Sekolah Menengah Kebangsaan Matang, Terengganu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Menengah Kebangsaan Matang
Lokasi
Kampung Matang, Jalan Sungai Tong , Kuala Berang , Malaysia, Kuala Berang, Terengganu Darul Iman
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah kerajaan, Sekolah Bestari
Moto"We Are One, Together We Strive For Excellence"
Nombor sekolah6096818677
Kod sekolahTEA5035[1]
PengetuaMohd Rani Bin Muda
GPK Pentadbiran dan AkademikWan Rozlan Bin Wan Omar
Penolong Kanan Hal Ehwal MuridMohd Sobri Bin Awang
Penolong Kanan KokurikulumAdali Bin Mohamed@Abd Ghani
Faks6096818643


Sekolah Menengah Kebangsaan Matang atau nama ringkasnya SMK Matang, merupakan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan yang terletak di Kampung Matang, Jalan Sungai Tong, Kuala Berang, Malaysia.

Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Matang memiliki 298 pelajar lelaki dan 357 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 655 orang. Ia mempunyai seramai 60 orang guru.2009

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pembinaan bangunan sekolah ini bermula pada tahun 1980 yang merangkumi dua blok bangunan dua tingkat yang boleh menempatkan 12 buah bilik darjah, dua buah makmal sains dan dua buah bengkel Sains Rumah Tangga. Satu blok bangunan setingkat turut dibina khusus untuk dijadikan bengkel Seni Perusahaan. Tiga blok bangunan berikutnya dibangunkan sebagai asrama putera dan puteri serta sebuah dewan makan.

SMK Matang dibuka pada 1 Disember 1982 dan hanya menyediakan dua kelas bagi pelajar tingkatan satu serta satu kelas bagi tingkatan dua. Sebahagian daripada pelajar-pelajar yang berdaftar pada tahun tersebut adalah berasal dari Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang. Mereka dipindahkan ke SMK Matang berikutan kawasan tempat tinggal mereka terletak berhampiran dengan sekolah ini. Sebelumnya mereka terpaksa berulang alik dari SMK Tengku Ampuan Intan yang jaraknya antara 20 – 35 km iaitu satu-satunya sekolah menengah di Daerah Hulu Terengganu pada ketika itu.

Pada peringkat awal sekolah dibuka untuk pelajar hanya setakat tingkatan tiga sahaja tetapi kemudiannya dilanjutkan sehingga tingkatan lima. Pada tahun 2004 pula sekolah telah mencatat sejarah sebagai tahun perintis calon STPM kerana telah menerima masuk pelajar tingkatan enam bawah pada tahun 2003 bagi mengisi kekosongan dua buah kelas yang telah disediakan. Sebelum ini, pelajar yang ingin menyambung pelajaran di peringkat STPM perlu mengambilnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang.

Pada Disember 1991, satu blok bangunan tiga tingkat yang dikelolakan oleh projek KBSM telah dibina dan mula diguna pakai untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran setahun kemudian. Manakala pada tahun 1994 pula satu blok tambahan yang boleh memuatkan empat buah kelas telah terpacak di bawah pembiayaian projek segera bagi menampung kekurangan kelas yang sedia ada dan mengatasi masalah kelas terapung. Namun, dalam tempoh empat tahun kemudian kekurangan kelas tidak dapat dielakkan. Oleh yang demikian, pada 1 Januari 1998 sesi persekolahan di sidang petang mula diperkenalkan bagi mengatasi masalah tersebut.

Pada 1 Ogos 1999, pembinaan baru bangunan tambahan dimulakan bagi tujuan penambahan bilik darjah, menaik taraf dan penempatan perpustakaan dan pusat sumber baru, penambahan tiga buah Makmal Sains Tulin dan sebuah makmal komputer. Berikutan proses pembinaan tersebut telah siap maka bermula pada 1 April 2001 sekolah kembali menjalankan sesi persekolahan di sebelah pagi sahaja seperti sedia kala.

Sejarah penting berlaku pada tahun 2002 yang mana surau serta dewan sekolah telah dirobohkan untuk pembangunan blok asrama baru. Pembinaan surau sementara dilakukan bagi aktiviti solat berjemaah bersebelahan blok pentadbiran sekolah.

Pada tahun 2002, 2004 dan 2005 satu lagi peristiwa penting melanda SMK Matang berikutan pembangunan pendidikan di negeri Terengganu yang telah berjaya membuka tiga buah sekolah lagi di daerah Hulu Terengganu iaitu SMK Telemong, SMK Jenagor dan SMK Kuala Jenderis. Justeru itu, berlaku pemindahan sekumpulan pelajar tingkatan satu dan dua ke sekolah-sekolah berkenaan bagi mengisi kekosongan kelas yang disediakan. Pemilihan pelajar adalah berdasarkan kawasan tempat tinggal mereka yang terletak berhampiran dengan sekolah-sekolah tersebut. Oleh yang demikian, bilangan pelajar di SMK Matang yang tinggal kini hanya mencecah lebih kurang 750 orang sahaja untuk menempati 26 buah kelas yang disediakan.

Pada akhir tahun 2006, surau sementara juga turut mencecah bumi bagi tujuan pembinaan blok baru setinggi dua tingkat sebagai makmal komputer.

Pembestarian[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1999 juga, sekolah ini telah dipilih sebagai salah sebuah daripada 87 buah sekolah bestari di Malaysia dan salah sebuah daripada 4 buah sekolah bestari di Terengganu. Bermula pada tahun ini (2007), sekolah SMK Matang diberi mandat sebagai model sekolah bestari bagi kawasan pedalaman. Tugas besar ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutamanya para guru sekolah ini sendiri dalam menjayakannya.

Tujuan pembestarian sekolah adalah untuk membantu warga sekolah memahami keperluan untuk berubah seiring dengan kemajuan teknologi semasa. Pembekalan komputer terkini di sekolah sebanyak 37 buah komputer. Penggunaannya dimanfaatkan oleh para guru dan pelajar secara sederhana dalam menyiapkan sebarang tugasan. Sekurang-kurangnya pelajar mengetahui sedikit kemahiran asas penggunaan komputer telah menjadi wadah untuk persiapan mereka selepas tamat persekolahan pada masa akan datang.

Bermula Januari 2012, nama-nama kelas telah ditukar daripada bilangan ST1 hingga ST4 kepada gelaran nama-nama berdasarkan nilai-nilai murni dan sifat-sifat Mahmudah iaitu ST1-Al-Hikmah, ST2 – Al-‘Adalah, ST3 – Al-‘Iffah, dan ST4 – As-Syaja’ah.

PENGETUA[sunting | sunting sumber]

  1. En. Adnan bin Mohd. Nor 1 Disember 1982 – 30 September 1987
  2. En. Wan Omar bin Wan Mahmud 1 Oktober 1987 – 31 Disember 1988
  3. En. Mohd. @ Mohd. Ali bin Muda 1 Januari 1989 – 15 Ogos 1992
  4. En. Yusof @ Mat Zin bin Tahar 16 Oktober 1992 – 29 Februari 1996
  5. Tn. Haji Wan Husain bin Wan Awang 1 Mac 1996 – 15 Januari 1998
  6. Tn. Haji Abdul Rashid bin Abdul Majid 16 Januari 1998 – 19 Mac 2006
  7. Pn. Meriam binti Jusoh 16 Mei 2006 – 31 Disember 2010
  8. Pn. Hjh Wan Kelsum binti Wan Hitam 16 Jun 2011 – 16 Februari 2012
  9. Pn. Huzni Binti Abdullah 16 Julai 2012 – 1 Disember 2015
  10. Tn. Haji Zulkiflie Bin Sulong 16 Disember 2015 – 30 November 2018
  11. Dr. Aminuddin Bin Jusoh@Yusof 24 Disember 2018 – 13 Mac 2021
  12. Tn. Haji Mohd Rani Bin Muda 10 Mei 2021 – sekarang


Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Matang
Kampung Matang, Jalan Sungai Tong , Kuala Berang , Malaysia
Terengganu Darul Iman, Malaysia
Telefon = 609-6818677
Fax = 609-6818643

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]