Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai
Lokasi
 Malaysia D/A Pejabat Pelajaran Daerah Daro, 96200, Daro,, Sarawak Bumi Kenyalang
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah menengah kebangsaan, Sekolah kerajaan
MotoIlmu Suluh Hidup
Nombor sekolah6084613268
Kod sekolahYEA6101
PengetuaShariff bin Umar
GPK Pentadbiran dan AkademikMohamad Termizi bin Tarzan
Faks084613430


Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai atau nama ringkasnya SMK Belawai, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di D/A Pejabat Pelajaran Daerah Daro.

Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai memiliki 370 pelajar lelaki dan 386 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 756 orang. Ia mempunyai seramai 49 orang guru.2009

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai (SMK Belawai) pada mulanya telah dikenali dengan panggilan Sekolah Menengah Kerajaan Belawai. Ianya terletak di antara Kampung Belawai dan Kampung Rajang serta berhadapan dengan Kampung Jerijeh. Jarak SMKB dari Kampung Belawai adalah kira-kira 5 kilometer. Manakala jarak SMK Belawai dari Kampung Rajang pula adalah kira-kira 7 kilometer.

Walaupun SMK Belawai terletak di hadapan Kampung Jerijeh tetapi tidak diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Jerijeh kerana segala urusan pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan pada masa tersebut diuruskan di Kampung Belawai. Lebih-lebih lagi Kampung Belawai adalah merupakan kampung yang lebih pesat membangun dari segi struktur ekonominya jika dibandingkan dengan Kampung Rajang dan Kampung Jerijeh.

Memandangkan Kampung Belawai adalah merupakan kampung yang lebih besar di antara Kampung Rajang dan Jerijeh serta beberapa perkampungan lain di seluruh Delta Rajang, maka sekolah tersebut dinamakan SMK Belawai. Lebih-lebih lagi, di daerah kecil ini iaitu Delta Rajang telah dinamakan Daerah Kecil Belawai. Lantaran itu, Belawai telah digunakan untuk nama sekolah ini.

Rancangan untuk membina SMK Belawai sememangnya telah dirancang oleh kerajaan di bawah pimpinan Tun Abdul Rahman Yakub ketika itu setelah kerajaan bercadang untuk memindahkan penduduk Kampung Jerijeh Lama ke kawasan baru yang dikenali sebagai Kampung Jerijeh Baru yang terletak berhadapan dengan SMK Belawai. Dengan ini, pembinaan SMK Belawai adalah bersesuaian dengan masa dan tempatnya.

Daerah ini merangkumi tiga perkampungan yang utama iaitu Kampung Belawai, Kampung Jerijeh dan Kampung Rajang. Memandangkan kepentingan pendidikan amat diperlukan, maka pembinaan SMK Belawai telah dilaksanakan atas keluasan tanah 46.35 ekar bermula pada tahun 1980 dan telah siap dibina pada tahun 1983. Pada tahun 1983, SMK Belawai telah digunakan buat pertama kalinya dengan jumlah pelajar hanya seramai 276 orang. SMK Belawai telah dibuka secara rasminya oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada masa tersebut, iaitu Yang Berhormat Datuk Dr. Sulaiman bin Haji Daud pada 21 Ogos 1983.

Selepas perasmiannya, SMK Belawai telah mula beroperasi dengan jumlah pelajar pertama seramai 276 orang yang bermula dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 sahaja. Namun begitu, hingga ke hari ini, SMK Belawai telah mempunyai pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Majoriti pelajar di SMK Belawai adalah merupakan pelajar yang berasal dari Kampung Belawai, Jerijeh, Rajang, Sebako, Paloh, Sedi, Kedang, Bukit Kinyau, Stalon, Sebayang, Tusok, Semalau termasuk pelajar yang berasal dari kawasan perindustrian Tanjung Manis.

SMK Belawai semakin dikenali oleh seluruh lapisan masyarakat sebagai sebuah pusat pendidikan terpenting. Jumlah pelajar semakin bertambah ramai. Kebanyakkan pelajar datang dari Sekolah Kebangsaan Abang Gesa Belawai, Sekolah Kebangsaan Abang Galau Rajang, Sekolah Kebangsaan Abang Buyuk Jerijeh, Sekolah Kebangsaan Bukit Kinyau, Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Muda Pakri Paloh, Sekolah Kebangsaan Stalon, Sekolah Kebangsaan Sebayang dan Sekolah Kebangsaan Sebako.

Selain itu, pelajar-pelajar SMK Belawai juga ada yang tinggal di asrama dan ada juga yang berulang alik dari rumah ke sekolah sebagai pelajar harian. Kebanyakkan pelajar yang tinggal di asrama diutamakan golongan pelajar yang tinggal jauh dari kawasan sekolah seperti pelajar yang berasal dari Kampung Paloh, Sebako, Sedi, Kedang, Stalon, Sebayang, Tusok, Bukit Kinyau serta beberapa perkampungan iban yang lain seperti Kampung Berangan dan sebagainya.

Bagi pelajar yang yang tinggal berdekatan dengan kawasan sekolah, tempat untuk tinggal di asrama hanya diberikan sekiranya terdapat kekosongan serta dinilai dari aspek kemampuan ekonomi dan sebagainya. Bagi pelajar harian pula, mereka akan datang ke sekolah dengan berjalan kaki bagi kawasan perkampungan Jerijeh dan Kampung Semalau. Manakala, pelajar dari Kampung Rajang, Kampung Belawai dan kawasan Tanjung Manis akan datang ke sekolah dengan menaiki van, bas sekolah, lori dan bermotorsikal. Tidak ketinggalan juga terdapat pelajar yang datang dengan berbasikal ke sekolah.

Dari segi agama pula, majoriti penduduk di kawasan ini menganut agama Islam dan minoritinya pula menganut agama Kristian, agama Bahai dan agama yang lain sebagai kepercayaan beragama bagi kaum iban dan cina.

Majoriti penduduk di sini adalah terdiri dari kaum Melanau yang mendiami kawasan tepi pantai dan tepian sungai termasuk Belawai, Rajang, Jerijeh, Paloh, Sebako, Sedi dan Kedang. Pekerjaan masyarakat Melanau di kawasan ini kebanyakkannya bekerja sebagai petani dan nelayan. Jenis-jenis tanaman yang selalu diusahakan pula ialah padi, kelapa, koko dan sayur-sayuran. Manakala tanaman yang paling popular ditanam di kawasan ini pula ialah tembikai yang merupakan tanaman komersial penduduk setempat.

Kawasan merupakan kawasan delta yang cukup subur dan pelbagai jenis tanaman dapat tumbuh dengan baik serta dapat memberikan hasil yang lumayan kepada golongan petani sekiranya di usahakan dengan sebaiknya. Manakala penduduk yang menghuni kawasan pinggir pantai dan sungai pula, mereka terlibat dengan aktiviti penangkapan hasil laut seperti ikan, ketam, udang dan sebagainya. Bagi golongan nelayan, penangkapan ikan adalah merupakan sumber pendapatan utama, manakala kegiatan pertanian pula hanya dilakukan oleh golongan nelayan sebagai pendapatan sampingan terutamanya aktiviti pada musim tengkujuh.

Selain daripada masyarakat Melanau, terdapat juga masyarakat Iban yang majoriti mereka tinggal di kawasan Kampung Sebayang, Kampung Tusok, Kampung Stalon dan orang Iban di Kampung Semalau. Golongan ini menjalankan kegiatan pertanian serta mengusahakan kayu bakau untuk projek-projek pembangunan di sekitar kawasan Bandar Baru Tanjung Manis termasuk untuk dieksport ke luar negara.

Kawasan perkampungan di sekitar kawasan Kampung Belawai sememangnya mempunyai potensi untuk berkembang pesat. Dengan adanya pembinaan SMK Belawai adalah merupakan salah sebuah institusi pendidikan terpenting yang mampu membangunkan masyarakat di sekitar kawasan daerah ini. Lebih-lebih lagi terdapat sistem perhubungan yang lebih baik termasuk perhubungan air dan darat. Beberapa tahun lagi projek jalan raya terbaru akan akan siap menghubungi kawasan Belawai, Tanjung Manis ke Sarikei. Pendek kata, kawasan ini semakin bertambah pesat dan membangun.

Pada tahun 1993 SMK Belawai telah menyediakan kelas pembelajaran sehingga ke tingkatan empat berbanding dengan tahun sebelum ini yang hanya setakat tingkatan tiga sahaja. Kemudian pada tahun 1994 bermula era baru bagi SMK Belawai dengan menyediakan pembelajaran sehingga ke tingkatan lima. Bermakna, SMK Belawai semakin maju, lengkap dan sempurna.

Selain itu, SMK Belawai juga telah mencipta satu lagi sejarah dengan menerbitkan majalah sulungnya yang diberi nama “BARONG”. Nama tersebut telah diambil bersempena dengan nama penempatan awal masyarakat Melanau yang terletak kira-kira 2 kilometer dengan Kampung Rajang. Di antara tahun 1991 hingga tahun 1993, pihak sekolah telah menerbitkan sebanyak tiga jilid majalah tahunan.

Asal Usul Nama Barong[sunting | sunting sumber]

Nama “BARONG” ini mengikut lagendanya merupakan sebuah petempatan yang mempunyai raja serta sistem pemerintahannya yang sistematik. Kerajaan BARONG juga dikatakan mempunyai penduduk yang ramai dan terbahagi kepada tiga kumpulan terbesar iaitu keturunan bangsawan, keturunan utama atau orang pilihan atau pahlawan dan keturunan hamba ataupun dipanggil “Dipan”.

Namun begitu, sehingga ke hari ini BARONG hanya dapat dilihat sebagai sebuah tempat yang bersejarah sahaja. Lenyapnya kerajaan BARONG adalah kerana rajanya yang telah berlaku zalim dengan membunuh seorang kanak-kanak yang pintar. Kerajaan BARONG telah musnah akibat angin sangat kuat yang dipanggil sebagai “Baliew”.

Dengan berlakunya peristiwa angin kuat tersebut, maka sebahagian daripada kerajaan BARONG telah diterbangkan oleh angin yang sangat kuat ke Selatan Filipina (Mengkiau) di mana orang-orang di Mengkiau juga berbahasa hampir sama dengan bahasa masyarakat di Kampung Rajang. Cara hidup orang di Mengkiau juga hampir serupa dengan orang di BARONG dahulu.

Terdapat banyak kesan tinggalan Kerajaan BARONG seperti Belatung Kota, Sungai Muara Terbalik dan kesan-kesan seperti bekas pelabuhan. Namun begitu, hingga ke hari ini para penyelidik tidak pernah membuat sebarang kajian mengenai tinggalan sejarah penempatan awal orang-orang melanau di kawasan ini.

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai, Kampung Jerijeh Baru, 96150 Belawai, Sarawak.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]