Pergi ke kandungan

Serigala Dataran Besar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Serigala Dataran Besar

Tidak boleh ditempatkan (NatureServe)[1]
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Mammalia
Order: Carnivora
Suborder: Caniformia
Keluarga: Canidae
Genus: Canis
Nama trinomial
Canis lupus nubilus
Say, 1823[2]
Sinonim[3]

variabilis Wied-Neuwied, 1841[4]

Serigala Dataran Besar (Canis lupus nubilus), yang juga dikenali sebagai serigala kerbau, ialah satu subspesies serigala kelabu yang pernah tersebar di serata Dataran Besar, dari Manitoba selatan dan Saskatchewan di Kanada ke arah selatan hingga Texas utara di Amerika Syarikat.[5] Subspesies ini disangkakan pupus di alam liar pada tahun 1926, sehingga kajian mengisytiharkan bahawa keturunannya ditemukan di Minnesota, di Wisconsin, dan di Michigan.[6] Sebagai tambahan, 20 ekor serigala dibeli oleh Dr. Edward Heber McCleery, yang keturunannya kini terletak di Bridger, Montana. Ia diperihalkan sebagai serigala besar berwarna cerah tetapi dengan warna hitam dan warna putih yang berbeza-beza sesama serigala individual, dengan sesetengah serigala yang berwarna putih atau hitam sepenuhnya. Orang Asli Amerika di Dakota Utara menceritakan cara hanya tiga ekor serigala Dataran Besar dapat menumbangkan bison bersaiz apa pun.[7]:150–156

Taksonomi

[sunting | sunting sumber]
Dua serigala Dataran Besar berpelukan

Serigala ini pertama kali dicatatkan pada tahun 1823 oleh ahli alamiah Thomas Say dalam tulisan beliau tentang ekspedisi Mejar Stephen Long ke Dataran Besar. Say ialah orang pertama yang mendokumenkan perbezaan antara "serigala prairie" (koyote) dengan, yang pada halaman berikut jurnal beliau, serigala yang dinamai oleh beliau Canis nubilus. Beliau menerangkan salah seekor serigala ini yang telah ditangkap di dalam perangkap:

Canis nubilus. Muram, bulunya kelabu abu di pangkal, kemudian hitam keperang-perangan kemudian kelabu, kemudian hitam; perkadaran hitam pada bulu, sangat besar, sehingga memberikan warna jauh lebih gelap kepada seluruh haiwan, berbanding dengan latrans tergelap, tetapi kelabu bulu yang bergabung dengan hujung hitam, dalam kesan umum menghasilkan penampilan berbelak; warna kelabu banyak di bahagian bawah sisi; telinga pendek, hitam keperang-perangan pekat, dengan tompok bulu kelabu di sisi hadapan di dalam; muncung kehitam-hitaman di atas; lifjs superior, anterior kepada gigi taring, kelabu; rahang bawah di hujung dan memanjang dalam garis sempit ke arah belakang, hampir ke pangkal leher, kelabu; di bawahnya berwarna karat muram, kekelabu-kelabuan dengan bulu panjang di antara paha belakang, dan dengan tompok putih besar pada dada; warna karat sangat sempit pada leher, tetapi melebar di bahagian bawah pipi; tungkai hitam keperang-perangan, dengan sedikit campuran bulu kelabu, kecuali di tepi hadapan paha belakang, dan tepi bawah jari kaki, dengan kelabu banyak; ekor pendek, fusiform, sedikit berbaur dengan warna karat, hitam di atas dekat dengan pangkal dan di hujung, hujung batang tubuh hampir tidak sampai ke os kalsis; bulu lebih panjang pada belakang, khususnya di atas bahu, menyerupai surai pendek jarang.....Aspek haiwan ini jauh lebih garang dan menggerunkan berbanding dengan sama ada serigala merah biasa, atau serigala prairie, dan berbentuk lebih tegap.[2]

Pada tahun 1995, ahli mamalogi Amerika Robert M. Nowak menganalisis data tentang morfologi tengkorak bagi spesimen serigala dari seluruh dunia. Untuk Amerika Utara, beliau mengusulkan bahawa hanya terdapat lima subspesies bagi serigala kelabu. Salah satu daripada ini diperihalkan oleh beliau sebagai serigala bersaiz sederhana yang pada asalnya terdapat dari Texas hingga Teluk Hudson dan dari Oregon hingga Newfoundland yang dinamai oleh beliau C. l. nubilus.[8]:245[9] Usul ini tidak diiktiraf dalam kewibawaan taksonomi Mammal Species of the World (2005), yang mengelaskan serigala ini sebagai salah satu daripada 27 subspesies bagi Canis lupus di Amerika Utara.[3]

"Roping gray wolf" - fotograf John C. H. Grabill 1887

Serigala kelabu (Canis lupus) berhijrah dari Eurasia ke Amerika Utara pada 70,000–23,000 tahun lalu[10][11] dan melahirkan sekurang-kurangnya dua kelompok yang berbeza secara morfologi dan secara genetik. Satu kelompok diwakili oleh serigala Bering yang pupus[10][12] dan yang satu lagi oleh populasi moden.[10]

Haplotip ialah kelompok gen yang terdapat pada sesuatu organisma yang diwarisi bersama-sama daripada salah satu induk.[13] DNA mitokondrion (mDNA) diwarisi sepanjang susur galur ibu dan dapat bertarikh kembali beribu-ribu tahun.[14] Sebuah kajian tahun 2005 membandingkan jujukan-jujukan DNA mitokondrion bagi serigala moden dari serata Amerika Utara dengan jujukan-jujukan DNA mitokondrion daripada tiga puluh empat spesimen yang bertarikh antara tahun 1856 dengan tahun 1915 yang dikumpulkan dari Amerika Syarikat barat, Mexico, dan Semenanjung Labrador. Populasi bersejarah didapati memiliki dua kali ganda kepelbagaian genetik bagi serigala moden,[15][16] yang mencadangkan bahawa kepelbagaian mDNA bagi serigala yang dihapuskan dari Amerika Syarikat barat adalah lebih daripada dua kali ganda berbanding dengan kepelbagaian mDNA bagi populasi moden. Sesetengah haplotip yang dimiliki oleh serigala Mexico, serigala Pergunungan Rocky Selatan yang pupus, dan serigala Dataran Besar didapati membentuk satu "klad selatan" yang unik. Serigala-serigala Amerika Utara dari rantau-rantau utara berkelompok bersama-sama dengan serigala dari Eurasia, kecuali klad selatan yang membentuk kelompok yang eksklusif untuk Amerika Utara. Kawasan taburan meluas bagi klad selatan menunjukkan bahawa aliran gen adalah meluas merentasi batas beriktiraf bagi subspesiesnya.[16]

Sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2018 meneliti morfologi anggota badan bagi serigala Amerika Utara moden dan serigala Amerika Utara fosil. Tulang anggota badan utama pada serigala menggerunkan, serigala Bering, dan kebanyakan serigala kelabu Amerika Utara moden dapat sejelasnya dibezakan antara satu sama lain. Serigala Pleistosen Akhir di kedua-dua belah Lembar Ais LaurentiaLembar Ais Cordillera memiliki tungkai lebih pendek apabila berbanding dengan kebanyakan serigala moden. Serigala Pleistosen Akhir dari Natural Trap Cave, Wyoming, dan Rancho La Brea, California selatan, adalah serupa dari segi morfologi anggota badan dengan serigala Bering dari Alaska. Serigala moden di Amerika Syarikat Barat Tengah dan di Amerika Utara barat laut memiliki tungkai lebih panjang yang ber-evolusi semasa Holosen, mungkin didorong oleh kelenyapan mangsa lebih perlahan. Walau bagaimanapun, tungkai lebih pendek mandiri sehingga Holosen selepas kepupusan kebanyakan megafauna Pleistosen, termasuk serigala Bering. Serigala Holosen dari Gua Middle Butte (bertarikh kurang daripada 7,600 tahun sebelum kini) dan Gua Moonshiner (bertarikh melebihi 3,000 tahun sebelum kini) di Kaunti Bingham, Idaho, adalah serupa dengan serigala Bering. Serigala Mexico (C. l. baileyi) dan sampel-sampel pra-tahun 1900 bagi serigala Dataran Besar (Canis lupus nubilus) menyerupai serigala kelabu fosil Pleistosen Akhir dan serigala kelabu fosil Holosen kerana tungkai lebih pendek.[10]

Pada tahun 2021, analisis DNA mitokondrion bagi kanin mirip serigala Amerika Utara menunjukkan bahawa serigala Bering Pleistosen Akhir yang pupus ialah leluhur kepada klad serigala selatan, yang merangkumi serigala Mexico dan serigala Dataran Besar. Serigala Mexico ialah serigala kelabu paling dekat dengan leluhur yang hidup di Amerika Utara kini.[17]

Buffalo Hunt, White Wolves Attacking Buffalo Bull - George Catlin 1844

Taburan serigala Dataran Besar pernah meluas di serata Dataran Besar dari Manitoba selatan dan Saskatchewan ke arah selatan hingga Texas utara.[5]

Ia diperihalkan sebagai serigala besar berwarna cerah tetapi dengan warna hitam dan warna putih yang berbeza-beza sesama serigala individual, dengan sesetengah serigala yang berwarna putih atau hitam sepenuhnya. Panjang badan purata berkisar dalam lingkungan 1.4–1.96 m (4.6–6.4 ka)[18][sumber lebih baik diperlukan] dengan berat jantan yang berpuratakan 100 lb (45 kg) dan yang paling berat direkodkan pada 150 lb (68 kg). Orang Asli Amerika di Dakota Utara menceritakan cara hanya tiga ekor serigala ini dapat menumbangkan kerbau, termasuk jantan tua besar.[7]:150–156

Kemerosotan dan kebangkitan semula

[sunting | sunting sumber]

Catatan awal menunjukkan bahawa C. l. nubilus adalah sangat banyak di serata Dataran Besar. Selepas penghapusan besar-besaran bison Amerika (Bison bison), serigala Dataran Besar diracuni dan diperangkap untuk mendapatkan kulitnya sehingga hanya segelintir yang tersisa. Perintis Alexander Henry menulis tentang serigala ini beberapa kali semasa perjalanan beliau ke Dakota Utara, dengan mencatatkan cara ia memakan bangkai kerbau secara meluas. Ia galak di sekeliling manusia, kadang-kadang mendekati manusia dan memasuki khemah mereka semasa mereka tidur. Beliau mencatat bahawa orang Indian kadang-kadang menggali anak serigala keluar dari sarang di prairie dan menggali lubang besar untuk menangkap serigala dan rubah. Anggota kumpulan beliau menggali anak serigala keluar dan mendapati bahawa anak serigala tersebut adalah sangat jinak dan mudah dilatih. Pada tahun 1833, Maximilian dari Wied-Neuwied mencatat bahawa serigala ini adalah lazim di Missouri hulu; di sana, orang Indian mengendalikan serling serigala dan memperdagangkan serigala kepada baginda sebagai pertukaran untuk dua gulung tembakau setiap satu. Baginda mendapati bahawa anjing milik orang Indian adalah lebih berbahaya berbanding dengan serigala.[7]:150–156

Pada tahun 1856, Leftenan G. K. Warren mengumpulkan koleksi tengkorak serigala ini yang kini berada di Muzium Sejarah Semula Jadi Kebangsaan.[7]:150–156 Beliau mencatat bahawa sesetengah spesimen tengkorak serigala kelihatannya bukan serigala berdarah tulen memandangkan gigi geraham spesimen-spesimen ini menandakan hibrid. Telah terdapat banyak cerita di rantau ini tentang anjing serigala hibrid ganas dan ada kemungkinan bahawa kejinakkan serigala ini dan kekurangan ketakutan terhadap manusia mungkin disebabkan oleh percampuran dengan anjing bela jinak. Di Dakota Utara, menjelang tahun 1875, penampakan serigala menjadi jarang; menjelang tahun 1887, ia hampir lenyap.[7]:150–156 Di Prairie Kanada, pembayaran baunti untuk serigala bermula pada tahun 1878 di Manitoba dan, pada tahun 1899, di Saskatchewan dan di Alberta.[19] Di Dakota Utara, dua ekor serigala dilihat pada tahun 1915 oleh Remington Kellogg. Serigala terakhir yang diketahui ditembak pada tahun 1922.[7]:150–156 Serigala Dataran Besar diisytiharkan pupus di alam liar pada tahun 1926.

Lima anak serigala dari laman belakang McCleery

Pakar perubatan yang berpangkalan di Pennsylvania, Dr. Edward Heber McCleery, membeli 20 ekor serigala pada antara tahun 1921 dengan tahun 1930 melalui beberapa peniaga, pihak berkuasa, dan zoo Kanada dan Amerika. Pada tahun 1930, Pemantauan Biologi Amerika Syarikat memaklumkan McCleery bahawa serigala-serigala ini merupakan serigala-serigala Dataran Besar terakhir. Buat masa ini, serigala-serigala ini dijaga oleh Wolf Haven International di Bridger, Montana.[20]

Kajian terkemudian mendapati serigala di Minnesota, di Wisconsin, dan di Michigan Hulu yang merupakan keturunan bagi Canis lupus nubilus. Serigala Dataran Besar telah berhijrah ke arah timur semasa awal tahun 1970-an ke Minnesota, yang menghasilkan perubahan bagi saiz tengkorak serigala (jika dibandingkan dengan serigala timur yang bersebelahan).[21] Walaupun demikian, bilangannya menjadi semakin sedikit dan semakin sedikit sehingga ia dilindungi di peringkat persekutuan sebagai spesies terancam pada tahun 1974. Sejak itu, populasinya menjadi lebih besar di rantau Tasik-Tasik Besar dan, menjelang tahun 2009, anggarannya meningkat kepada 2,992 ekor serigala di Minnesota, 580 ekor di Michigan, dan 626 ekor di Wisconsin.[18][sumber lebih baik diperlukan][22][sumber lebih baik diperlukan][6]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. "Canis lupus nubilus" (dalam bahasa Inggeris). NatureServe. Dicapai pada 21 Ogos 2026.
  2. 1 2 James, Edwin P., penyunting (1823). Account of an Expedition from Pittsburgh to the Rocky Mountains, Performed in the Years 1819 and '20 [Keterangan Sebuah Ekspedisi dari Pittsburgh ke Pergunungan Rocky, yang Dilakukan pada Tahun 1819 dan Tahun 1820] (dalam bahasa Inggeris). Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat: H. C. Carey & I. Lea. m/s. 169–173. OCLC 193341.
  3. 1 2 Wozencraft, W. C. (2005). "Canis lupus nubilus". Dalam Wilson, D. E.; Reeder, D. M (penyunting). Mammal Species of the World (ed. 3rd). Johns Hopkins University Press. m/s. 575–577. ISBN 978-0-8018-8221-0. OCLC 62265494.CS1 maint: ref=harv (link)
  4. dari Wied-Neuwied, Alexander Philipp Maximilian (1839). Reise in das innere Nord-America in den Jahren 1832 bis 1834 [Perjalanan di Amerika Utara Pedalaman dari Tahun 1832 hingga Tahun 1834] (dalam bahasa Inggeris). 2. Koblenz, Jerman: J. Hoelscher. m/s. 95. OCLC 1018362.
  5. 1 2 Mech, Lucyan David (16 Mei 2012). "Appendix A – Subspecies of wolves – North American" [Lampiran A – Subspesies serigala – Amerika Utara]. The Wolf: The Ecology and Behavior of an Endangered Species [Serigala: Ekologi dan Tingkah Laku Spesies Terancam] (dalam bahasa Inggeris). Garden City, New York, Amerika Syarikat: Natural History Press. ISBN 9780307819130. OCLC 795713101. Great Plains wolf; buffalo wolf; loafer. This is another extinct subspecies. It once extended throughout the Great Plains from southern Manitoba and Saskatchewan southward to northern Texas.
  6. 1 2 Wydeven, Adrian P.; Van Deelen, Timothy R.; Heske, Edward J., penyunting (19 Mac 2009). Recovery of Gray Wolves in the Great Lakes Region of the United States: An Endangered Species Success Story [Pemulihan Serigala Kelabu di Rantau Tasik-Tasik Besar di Amerika Syarikat: Sebuah Kisah Kejayaan Spesies Terancam] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Springer Science+Business Media. doi:10.1007/978-0-387-85952-1. ISBN 9780387859514. OCLC 308158198.
  7. 1 2 3 4 5 6 Bailey, Vernon Orlando (1 Disember 1926). "A Biological Survey of North Dakota" [Tinjauan Biologi Dakota Utara]. North American Fauna (dalam bahasa Inggeris). Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat. 49 (1): 1–226. doi:10.3996/nafa.49.0001. ISSN 1944-4575. S2CID 84307182.
  8. Nowak, Ronald M. (23 November 2003). "9. Wolf Evolution and Taxonomy" [9. Evolusi dan Taksonomi Serigala]. Dalam Mech, Lucyan David; Boitani, Luigi (penyunting). Wolves: Behavior, Ecology, and Conservation [Serigala: Tingkah Laku, Ekologi, dan Pemuliharaan] (dalam bahasa Inggeris). Chicago, Illinois, Amerika Syarikat: University of Chicago Press. m/s. 239–258. doi:10.7208/chicago/9780226516981.001.0001. ISBN 9780226516967. OCLC 51810720.
  9. Nowak, Ronald M. (1995). "Another Look at Wolf Taxonomy" [Pandangan Sekali Lagi kepada Taksonomi Serigala]. Dalam Carbyn, Ludwig Norbert; Fritts, Steven H.; Seip, Dale Roy (penyunting). Ecology and Conservation of Wolves in a Changing World [Ekologi dan Pemuliharaan Serigala di Dunia Kian Berubah] (dalam bahasa Inggeris). Edmonton, Alberta, Kanada: University of Alberta Press. m/s. 375–397. ISBN 9780919058927. OCLC 35162905.
  10. 1 2 3 4 Tomiya, Susumu; Meachen, Julie A. (1 Januari 2018). "Postcranial diversity and recent ecomorphic impoverishment of North American gray wolves" [Kepelbagaian postkranium dan pemiskinan ekomorf terkini bagi serigala kelabu Amerika Utara]. Biology Letters (dalam bahasa Inggeris). Royal Society. 14 (1). doi:10.1098/rsbl.2017.0613. ISSN 1744-957X. PMC 5803591. PMID 29343558. S2CID 206150479. Unknown parameter |article-number= ignored (bantuan)
  11. Koblmüller, Stephan; Vilà Arbonès, Carles; Lorente-Galdos, Belén; Dabad, Marc; Ramírez Bellido, Óscar; Marquès-Bonet, Tomàs; Wayne, Robert Keith; Leonard, Jennifer A. (22 Jun 2016). Provan, Jim (penyunting). "Whole mitochondrial genomes illuminate ancient intercontinental dispersals of grey wolves (Canis lupus)" [Seluruh genom mitokondrion menerangkan persebaran-persebaran antara benua purba bagi serigala kelabu (Canis lupus)]. Journal of Biogeography (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 43 (9): 1728–1738. Bibcode:2016JBiog..43.1728K. doi:10.1111/jbi.12765. hdl:10261/153364. ISSN 1365-2699. JSTOR 44002285. S2CID 88740690.
  12. Leonard, Jennifer A.; Vilà Arbonès, Carles; Fox-Dobbs, Kena; Koch, Paul Lewis; Wayne, Robert Keith; Van Valkenburgh, Blaire (3 Julai 2007). "Megafaunal Extinctions and the Disappearance of a Specialized Wolf Ecomorph" [Kepupusan Megafauna dan Kelenyapan Ekomorf Serigala Terkhusus]. Current Biology (dalam bahasa Inggeris). Cell Press. 17 (13): 1146–1150. Bibcode:2007CBio...17.1146L. doi:10.1016/j.cub.2007.05.072. hdl:10088/6465. ISSN 0960-9822. PMID 17583509. S2CID 14039133.
  13. Cox, Christopher Barry; Moore, Peter D.; Ladle, Richard J. (31 Mei 2016). Biogeography: An Ecological and Evolutionary Approach [Biogeografi: Pendekatan Ekologi dan Evolusi] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-9). Chichester, West Sussex, United Kingdom: Wiley. m/s. 106. ISBN 9781118968581. OCLC 939277640.
  14. Arora, Devender; Singh, Ajeet; Sharma, Vikrant; Bhadauria, Harvendra Singh; Patel, Ram Bahadur (30 Jun 2015). "HgsDb: Haplogroups Database to understand migration and molecular risk assessment" [HgsDb: Pangkalan Data Kelompok Haplo (Haplogroups Database) untuk memahami migrasi dan pentaksiran risiko molekul]. Bioinformation (dalam bahasa Inggeris). Biomedical Informatics. 11 (6): 272–275. doi:10.6026/97320630011272. ISSN 0973-2063. PMC 4512000. PMID 26229286. S2CID 484183.
  15. Miklósi, Ádám (2015). "5-Comparative overview of Canis" [5-Gambaran keseluruhan perbandingan bagi Canis]. Dog Behaviour, Evolution, and Cognition [Tingkah Laku, Evolusi, dan Kognisi Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Oxford, United Kingdom: Oxford University Press. m/s. 106–107. doi:10.1093/acprof:oso/9780199646661.003.0005. ISBN 9780199646661. OCLC 896850944.
  16. 1 2 Leonard, Jennifer A.; Vilà Arbonès, Carles; Wayne, Robert Keith (15 November 2004). "FAST TRACK: Legacy lost: genetic variability and population size of extirpated US grey wolves (Canis lupus)" [LALUAN PANTAS: Legasi yang lenyap: kebolehubahan genetik dan saiz populasi bagi serigala kelabu (Canis lupus) Amerika Syarikat yang dihapuskan]. Molecular Ecology (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 14 (1): 9–17. Bibcode:2005MolEc..14....9L. doi:10.1111/j.1365-294X.2004.02389.x. ISSN 1365-294X. PMID 15643947. S2CID 11343074.
  17. Wilson, Paul Joseph; Rutledge, Linda Yvonne (5 Jun 2021). "Considering Pleistocene North American wolves and coyotes in the eastern Canis origin story" [Mempertimbangkan serigala dan koyote Amerika Utara Pleistosen dalam cerita asal usul Canis di timur]. Ecology and Evolution (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 11 (13): 9137–9147. Bibcode:2021EcoEv..11.9137W. doi:10.1002/ece3.7757. ISSN 2045-7758. PMC 8258226. PMID 34257949. S2CID 229009738.
  18. 1 2 "Great Plains Wolf (Canis lupus nubilus)" [Serigala Dataran Besar (Canis lupus nubilus)] (dalam bahasa Inggeris). WolfQuest. Dicapai pada 21 Ogos 2026.
  19. Proulx, Gilbert; Rodtka, Dwight C. (19 Oktober 2015). Littin, Kate Elizabeth; Sharp, Trudy M.; Beausoleil, Ngaio Jessica (penyunting). "Predator Bounties in Western Canada Cause Animal Suffering and Compromise Wildlife Conservation Efforts" [Baunti Pemangsa di Kanada Barat Menyebabkan Penderitaan Haiwan dan Mengkompromi Usaha Pemuliharaan Hidupan Liar]. Animals (dalam bahasa Inggeris). MDPI. 5 (4): 1034–1046. doi:10.3390/ani5040397. ISSN 2076-2615. PMC 4693201. PMID 26479482. S2CID 39344864.
  20. "Welcome to the Dr. McCleery Lobo Wolves Digital Archive!" [Selamat Datang ke Dr. McCleery Lobo Wolves Digital Archive!] (dalam bahasa Inggeris). Dr. McCleery Lobo Wolves Digital Archive. Dicapai pada 21 Ogos 2026.
  21. Mech, Lucyan David; Nowak, Ronald M.; Weisberg, H. Sanford (22 November 2011). "Use of cranial characters in taxonomy of the Minnesota wolf (Canis sp.)" [Kegunaan ciri-ciri tengkorak dalam taksonomi bagi serigala Minnesota (Canis sp.)]. Canadian Journal of Zoology (dalam bahasa Inggeris). Canadian Science Publishing. 89 (12): 1188–1194. Bibcode:2011CaJZ...89.1188M. doi:10.1139/z11-097. ISSN 1480-3283. S2CID 54005499.
  22. "GREAT PLAINS WOLF" [SERIGALA DATARAN BESAR] (dalam bahasa Inggeris). Wolf Stuff. Dicapai pada 21 Ogos 2026.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]