Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah, Pahang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abdullah
Lokasi
 Malaysia Jalan Wong Ah Jang, KUANTAN, Pahang
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah kerajaan
Nombor sekolah6095131146
Kod sekolahCBB4026
Faks6095150632


Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abdullah atau nama ringkasnya SRK Sultan Abdullah, merupakan sebuah Sekolah Rendah Kebangsaan yang terletak di Jalan Wong Ah Jang.

Pada 2009, Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abdullah memiliki 458 pelajar lelaki dan 395 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 853 orang. Ia mempunyai seramai 59 orang guru.2009

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah tiga zaman: peperangan, penjajahan & kemerdekaan

Sejarah Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah bermula pada tahun 1920 berikutan hasrat kerajaan Inggeris untuk menubuhkan sebuah Sekolah Inggeris elit di daerah Kuantan. Justeru, sebuah setor beras milik kerajaan yang terletak di Jalan Wall (kini Jalan Mahkota) telah diubah suai menjadi sebuah bilik darjah. Seorang guru dari Ceylon, Encik S.S. Moorthy telah ditugaskan sebagai guru. Beliau kemudiannya dilantik sebagai guru besar yang pertama apabila guru-guru lain dihantar bertugas ke sekolah berkenaan. Pada peringkat awal penubuhan, bilangan murid hanyalah seramai 10 orang dan mereka menerima pendidikan secara percuma. Pada tahun 1922, sekolah ini telah dipindahkan ke Bangunan Loke Yew (Bangunan Phua Bros. sekarang) yang terletak di Jalan Besar. Seorang lagi guru dari India, Encik Challappah telah ditugas mengajar di sekolah berkenaan dan diikuti dengan kehadiran Encik A. Ramalingam. Seterusnya, ekoran pertambahan bilangan murid, kerajaan Inggeris telah membina sebuah bangunan baharu di Jalan Wong Ah Jang. Tapak tanah untuk membina bangunan ini telah diperolehi kerajaan daripada bapa Encik Kam Heng Hin, pesara kerani bank, yang kemudiannya telah menjawat jawatan Setiausaha Syarikat Bas Sin Hup. Proses pembinaan sekolah ini siap pada tahun 1924. Sekolah ini kemudiannya dinamakan “Government English School”. Pada ketika itu, kedudukan sekolah ini dianggap terletak jauh dari pusat bandar yang bernadi di pesisir Sungai Kuantan. Sekolah ini juga terletak di kawasan “londang” yang menyebabkan keadaan sekitar sekolah agak becak dan masalah ini amat ketara pada musim tengkujuh. Setelah bangunan siap, para pelajar yang bersekolah di Jalan Besar telah dipindahkan ke bangunan yang baru yang hanya mengandungi lima buah bilik darjah sahaja. Peristiwa yang amat menarik terpahat di lipatan sejarah daerah Kuantan apabila murid-murid terpaksa mengangkat kerusi dan meja untuk dipindahkan ke bangunan baru. Encik S.S. Moorthy juga telah bersara dan tempat beliau sebagai guru besar telah digantikan oleh seorang guru dari Bentong, Encik Rasiah. Pada tahun 1930, kumpulan murid-murid Melayu yang pertama telah mula bersekolah di sekolah ini. Dengan pertambahan bilangan murid, pada tahun 1937, pihak kerajaan telah membina lima buah kelas tambahan di sekolah ini. Pada tahun 1938, nama sekolah telah diubah kepada Abdullah School, bersempena dengan nama ayahanda Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang yang bersemayam pada ketika itu. Pada tahun berkenaan juga, Encik Ramalingam telah dilantik sebagai guru besar yang ketiga menggantikan Encik Rasiah yang telah bersara. Pada ketika itu, salah seorang guru yang mengajar di sekolah ini ialah Encik Abdullah Sultan, yang pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sebelum bersara. Zaman penjajahan Jepun merupakan titik hitam dalam sejarah penubuhan sekolah ini. Pada zaman tersebut, pihak Jepun telah menjadikan bangunan sekolah sebagai kem tentera. Pada suatu ketika, sekolah ini juga telah beroperasi sebagai pejabat sementara pentadbiran tentera Jepun di daerah Kuantan. Segala perabot dan peralatan sekolah telah dimusnahkan dan dijadikan “kayu api” oleh pihak tentera Jepun. Sebaik sahaja zaman penjajahan Jepun berakhir, kerajaan Inggeris telah berusaha untuk membaik pulih bangunan sekolah dan memulakan sesi persekolahan yang baru. Pada tahun 1949, pihak kerajaan Inggeris telah menaik taraf sekolah ini menjadi pusat pendidikan lanjutan kepada anak-anak Melayu di peringkat pertengahan (medium class) beraliran Inggeris. Untuk permulaan, seramai 15 orang murid kumpulan pertama dari daerah Kuantan dan Pekan telah melapor diri memulakan persekolahan lanjutan mereka. Secara tidak langsung, para pelajar dari kedua-dua daerah ini tidak perlu lagi menyambung pelajaran menengah di Sekolah Clifford, Kuala Lipis untuk mengambil peperiksaan Sijil Seberang Laut. Lama-kelamaan, kesedaran pentingnya pelajaran kian ketara menular dalam diri masyarakat. Secara tidak langsung bilangan murid di Abdullah School kian meningkat. Pada tahun 1953, empat buah kelas tambahan telah dibina di pinggir Jalan Wong Ah Jang. Dengan tambahan bangunan baru ini, Abdullah School berupaya menampung 800 orang murid. Pada tahun yang sama juga, guru besar, Encik A. Ramalingam telah bersara setelah hampir 15 tahun berkhidmat di sekolah ini. Tempat beliau digantikan oleh Encik Kok Swee Hong, seorang murid tua sekolah ini. Encik Kok Swee Hong berkhidmat dengan penuh dedikasi sehingga beliau bersara pada tahun 1956. Di penghujung tahun 50-an, jumlah murid kian bertambah. Keadaan ini memaksa sekolah dipecahkan kepada dua bahagian iaitu rendah dan menengah. Selepas negara mencapai kemerdekaan iaitu pada tahun 1958, bahagian menengah telah dipindahkan ke Jalan Air Putih yang menjadi titik permulaan kepada penubuhan Abu Bakar School (kini dikenali sebagai SMK Sultan Abu Bakar). Pada ketika itu, pentadbiran sekolah dipimpin oleh Encik Idris Babjee (kemudian dikenali sebagai Datuk Idris Babjee) yang mengetuai kedua-dua sekolah. Bagi melicinkan pengurusan, Guru Penolong Kanannya telah diminta untuk menyelia bahagian rendah yang masih beroperasi di Abdullah School. Datuk Idris Babjee pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Pelajaran Pahang dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sebelum bersara. Bagi meredakan masalah pengurusan sekolah, pada 1 Mei 1958, Encik Tan Yeng Eng, seorang guru kanan, telah dilantik menjadi guru besar di Abdullah School. Namun begitu, walaupun telah berlaku pemisahan, masalah kekurangan bilik darjah tetap berlaku di Abdullah School. Ini berpunca daripada pembangunan pesat bandar Kuantan khususnya setelah dijadikan ibu negeri menggantikan daerah Lipis. Oleh yang demikian, pembinaan bangunan-bangunan baru telah dilakukan dan keluasan kawasan Abdullah School kian bertambah. Pada tahun 1960, Datuk Wong Kwan Tan, seorang tokoh tempatan berpengaruh yang juga merupakan Pengerusi Jemaah Pengurus sekolah, telah mencadangkan agar nama sekolah ditukarkan menjadi Sekolah Sultan Abdullah sesuai dengan inspirasi negara merdeka. Sekolah ini kemudiannya terus berkembang dan menjadi sekolah pilihan di tengah kepesatan pembangunan bandar Kuantan. Sejarah sekolah beranjak lagi pada tahun 1963 apabila sebuah kelas khas bagi kanak-kanak cacat pendengaran diwujudkan di sekolah ini. Program ini merupakan kelas perintis yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat dalam rancangan kelas percantuman (integrated class) murid-murid bermasalah pendengaran negeri Pahang. Program ini dilaksanakan di sekolah ini sehinggalah sebuah sekolah khas, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, didirikan di bandar Indera Mahkota pada awal tahun 90-an. Dengan wujudnya sekolah ini, semua guru dan murid-murid pendidikan khas dipindahkan ke sekolah yang baru dan SK Sultan Abdullah kekal sebagai sebuah sekolah rendah harian biasa. Pada bulan Oktober 1969, Encik Ten Yen Eng bersara daripada perkhidmatan perguruannya. Buat sementara, Encik Cheok Wooi Fong telah memangku jawatan guru besar sehingga Encik Gurmukh Singh Jassal, bekas Guru Besar SK Datuk Shahbandar Hussain, Raub ditukarkan menjadi guru besar di SK Sultan Abdullah pada tahun 1970. Beliau berkhidmat di sini sehingga bersara pada bulan Jun 1977. Jawatan guru besar seterusnya dipangku oleh Encik See Toh Tuck. Pada tahun 1978, Encik P.K. Kunjappan telah dilantik sebagai guru besar. Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai guru besar di SK Ahmad, Pekan. Beliau menabur bakti di sekolah ini selama lapan tahun dan amat terkenal dengan ketegasan beliau.Tempat beliau kemudiannya telah diambil alih oleh Tuan Haji Shaharuddin bin Haji Abd. Latif yang menjawat jawatan guru besar sehingga 30 September 1987. “Patah tumbuh, hilang berganti”, jawatan guru besar seterusnya diambil oleh Encik Razali bin Jambol (Tuan Haji) sehingga 15 September 1992. Seterusnya, jawatan guru besar disandang pula oleh Encik Mohd. Shahar bin Kassim (Tuan Haji) sehingga 30 November 1995 dan seterusnya digantikan Encik Abd. Hamid bin Ali (Tuan Haji) sehingga 15 Jun 1996. Seterusnya, jawatan guru besar diambil alih pula oleh Tuan Haji Mohd. Tahir bin Abdul Hamik sehingga 30 November 1999 dan diteruskan oleh Encik Mahmood bin Ahmad yang menjadi guru besar sehingga 12 April 2005. Daripada sebuah sekolah yang dianggap terletak di pinggir bandar, kepesatan bandar Kuantan menjadikan SK Sultan Abdullah berdiri megah di tengah-tengah denyut nadi Kuantan. Pada hari ini, SK Sultan Abdullah terus mengenang sejarahnya dalam melangkah dalam arus kepesatan metropolitan dan persaingan sistem pendidikan yang kian dirasai. SK Sultan Abdullah dengan komitmen para pendidiknya akan terus cuba untuk “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” dengan sekolah-sekolah lain yang kian bertambah. Hasrat utama ialah untuk menjadikan sekolah ini sebagai sebuah sekolah pilihan di daerah Kuantan menjelang tahun 2010 di bawah kepimpinan Encik Khairuddin bin Haji Said yang mengambil alih tampuk guru besar mulai tahun 2005 sebagai “naungan tempat berteduh, kali tempat menghilang dahaga”.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abdullah
Jalan Wong Ah Jang
Pahang, Malaysia
Telefon = 6095131146
Fax = 6095150632

Pautan luar[sunting | sunting sumber]