Sekolah Menengah Dato Bijaya Setia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Logo Sekolah Menengah Dato Bijaya Setia

Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Bijaya Setia terletak di Sungai Petani, Kedah. Sekolah ini dibuka secara rasmi pada 5 Oktober 1967 oleh Menteri Pelajaran pada masa itu iaitu YB En. Mohd Khir Johari Al-Haj.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini diasaskan pada tahun 1962 sebagai Sekolah Pelajaran Lanjutan. Pada mulanya ia menggunakan bangunan dan kawasan Sekolah Rendah Ibrahim, sebelum berpindah ke kawasan yang sekarang ini terletaknya Sekolah Kebangsaan Khir Johari. Bilangan guru pada masa itu ialah 8 orang dan bilangan pelajarnya pula 323 orang dan dibahagikan kepada 8 kelas. Pn. Chung Swee Wah ialah pengetua yang pertama.

Pada awal September 1962, sekolah ini dipindahkan ke Batu Dua, Jalan Kuala Ketil dan diberi nama Sek. Men. Batu Dua. En. Toh Teong Hoe telah dilantik menjadi pengetua baru menggantikan Pn. Chung Swee Wah yang berpindah.

Pada 1966, dua buah bangunan tambahan didirikan sebagai bilik amali dan makmal. Sebuah lagi bangunan tambahan yang mengandungi enam buah bilik darjah dan tiga buah bilik makmal sains turut didirikan. Pada tahun 1966 juga, kawasan belukar di sebelah sekolah dibersihkan untuk dijadikan padang permainan manakala gelanggang bola keranjang telah dibina dari sumbangan guru-guru, ibu bapa dan para pelajar. Kemudian pada tahun 1971, dua buah gelanggang telah dibina di antara bangunan A dan bangunan B.

Perpustakaan sekolah ini mula diwujudkan pada tahun 1967 dengan menggunakan bilik stor. Selepas itu ditempatkan pula di dua buah bilik di bangunan A. Bilik perpustakaan ini dilengkapkan dengan alat hawa dingin dan sekolah ini menjadi sekolah pertama di Kedah Tengah di mana perpustakaannya menyediakan kemudahan tersebut. Tujuannya ialah memberi keselesaan kepada para pelajar yang menggunakannya di samping untuk mengurangkan kebisingan daripada jalan raya berhampiran.

Pada 1987, bilangan pelajar meningkat menjadi 1,131 orang dengan tenaga pengajar seramai 53 orang.

Dengan inisiatif bekas Pengetua iaitu Tn. Hj. Suhaimy Hj. Zakaria BCK, nama sekolah ini telah ditukarkan namanya daripada Sek. Men. Batu Dua kepada Sek. Men. Dato' Bijaya Setia. Perasmian penukaran nama baru ini disempurnakan oleh YAB Dato' Paduka Hj. Osman Hj. Aroff, Menteri Besar Kedah pada 19 September 1985 bersamaan 4 Muharam 1406 Hijrah.

Dengan pertambahan pelajar dari setahun ke setahun menyebabkan sekolah ini dinaikkan taraf menjadi sekolah gred A pada tahun 1994. Bilangan pelajarnya pada tahun 1996 ialah 1,889 orang. Bilangan pelajar pada bulan April 1999 ialah 2416 orang.

Awal tahun 1999, sebuah cawangan sekolah telah ditubuhkan di bawah pengawasan En. Md Nasirudin Musib dan Pn. Hatun bt Man serta empat belas orang guru. Cawangan tersebut terletak di Jalan Sekerat berhampiran dengan pejabat PPD,KM/Y. Pelajar-pelajar daripada cawangan tersebut telah dipindahkan ke sekolah baru iaitu SMK Taman Ria, Sungai Petani pada awal tahun 2000.

Pda awal tahun 2003, sebuah bangunan empat tingkat siap dibina. Bangunan ini menempatkan bilik guru, pejabat, pusat sumber dan di tingkat bawahnya sebuah pentas terbuka serbaguna. Padang sekolah juga telah di baik pulih dimana ia telah ditambak setinggi lebih kurang dua kaki supaya ia menyerap air dengan lebih cepat sekiranya hujan turun dengan lebat.

Lencana sekolah[sunting | sunting sumber]

Lencana SMKDBS berbentuk perisai. Bentuk ini melambangkan pertahanan diri dalam mencapai kejayaan hidup.

Di bahagian bawah lencana terdapat simbol buku yang melambangkan sumber ilmu pengetahuan. Simbol obor di bahagian tengah pula melambangkan ketabahan dan kecekalan dalam membina ilmu sementara di bahagian atas obor terdapat bulatan warna putih bergerigi tiga, melambangkan kejayaan yang seimbang bagi seseorang individu iaitu dari segi rohani, jasmani dan mental.

Di kedua-dua belah obor tersebut terdapat simbol ranting padi masak yang melambangkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi bukan sahaja kepada peraturan dan undang-undang sekolah tetapi juga kepada negara.

Di bahagian atas lencana terdapat singkatan nama sekolah iaitu S.M.K.D.B.S sementara di bahagian bawah lencana terdapat moto sekolah iaitu "Bertekun Hingga Berjaya".

Bendera sekolah[sunting | sunting sumber]

Bendera Sekolah Menengah Kebangsaaan Dato Bijaya Setia berwarna putih dengan lencana sekolah di bahagian tengahnya.

  • Putih : Melambangkan kemurniaan ilmu pengetahuan.
  • Biru : Melambangkan kesejahteraan hidup yang seimbang merangkumi aspek jasmani, rohani dan mental.
  • Merah : Melambangkan kecekalan dan ketabahan dalam menuju kejayaan.
  • Kuning : Melambangkan kesetiaan kepada peraturan dan undang-undang sekolah

Rujukan[sunting | sunting sumber]


Pautan luar[sunting | sunting sumber]