Pergi ke kandungan

Sekolah Menengah Kebangsaan King George V

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
SMK King George V
سکوله منڠه کبڠساءن کيڠ ݢورݢ کليما
Logo Rasmi SMK King George V
Alamat
Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Jalan Za'aba, 70100 Seremban, Negeri Sembilan
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster Kecemerlangan
MotoVeni, Vidi, Vici
(Aku Datang, Aku Lihat, Aku Tawan)
Ditubuhkan15 Januari 1923 (103 tahun)
Nombor sekolah06-762 3598
Kod sekolahNEB4089
PengetuaTn. Hj. Murad bin Nordin
GPK Pentadbiran dan AkademikCik Rozana binti Md Radzi
Penolong Kanan Hal Ehwal MuridEn. Mohd Rizam bin Minhat
Penolong Kanan KokurikulumPn. Noor Hasimah binti Ibrahim
Faks06-764 1214
Laman sesawang
Map


Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (singkatan: SMK KGV) merupakan sebuah sekolah menengah harian berprestij yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan. Ditubuhkan 103 tahun yang lalu iaitu pada 15 Januari 1923, sekolah ini merupakan antara institusi pendidikan terawal di Malaysia dan memegang status sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) serta Sekolah Kluster Kecemerlangan. Berdasarkan kepentingan sejarah dan seni binanya yang signifikan, SMK KGV telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Sepanjang lebih satu abad penubuhannya, SMK KGV dikenali melalui tradisi kecemerlangan akademik dan kokurikulum yang konsisten. Sekolah ini berperanan penting sebagai institusi elit yang melahirkan ramai tokoh kepimpinan, profesional, dan intelektual negara yang dikenali secara kolektif dengan gelaran "Georgians". Dengan semangat yang terkandung dalam cogan kata, Veni, Vidi, Vici, SMK KGV terus melestarikan legasi kecemerlangannya dalam sistem pendidikan kebangsaan sehingga kini.

Penubuhan Awal (1923–1927)

[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini asalnya ditubuhkan sebagai Sekolah Inggeris Bantuan Kerajaan (Government-aided English School atau GES) pada 15 Januari 1923.[1] Pada peringkat awal, sekolah ini tidak mempunyai bangunan sendiri dan beroperasi secara sementara di sebuah bangunan stor di Stesen Keretapi Sungai Ujong (kini Stesen Keretapi Seremban).[2]

Guru Besar pertama ialah Encik Chin Meow Cheong, yang mengetuai tenaga pengajar seramai sembilan orang dengan kemasukan awal 125 orang pelajar. Disebabkan lokasinya di stesen kereta api, jadual waktu persekolahan pada masa itu disusun secara unik mengikut jadual perjalanan kereta api bagi memudahkan pelajar yang berulang-alik dari kawasan luar bandar.[1]

Perpindahan ke Bukit Hose dan Perasmian (1928)

[sunting | sunting sumber]

Transformasi daripada GES kepada KGV bermula secara rasmi pada 7 Oktober 1926 melalui pembinaan blok bangunan baharu di atas tapak bukit di Jalan Hose (kini Jalan Za'aba). Bangunan utama ini siap dibina pada akhir tahun 1927 dengan kos keseluruhan sebanyak $221,337.82.[3]

Pada 23 April 1928, bangunan tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Tanah Jajahan, W.G. Ormsby-Gore.[4] Majlis gilang-gemilang tersebut turut dihadiri oleh tokoh-tokoh kenamaan termasuk:

Sekolah ini dinamakan sempena raja British yang memerintah ketika itu, iaitu Raja George V. Tarikh perasmian tersebut juga bersamaan dengan sambutan Hari St. George.

Era Perang Dunia Kedua (1941–1945)

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1941, semasa meletusnya Perang Dunia Kedua, bangunan sekolah ini telah dijadikan markas dan ibu pejabat oleh Tentera Diraja Australia. Keadaan ini memaksa para pelajar dipindahkan sementara ke bangunan Kelab Negeri Sembilan serta bangunan Kelab Melayu di Jalan Lemon (kini Jalan Tuanku Munawir).[1]

Semasa Pendudukan Jepun di Tanah Melayu, sesi persekolahan terhenti dan bangunan ini dijadikan ibu pejabat Kempeitai (Polis Tentera Jepun) bagi daerah Seremban di bawah kendalian Regimen Miyazaki Butai.[5] Sejurus selepas kekalahan Jepun pada Ogos 1945, pihak Pentadbiran Tentera British (BMA) mengambil alih bangunan tersebut untuk digunakan sebagai hospital tentera (General Military Hospital) selama enam bulan. Sekolah King George V akhirnya kembali beroperasi secara rasmi untuk tujuan pendidikan pada tahun 1946.

Era Pasca Merdeka dan Pembangunan Moden

[sunting | sunting sumber]

Nama sekolah ini telah diselaraskan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan King George V. Sekolah ini terus berkembang sebagai institusi pendidikan perdana yang diiktiraf sebagai:

Pada tahun 2023, SMK King George V telah menyambut ulang tahun ke-100 (Centenary) penubuhannya yang dihadiri oleh alumni dan tokoh negara, menandakan satu abad sumbangan sekolah ini dalam melahirkan modal insan cemerlang.[2]

Keunikan Senibina dan Kemudahan

[sunting | sunting sumber]

Blok Utama dan Menara Jam

[sunting | sunting sumber]

Ciri paling ketara SMK KGV ialah blok utamanya yang bercirikan seni bina kolonial Public Works Department (PWD) Classicism. Bangunan berbentuk 'E' ini mempunyai koridor (verandah) yang lebar, siling tinggi, dan gerbang yang direka khusus untuk menyesuaikan dengan iklim tropika.[7]

Mercu tanda utama sekolah ialah Menara Jam yang terletak di bahagian tengah blok utama. Jam tersebut diimport khas dari Gillett & Johnston, sebuah firma pembuat jam dan loceng terkemuka yang berpusat di Croydon, England.[8]

Terowong Pejalan Kaki

[sunting | sunting sumber]

Antara mercu tanda unik SMK King George V ialah kewujudan sebuah terowong pejalan kaki bawah tanah yang menghubungkan blok akademik utama dengan padang sekolah (Georgian Green). Terowong yang merentasi bawah Jalan Za'aba (dahulunya Hose Road) ini dibina khusus bagi menjamin keselamatan pelajar daripada kesesakan lalu lintas.[9] Infrastruktur bersejarah ini masih kekal utuh, berfungsi, dan digunakan secara aktif oleh warga sekolah sehingga ke hari ini, menjadikannya satu-satunya sekolah di Negeri Sembilan yang mempunyai kemudahan sedemikian.[9]

Kolam Renang

[sunting | sunting sumber]

SMK KGV merupakan antara segelintir sekolah harian di Malaysia yang mempunyai kolam renang sendiri di dalam kawasan sekolah. Pembinaan prasarana ini mencerminkan visi awal institusi dalam mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pembangunan sukan akuatik.[1] Kemudahan ini telah dirasmikan pada 23 Jun 1962 oleh DYMM Tuanku Munawir ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada ketika itu.[1]

Padang Sekolah

[sunting | sunting sumber]

Georgian Green merupakan gelaran ikonik bagi padang utama SMK King George V yang menjadi nadi kepada aktiviti sukan dan pembangunan jati diri para pelajar. Padang ini dianggap sebagai "padang keramat" yang menyaksikan lahirnya ramai jaguh sukan, khususnya dalam bidang ragbi dan olahraga.[10] Pasukan ragbi sekolah ini yang dikenali dengan gelaran "The Dragons" merupakan antara pasukan sekolah yang paling digeruni di Malaysia dengan sejarah kejuaraan yang panjang dalam kejohanan MSSM dan jemputan antarabangsa.[11]

Senarai Pengetua

[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan senarai pengetua yang pernah berkhidmat di SMK King George V sejak penubuhannya pada tahun 1923.

Bil. Nama Pengetua Tempoh Berkhidmat Bil. Nama Pengetua Tempoh Berkhidmat
1 Encik Chin Meow Cheong 1923 – 1928 22 Encik Cheah Cheng Eam 1961
2 Encik M. Wheatley 1928 – 1929 23 Encik N.S.R. Bickers 1961 – 1965
3 Encik E.H. Willson 1929 – 1932 24 Encik P. Navarathnarajah 1965 – 1968
4 Encik R.J. Huddie 1932 – 1934 25 Encik K. Anandarjah 1968 – 1970
5 Encik F. Cobb 1934 26 Encik Lim Leng Lee 1970 – 1976
6 Encik C.A. Scott 1934 – 1935 27 Encik Ahmad Dahan 1976 – 1980
7 Encik D. Roper 1935 – 1936 28 Encik Hashim Jasa 1980 – 1982
8 Encik O.G. Williams 1936 – 1941 29 Tuan Haji Mohd Zain bin Rais 1982 – 1989
9 Encik E.M.F. Payne 1941 – 1945 30 Tuan Haji Mohd Taib bin Hussin 1989 – 1995
10 Encik Chin Meow Cheong 1945 – 1946 31 Tuan Haji Ramlan bin Sulaiman 1995
11 Encik E.M.F. Payne 1946 – 1948 32 Tuan Haji Mokhtar bin Mentol 1995 – 1996
12 Encik P.L. Shaw & Encik L.I. Lewis 1948 – 1949 33 Tuan Haji Madzlan bin Borhan 1996 – 1997
13 Encik G.P. Dartford 1949 – 1950 34 Encik Shahidan bin Mokhtar 1997 – 1999
14 Encik A.L. McCorkindale 1950 – 1952 35 Encik Samsuddin bin Hamidan 1999 – 2007
15 Encik Sutcliffe 1952 – 1955 36 Tuan Haji Zakaria bin Mohd Zin 2007 – 2012
16 Encik S. Thambiah 1955 – 1956 37 Tuan Haji Mohd bin Md Isa 2012 – 2017
17 Encik P. Gunaratnam 1956 38 Tuan Haji Mohd Razib bin Jamaludin 2017 – 2020
18 Encik J.E.B. Ambrose 1956 – 1957 39 Tuan Haji Roslin bin Balia 2020 – 2021
19 Encik W.V. Hobson 1957 – 1958 40 Tuan Haji Ezaiddin bin Hussain 2021 – 2024
20 Encik R. Vivekananda 1958 – 1961 41 Dr. Mohd Fadzil bin Jamil 2024
21 Encik Tan Seng Chye 1961 42 Tuan Haji Murad bin Nordin 2024 – kini

Identiti Sekolah

[sunting | sunting sumber]

1. Moto dan Tagline

[sunting | sunting sumber]

Moto sekolah menggunakan bahasa Latin yang dipetik daripada ungkapan terkenal pemerintah Rom, Julius Caesar:

  • Moto: Veni, Vidi, Vici (Aku datang, aku lihat, aku tawan).[12]
  • Tagline: Georgians: The Pinnacle of Excellence (Georgians: Puncak Kecemerlangan).

2. Lencana

[sunting | sunting sumber]

Lencana SMK King George V telah melalui beberapa fasa evolusi reka bentuk sejak awal penubuhannya. Secara sejarahnya, lencana ini diinspirasikan secara langsung daripada dua tokoh utama:[13]

  1. Raja George V (George Frederick Ernest Albert): pemerintah Empayar British sewaktu sekolah ini diasaskan. Nama sekolah dan elemen tertentu pada lencana berfungsi sebagai penghormatan kepada baginda.
  2. St. George (Georgios dari Lydda): imej seorang satria berkuda yang sedang menewaskan seekor naga merupakan adaptasi daripada ikonografi St. George. Penggunaan simbol ini adalah disebabkan tarikh perasmian sekolah jatuh pada 23 April, bersamaan dengan Hari Santo George di England.

Warna-warna utama pada lencana iaitu biru, putih, dan merah merupakan lambang pertalian sejarah antara sekolah ini dengan Empayar British. Gabungan warna tersebut diambil secara langsung daripada warna bendera Union Jack. Warna kuning melambangkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi beraja di Malaysia.[13]

b. Visual
[sunting | sunting sumber]

Terdapat tiga komponen utama pada reka bentuk lencana:

  • Satria Berkuda dan Naga: Memaparkan imej seorang pahlawan berkuda yang sedang menewaskan seekor naga. Imej ini merupakan satu metafora yang melambangkan kebaikan sentiasa mengatasi kejahatan.
  • Mahkota: Terletak pada bahagian atas lencana sebagai simbol kedaulatan dan tanda ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi beraja.
  • Angka Rom 'V': Merupakan representasi angka lima (5) dalam sistem angka Rom, yang merujuk kepada Raja George V.

c. Evolusi Reka Bentuk

[sunting | sunting sumber]
  • Isu Simbol Salib: Reka bentuk awal lencana ini pernah menimbulkan kontroversi kerana penggunaan tanda palang yang merupakan Saint George's Cross (Salib St. George) daripada Bendera England. Bagi menghormati sensitiviti tempatan, simbol ini telah diubah.[14]
  • Versi Ringkas: Ekoran perubahan tersebut, lencana sekolah pernah diubah kepada reka bentuk yang lebih ringkas tanpa imej pahlawan dan naga. Walau bagaimanapun, reka bentuk ini dianggap tidak mencerminkan identiti sekolah dengan kuat.
  • Reka Bentuk Terkini: Pihak sekolah akhirnya kembali menggunakan reka bentuk asal (pahlawan berkuda), namun simbol palang telah digantikan dengan huruf 'V' yang merujuk kepada Raja George V.

3. Lagu Sekolah

[sunting | sunting sumber]

Lagu SMK King George V (KGV) merupakan simbol keagungan tradisi sekolah tersebut sebagai sebuah institusi pendidikan premier. Lagu ini telah dizahirkan pada tahun 1969 hasil inisiatif Pengetua ketika itu, En. K. Anandarajan. Melodi lagu ini merupakan hasil gubahan muzik oleh Dr. Arne (Thompson), manakala penggubalan serta susunan lagunya dilakukan oleh Peter Ng Kong Choon, F.R.S.A. (London). Senikata lagu pula adalah hasil nukilan bersama Peter Ng Kong Choon dan En. K. Anandarajan.[15]

We Georgians faithfully shall serve
Our King and Country
On land and sea wherever Georgians be
We proudly fly the school banner high
Our school brings joy no words
Can tell how we honour thee

United we are together or apart
Forever contributing ideas to progress
Sing our school song
Brings memory so sweet
With gratitude so deep we hail thee

We Georgians faithfully shall serve
Our King and country till eternity

Pautan lagu sekolah SMK King George V (Versi Orkestra)

Pencapaian

[sunting | sunting sumber]

Berikut adalah Gred Purata Sekolah (GPS) SMK KGV bagi peperiksaan SPM, dibandingkan dengan Gred Purata Negeri, Negeri Sembilan dan Gred Purata Nasional (GPN).

Pencapaian SPM SMK King George V (2021–2025)
Tahun GPS KGV GP Negeri Sembilan GP Nasional Catatan
2025 2.07 4.16 4.42 SMK Harian Terbaik Negeri Sembilan
2024 2.13 4.18 4.49 SMK Harian Terbaik Negeri Sembilan
2023 2.21 4.33 4.60 SMK Harian Terbaik Negeri Sembilan
2022 2.37 4.50 4.74 SMK Harian Terbaik Negeri Sembilan
2021 2.42 4.62 4.86 SMK Harian Terbaik Negeri Sembilan

Nota: Nilai gred purata yang lebih kecil, menunjukkan prestasi yang lebih baik.

Bekas pelajar SMK King George V, Seremban dikenali secara rasmi sebagai Old Georgians. Golongan alumni ini memainkan peranan besar melalui Persatuan Bekas Pelajar SMK King George V (OGA) dalam menyokong pembangunan prasarana dan kecemerlangan sekolah.[16]Antara alumni SMK King George V yang terkemuka termasuklah tokoh-tokoh berikut:

Tokoh Berdasarkan Kepimpinan dan Tadbir Urus
No. Nama Tokoh Jawatan Utama / Peranan
1 Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11[17]
2 Dato' Klana Petra Dato' Haji Mubarak bin Dohak YTM Undang Luak Sungai Ujong ke-11
3 YTM Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al Qadri Tunku Besar Tampin ke-8
4 Tun Dato' Maha Kurnia Abdul Malek bin Yusuf Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan pertama & Yang di-Pertua Negeri Melaka kedua[18]
5 Tan Sri Dato' Seri Dr. Fong Chan Onn Mantan Menteri Sumber Manusia Malaysia
6 Datuk Fauziah Mohd Taib Mantan Duta Besar Malaysia ke Belanda[19]
7 Dato' Hamdan Adnan Mantan Pesuruhjaya SUHAKAM
8 Tan Sri Dato' Seri Haji Azam Baki Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)[20]
9 Tan Sri Dato' Seri Utama Hashim Aman Mantan Ketua Setiausaha Negara (1982–1984)
10 Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Rashdan Haji Baba Naib Canselor pertama Universiti Putra Malaysia (UPM)[21]
11 Tan Sri Dato' Prof. Hamzah Sendut Naib Canselor pertama Universiti Sains Malaysia (USM)
Tokoh Berdasarkan Seni, Sukan dan Pencapaian
No. Nama Tokoh Pencapaian / Sumbangan Utama
1 Abdul Latiff Haji Mohiden Sasterawan, seniman, dan tokoh seni lukis negara (ALMA)[22]
2 Dato’ Punch Gunalan Legenda badminton kebangsaan dan dunia[23]
3 Suki Low Sook Yee Juara musim pertama rancangan realiti One in a Million
4 Shuhaimi Baba Pengarah filem tersohor dan pemenang Anugerah Seri Angkasa
5 Datin Fadilah Mansor Pelakon veteran prolifik industri drama dan filem Malaysia
6 Tan Sri Dato' Seri P. Alagendra Atlet Olimpik (Hoki) dan mantan pegawai kanan PDRM
7 Sheikh Ali bin Sheikh Mohamed Atlet Olimpik (Hoki) di Olimpik Melbourne 1956
8 Salina Yusoff Pemenang pingat emas lumba basikal, Sukan SEA Bangkok 1985
  1. ^ a b c d e "Sejarah Sekolah". Portal Rasmi SMK King George V. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  2. ^ a b Arbee, Ahmad (14 Julai 2023). "SMK King George V celebrates 100 years of excellence". New Straits Times. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  3. ^ "Bangunan Warisan Kebangsaan: SMK King George V". Jabatan Warisan Negara. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  4. ^ "Opening of King George V School, Seremban". The Straits Times. 24 April 1928. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  5. ^ Kratoska, Paul H. (1998). The Japanese Occupation of Malaya. Allen & Unwin. ISBN 978-1864481143.
  6. ^ "Senarai Sekolah Berprestasi Tinggi". Kementerian Pendidikan Malaysia. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  7. ^ "Bangunan Warisan Kebangsaan: SMK King George V". Jabatan Warisan Negara. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  8. ^ "Gillett & Johnston: Notable Clock Installations". Gillett & Johnston Archive. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  9. ^ a b Musa, Zazali (20 Februari 2018). "Historic tunnel still in use at KGV". The Star. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  10. ^ Arbee, Ahmad (14 Julai 2023). "SMK King George V celebrates 100 years of excellence". New Straits Times. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  11. ^ "KGV turns 100: A century of nurturing leaders". The Star. 15 Januari 2023. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  12. ^ "Core Purpose: Motto and Tagline". Portal Rasmi SMK King George V. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  13. ^ a b "Core Purpose: Badge". Portal Rasmi SMK King George V. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  14. ^ Arbee, Ahmad (2023). KGV: A Century of Excellence (1923–2023). Seremban: SMK King George V Centenary Committee.
  15. ^ "KGV turns 100: A century of nurturing leaders". The Star. 15 Januari 2023. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  16. ^ "Key Figures: Old Georgians Association". Portal Rasmi SMK King George V. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  17. ^ "Tuanku Muhriz berangkat ke Majlis Sambutan Centenary KGV". Berita Harian. 15 Januari 2023. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  18. ^ "Profil Mantan MB: Tun Abdul Malek". Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  19. ^ "Diplomat Profiles: Datuk Fauziah Mohd Taib". Kementerian Luar Negeri Malaysia. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  20. ^ "Profil Ketua Pesuruhjaya SPRM". Portal Rasmi SPRM. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  21. ^ "Tokoh Akademik: Tan Sri Mohd Rashdan Baba". Portal Rasmi UPM. Dicapai pada 23 Januari 2026.
  22. ^ "Latiff Mohidin: Legend of Malaysian Art". The Star. Dicapai pada 23 January 2026.
  23. ^ "Badminton Hall of Fame: Punch Gunalan". Persatuan Badminton Malaysia. Dicapai pada 23 Januari 2026.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]