyai 14 subjek akan tetapi setiap pelajar perlu memilih dengan had maksimum sebanyak 10 atau 11 subjek sahaja bermula tahun 2010. Subjek tersebut ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Matematik, Sejarah, Pendidikan Al-Qur'an dan Al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Sains, Biologi, Fizik, Kimia, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas dan Matematik Tambahan. Pada sebelum ini terdapat satu lagi subjek dipelajari akan tetapi tidak lagi diambil oleh pelajar sekolah ini iaitu subjek English For Science and Technology iaitu subjek pelajar Sains.

Standard Kualiti Pendidikan Malaysia

Untuk tahun 2012, SAM Hulu Langat berada di rangking ke 204 dalam peringkat kebangsaan. Sekolah ini telah mendapat band 3 dan peratusnya sebanyak 90.4 % di mana sekolah ini lokasinya tertumpu di bandar.

Pengiktirafan SAM Hulu Langat sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan[sunting | sunting sumber]

SAM Hulu Langat secara rasminya dinobatkan sebagai sekolah kluster kecemerlangan fasa kesembilan pada tahun 2015 dengan kebitaraan Bahasa Melayu dan Kadet Remaja Sekolah berikutan pemantauan pihak nazir daripada kementerian untuk dibuat penilaian. Sekolah ini telah mendapat sijil pengiktirafan SKK daripada YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pendidikan (I) Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.[2]

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Agama Menengah Hulu Langat
Batu 10, Jalan Cheras
Selangor, Malaysia
Telefon = 03-90751343
Fax = 0390754537

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]