Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarifil Wataniah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarifil Wataniah
Lencana SMA DMW
Lokasi
Kepala Batas,, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Agama Bantuan Kerajaan
MotoBerilmu, Beriman, Beramal
Ditubuhkan2 Rabiul Awwal 1344 H / 1926 M
Nombor sekolah04 - 575 4140
PengetuaUstaz AZLI BIN SALLEH
Faks04 - 575 3140


Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarifil Wataniah atau 'Madrasah Daeratul Maarifil Wataniah' (akronim: SMA DMW) (دائرة المعارف الوطنية transliterasi: Dāʾirat al-Maʿārif al-Waṭaniyyah) ialah sebuah sekolah pengajian Islam dan Arab yang terletak di Jalan Perak, 13200, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Semenanjung Malaysia. Ia ditubuhkan pada tahun 1926 M. Sekolah agama lain ketika itu ialah Madrasah Irsyad al-Ashraf al-Wataniah, Sungai Bakap, Pulau Pinang dan Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pengasas[sunting | sunting sumber]

Shaykh Abdullah Fahim atau nama asalnya Abdullah bin Ibrahim bin Tahir, turut dipanggil dengan nama Haji Abdullah Pak Him. Pak Him ialah singkatan nama ayahnya, Ibrahim. Fahim yang dimaksudkan di sini ialah 'Fahim' yang berasal daripada bahasa Arab, yang bererti 'orang yang faham'. Beliau lahir di Makkah pada tahun 1286 Hijrah / 1869 Masihi, dan wafat pada tanggal 12 Zulkaedah 1380 Hijrah / 27 April 1961 Masihi di Seberang Perai, Pulau Pinang. Abdullah Fahim mendapat pendidikan asas tradisional daripada ayahnya sendiri, Haji Ibrahim bin Tahir di Makkah.

Abdullah Fahim termasuk salah seorang ulama yang mahir dalam ilmu falak. Oleh kerana itu pendapatnya telah diminta untuk menentukan waktu yang sesuai bagi kemerdekaan Malaya. Berdasarkan hisab dan falak Shaykh Abdullah Fahim, ditentukanlah bahawa hari kemerdekaan Malaya jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957.

Penubuhan Sekolah[sunting | sunting sumber]

Sejarah Daeratul Maarifil Wataniah bermula apabila pengasasnya, Tuan Shaykh Abdullah Fahim -raḥimahullāh- memulakan pengajarannya di anjung rumah beliau dengan lima orang pelajar pada tarikh 2 Rabīʿ al-Awwal 1344 Hijrah bersamaan dengan tahun 1926 Masihi. Nama Daeratul Maarifil Wataniah ialah ilham yang diperoleh setelah istikharah beliau. Berasaskan pengetahuan ilmu falak yang mendalam, beliau memilih hari Ahad, 2 Rabīʿ al-Awwal sebagai tarikh permulaan Madrasah Daeratul Maarifil Wataniah, di mana beliau telah menggunakan angka 1, 2, 3, 4 dan 5 sebagai angka perlambangan. Angka 1 membawa maksud hari Ahad, angka 2 membawa maksud dua hari bulan, angka tiga membawa maksud Rabīʿ al-Awwal, angka 4 membawa maksud tahun ke-4 dan angka 5 membawa maksud pelajaran.

Sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Amat Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1934, sebuah bangunan kayu telah siap dibina hasil daripada derma dan zakat daripada orang ramai. Dengan siapnya bangunan tersebut, maka bermulalah sebuah sekolah agama yang diikenali dengan nama Madrasah Daeratul Maarifil Wataniah. Pada ketika itu, sistem pengajian adalah berasaskan kepada sistem pengajian pondok di mana pengajian adalah berbentuk kuliah umum dengan menggunakan kitab kitab Tafsīr al-Jalālayn, kitab hadith Ṣaḥīḥ al-Bukhārī dan Ṣaḥīḥ Muslim, serta kitab fiqh Minhāj al-ʿĀbidīn. Berpuluh-puluh pondok telah dibina di sekeliling kawasan sekolah berkenaan untuk kediaman pelajar-pelajarnya.

Sistem Pengajian Pondok[sunting | sunting sumber]

Pada awal penubuhannya, para pelajar madrasah datang dari seluruh nusantara. Di antara negara-negara nusantara tersebut ialah Singapura, Thailand, Sumatera dan Borneo. Para pelajarnya pada ketika itu berjumlah kira-kira 1500 orang. Manakala tenaga pengajar pada ketika itu terdiri daripada Shaykh Abdullah Fahim sendiri dan beberapa orang tenaga pengajar muda termasuk Ustaz Haji Abdul Halim, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan Ustaz Ghazali iaitu anak beliau sendiri.

Kemudiannya, bentuk pengajian telah diubah kepada sistem niẓāmī iaitu bentuk pengajian dalam kelas-kelas yang tersusun seperti di sekolah hari ini. Namun begitu, kuliah ʿumūmī (awam) masih lagi diberi oleh Tuan Shaykh Abdullah Fahim sendiri. Dua bentuk sistem pengajian iaitu niẓāmī (sekolah) dan ʿumūmī (awam) terus dikekalkan di madrasah ini.

Sejak tahun 1950 hingga seterusnya, Shaykh Abdullah Fahim tidak lagi mengajar di sekolah itu kerana telah lanjut usia. Dia hanya menjadi penasihat kepada jawatankuasa sekolah dan guru-gurunya.[1]

Insan yang bertanggungjawab meneruskan perjuangan Shaykh Abdullah Fahim ialah Tuan Haji Ahmad Badawi bin Abdullah Fahim -raḥimahullāh-, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya yang menjadi pengetua sekolah dan penolongnya pula ialah Ustaz Haji Ahmad bin Abdul Malik (Ahmad Maliki), bekas orang kuat dalam Jawatankuasa Khas Agama Islam dalam UMNO yang kemudian telah menubuhkan PAS bersama Haji Ahmad Fuad Hassan pada tahun 1951.

Pelajaran yang diajarkan untuk peringkat menengah merangkumi kebanyakan subjek pengetahuan Islam seperti di sekolah- sekolah agama lain. Antaranya ialah Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Tawhid / Usuluddin, Fiqh & Usul al-Fiqh, Tafsir, Hadith, Tasawwuf, Akhlak, Sejarah Islam, ʿArūḍ & Qāfiyah (Syair Arab), Naḥwu & Ṣarf (Sintaksis dan Morfologi), Bayān, Maʿānī dan Manṭiq.

Tenaga Pengajar dan Para Pelajar Terawal[sunting | sunting sumber]

Di antara guru-guru terawal sekolah itu ialah Ustaz Haji Ahmad Maliki, Ustaz Haji Abdul Halim, Ustaz Abdul Razak (Kepala Batas), Ustaz Abdul Kadir Kamaluddin, Pahang (Penterjemah buku Imam Ghazali ‘Cermin Budi Bagi Mukmin’ terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 1997) dan Murad Abdul Rahman (bahasa Inggeris – Johor Bharu).

Antara pelajar terawal yang belajar di situ (1953) pula ialah Yahya Arif dan Haji Ahmad Fuad dan Mokhtar Petah dari Kuala Kangsar, Perak. Temuduga ringkas dijalankan oleh Ustaz Haji Ahmad Maliki dan Ustaz Abdul Razak. Jika layak, pelajar boleh terus masuk ke tingkatan thānawī al-thālith (menengah tiga). Sukatan pelajaran di sekolah – sekolah agama (rakyat) di seluruh Semenanjung Tanah Melayu ketika itu tidak sama kerana Tanah Melayu masih lagi dijajah oleh British.

Antara penuntut lain juga ialah Ali Haji Hussein (kemudian guru agama Islam sekolah Kerajaan Brunei, bapa kepada penyanyi Jamal Abdillah, Teluk Anson), Mohd.Tahir bin Jais (kemudian guru agama dan seterusmya ketua kampung), Mohd. Zain bin Haji Shamsuddin (kemudian guru agama sekolah kerajaan di Bukit Mertajam, asal dari Rambai Tujuh, Kuala Kangsar), Ariff Haji Yassin (kemudian menjadi tuan kadi di Bagan Datoh, Perak) ; Fadzil bin Haji Yassin (kemudian berniaga di Lenggong), Khalid bin Haji Ismail (kemudian guru agama dan seterusnya imam masjid di kampungnya di Pajak Song, Kepala Batas), Kamaruddin bin Betan (kemudian menjadi penyelia KEMAS di tempatnya, Sabak Bernam), dan Abu Bakar (kemudian menjadi guru sekolah kerajaan di Tokai, Kedah).

Kebanyakan penuntut tinggal di pondok-pondok di belakang sekolah tersebut. Menurut Mokhtar Petah, beliau bersama Ali Haji Hussein dan dua orang rakan lagi telah tinggal di sebuah rumah sewa di Permatang Bertam. Mohktar Petah sempat bertemu dengan Shaykh Abdullah Fahim dan Ahmad Badawi. Abdullah Fahim ialah seorang ulama tersohor ketika itu dan menjadi rujukan ramai.[2].

Sekolah, Perjuangan Kemerdekaan dan Politik Islam[sunting | sunting sumber]

Sekitar tahun 1950-an sekolah agama ini terkenal di seluruh Semenanjung Tanah Melayu sebagai satu-satunya institusi ilmu pengetahuan Islam yang terlibat secara langsung dengan perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan tanahair, sama ada di pihak Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mahupun di pihak Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Perkataan 'al-Wataniah' yang terdapat pada nama sekolah bermaksud kenegaraan atau kebangsaan dan perkataan tersebut merupakan mesej yang jelas tentang kepentingan perjuangan kaum bumiputera di tanahair.

Ramai guru dari sekolah terlibat secara langsung dalam perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanahair. Penuntut-penuntutnya diwajibkan belajar ilmu kemasyarakatan dan ilmu politik Islam (sains politik). Haji Ahmad Badawi telah mengambil bahagian mengajar ilmu politik dan Ustaz Haji Ahmad Maliki telah mengajar ilmu kemasyarakatan. Buku-buku yang menjadi asas ilmu tersebut ialah al-Qur'an, hadith, sejarah Islam, sirah nabawi, dan buku-buku pemikiran contohnya Izzatun Nasyi'in, karya Mustafa Al-Ghalayin, salah seorang anggota pertubuhan Islam, Ikhwan Muslimin, Mesir.

Sekitar Ogos 1950, berita kematian wartawan Ahmad Arif, berasal dari Kampung Relau, Sungai Bakap, Seberang Perai telah mengejutkan warga sekolah itu. Ahmad Arif terbunuh dalam serang hendap oleh kumpulan penjahat Kuomintang di Sungai Bakap, Seberang Perai semasa Majlis Mesyuarat Agung UMNO bersidang di Istana Iskandariyah, Kuala Kangsar, Perak pada 27, 28 dan 29 Ogos 1950. Ahmad Arif adalah wakil SEBERKAS Kedah dalam perjalanan hendak menghadiri persidangan UMNO. Pungutan derma telah dilancarkan dalam mesyuarat UMNO itu. [3]

Pada masa itu, semua pelajar sekolah agama itu diwajibkan menjadi ahli UMNO (ahli pemuda UMNO). Sekitar 50 pelajar yang terpilih diwajibkkan berkawat. Mereka diwajibkan berpakaian seragam – baju jaket lengan pendek bertali pinggang, seluar panjang dan kayu warna putih. Songkok hitam seperti songkok gerila Revolusi Indonesia pimpinan Pembela Kemerdekaan, Jeneral Sudirman pada 7 Feb 1912 – 29 Jan 1950. Di atas kedua bahu, tersemat dua keping tembaga bertatah 'UMNO' dan beralaskan helaian kecil kain merah. Semua ahli pemuda UMNO seluruh Malaya diwajibkan berpakaian sedemikian. Ketua pemuda UMNO ketika itu ialah Sardon Jubir yang mahukan semua pemuda UMNO berpakaian begitu, yang sesuai dengan pakaian seragam pemuda-pemuda revolusi Republik Indonesia. Sardon Jubir keturunan Melayu suku Jawa, seorang peguam. Bapanya bekerja sebagai kadi di Singapura. Sardon Jubir menyanjung tinggi perjuangan Presiden Soekarno dan pejuang-pejuang revolusi Indonesia. Malah seorang anak lelakinya telah diberi nama Soekarno.

PAS ketika itu dipimpin oleh Haji Ahmad Fuad Hassan dan setiausaha agungnya ialah Cikgu Ahmad bin Awang, guru sekolah Melayu Paya Keladi. Pejabat PAS terletak di sebuah bilik bahagian hadapan dalam bangunan Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarif Wataniah. Sementara di sebelah bilik itu ialah pejabat Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya, Haji Ahmad Badawi. Beberapa orang wartawan Melayu sering mengunjungi kedua-dua pejabat itu. Antaranya ialah Misbah Tahir wartawan Utusan Melayu di Pulau Pinang, Zain Arif, Ibrahim Mahmood dan Ramli, wartawan Warta Negara, Pulau Pinang dan Khair Haji Taib yang bekerja di jabatan pengarang Utusan Melayu di Singapura.

Madrasah Daeratul Maarifil Wataniah terus menyumbangkan jasanya kepada masyarakat beberapa tahun kemudiannya. Sekitar tahun 1970-an sekolah ini turut menjadi tempat penampungan pelajar-pelajar yang gagal SRP dan SPM.

Sistem Pendidikan Moden[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1989, Sekolah Menengah Agama Daeatul Maarifil mula menggunakan kurikulum bersepadu akademik, agama dan bahasa Arab. Pembahagian matapelajarannya terdiri daripada dua bahagian iaitu 50% untuk matapelajaran akademik dan 50% untuk matapelajaran agama dan bahasa Arab.

Peperiksaannya pula merangkumi dua jenis aliran iaitu peperiksaan akademik dan peperiksaan agama dan bahasa Arab. Peperiksaan akademiknya terdiri daripada Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang kemudiannya bertukar kepada Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Peperiksaan agama dan bahasa Arab pula terdiri daripada Shahadah Mutawassitah (tingkatan dua), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) (tingkatan empat) dan Sijil Tinggi Agama / Sijil Tingi Agama Malaysia (STA / STAM). Pelajar-pelajar yang ingin memasuki sekolah ini mestilah mempunyai kelayakan seperti berikut: (i) tamat sekolah rendah dan (ii) dapat menguasai tulisan Jawi dan bacaan al-Quran dengan baik.

Persatuan Alumni Sekolah[sunting | sunting sumber]

Persatuan Alumni Sekolah Menengah Agama Daeratul Ma'arifil Wataniah telah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada bulan Disember 2013. [4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ It's a life-and-death struggle
  2. ^ Mokhtar Petah ,'Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat’ ; 1997
  3. ^ Ibrahim Mahmood, 1981, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Kuala Lumpur, Pustaka Antara, hlm.250
  4. ^ Persatuan Alumni Sekolah Menengah Agama Daeratul Ma'arifil Wataniah