Shichi-Go-San

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Shichi-Go-San
Nama rasmi七五三, Shichigosan
Diraikan oleh/di
Orang Jepun
JenisAgama
KepentinganUpacara penggenapan tradisional dan hari festival di Jepun untuk kanak-kanak perempuan berumur 3 dan 7 tahun serta kanak-kanak lelaki berusia 3 dan lima tahun.
Tarikh15 November

Shichi-Go-San (Jawi: شيچي-ݢو-سن, Jepun: 七五三, Shichigosan, makna harfiah: Tujuh-Lima-Tiga) adalah sebuah upacara penggenapan dan hari pesta bagi kanak-kanak lelaki berumur tiga dan lima tahun serta kanak-kanak perempuan berusia tiga dan tujuh tahun. Perayaan ini diraikan pada 15 November. Shichi-Go-San bukanlah hari cuti kebangsaan jadi ia disambut pada hujung minggu yang terdekat.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Perayaan Shichi-Go-San dikatakan berasal pada zaman Heian dan diraikan oleh golongan bangsawan yang merayakan berlalunya zaman anak-anak mereka ke fasa zaman kanak-kanak pertengahan. Menurut numerologi Asia Timur, nombor ganjil seperti tiga, lima dan tujuh adalah nombor bertuah.[perlu rujukan] Amalan ini ditetapkan pada hari kelima belas ketika Zaman Kamakura.[1]

Lama-kelamaan, tradisi telah diamalkan oleh golongan samurai dan mereka menambah beberapa ritual untuk sambutan perayaan ini. Kanak-kanak yang umurnya telah mencecah tiga tahun telah dikehendaki untuk dicukur kepalanya dan mereka dibenarkan untuk membiarkan rambut mereka tumbuh semula. Kanak-kanak lelaki yang berusia lima tahun boleh memakai hakama buat pertama kalinya manakala kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun pula dibolehkan menggantikan tali yang yang diikat pada kimono mereka dengan obi tradisional.[2] Pada Zaman Meiji, amalan ini telah diterima pakai oleh golongan rakyat biasa juga termasuk upacara melawat kuil untuk mengusir roh-roh jahat serta berhajat untuk kehidupan yang sihat dan panjang.

Amalan Semasa[sunting | sunting sumber]

Pada hari Shichigosan, kanak-kanak akan memakai pakaian tradisional Jepun yang berbeza mengikut umur dan jantina masing-masing. Kebanyakan kanak-kanak perempuan akan memakai pakaian yang berwarna merah manakala kanak-kanak lelaki akan memakai pakaian yang berwarna hitam atau biru. Mereka akan melawat ke kuil Shinto atau tokong semasa perayaan atau sambutan Shichigosan. Ibu bapa akan mengucapkan terima kasih atas keselamatan anak-anaknya dan berdoa semoga anak-anak mereka sentiasa membesar dengan sihat. Kanak-kanak diberikan gula-gula Chitose (Chitose Ame). Chitose bererti seribu tahun dalam bahasa jepun. Gula-gulanya mempunyai bentuk memanjang dan berwarna merah dan putih. Di jepun, gabungan warna merah dan putih dianggap sebagai warna yang menguntungkan. Chitose-ame dimasuk ke dalam beg yang dimenghias dengan burung jenjang dan penyu. Gula-gula Chitose adalah salah satu daya tarikan yang dikatakan membawa tuah. Chitose ame dikatakan bertuah dengan harapan umur panjang.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Japanese Lifestyle: Shichi-Go-San, diambil pada 16 November 2005
  2. ^ Kids Web Japan: Shichi-Go-San, diambil pada 16 November 2005

Pautan luar[sunting | sunting sumber]