Sekolah Menengah Kebangsaan Damai Jaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sekolah Menengah Kebangsaan Damai Jaya ialah sebuah sekolah menengah di Taman Damai Jaya, Skudai, Johor, Malaysia.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini bermula sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Skudai Baru. Lokasinya terletak kira-kira 23 kilometer dari bandar raya Johor Bahru. Sekolah ini dibina bagi memenuhi keperluan pendemokrasian pendidikan di bawah rancangan Malaysia ke-6 (program Kementerian Pendidikan Malaysia) dan segala pembiayaan pembinaannya diperoleh melalui pinjaman bank dunia.

Bangunan sekolah ini mula dibina pada 18 Jun 1996 dan kerja-kerja pembinaannya siap pada 5 Januari 1998. Kos pembinaannya secara keseluruhan pada harga kontrak ialah sebanyak RM4,653,678.00 yang melibatkan kerja-kerja membina dan menyiapkan blok bangunan bengkel, kantin dan padang dengan keluasan keseluruhan seluas 425,233.669 meter persegi (10.5 ekar).

Bangunan-bangunan sekolah ini dan kantin telah dibina pada berpandukan pelan-pelan yang direka bentuk oleh cawangan Pendidikan Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur. Bangunan sekolah ini pada awalnya hanya mempunyai 24 bilik darjah, 3 bengkel kemahiran hidup (KMT), 1 bengkel kejuruteraan, 1 bengkel pertanian serta 6 buah makmal sains. Bangunan sekolah ini juga dilengkapi dengan kemudahan fizikal yang lain seperti bilik sembahyang, tempat mengambil wuduk, tandas , kedai buku, klinik, bilik komputer dan lain-lain.

Sekolah Menengah Kebangsaan Skudai Baru mula beroperasi pada 1 Januari 1998 di bawah pengurusan pengetuanya yang pertama iaitu Tuan Haji A. Manaf bin Muslimin. Pada peringkat awalnya, seramai 72 orang guru yang melibatkan sesi pagi dan sesi petang telah ditugaskan untuk menjadi tenaga pengajar perintis di sekolah ini.

Pengambilan pertama pelajar-pelajar yang melibatkan sesi pagi dan petang berjumlah 1639 orang (Februari 1998) yang terdiri daripada 63.1% pelajar Cina, 25.7% pelajar Melayu dan 11.2% pelajar India. Secara keseluruhannya taraf sosio-ekonomi pelajar sekolah ini berada pada tahap sederhana iaitu sebahagian besar daripada ibu bapa atau penjaga mereka terlibat dalam sektor pekerjaan kolar biru.

Pada 1 Januari 2008, sekolah ini telah memperoleh kelulusan dari Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menukarkan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Skudai Baru kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Damai Jaya bersesuaian dengan lokasinya yang berada di kawasan perumahan Taman Damai Jaya.