Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah
Lokasi
Kapar, Klang, Selangor
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah kerajaan
MotoIlmu Mutiara Hidup
Nombor sekolah0332508368
Kod sekolahBEA0095
Pengerusi PIBGEn. Shaik Nawawi
PengetuaTuan Mohd Sabri Bin Mohd Saidi
GPK Pentadbiran dan AkademikPn. Radziah bt Abd Rahman
Penolong Kanan Hal Ehwal MuridPn. Sarimah bt Yaakob
Penolong Kanan KokurikulumPn Noriati bt Saru
Faks0332501104


Sekolah Menengah Tengku Idris Shah (SMKTIS) telah siap dibina pada bulan Januari 1966. Pada asalnya, sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Kapar. SMKTIS terletak di tengah-tengah kepesatan pembangunan pekan Kapar, iaitu di persimpangan antara Jalan Kapar dan Jalan Hamzah Alang. Ia berada kira-kira 16 km dari Bandar Diraja Klang, Selangor. Sekolah ini memulakan sesi persekolahan pertamanya pada Januari 1966. Seramai 254 orang pelajar (164 orang pelajar lelaki dan 90 orang pelajar perempuan) dan 11 orang guru telah menjadi warga pertama SMKTIS dengan diketuai oleh Encik Alias bin Abu Rahman sebagai pengetua pertamanya.

Pada 8 Mei 1968, SMKTIS telah dirasmikan oleh DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Idris Shah (kini DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah ). Dengan perasmian itu, sekolah ini telah ditukar namanya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kapar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah, iaitu sempena nama baginda.

Sejarah akademik SMKTIS bermula pada tahun 1967 apabila Peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran ) yang pertama diadakan dan diikuti peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang pertama pada tahun 1976. Jurusan sastera Tingkatan 4 dimulai pada tahun 1979 jurusan sains dimulakan pada tahun 1980.

SMKTIS pernah memisahkan antara pelajar lelaki dengan pelajar perempuan, iaitu apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Kapar dibuka pada tahun 1988 dan semua pelajar perempuan bersama beberapa orang guru telah dipindahkan ke sekolah berkenaan. SMKTIS hanya menetapkan pelajar-pelajar lelaki, selain beberapa orang pelajar perempuan yang mengambil jurusan Sains. Bagaimanapun, akibat beberapa masalah seperti kemerosotan disiplin dan pencapaian akademik, Pegawai Pendidikan Daerah Klang telah mengarahkan pengambilan semula pelajar-pelajar perempuan mulai tahun 1998.

SMKTIS telah menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun ke-25 tahun penubuhannya pada tahun 1991. Pada tahun 2008, bilangan pelajar SMKTIS telah mencapai 2375 orang pelajar dan bilangan guru seramai 141 orang. SMKTIS kini menjadi sekolah yang mempunyai bilangan pelajar ketiga terbanyak di daerah Klang.

Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah dikategorikan sebagai sekolah luar bandar di dalam daerah Klang. Pelajar-pelajar sekolah ini datang daripada pelbagai latar belakang, iaitu anak-anak pekebun kecil, pekerja ladang, peniaga kecil, pekerja kilang, dan sebahagian kecil merupakan anak-anak kakitangan kerajaan dan swasta yang berjawatan.

Sekolah ini agak unik kerana mempunyai pelajar-pelajar daripada komposisi kaum yang agak seimbang, iaitu 44.19% pelajar Melayu, 20.81% pelajar Cina dan 35.00% pelajar India. Pelajar-pelajar ini datang daripada pelbagai latar belakang keluarga. Dari segi jantina pula, lebih ¾ atau 76.97% pelajar adalah lelaki dan 23.09% sahaja pelajar perempuan.

SMKTIS berada dalam kategori sekolah yang mempunyai pencapaian akademik yang sederhana rendah, berdasarkan keputusan-keputusan peperiksaan awam (SPM dan PT3) sejak beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, pihak pengurusan sekolah tetap sedaya-upaya berusaha untuk meningkatkan pencapaian akademik sekolah ini, dengan sokongan padu daripada Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Selangor.

Meskipun pencapaian akademik SMKTIS sentiasa pada kedudukan sederhana rendah, namun SMKTIS masih boleh berbangga kerana telah beberapa kali melahirkan pelajar-pelajar yang memperolehi 12 A1 dan 11 A1 dalam peperiksaan SPM.

Berbanding pencapaian akademiknya yang sederhana rendah, sekolah ini telah banyak menempa nama dalam bidang kokurikulum sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama dalam bidang olahraga, sukan permainan dan kawat kaki unit beruniform. Malah terdapat pelajar yang berjaya mengukir nama hingga menjadi wakil Malaysia ke peringkat antarabangsa. Berdasarkan kejayaan demi kejayaan yang diperolehi dalam bidang kokurikulum, terutamanya bidang olahraga, maka SMKTIS telah dipilih sebagai “Sekolah Berwatak Olahraga” peringkat daerah Klang.


Bendera dan Logo Sekoah[sunting | sunting sumber]

Lencana sekolah terdiri daripada 3 warna iaitu merah, biru dan putih. Warna-warna dan objek yang terdapat pada lencana SMKTIS melambangkan:

  • WARNA MERAH: Melambangkan sikap keberanian yang ada pada pelajar-pelajar SMKTIS dalam menghadapi cabaran.
  • WARNABIRU: Melambangkan perpaduan antara pelajar-pelajar yang terdiri daripada tiga kaum utama.
  • WARNA PUTIH: Melambangkan kebersihan dan kesucian hati yang wujud dalam kalangan pelajar SMKTIS bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental dan emosi
  • TIGA BILAH KERIS YANG BERSATU: Melambangkan pelajar SMKTIS yang sentiasa bergabung tenaga dan bersatu padu untuk mengharumkan nama dan meningkatkan nama SMKTIS dari segi akademik dan kokurikulum
  • COGAN KATA ILMU MUTIARA HIDUP: Membawa maksud ilmu merupakan yang terpenting dalam kehidupan dan tanpa ilmu hidup seseorang tidak akan bermakna. Cogan kata ini juga menjadi pendorong kepada pelajar untuk bersungguh-sungguh dan seterusnya mendapat pencapaian yang cemerlang dalam akademik.

Lagu Sekolah[sunting | sunting sumber]



Ilmu mutiara hidup
Menjadi cogan kata mulia
Sekolah Menengah Tengku Idris Shah, Kapar
Harum namanya
Muridnya berbilang bangsa bangsa
Muhibah diamalkan sentiasa
Rukun Negara tetap dipelihara
Rajin berusaha
Gurunya berdedikasi
Marilah kita semua
Majulah sekolah ini
Teruslah maju dan Berjaya

Lagu : En Hamid Baharudin Lirik : En Mohd Ismail Sarbini

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah
Persiaran Hamzah Alang, 42200 Kapar
Selangor,  Malaysia
Telefon = 03-32508368
Fax = 03-32501104
Emel rasmi = bea0095@moe.edu.my

Pautan luar[sunting | sunting sumber]