Pergi ke kandungan

Seni Gunting Kertas Cina

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

 

Seni Gunting Kertas Cina
Rujukan219
KawasanAsia-Pasifik
Sejarah inskripsi
Inskripsi2009 (sesi 4)
Seni gunting kertas Cina
Gunting kertas dengan lambang untuk Musim Bunga ()
Tulisan Cina Tradisional剪紙
Tulisan Cina Ringkas剪纸
Seni gunting kertas Cina yang dijual di sebuah kedai.

Seni tradisional seni gunting kertas Cina (Cina: 剪紙; pinyin: jiǎnzhǐ) di Cina dipercayai bermula sejak abad ke-2 Masihi, iaitu selepas kertas dicipta oleh Cai Lun, seorang pegawai istana dari Dinasti Han Timur.[1][2] Pada 20 Mei 2006, seni gunting kertas telah diiktiraf secara rasmi sebagai salah satu warisan budaya tidak ketara terawal di Cina oleh Jabatan Kebudayaan Shanxi.[3][4] Pada tahun 2009, ia turut disenaraikan dalam Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO.[5]

Sebelum penemuan kertas, masyarakat purba Cina menggunakan daun emas dan perak untuk menghasilkan corak hiasan yang serupa.[6] Apabila kertas semakin mudah diperoleh, seni gunting kertas menjadi cara popular untuk menghias pintu dan tingkap. Corak hiasan yang rumit ini dihasilkan dengan menggunakan gunting atau pisau seni[6][7] dan boleh berbentuk pelbagai motif, termasuk lambang dan haiwan. Dengan kertas yang semakin murah pada zaman Dinasti Han Timur, seni gunting kertas menjadi salah satu cabang utama seni rakyat Cina. Seni ini kemudian tersebar ke bahagian lain dunia dengan setiap wilayah mengadaptasi gaya budaya tersendiri.

Oleh sebab guntingan ini sering digunakan untuk menghias pintu dan tingkap, kebanyakan hasil gunting kertas dipanggil "hua", yang bermaksud "bunga". "Bunga" di sini merujuk kepada maksud corak dan bukannya keindahan tumbuhan.[8] Mengikut kegunaan hiasan, istilah "hua" diberi nama berbeza. Guntingan kertas yang digunakan untuk menghias tingkap dikenali sebagai "bunga tingkap" (窗花; chuāng huā) atau "gunting kertas tingkap".[9] Bagi kegunaan sebagai acuan sulaman pula ia digelar "bunga topi" (帽花; mao hua), "bunga bantal" (枕花; zhen hua), dan "bunga kasut" (鞋花; xie hua).[10] Biasanya karya seni ini diperbuat daripada kertas merah kerana warna merah dikaitkan dengan perayaan dan tuah dalam budaya Cina, namun warna lain juga digunakan. Kebiasaannya, guntingan kertas digunakan ketika perayaan seperti Tahun Baru Cina, majlis perkahwinan, dan kelahiran anak, kerana ia dianggap melambangkan keberuntungan dan kegembiraan.[11]

Asal usul

[sunting | sunting sumber]

Seni gunting kertas Cina bermula daripada amalan pemujaan nenek moyang dan dewa, iaitu sebahagian tradisi budaya Cina yang wujud kira-kira dua ribu tahun lalu. Berdasarkan rekod arkeologi, seni gunting kertas bermula sejak abad ke-6, namun ada yang berpendapat ia boleh dikesan seawal zaman Zaman Negara-negara Berperang (sekitar abad ke-3 SM),[12] iaitu jauh sebelum kertas dicipta. Pada masa itu, masyarakat menggunakan bahan nipis lain seperti daun, kerajang perak, sutera, dan juga kulit untuk mengukir corak ruang negatif.[13] Teknik memotong dan mengukir telah wujud lebih awal daripada penemuan kertas. Pada tahun 1959, corak guntingan kertas terawal ditemui di sebuah tapak perkuburan di wilayah Xinjiang, bertarikh antara tahun 386 hingga 581 Masihi.[14][15] Kemudian apabila kertas dicipta oleh Cai Lun pada tahun 105 Masihi,[16][14] masyarakat menyedari bahawa bahan ini mudah dipotong, disimpan dan dibuang, lalu kertas menjadi bahan utama untuk seni ini.

Dinasti Tang

[sunting | sunting sumber]

Pada zaman Dinasti Tang, seni gunting kertas berkembang pesat dan menjadi popular di Cina. Ia sering digabungkan dengan lukisan bagi menyampaikan idea kerohanian. Seni gunting kertas mencapai tahap kematangan pada era ini, apabila ia bukan sahaja dianggap sebagai hasil kraf tangan, tetapi juga sebagai karya seni yang meluahkan idea dan konsep melalui corak yang diukir pada kertas.[17]

Dinasti Song

[sunting | sunting sumber]

Pada zaman Dinasti Song, seni gunting kertas Cina berkembang menjadi teknik yang lebih maju, dengan tukang terlatih menghasilkan karya yang lebih kompleks. Teknik ini digunakan untuk menghias seramik dan membuat wayang kulit. Dengan mengukir corak pada papan berminyak serta mengikis corak pada kain, terhasil kain bercorak biru cetakan.[18]

Dinasti Ming dan Qing

[sunting | sunting sumber]

Pada era Ming dan Dinasti Qing (1368–1912), seni gunting kertas mencapai kemuncak perkembangannya dan menjadi seni Cina yang semakin popular.[19][20] Seni rakyat ini tersebar dalam kalangan masyarakat luas dan mempamerkan kepelbagaian ekspresi artistik. Ia digunakan untuk pelbagai tujuan seperti hiasan tanglung dan kipas, corak sulaman, serta bunga tingkap. Guntingan kertas juga digunakan untuk menghias pintu, tingkap dan dinding sebagai tanda kegembiraan serta sambutan perayaan. Malah keluarga diraja turut menggunakannya, misalnya Kota Larangan dihiasi dengan guntingan kertas semasa upacara perkahwinan maharaja. Keindahan berterusan seni ini mencerminkan daya kreatif masyarakat Cina, dengan reka corak yang melambangkan idea serta nilai budaya.[21]

Seni ini mencapai zaman kegemilangannya pada era Ming dan Qing. Selama lebih seribu tahun, masyarakat (terutamanya wanita) menghasilkan guntingan kertas sebagai aktiviti masa lapang, mencipta pelbagai jenis gunting kertas dan mewariskan kemahiran tradisional ini kepada anak-anak mereka,[19] sehingga seni ini semakin tersebar luas. Hingga kini, seni gunting kertas masih diamalkan di Cina moden.

Namun, dari segi bahan, kertas mudah berkulat dan reput. Di kawasan tenggara Cina, yang biasanya mengalami hujan pada bulan Mei dan Jun, kertas cepat rosak dan menyebabkan masyarakat di sana jarang mengamalkan seni ini, menjadikan hasil gunting kertas dari abad lalu sukar ditemui.[22] Sebaliknya, iklim kering di barat laut Cina membolehkan karya lama dipelihara, misalnya hasil seni gunting kertas dari zaman Dinasti Utara yang ditemui di Turpan, wilayah Xinjiang.[23]

Klasifikasi Gaya

[sunting | sunting sumber]

Seni gunting kertas merupakan salah satu seni rakyat tertua dan paling popular di Cina. Ia boleh dibahagikan secara geografi kepada tiga aliran utama.[24][25]

Wakil Aliran Selatan Seni Gunting Kertas – Babi

Aliran Selatan (南方剪纸 nán fāng jiǎn zhǐ)

[sunting | sunting sumber]

Aliran selatan, yang diwakili oleh karya dari Foshan di Wilayah Guangdong dan Wilayah Fujian, menampilkan rekaan yang teliti, dekoratif serta elegan. Ia mempunyai tema yang pelbagai, antaranya bunga hadiah dari Putian merupakan corak paling khas dan terkenal bagi aliran ini.[26]

Seni gunting kertas Zhangpu berasal dari Wilayah Fujian, Cina, dan terkenal dengan mutu kraf yang halus serta komposisi yang hidup. Ia menggabungkan teknik memotong, mengukir, menampal, melukis dan pelbagai kaedah lain, menghasilkan karya yang kaya berlapis dan berimpak visual yang kuat. Tema biasa termasuk motif keberuntungan, kisah rakyat dan pemandangan semula jadi, lazimnya menggunakan warna terang dan bentuk dinamik.[27]

Aliran Jiangzhe (江浙剪纸 jiāng zhè jiǎn zhǐ)

[sunting | sunting sumber]

Aliran Jiangzhe berasal dari wilayah Jiangsu dan Zhejiang di timur Cina. Karya wakil berasal dari Yangzhou di Wilayah Jiangsu dan Yueqing di Wilayah Zhejiang. Gaya ini menampilkan rekaan yang bijaksana dan indah, ukiran yang halus serta bentuk yang menarik. Ia merupakan gaya paling terkenal di peringkat antarabangsa. Biasanya menggambarkan tema alam semula jadi seperti bunga, burung, ikan dan buah-buahan.[24]

Aliran Utara (北方剪纸 běi fāng jiǎn zhǐ)

[sunting | sunting sumber]

Gaya utara, terutamanya dari Yuxian dan Fengning di Wilayah Hebei, serta paling baik diwakili oleh karya dari utara Shaanxi, menonjolkan bentuk yang dilebih-lebihkan, bertenaga, lakaran yang hidup dan corak yang pelbagai. Gaya ini cenderung kepada rekaan yang agak ringkas dan simetri, dengan penekanan pada bentuk abstrak, haiwan serta corak hiasan.[24]

Seni gunting kertas Yuxian, yang dihasilkan di Wilayah Hebei, Cina, terkenal dengan teknik cetakan berwarna serta gaya yang berani dan bebas. Seniman mula-mula menggunting corak kompleks, kemudian mewarnakan secara lapisan demi lapisan dengan tangan, menjadikan warna gambar terang dan kontras yang jelas. Kebanyakan temanya termasuk watak opera, kisah rakyat dan suasana perayaan, yang mencerminkan budaya rakyat utara dengan kuat.[28]

  1. ^ "Chinese Paper Cutting". www.lapl.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-02-26.
  2. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :5
  3. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :6
  4. ^ "中国剪纸 – 中国非物质文化遗产网·中国非物质文化遗产数字博物馆". www.ihchina.cn (dalam bahasa Cina). Dicapai pada 2023-05-13.
  5. ^ "UNESCO - Chinese paper-cut". ich.unesco.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-02-26.
  6. ^ a b Zhang, Daoyi (Nov 3, 1989). The Arts of Chinese Papercuts (Beijing: Foreign Language Press). China Folk Art Series.
  7. ^ "Paper Cutting". Smithsonian's National Museum of Asian Art (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-02-26.
  8. ^ Wu, Fatima (2004). "A Glimpse of Chinese Culture Through Papercuts" (PDF). Education About Asia. 9 (1): 40–46.
  9. ^ Yang, Crystal Hui-Shu (2012-04-01). "Cross-Cultural Experiences Through an Exhibition in China and Switzerland: "The Art of Paper-Cutting: East Meets West"". Source: Notes in the History of Art. 31 (3): 29–35. doi:10.1086/sou.31.3.23208592. JSTOR 23208592.
  10. ^ Chinese Papercutting Patterns for Seasonal Festivals. Taipei: Minsu Yishu Chuban- she. 1979.
  11. ^ Meng, Meng; Zhao, Mingtian; Zhu, Song-Chun (2010-10-25). "Artistic paper-cut of human portraits". Proceedings of the 18th ACM international conference on Multimedia. MM '10. New York, NY, USA: Association for Computing Machinery. m/s. 931–934. doi:10.1145/1873951.1874116. ISBN 978-1-60558-933-6.
  12. ^ "Chinese Paper Cutting (剪纸: jiǎnzhǐ)". Abridge Academy (dalam bahasa Inggeris). 2020-05-09. Dicapai pada 2025-02-28.
  13. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :32
  14. ^ a b Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :53
  15. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :0
  16. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :42
  17. ^ "中国剪纸的历史渊源及主要流派 – 中国书画网". www.chinashj.com (dalam bahasa Cina). Dicapai pada 2023-05-13.
  18. ^ "中国剪纸 – 东方印象". www.eastimpression.com (dalam bahasa Cina). Dicapai pada 2023-05-13.
  19. ^ a b Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :54
  20. ^ Anthony (2025-02-19). "Paper Cutting, Traditional Chinese Folk Art Designs 2025". www.thechinajourney.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-03-08.
  21. ^ "Chinese folk paper cutting". www.chinatoday.com.cn. Dicapai pada 2025-02-28.
  22. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :63
  23. ^ "Chinese paper-cut". www.chinadaily.com.cn. Dicapai pada 2025-03-08.
  24. ^ a b c Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :72
  25. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :102
  26. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :55
  27. ^ "一刀一剪 熠熠生辉——走进闽派文艺精品系列报道之漳浦剪纸". Fjsen. Dicapai pada 2025-04-09.
  28. ^ "剪纸(蔚县剪纸) - 中国非物质文化遗产网·中国非物质文化遗产数字博物馆". www.ihchina.cn. Dicapai pada 2025-04-09.