Sekolah Seri Puteri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Seri Puteri
Lokasi
Cyberjaya, Selangor
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah berasrama penuh/Sekolah bestari
Moto"Ilmu Usaha Jaya"
Ditubuhkan6 Mei 1968
Nombor sekolah03-83192414
Pengerusi PIBGTuan Hasnal bin Hashim
PengetuaPuan Hajah Noridah Binti Haji Ramlan
Faks03-83193937
Laman sesawang
Map

Sekolah Seri Puteri (SSP) ialah sebuah sekolah berasrama penuh perempuan[1] yang terletak di Cyberjaya, Selangor

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah Seri Puteri ditubuhkan di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur pada 6 Mei 1968 pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Jalan Kolam Ayer. Sekolah yang dibina atas tapak seluas 19 ekar ini, yang sebelumnya menempatkan Sekolah Menengah Teknik,[2] dibina khusus untuk memberi pendidikan peringkat menengah kepada pelajar-pelajar perempuan daripada sekolah-sekolah aliran kebangsaan di seluruh negara.

Pada bulan Mei 1968, sekolah ini menerima kumpulan pelajarnya yang pertama seramai 144 orang dalam tiga buah kelas tingkatan empatnya. Pengetua pertamanya, Puan Khalidah Adibah Amin dibantu oleh sepuluh orang guru dan tiga orang kakitangan bukan akademik. Pada 1969, sekolah ini mula mengambil guru-guru kontrak dari Indonesia bagi menampung kekurangan guru sains dan matematik tempatan. Ketika awal penubuhannya, kemudahan pelajar adalah tidak mencukupi dan yang ada pun tidak sesuai untuk membantu pembelajaran atau bagi kediaman pelajar.

Dalam tempoh dua tahun penubuhannya, sekolah ini mencapai kelulusan 100% dalam peperiksaan Malaysia School Certificate of Education yang diadakan pada 1970. Kumpulan pertama seramai 102 orang pelajar Tingkatan Enam diterima masuk pada bulan Mei 1971 dan kumpulan pertama seramai 89 orang pelajar Tingkatan Satu kemudiannya diterima masuk pada 1975. Kursus-kursus matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia juga diadakan pada 1975 dengan bilangan pelajar seramai 88 orang. Pada 1976, pasukan pancaragam sekolah ditubuhkan oleh Pengetua ketiga iaitu Puan Hajah Badiah Bt Hj. Abdul Manan.

Sekolah ini menyambut ulang tahun ke-10 pada 16 September 1978 dan pada majlis yang bersejarah ini, Pengetua Keempat sekolah ini, Puan Zainab Bt Haji Mohd. Yusop merasmikan nama Sekolah Seri Puteri, dan dipilih kerana ia menggambarkan pelbagai makna yang berkaitan dengan kecantikan, kemuliaan dan kepimpinan. Lambang baru sekolah ini juga diperkenalkan pada tahun sama.

Pada 1 Mac 2003, premis lama SSP di Jalan Kolam Ayer terpaksa ditinggalkan dan dipindahkan ke bangunan baharu di Cyberjaya. Sekolah Seri Puteri Cyberjaya mula dibina pada 5 April 2001 dengan kos pembinaan sebanyak RM56,245,450, dan siap pada 26 Januari 2003. Majlis perasmian bangunan itu telah diadakan pada 10 April 2007, dan turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Pada Disember 2021, sekolah ini mendapat perhatian negara berikutan penemuan kluster COVID-19 yang ketara (dinamakan secara rasmi sebagai Kluster Persiaran Tasik), dengan pengesanan awal mendapat terdapat 65 kes dalam kalangan warga SSP.[3] Pengesanan kontak rapat susulan mendapati lebih seratus kes COVID-19 dalam sekolah tersebut serta ratusan lagi kotak rapat, menyebabkan sekolah itu terpaksa ditutup.[4] Kes ini mendapat perhatian oleh kerana dakwaan-dakwaan isu pengurusan kluster. Perkara ini disahkan oleh Ahli Parlimen Sedang Mohamed Hanipa yang merujuk kepada isu-isu seperti ketiadaan tindakan sanitasi oleh pihak atasan, dan mengiyakan mungkin ada peranan misfeasans (salah guna kuasa) dalam kes ini.[5]

Bangunan dan kemudahan[sunting | sunting sumber]

Bangunan sekolah ini dibina atas tapak seluas 20 ekar. Tapak asal merupakan bukit tinggi dan lereng bercerun yang sebahagiannya mengandungi pokok getah tua. Sekolah ini terletak di di atas tanah tinggi yang menghadap sebahagian tasik buatan yang membentuk Tasik Putrajaya. Tapak bersegi tiga ini diapit oleh laluan ERL di sebelah barat, jalan B di selatan dan Tasik Putrajaya di bahagian timur. Selari dengan laluan ERL ialah Lebuhraya Putrajaya - Dengkil - KLIA.

Kapasiti maksimum sekolah boleh menampung sehingga 1,200 orang murid dan 250 orang staf akademik serta staf sokongan. Sekolah ini mengandungi tiga zon utama iaitu zon awam yang mengandungi dewan besar dengan kapasiti 1,200 orang[6] dan kemudahan rekreasi seperti astaka, balapan, padang hoki, gelanggang bola jaring, gelanggang bola keranjang, gelanggang tenis, gelanggang skuasy dan dinding pendakian batu. Zon pembelajaran pula mengandungi blok bilik darjah, blok makmal dan blok bengkel. Zon persendirian pula mengandungi asrama, kediaman guru serta staf sokongan, dewan makan dan surau.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Kecemerlangan sekolah satu gender, Utusan Online
  2. ^ "Sejarah Penubuhan". Portal Rasmi: Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya. Sekolah Seri Puteri. 15 April 2010. Dicapai pada 1 Mei 2014.
  3. ^ "65 pelajar SBP Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya disah positif COVID-19". Astro Awani. 2 Disember 2021. Dicapai pada 4 Disember 2021.
  4. ^ Sulaiman, Noor Atiqah (3 Disember 2021). "SBP Seri Puteri ditutup sementara, 143 positif Covid-19". Harian Metro. Dicapai pada 4 Disember 2021.
  5. ^ Izuan Tahir, Mohd Izzatul (2 Disember 2021). "Cuai punca jangkitan Covid-19 di Sekolah Seri Puteri: MP Sepang". Sinar Harian. Dicapai pada 8 Disember 2021.
  6. ^ "Sekolah Seri Puteri – Berwajah elit, berkonsep milenium". Utusan ONLINE. Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. 5 March 2003. Dicapai pada 1 Mei 2014.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]