Sekolah Menengah Sains Miri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Sekolah Menengah Sains Miri
Moto Berusaha Berilmu Beramal
Ditubuhkan 1 Januari 1990
Jenis Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Berprestasi Tinggi
Pengetua En. Mohd Dzul Badzli Abdullah
Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik En. Samsuddin bin Mokhtar
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Pn. Hajah Darmah binti Haji Mudin
Penolong Kanan Kokurikulum Pn. Hajah Salmah binti Haji Yaacob
Pengerusi PIBG En. Nazri bin Datuk Haji Ahmad Lai
Kod sekolah YEA4104[1]
Alamat Jalan Bakam
98000 Miri
Sarawak
Malaysia
Kemasukan Pelajar Tingkatan Satu hingga Lima
Nama singkatan SMSM,SAINSri
Telefon 6085421371
Faks 6085411050

Sekolah Menengah Sains Miri (disingkatkan sebagai SM Sains Miri) ialah sebuah sekolah menengah sains yang terletak di Miri, Sarawak, Malaysia. Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1990; pada tahun 2009, ianya mempunyai 424 orang pelajar, iaitu 219 pelajar lelaki dan 205 pelajar perempuan, serta 52 orang guru.[petikan diperlukan] Pengetua semasa ialah Mohd Dzul Badzli bin Abdullah.[2]

Lokasi[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Sains Miri terletak di Jalan Bakam iaitu di sebuah tapak seluas 18.55 hektar (45.8 ekar) kira-kira sepuluh kilometer dari pusat bandar Miri, sebuah bandar di negeri Sarawak, Malaysia. Sekolah ini bersebelahan dengan Kampus Sarawak bagi Institut Pendidikan Guru Malaysia. Ianya juga terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Miri.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Sains Miri ditubuhkan pada 1 Januari 1990 dan ianya merupakan sekolah berasrama penuh yang pertama di Sarawak. Kemasukan pertama pelajar ialah bagi tingkatan satu, empat dan enam bawah. Sementara itu, pada mulanya hanya terdapat lima orang guru termasuk pengetua namun diikuti oleh 13 orang guru pada bulan seterusnya. Pada tahun 1995, pengambilan pelajar tingkatan enam bawah telah dihentikan dan digantikan dengan pengambilan pelajar bagi Matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia seramai 26 orang sebelum kolej matrikulasi dibina di Labuan. Walau bagaimanapun, program matrikulasi tersebut telah dihentikan pada tahun 2000 setelah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pentadbiran dan pelajar[sunting | sunting sumber]

Sejak penubuhannya, Sekolah Menengah Sains Miri telah ditadbir oleh enam orang pengetua, iaitu:

  1. Zakiah binti Haji Omar (1990-1992)
  2. Baharin bin Harun (1992-1997)
  3. Rosey binti Haji Yunus (1997-2006)
  4. Lily binti Morni (2006-2009)
  5. Hajah Serina binti Sauni (2009-2015)
  6. Mohd Dzul Badzli bin Abdullah (2015-sekarang)

Pengetua turut dibantu oleh Badan Bertindak Tertinggi Sekolah (BBTS) yang dianggotai oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, Penolong Kanan Kokurikulum, Guru Kanan Bahasa, Guru Kanan Kemanusiaan, Guru Kanan Vokasional dan Teknikal, Guru Kanan Sains dan guru-guru kaunseling. Selain itu, pengetua juga dibantu oleh staf bukan akademik untuk mengurus pentadbiran sekolah.

Tenaga pengajar di sekolah mempunyai ahli seramai 55 orang dan dibahagikan kepada panitia mengikut mata pelajaran yang diajar masing-masing. Guru-guru yang mengajar di Sekolah Menengah Sains Miri merupakan guru-guru berijazah.

Pelajar-pelajar sekolah ini terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan peribumi Sarawak seperti Iban, Kayan, Kenyah dan lain-lain. Selain itu, pelajar tajaan bersama Yayasan Sarawak-Yayasan Sabah turut mengisi barisan pelajar sekolah ini. Terdiri daripada 20 buah kelas (empat buah kelas bagi setiap tingkatan), sekolah ini mempunyai 500 pelajar berdaftar setakat 10 Januari 2018.

Mata pelajaran[sunting | sunting sumber]

Terdapat banyak mata pelajaran berasaskan Kemahiran Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang diajar di sekolah ini namun, cuma 7/8 mata pelajaran sahaja diambil bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) iaitu;

  1. Bahasa Melayu
  2. Bahasa Inggeris
  3. Sains*
  4. Matematik*
  5. Pendidikan Islam
  6. Geografi
  7. Sejarah
  8. Kemahiran Hidup Bersepadu Perdagangan dan Keusahawanan,

dan 9/10 mata pelajaran bagi Sijil Pelajaran Malaysia iaitu;

  1. Bahasa Melayu
  2. Bahasa Inggeris dan GCE O-level English 1119
  3. Matematik*
  4. Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral
  5. Sejarah
  6. Matematik Tambahan
  7. Fizik*
  8. Kimia*
  9. Biologi*
  10. English for Science and Technology

*Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga tahun 2012

Bahasa asing seperti Bahasa Perancis, Bahasa Jepun dan Bahasa Arab turut diajar di sekolah ini menurut piawai antarabangsa. Pelajar yang cemerlang dalam bidang bahasa asing akan digalakkan untuk mengambil Proficiency Test bagi Bahasa Jepun dan Diploma Pendidikan Bahasa Perancis DELF bagi pelajar Bahasa Perancis.

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini mempunyai 20 unit kelas, tiga makmal komputer, satu pusat sumber, dua blok makmal sains, satu blok kantin dan koperasi, satu blok bengkel Kemahiran Hidup Bersepadu, satu makmal Bahasa Jepun, satu bilik Bahasa Perancis, satu makmal Bahasa Arab, satu blok pentadbiran, satu blok dewan, satu dewan terbuka, satu blok dewan makan, satu stor sukan, lapan blok asrama termasuk tandas, lima unit berek pekerja, tiga unit flat guru, dua unit rumah pentadbir, padang bola sepak dan rugbi, padang hoki, padang kriket, gelanggan tenis, gelanggan bola keranjang, gelanggan bola jaring, gelanggan badminton, gelanggan rejam lembing, lontar peluru, lempar cakera, sukan memanah, meja ping pong dan trek balapan berturap. Selain itu, dobi dan kemudahan Internet juga disediakan.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Akademik[sunting | sunting sumber]

Bagi Penilaian Menengah Rendah, Sekolah Menengah Sains Miri mencatatkan peningkatan peratusan pelajar yang mendapat A dalam semua pelajaran sejak penubuhannya.

Tahun Peratus Kelulusan(%) Peratus Semua A(%)
2005 100 53.3
2006 100 50.5
2007 100 54.3
2008 100 64.0

Bagi Sijil Pelajaran Malaysia, Sekolah Menengah Sains Miri turut melakarkan sejarah yang cemerlang apabila beberapa kali merangkul sekolah terbaik SPM negeri Sarawak. Pada tahun 2006, seorang pelajar sekolah ini iaitu Nor Assyakirin bin Hasbi berjaya meletakkan namanya di antara 100 pelajar terbaik SPM 2006 peringkat kebangsaan. Pada tahun 2007 juga, Sekolah Menengah Sains Miri menempatkan dirinya di tempat yang ke-17 di kalangan Sekolah Berasrama Penuh.

Ko-kurikulum[sunting | sunting sumber]

Kadet Bomba dan Penyelamat Sekolah Menengah Sains Miri merupakan antara badan beruniform yang aktif di sekolah ini. Kerap kali muncul juara di peringkat bahagian, Kadet Bomba dan Penyelamat SM Sains Miri juga pernah mewakili sekolah di peringkat negeri dan kebangsaan dan turut merangkul beberapa anugerah di Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat di peringkat kebangsaan. Selain itu, Persatuan Kadet Bersatu Malaysia juga pernah menghantar wakil ke perkhemahan peringkat kebangsaan di Perak pada tahun 2008. Antara lain, Sekolah Menengah Sains Miri juga terlibat aktif dalam Program Pertukaran Budaya dengan negara Jepun. Pelajar sekolah ini juga pernah memenangi pertandingan menulis esei Bahasa Perancis dan berjaya merangkul hadiah ke negara Perancis. Selain itu juga, pelajar sekolah juga pernah ke Singapura untuk mengikuti pertandingan anjuran Pertubuhan Menteri Pelajaran ASEAN. Pasukan catur sekolah juga telah memenangi beberapa kategori pertandingan dan dihantar ntuk mewakili bahagian Miri bagi peringkat negeri. Pasukan Bahas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris turut melakar sejarah dengan memenangi pertandingan di arena bahas masing-masing dan ada di kalangan pembahas turut merangkul gelar Pembahas Terbaik. Pada tahun 2009, Sekolah Menengah Sains Miri telah memenangi Pesta Pantun peringkat bahagian, dan memenangi tempat ketiga di International Petroleum Technology Conference di Kuala Lumpur. Tambahan pula, tahun 2012 melakar wajah kejayaan buat Pasukan Bahas Bahasa Melayu apabila berjaya menjadi Johan peringkat negeri setelah hampir 7 tahun mengalami kemarau kejuaraan.

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Menengah Sains Miri
Jalan Bakam
98000, Miri
Sarawak, Malaysia
Telefon = 6085421371
Fax = 6085411050

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 4°19′09″N 113°57′55″E / 4.319225°N 113.965312°E / 4.319225; 113.965312