Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Mohammad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Mohammad
Lokasi
 Malaysia D/A Pejabat Pelajaran Gabungan Bintulu, 97000, Bintulu, Sarawak Bumi Kenyalang
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah kebangsaan, Sekolah kerajaan
MotoUsaha Tambah Jaya
Nombor sekolah6086331966
Kod sekolahYBA9101
Guru besarSAHARI BIN MASHLI
Faks6086331966


Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Mohammad atau nama ringkasnya SK Orang Kaya Mohammad, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di D/A Pejabat Pelajaran Gabungan Bintulu. Terletak di tengah-tengah kota Bintulu, SK Orang Kaya Mohammad merupakan sekolah bantuan kerajaan pertama yang dibina di Bandar Bintulu.

Pada 2009, Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Mohammad memiliki 470 orang pelajar lelaki dan 432 orang pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 902 orang yang terdiri daripada pelbagai etnik masyarakat Sarawak seperti Melayu, Melanau, Iban dan sebagainya. Ia mempunyai seramai 59 orang guru.2009

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1912, Kerajaan Rajah Brooke telah menubuhkan sekolah rendah pertama di Bandar Bintulu, iaitu Orang Kaya Mohammad School (OKMS). Pada awal penubuhannya, sekolah ini diterajui oleh seorang tenaga pengajar iaitu Cikgu Abdul Rahman bin Kassim dan mempunyai bilangan murid sebanyak 30 orang. 10 tahun kemudian, bilangan murid semakin bertambah kepada 130 orang dengan dua orang guru. Oleh itu, Kerajaan Brooke telah bersetuju untuk membina sebuah lagi bangunan bagi kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

Tapak asal sekolah ini terletak di Tugu Council Negeri di tengah kota Bintulu pada ketika ini. Akibat daripada Perang Dunia Kedua, bangunan asal telah mengalami kerosakan yang amat teruk. Oleh itu, pihak kerajaan Sarawak telah membina bangunan sementara di Kampung Sinong. Pada tahun 1952, masyarakat tempatan telah bersepakat untuk membina satu bangunan kekal untuk keselesaan para murid sekolah. Oleh itu, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengutip derma bagi membiayai kos pembinaan bangunan baru. Tanggal 15 Februari 1953, bangunan sementara telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan kekal. Dua orang tukang, Tuan Haji Pengiran Kasim dan Enche Mahmud menawarkan diri secara sukarela untuk membina bangunan sekolah yang baru. Sesi persekolahan telah dijalankan di rumah Cikgu Masleh, rumah Pengiran Hamzani bin Pengiran Abil dan di bangunan Court Malay. Pada tahun 1964, sebuah lagi bangunan kayu telah didirikan bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat saban tahun. Bangunan konkrit pula mula dibina pada tahun 1978.

Pada tahun 2015, SK Orang Kaya Mohammad telah berpindah ke tapak baharu kerana tapak asalnya tidak selamat digunakan. Pada Julai 2020, bangunan sekolah itu yang berusia 100 tahun terbakar. Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu kerana bangunan tersebut sudah ditutup.

Asal nama sekolah[sunting | sunting sumber]

Kira-kira 150 tahun yang dahulu, Negeri Sarawak berada di bawah naungan Kerajaan Melayu Brunei Darusalam. Pada ketika itu, Sultan Brunei telah melantik beberapa penduduk tempatan untuk menjadi wakil diraja untuk menjaga keamanan dan keharmonian di daerah Bintulu. Salah seorang ketua masyarakat yang dilantik ialah Mohammad bin Sungan atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Orang Kaya Pemanca Mohammad. Beliau merupakan seorang ketua yang adil, bijaksana dan amat dihormati oleh penduduk tempatan. Oleh itu, bagi mengenang jasa baik beliau, nama beliau telah diabadikan dengan nama sekolah pertama yang dibina di Bintulu.

Lagu sekolah[sunting | sunting sumber]

Orang Kaya Mohammad,

Budimu jadi sanjungan,

Membimbing mendidik,

Tuju ke puncak jaya,

Inilah bakti mulia,

Berusaha setiap masa,

Menempuh cabaran masa,

Ilmu dituntut hingga berjaya,

Usaha tambah jaya.

Pentadbiran dan pengurusan sekolah[sunting | sunting sumber]

Sejak penubuhannya, SK Orang Kaya Mohammad telah diterajui oleh beberapa orang guru besar:

  1. 1912-1918: Tiada Maklumat
  2. Encik Abdul Rahman bin Kassim (1918)
  3. Encik Abang bin Bojeng (Tiada maklumat)
  4. Encik Ahmad bin Haji Ariff (Tiada maklumat)
  5. Encik Alias bin Abdul Rahman (Tiada maklumat)
  6. Encik Salim bin Jomel (Tiada Maklumat)
  7. Encik Ulis bin Hasim (1945)
  8. Encik Abang bin Haji Said (1946)
  9. Encik Yusuf bin Mahmud (1946 - 1949)
  10. Encik Sabil bin Othman (1950 - 1952)
  11. Encik Awang Jaya bin Pengiran Tajuddin (1953 - 1955)
  12. Encik Awang Jaya bin Awang Bakar (1956 - 1957)
  13. Encik Bujang Taha (1958 - 1963)
  14. Encik David Ngee (1964 - 1965)
  15. Encik Bakeri bin Haji Yusuf (1966)
  16. Encik Naimullah bin Encik Aminullah (1967 - 1968)
  17. Encik Bakeri bin haji Yusuf (1969 - 1973)
  18. Encik Awang Sabran bin Pengiran Hadi (1974 - 1988)
  19. Cik Ramlah binti Haji Saberi (1989 - 1992)
  20. Encik Abang Suhaili bin Abang Muhammad (1992 - 1993)
  21. Encik Muhd. Tudin bin Kese (1993 - 1995)
  22. Encik Sahari bin Sebi (1995)
  23. Tuan Haji Mahli bin Tuan Haji Suhaili (1995 - 2002)
  24. Encik Hasbi bin Bunggui (2002)
  25. Puan Abidah binti Semail (2003 - Sekarang)

Guru Besar dibantu oleh Penolong Kanan Satu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Kokurikulum dan Penyelia Petang. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Alumni SK Orang Kaya Mohammad bertindak sebagai penasihat kepada Pihak Pengurusan Sekolah. Guru Besar juga dibantu oleh staf bukan akademik bagi menjalankan urusan pentdabiran sekolah.

Mata pelajaran[sunting | sunting sumber]

Berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kemahiran Bersepadu Sekolah Rendah, SK Orang Kaya Mohammad menyediakan pengajaran bagi memberi pengetahuan asas seperti Membaca, Menulis dan Mengira (3M) kepada pelajar. Murid juga diajar berpandukan sistem Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yand merangkumi subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Selain itu, mata pelajaran lain juga diajar, antaranya, Kajian Tempatan, Kemahiran Hidup Bersepadu, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pendidikan Muzik dan banyak lagi.

Selain itu, SK Orang Kaya Mohammad juga menyediakan Kelas Kemahiran Khas bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kelas pra-sekolah.

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Mohammad
D/A Pejabat Pelajaran Gabungan Bintulu
97000, Bintulu
Sarawak, Malaysia
Telefon = 6086331966
Faks = 6086331966

Pautan luar[sunting | sunting sumber]