Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (L) Al-Mashoor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki)
Moto Beriman Berilmu Beramal
Dirasmikan 12 November 1916 (97 tahun)
1 Januari 1979 (35 tahun) (Kerajaan Malaysia)
Jenis Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Kluster
Pengetua Tn. Sirajuddin bin Hj. Hamid
Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik En. Natdzri bin Ahmad
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid En. Rafie bin Yaakob
Penolong Kanan Kokurikulum En. Dul Fattah Mydin bin Monna Mohd
Pengerusi PIBG Prof. Dr. Wan Rosli bin Wan Daud
Kod sekolah PRA1001
Lokasi Jalan Air Itam,10460 Georgetown,, Pulau Pinang, Malaysia
Nama singkatan SMASH
Laman web http://www.smkalmashoor.bpi.edu.my/
Telefon 04-2296790
Faks 04-2291503


Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki) atau nama ringkasnya SMKA Al-Mashoor (Lelaki) atau nama singkatan SMASH, merupakan sebuah sekolah menengah kebangsaan agama yang terletak di Jalan Air Itam dan berhampiran dengan Masjid Negeri Pulau Pinang. SMKA Al-Mashoor (Lelaki) juga merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan (Fasa 1) sejak tahun 2007.

Pada 2014, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki) memiliki 537 pelajar lelaki dan 0 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 537 orang. Ia mempunyai seramai 60 orang guru.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki) atau SMASH merupakan sebuah sekolah yang terdapat di Pulau Pinang, Malaysia.

Ia telah diasaskan atas kesedaran segolongan bangsa Arab di Pulau Pinang yang bimbang akan kekurangan didikan agama di kalangan anak-anak masing-masing.

Pada tahun 1916 bersamaan 16 Muharram 1335H, suatu mesyuarat telah diadakan khusus tentang penubuhan sebuah sekolah agama. Dengan usaha gigih dan semangat kerjasama semua pihak maka tertubuhlah sebuah sekolah agama yang dikenali dengan nama Madrasah Al-Quran, di Lebuh Acheh (Masjid Melayu Pulau Pinang). Antara pihak yang turut menyumbang kepada penubuhan Madrasah ini termasuklah Tuan Syed Mahzar Aidid, Al-Syed Omar Al-Sagoff, Al-Sheikh Hassan Al-Baghdadi, Al-Syed Al-Sheikh Ali Bawazir dan Al-Sheikh Al-Haji Zakaria. Guru pertama yang mengajar di Madrasah ini ialah Al-Syed Abdul Rahman Alhabshee, manakala guru besar pertamanya ialah Al-Syed Al-Sheikh Al-Hadi.

Madrasah ini terus mendapat sambutan yang menggalakkan dan pada tahun 1918, Madrasah ini telah berpindah ke kawasan yang lebih besar di Kampong Jawa Lama, dengan nama Madrasah Al-Mashoor Al-Islamiah, sempena nama Tuan Habil Al-Mashoor, seorang penghulu yang terkenal di Pulau Pinang pada masa itu. Di samping Tuan Al-Syed Al-Sheikh Al-Hadi sebagai guru besar, guru-guru lain yang mengajar pada ketika itu ialah Tuan Al-Sheikh Mohd. Radzi, Tuan Al-Syed Ahmad Dahlan, Tuan Abdul Rahman Firdaus, Tuan Syed Ali Al-Zahir dan Tuan Ustaz Yusuf Zawawi.

Pada tahun 1920, Madrasah ini telah berpindah ke Lebuh Tek Soon, rumah dan tapak sekolah adalah kepunyaan Tuan Haji Bachik (seorang hartawan dari Melaka). Pada masa itu, perkembangan sekolah tersebut berlaku dengan begitu pesat dan yuran sebanyak RM2 dikenakan kepada setiap murid. Mata pelajaran yang ditambah ialah Ulum Al-Syariah dan Bahasa Inggeris. Tuan Al-Syed Al-Sheikh Al-Hadi kemudiannya digantikan oleh Tuan Al-Allamah Al-Sheikh Abdullah Al-Maghribi, seorang ulama yang pernah mengajar dan menjadi imam di Masjidil Haram Makkah. Antara guru yang mengajar pada masa pentadbirannya ialah Tuan Al-Marhum Sheikh Tahir Jalaluddin, Tuan Al-Sheikh Ahmad Al-Hadi dan Tuan Al-Allamah Al-Hafiz Ghulam Sarwar.

Pada tahun 1934 iaitu semasa pentadbiran Tuan Sheikh Abbas Bakar Al-Rafiee, barulah bahagian puteri disusun. Pelajar perempuan ditempatkan di bangunan lama dan pelajar lelaki di bangunan baru. Kemudian, pelajar-pelajar perempuan berpindah ke rumah kediaman Tuan Sheikh Abbas di Jalan Macalister. Pada tahun 1936, sekolah perempuan berpindah ke Jalan Lunas.

Semasa pemerintahan Jepun pada tahun 1941, Madrasah Al-Mashoor telah ditutup selama 3 tahun 8 bulan dan dibuka kembali pada tahun 1945 setelah British kembali ke Tanah Melayu. Usaha-usaha untuk mendirikan bangunan baru bagi sekolah dan asrama untuk pelajar lelaki dan perempuan terus dijalankan. Tabung derma bangunan sekolah telah menerima derma ikhlas daripada Al-Amir Faisal, yang ketika itu menjadi Tengku Mahkota Saudi Arabi sebanyak RM10,000 dan RM1,000 daripada Duta Sudan serta derma daripada orang ramai. Pada tahun 1957, sempena kunjungan YTM Tengku Abdul Rahman ke Madrasah Al-Mashoor, beliau berjanji akan membantu mendirikan bangunan baru bagi kedua-dua buah sekolah. Sebuah Jawatankuasa Binaan telah ditubuhkan dan mereka telah bekerja keras untuk penubuhan sekolah baru. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada Tuan Syed Abdullah Al-Sagoff (Pengerusi), Tuan K.S. Mohd. Ismail Alaudin, Tuan Syed Omar Al-Mashoor, Tuan Haji Yusuf Rawa, Tuan Dr. Haji S.M.Baboo, Tuan K.S.N. Baharuddin, Tuan Haji Hassan Badjunid dan Tuan M.N. Sathar. Permohonan bantuan telah diajukan kepada pihak Lembaga Kebajikan Masyarakat.

Waris-waris Almarhum Tuan K.M.S Sultan Alaudin telah mewakafkan sekeping tanah dan rumah di Jalan Lunas bagi tapak sekolah perempuan. Waris beliau iaitu Tuan Hj. K.S. Mohd. Ismail menjadi pengerusi Jemaah Pengurus SMKA Al-Mashoor (Perempuan) sekarang. Pada tahun 1970, guru besar pada masa itu iaitu Al-Ustaz Ahmad Badjunid telah memainkan peranan aktif untuk menampung lebih ramai murid yang tercicir dari Sekolah Menengah Kerajaan. Pada masa itu terdapat bantuan bulanan dari Rabitah Al-Alam Al-Islamiah Arab Saudi (The World Muslim League).

Pada akhir tahun 1978, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil alih bangunan sekolah lelaki di 41-A, Lebuh Tek Soon untuk pembinaan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). Kerajaan telah menggantikan tapak di Lebuh Tek Soon dengan sebidang tanah di Jalan Air Itam seluas 2.8 ekar. Mulai 1 Januari 1979, Kementerian Pelajaran Malaysia Bahagian Agama telah mengambil alih pentadbiran sekolah ini secara rasmi dan nama sekolah ditukar kepada SMKA Al-Mashoor (Lelaki) dan SMKA Al-Mashoor (Perempuan) yang ditadbir secara berasingan.

Sebuah bangunan baru telah didirikan di Jalan Air Itam untuk pelajar-pelajar lelaki. Sementara menunggu bangunan baru itu siap, pelajar-pelajar lelaki telah menumpang di Sekolah Menengah Abdullah Munshi sehingga akhir tahun 1981. Setelah diambil alih oleh kerajaan selama 3 tahun, cadangan telah dibuat untuk membina bangunan baru bagi pelajar-pelajar perempuan. Oleh itu sementara menanti bangunan baru di Medan Lim Cheng Teik siap, pelajar-pelajar perempuan telah menumpang di SMKA Al-Mashoor (Lelaki) dari tahun 1982 hingga Oktober 1984 (2 tahun 10 bulan).

Memandangkan kurikulum SMKA Al-Mashoor telah berubah, para pemegang amanah berasa bertanggungjawab untuk mewujudkan semula sekolah agama yang menjadikan mata-mata pelajaran hadis, tafsir dan lain-lain lagi sebagai mata pelajaran asas. Setelah persetujuan diperoleh, dan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Maahad Al-Mashoor Al-Islami pun diwujudkan pada Februari 1993. Buat sementara, sekolah ini menumpang di bangunan wakaf Masjid Riduaniah, Sungai Batu, Bayan Lepas dan kini Maahad Al-Mashoor Al-Islami telah mula bertapak dan tersergam indah di Simpang Empat, Balik Pulau, Pulau Pinang. Tapak ini diberikan oleh kerajaan sebagai menggantikan tapak sebenar yang telah diambil alih untuk bangunan KOMTAR dan sekaligus nama maahad bakal bertukar ke Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Perkembangan[sunting | sunting sumber]

SMKA Al-Mashoor (Lelaki) terus berkembang dengan jumlah pelajar yang semakin bertambah dari setahun ke setahun. Bilangan bilik darjah yang terhad tidak mampu menampung permintaan yang tinggi. Akhirnya pada tahun 1997, SMKA AL-Mashoor (Lelaki) telah mendapat bangunan baru yang dahulunya merupakan Sek. Men. Keb. Haji Zainul Abidin. Bangunan lama dijadikan asrama dan mampu memuatkan sehingga 400 orang penghuni. Kawasan sekolah baru yang lebih luas ini mempunyai 4 blok bangunan sekolah (3 blok bangunan dua tingkat dan 1 blok bangunan tiga tingkat), kantin/dewan makan dan sebuah rumah dua tingkat yang dijadikan makmal Bahasa Arab dan surau wanita. Bangunan sekolah pula menempatkan pejabat, bilik guru, bilik gerakan, 4 pusat sumber, 2 bilik tayangan, 6 makmal sains, 4 bengkel Kemahiran Hidup, 23 bilik darjah dan lain-lain.

Kini, bilangan pelajar SMKA Al-Mashoor (Lelaki) adalah sebanyak 543 orang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 326 orang tinggal di asrama. Sebanyak 76 orang kakitangan berkhidmat di sini yang terdiri daripada 60 orang guru (21 orang guru lelaki dan 39 orang guru perempuan) dan 16 orang kakitangan bukan guru. Pengetua SMKA Al-Mashoor sekarang iaitu Tuan Sirajuddin b. Haji Hamid merupakan pengetua yang ke-18. Pentadbiran dan pengurusan yang cekap di samping komitmen daripada guru-guru dan pelajar-pelajar menyebabkan SMKA Al-Mashoor (Lelaki) tidak putus-putus mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Misi Sekolah[sunting | sunting sumber]

Untuk memberikan pendidikan yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang sanggup menghadapi cabaran melalui pendekatan bersepadu berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

  1. Memberi fokus kepada kemahiran Bahasa Inggeris sebagai bahasa dakwah dan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu / kitab.
  2. Berusaha dengan gigih bagi meningkatkan pencapaian pelajar dengan menggunakan pendekatan yang inovatif, kreatif dalam acuan sendiri.
  3. Berusaha mewujudkan jaringan dengan IPT dan berusaha membina penanda aras sebagai sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).
  4. Mempertahankan watak sekolah nasional tetapi dengan nilai tambah ciri-ciri antarabangsa.
  5. Membudayakan penganugerahan dan pengiktirafan semua staf dan warga sekolah.
  6. Melahirkan pelajar yang 'versatile' yang mengamalkan nilai-nilai seperti dasar Kementerian Pelajaran Malaysia.

Visi Sekolah[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki) akan berusaha menjadi sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia menjelang 2015.

Sistem pembelajaran & pengurusan[sunting | sunting sumber]

Sistem pembelajaran di SMKA Al-Mashoor (Lelaki) adalah mengikut kurikulum yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Majlis Pengurusan SMKA Al-Mashoor (Lelaki) adalah seperti berikut:

Pengetua  : Tuan Sirajuddin bin Haji Hamid

Penolong Kanan Pentadbiran & Akademik : Encik Natdzri bin Ahmad

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid  : Encik Mohamad Rafie bin Yaakob

Penolong Kanan Ko-Kurikulum  : Encik Dul Fatthah Mydin bin Monna Mohamed

Guru Kanan Bahasa  : Puan Nathira Beevi binti Samsudeen

Guru Kanan Kemanusiaan  : Puan Ruziah binti Salim

Guru Kanan Sains & Matematik  : Puan Suria Zunita binti Nasrul

Guru Kanan Teknik & Vokasional  : Encik Arman bin Abd. Talid

Guru Kanan Pendidikan Islam  : Puan Che Ku Fazidah binti Che Ku Ngah

Guru Kanan Pra-Universiti  : Puan Zainon binti Othman

Tingkatan[sunting | sunting sumber]

  • Menengah Rendah
    • Tingkatan Satu
    • Tingkatan Dua
    • Tingkatan Tiga
  • Menengah Atas
    • Tingkatan Empat
    • Tingkatan Lima
  • Pra-Universiti
    • Tingkatan Enam (Bawah)
    • Tingkatan Enam (Atas)

Aliran[sunting | sunting sumber]

Matapelajaran[sunting | sunting sumber]

Teras[sunting | sunting sumber]

  • Bahasa Melayu
  • Bahasa Inggeris
  • Matematik
  • Sejarah

Elektif[sunting | sunting sumber]

  • Bahasa Arab Tinggi
  • Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah
  • Pendidikan Syariah Islamiah
  • Fizik
  • Kimia
  • Biologi
  • Matematik Tambahan
  • Prinsip Perakaunan
  • Sains
  • Information and Communications Technology (ICT)

Kebitaraan[sunting | sunting sumber]

Penanda arasan bagi anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK)

  • Penghayatan Islam
  • Fizik

Senarai Pengetua[sunting | sunting sumber]

1916 - 1918 : Tuan Al-Syed Al-Sheikh Al-Hadi

1918 - 1920 : Tuan Al-Sheikh Abdullah Al-Maghribi

1920 - 1956 : Tuan Al-Sheikh Abbas Bakar Rafiee

1956 - 1970 : Tuan Al-Sheikh Mohamad Hussein Bakar Rafiee

1970 - 1978 : Tuan Al-Syed Al-Sheikh Al-Hadi

*Selepas pengambilan oleh Kerajaan Malaysia.

1979 - 1983 : Tuan Al-Sheikh Ahmad Badjunid

1983 - 1985 : Tuan Haji Abdul Salam Haji Mohd. Zain

1985 - 1989 : Tuan Ghazazli Hussain

1989 - 1991 : Tuan Shapien Mat Zain

1992 - 1996 : Tuan Abdullah Othman

1996 - 1997 : Tuan Mohd. Suhot Sayuti

1997 - 2002 : Tuan Suib Arshad

2002 - 2003 : Tuan Ramli Haji Shafie

2003 - 2006 : Tuan Abdullah Jusoh

2007 - 2008 : Tuan Haji Shamsudin Sharkoshi

2009 - 2010 : Tuan Syed Baharom Syed Hussin

2011 - 2011 : Tuan Shuib Zainordin @ Zainuddin

2011 - Kini : Tuan Sirajuddin Haji Hamid

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki)
Jalan Air Itam,
10460 Georgetown,
Pulau Pinang,
Malaysia
Telefon = 04-2296790
Faks = 04-2291503

Pautan luar[sunting | sunting sumber]