Shakti

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Durga

Dalam HinduismeShakti sebutan bahasa Sanskrit: [ˈʃəkt̪ɪ] (Dewanagari: शक्ति; daripada Sanskrit shak, "mampu"), juga dieja sebagai Sakti, bermaksud "Kuasa Ketuhanan". Terdapat ribuan nama-nama berlainan untuk Shakti dan setiap satunya mempunyai keunikannya tersendiri. Antara namanya yang popular ialah Durga, Parvati, Gauri, dan Kali.

Penganut-penganut Shakti dikenali sebagai Śākta. Agama dan falsafah Śākta terkandung dalam Tantra atau Śāktāgama. Āgama merupakan suatu kelas khas kesusasteraan Hindu yang berkaitan dengan penyebaran mazhab-mazhab tertentu. Kebiasaannya, terdapat tiga kumpulan utama iaitu, Śaivāgama (penyembahan Śiva), Śāktāgama (penyembahan Śakti) dan Vaiṣṇavāgama (penyembahan Viṣṇu).

Alam semesta yang kita lihat dan rasakan adalah suatu bungkusan tenaga. Inilah yang ditemui oleh sains moden. Penemuan sains ini telah menghapuskan perbezaan antara jirim dan tenaga. Menurut sains, terdapat suatu tenaga asas di sebalik semua jirim dan tenaga. Namun, sains masih belum menemui perhubungan antara jirim, minda dan nyawa. Adakah ketiga-tiga ini, meskipun amat berlainan, ialah sebenarnya manifestasi tenaga asas yang sama? Mungkinkah tenaga atau jirim yang sama, pada suatu tahap getaran, dipanggil sebagai 'jirim', dan pada tahap yang lain dikenali sebagai 'minda' dan pada tahap yang lain pula sebagai 'nyawa'? Ahli sains moden yang masih berpegang kepada dunia fizikal, mungkin masih belum bersedia untuk memikirkan tentang ini! Namun, falsafah Hindu, berdasarkan Vedānta dan beberapa kumpulan yang berdasarkan Vedānta dan Tantra, sebenarnya menyarankan perkara ini!

Sumber kewujudan dan kehidupan semua ciptaan, sama ada pada peringkat jirim, nyawa atau minda, semuanya adalah satu dan hanya satu! Brahman (Yang Mutlak) dalam Vedānta dan Śakti atau Devī dalam Tantra adalah sama. Apabila 'tenaga' itu berada dalam keadaan statik, apabila alam semesta belum dicipta, tenaga itu dikenali sebagai Brahman. Apabila ia mula menjadi aktif, dan mewujudkan alam semesta, melindunginya dan kemudian memusnahkannya, tenaga ini dikenali sebagai Śakti. Andainya Brahman ialah ular yang sedang tidur berlingkar, Śakti ialah ular yang sedang bergerak. Andainya Brahman ialah perkataan, Śakti ialah maksudnya. Andainya Brahman ialah api, Śakti ialah kuasa pembakarannya. Kedua-duanya tidak boleh diasingkan : satu dalam dua dan dua dalam satu.[1]

Dalam kitab-kitab suci Hindu, khususnya Purāṇa dan Tantra, tenaga ini sering digambarkan sebagai seorang Dewi, pasangan Dewa. Setiap Dewa mempunyai Śakti-Nya sendiri: Sarasvatī untuk Brahmā, Lakṣmī untuk Viṣṇu dan Pārvatī untuk Śiva.

Rupa-Rupa Popular Śakti[sunting | sunting sumber]

Durga[sunting | sunting sumber]

Durga merupakan aspek Śakti yang amat popular, terutamanya di Bengal. Kitab utama untuk Durga ialah Devībhāgavata. Satu lagi karya yang popular dan lebih padat ialah Devīmāhātmyam. Karya ini juga dikenali sebagai Durgāsaptaśati (tujuh ratus ayat-ayat suci mengenai Durga) atau Caṇḍī, dan karya ini terkandung dalam sebuah Purāna lain yang popular bernama Mārkaṇḍeya Purāna. Devīmāhātmyam dianggap sebagai suatu kitab suci yang agung sehingga setiap ayat-ayatnya disamakan sebagai mantera Dewi dan bacaan mantera-mantera ini akan memenuhi segala keinginan seseorang.

Secara literal, 'Durga' bermaksud seseorang yang sukar dirapati, atau, sukar dikenali. Sebagai personifikasi kesaktian semua dewa-dewi, pastinya, Durga seorang yang sukar didekati atau dikenali. Namun, sebagai Ibu Alam Semesta ini, Dia juga seorang yang lembut dan penuh kasih sayang.

Gaurī[sunting | sunting sumber]

Ini ialah salah satu nama Pārvatī, pasangan Śiva. Gaurī bermaksud 'si putih'. Biasanya, Dia digambarkan sebagai seorang budak perempuan berumur sepuluh tahun. Dia boleh dipuja bersama-sama Śiva sebagai Candraśekhara atau secara berasingan. Gaurī berkulit biru gelap, bermata tiga dan bertangan dua. Dia memegang sekuntum bunga teratai biru pada tangan kanan-Nya.

Karya seperti Aparājitāsūtra menyebut tentang beberapa rupa Gaurī seperti Umā, Pārvatī, Lalitā, dan Śrī.

Rājarājeśwarī[sunting | sunting sumber]

Dewi di kuil Kailasanatha di Kanchipuram, Tamil Nadu dikenali sebagai Rājarājeśwarī ('Permaisuri kepada raja-raja'). Kuil ini telah dibina oleh Narasimha Varna (II) (695-722 Masihi). Lalitā Sahasranāma (684) menggunakan nama ini sebagai salah satu nama Lalitā (Tripurasundarī). Di sana, nama ini bermaksud 'seseorang yang menjadi ketua kepada Brahma, Vishnu, Mahesvara dan Kubera'.

Huraian terperinci tentang Rājarājeśwarī diberikan dalam karya Ṣoḍaśīkalpa. Bhairavītantra pula melihatnya sebagai salah seorang Daśamahāvidyā (sepuluh rupa Ibu Yang Maha Esa).

Rājarājeśwarī digambarkan seperti sedang duduk di atas pangkuan Śiva, atas sebuah tahkta dengan lima orang dewa (di sini dipanggil sebagai 'pretas') iaitu Brahma, Viṣṇu, Rudra, Īśvara dan Sadāśiva. Kulit-Nya merah dan rupa-Nya amat cantik dan cerah. Dia mempunyai tiga mata dan bulan sabit menghiasi mahkota-Nya. Matahari dan bulan menjadi subang telinga-Nya. Wajah-Nya ceria dan tenang. Dia memakai pelbagai barang perhiasan dan kalungan bunga yang cantik.

Rājarājeśwarī dikatakan sebagai rupa sifat Rajas yang sempurna. Dia juga mewakili ilmu yang abstrak dan sering dikenali sebagai Śrīvidya atau ilmu yang baik.[2] Menurut Sri Ramakrishna, antara semua dewi yang pernah dilihatnya, Rajarajeswari ialah yang paling cantik. Kamikagama menjelaskan maksud senjatanya iaitu busur tebu, anak panah bunga, cemeti dan gelung. Busur tebu mencerminkan akal atau fakulti pemikiran; lima anak panah bunga menggambarkan lima Tanmatra atau bentuk Bhuta yang boleh menjejaskan pancaindera. Bagi mendapatkan ilmu, pancaindera dan akal diperlukan. Ilmu boleh menjadi baik atau buruk. Gelung akan mengikat seseorang kepada ilmu yang baik. Ankusa atau cemeti menunjukkan bahawa ilmu yang berbahaya harus dikawal seperti seekor gajah yang ganas.

Asal-usul[sunting | sunting sumber]

Penyembahan-Ibu dan kultus-ibu telah wujud sejak zaman Veda. Konsep Aditi - Ibu Dewa-Dewi, penjelmaan alam, dan Ambhṛṇīsūkta dan juga Rātrīsukta dalam Ṛgveda, dengan jelas mengandungi asal-usul penyembahan-Ibu.[3]Menurut Sri Ramakrishna: ‘Brahman dan Śakti adalah sama. Kamu memanggil-Nya sebagai Brahman. Saya memanggil-Nya sebagai Śakti.’

Walaupun idea tentang Ibu sebagai Tuhan Maha Esa telah wujud dengan jelas dalam Devi Sukta, Ṛgveda: “Akulah permaisuri alam semesta ini.” (10.10.125.3.), perkembangan konsep ini dengan sepenuhnya mengambil masa yang agak lama.

Menurut Swami Vivekananda, penyembahan Ibu bermula begini: “Penyembahan Ibu ialah sebuah falsafah yang tersendiri. Kuasa ialah idea pertama kita. Kuasa mencerobohi manusia pada setiap langkah. Kuasa yang dirasakan di dalam ialah Roh. Kuasa yang dirasakan di luar ialah alam semulajadi. Pertempuran antara kedua-dua ini yang menjadikan hidup manusia. Hasil daripada dua kuasa-kuasa ini ialah segala-galanya yang kita kenali atau alami. Manusia melihat bahawa matahari bersinar ke atas yang baik dan yang jahat dengan sama rata. Di sini wujud idea baru Tuhan sebagai Kuasa Sejagat di sebalik segala-galanya. Demikian lahirnya idea-Ibu.”

Konsep Ibu berkembang dengan peredaran masa. Dewi-dewi kesuburan atau Gna dalam Ṛgveda, atau Devapatni seperti Dhishana, Sarasvati, Hotra, Bharati, Indrani mewakili konsep awal Śakti. Dewi-dewi kekayaan, secara beransur-ansur dikaitkan dengan Laksmi. Dewi-dewi sungai dikaitkan dengan Sarasvati dan dewi-dewi Gna bergabung dengan Vak.  Fungsi kreatif Sarasvati dalam Brahmanas di bawah konsep keibuan merupakan permulaan kultus-Sakti kemudiannya. Vak-Śakti berkembang sepenuhnya dalam Svetasvatara Upanisad yang dianggap sebagai sumber utama konsep personaliti. Pandangan tentang hubungan antara Sakti dengan Saktiman, Isvara, telah diterima pakai oleh mazhab-mazhab falsafah kemudiannya.

Mazhab Saivisme Kashmir membangunkan idea Śakti. Idea Śakti dalam Vira-Saiva banyak dipengaruhi oleh mazhab Saivisme Kashmir dan ia menyumbangkan kepada idea Mahāmāya.

Falsafah Tantra[sunting | sunting sumber]

Nampaknya falsafah Tantra ialah satu kacukan dan modifikasi prinsip-prinsip yang dikemukakan oleh falsafah Sāṅkhya dan sistem falsafah Vedānta. Sistem Sāṅkhya menjelaskan prakṛti sebagai sesuatu yang material dan tidak bergerak. Manakala, falsafah Vedānta, terutamanya Advaita Vedānta mengutarakan māyā, iaitu suatu 'entiti' yang sukar dijelaskan. Sebaliknya, falsafah Tantra mengutarakan konsep Śakti sebagai suatu kuasa sebenar Śiva, malah, sebagai Śiva sendiri yang dinamik. Realiti sebenar ialah satu dan hanya satu.Itu dikenali sebagai Śiva atau Śakti atau Śiva-Śakti dan ianya bersifat kesedaran tulen ('samvit'). Hubungan antara Śiva dan Śakti ialah seperti hubungan antara api dan kuasa pembakarannya atau perkataan dan maksudnya.

Tempat-tempat Suci[sunting | sunting sumber]

Śaktipīṭha[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa buah tempat yang berkaitan dengan Śakti atau Tuhan Ibu. Tempat-tempat ini dikenali sebagai Śaktipīṭha, tahkta kesaktian (pīṭha=tahkta). Lawatan ibadah ke tempat-tempat ini dipercayai akan memberikan pahala. Jumlah tempat-tempat ini telah bertambah daripada 4 hingga 51 atau kadang-kadang sehingga 108. Namun, pada masa kini, wujud 51 tempat yang dikenalpasti sebagai Śaktipīṭha. Setiap satu 51 Śaktipīṭha ini dikaitkan dengan 51 abjad Sanskrit, dan satu anggota badan Śakti. Tempat-tempat ini berterabur dalam kawasan India-Pakistan-Bangladesh dan dipercayai amalan Tantra di sini akan membawa pahala atau matlamat tertentu, Misalnya, Kashmira-pitha (dalam kuil gua Amarnath), dikaitkan dengan abjad 'u' dan dikatakan telinga kiri Dewi telah jatuh di tempat ini. Dewi di sini dikenali sebagai Mahāmāyā dan Trisandhyeśvara, Dewanya. Sebarang mantera yang diucapkan di sini akan terkabul.

Satu senarai umum Śaktipīṭha ialah Hingula di Baluchistan (kini di Pakistan), Tara

Tarini (Brahmapur, Odisha), Katyayani (Chattarpur, Delhi), Kamakhya (Assam), Kali di Kalighat (Kolkata, West Bengal), Naina Devi (Himachal), Kuil Guhyeshwari Devi (Kathmandu, Nepal), Ambaji (Gujarat), Kuil Vishalakshi (Varanasi), Kanchi (Tamil Nadu), Kanyakasrama (Kanyakumari, Tamil Nadu).

Terdapat sebuah lagenda yang menarik tentang Śaktipīṭha ini. Satī Dākṣāyanī terjun ke dalam bara api dalam upacara amal bapanya, Daksha, kerana bapanya telah menghina dan memalukan suaminya, Śiva. Dengan sedih, Śiva membawa jasad Satī, dan merayau di merata-rata tempat. Maka, Vishnu, atas permintaan Dewa-Dewi, memotong jasad itu dengan cakeranya agar Śiva dapat melupakan isterinya. Bahagian-bahagian yang dipotong itu jatuh di tempat-tempat berlainan dan tempat itu dikenali sebagai Śaktipīṭha.

Gaurīkuṇḍa[sunting | sunting sumber]

Tempat ini dipercayai sebagai tempat lahir Gaurī. Ia terletak 13 km di bawah kuil Kedārnāth.

Perayaan-Perayaan Utama[sunting | sunting sumber]

Navaratri[sunting | sunting sumber]

Perayaan ini disambut di seluruh India, dari Kashmir hingga Kanyakumari, dan Kamakhya hingga Hinglaz.

Penyembah-penyembah Shakti yang Terkenal[sunting | sunting sumber]

Sankaracharya[sunting | sunting sumber]

Sankaracharya, seorang Advaitin sendiri memperkenalkan penyembahan Shakti, aspek feminin Tuhan di semua biaranya. Sankaracharya juga mencipta beberapa ayat-ayat suci Shakti yang masih popular.

Sri Ramakrishna[sunting | sunting sumber]

Sri Ramakrishna pada mulanya menyembah Kali dan akhirnya menyedari Brahman. Menurut Sri Ramakrishna juga bhakti kepada Tuhan Peribadi akhirnya akan membawa ilmu tentang Brahman.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism (Ramakrishna Math, Bangalore: 2008), Vol.3, p.153
  2. ^ Swami Swahananda Hindu Symbology and Other Essays (Sri Ramakrishna Math, Madras) p.33
  3. ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism (Ramakrishna Math, Bangalore: 2008), Vol.3, p.153