Sekolah Kebangsaan Ulu Sepetang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Kebangsaan Ulu Sepetang
Lokasi
Taiping
Maklumat
JenisSekolah kerajaan
Ditubuhkan1953
Daerah sekolahLarut, Matang dan Selama
GredPrasekolah, darjah 1–6
Laman sesawang

Sekolah Kebangsaan Ulu Sepetang, Taiping ialah sebuah sekolah rendah yang terletak di antara bandar Taiping dan Batu Kurau di dalam daerah Larut, Matang dan Selama, Perak. Jaraknya ialah 15 km dari bandar Taiping dan 10 km dari Batu Kurau.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Penduduk Kampung Ulu Sepetang pada awalnya menghantar anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Akar yang terletak di Batu Kurau, sekarang dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Toh Sajak. Semasa darurat, penduduk kampung ini yang berselerak ini telah dikumpulkan di suatu kawasan penempatan semula. Kawasan ini dikenali sebagai Kampung Baru Ulu Sepetang. Semakin lama, jumlah penduduknya pun turut bertambah.

Ibu bapa serta penduduk kampung menghantar rayuan kepada kerajaan memohon supaya didirikan sebuah bangunan sekolah bagi kepentingan anak-anak mereka. Pihak kerajaan bersetuju dan telah mendirikan sebuah bangunan kayu yang panjangnya berukuran 120 kaki x 20 kaki. Bangunan ini mengandungi enam bilik darjah. Ia menempatkan Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil di bawah satu bumbung. Tiap-tiap aliran diberi dua bilik darjah. Sekolah ini telah dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Ulu Sepetang sempena nama Kampung Baru Ulu Sepetang.

Bangunan sekolah Kebangsaan Ulu Sepetang telah dirasmikan pada 21 Jun 1953 dengan jumlah murid seramai 29 orang, terdiri dari 25 murid darjah satu, 3 murid darjah dua dan seorang murid darjah tiga. Guru Besar yang pertama ialah Cikgu Haji Mohd. Saud bin Mohd. Isa yang berkhidmat sehingga 25 Oktober 1955.

Oleh kerana bilangan murid yang semakin ramai, Kementerian Pelajaran telah mendirikan sebuah lagi bangunan berukuran 60 kaki x 24 kaki pada tahun 1968. Bangunan ini yang dikenali sebagai KP 3164 mempunyai 3 bilik darjah.

Pada bulan Julai 1984 kerajaan telah membina bangunan “proseg” sebagai bangunan tambahan kepada bilik-bilik darjah yang sedia ada. Ini termasuk sebuah kantin, tandas dan bekalan air bersih. Ketika ini jumlah murid ialah seramai 210 orang.

Pada 3 Mei 1992, sekolah ini telah berubah tapak. Kerajaan telah mendirikan dua blok bangunan baru dua tingkat masing-masing serta kantin. Ia turut dilengkapi dengan segala kelengkapan lain yang diperlukan ketika itu. Bangunan lama di tapak dahulu telah diserahkan kepada SJK(T) Ulu Sepetang. Pada 10 April 2003 pula, sebuah makmal komputer telah dibina untuk digunakan oleh murid-murid sekolah ini.

Seterusnya bermula tahun 2004, satu kelas pra-sekolah telah dimulakan dengan seramai 25 orang murid terdiri daripada anak-anak yang berumur 6 tahun semuanya. Guru pra-sekolah yang pertama ialah Puan Shamson binti Hanapiah dengan Cik Nurul Akmar binti Abd. Rashid sebagai pembantu/pengasuh pra-sekolah.

Sejak sekolah ditubuhkan, sekolah tidak mempunyai lagu rasmi sekolah. Pada tahun 2006 atas daya usaha Guru Besar yang baru dengan kerjasama guru-guru serta bantuan En. Mohamad Rohaizad bin Muhamad Kher (guru muzik SK Jelai) dan En. Osman bin Ibrahim (mahasiswa UPSI) telah mengusahakan menulis skor lagu serta lirik lagu rasmi sekolah. Hasilnya sebuah lagu rasmi sekolah yang diberi nama “Maju dan Jaya”.

Senarai Guru Besar[sunting | sunting sumber]

  1. Tuan Haji Mohd. Saud bin Mohd. Isa 21. 06. 1953 - 25. 10. 1955
  2. En. Saidin bin Mansur 15. 01. 1956 - 31. 12. 1956
  3. En. Zainal Abidin bin Lop Abdul Aziz 01. 01. 1957 - 31. 12. 1979
  4. En. Mokhtar bin Mohd. Noor 01. 01. 1980 - 30. 11. 1984
  5. En. Abdul Hamid bin Arshad 01. 12. 1984 - 01. 02. 1986
  6. En. Othman bin Hussain 02. 02. 1986 - 15. 11. 1987
  7. En. Meor Hussain bin Nordin 16. 11. 1987 - 01. 10. 1996
  8. En. Ahmad Khusairi bin Alias 22. 10. 1996 - 31. 07. 2000
  9. En. Mohd.Taib Azmi bin Mohd.Taib 01. 08. 2000 - 31. 05. 2000
  10. En. Ishak bin Awang Kechik , AMP,PPT 01. 06. 2001 - 06. 07. 2004
  11. Puan Hjh. Salbiah bt Che Din 07. 07. 2004 - 20. 10. 2005
  12. En.Mohamad Zamri bin Mohamad Ariffin 21. 10. 2005 - 02.08.2008

Pautan luar[sunting | sunting sumber]