Siberia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Rencana ini merujuk kepada Siberia pada keseluruhannya. Untuk maklumat khusus tentang daerah persekutuan, sila lihat Daerah Persekutuan Siberia, dan untuk kegunaan lain, sila lihat Siberia (nyahkekaburan).
Siberia di Rusia
Artik Timur Laut di Siberia.
Paip Udachnaya

Siberia (Rusia: Сиби́рь, Sibir; Bahasa Tatar: Seber) ialah sebuah kawasan Rusia yang amat luas yang merupakan hampir seluruh Asia Utara serta sebahagian besar Steppe Eurasia. Ia terbentang dari Pergunungan Ural ke Lautan Pasifik di timur, dan dari Lautan Artik ke bukit-bukau Kazakhstan Tengah-Utara di selatan, serta menyempadani kedua-dua Mongolia dan China. Kesemua Siberia, kecuali kawasan barat daya yang paling hujung, terletak di Rusia dan merupakan hampir 77% daripada keluasan Rusia (13.1 juta kilometer persegi), tetapi hanya mempunyai 30% daripada jumlah penduduknya (42.2 juta orang).


Asal nama[sunting | sunting sumber]

Sesetengah sumber menyatakan bahawa nama "Siberia" berasal daripada bahasa Turkik yang membawa pengertian "tanah tidur". [1]. Lagi satu versi mengatakan bahawa nama ini berasal daripada nama puak Sibir, nomad Eurasia, yang kemudian diserap ke dalam puak Tatar Siberia.

Dr. Pamela Kyle Crossley, profesor sejarah di Kolej Dartmouth, menegaskan bahawa orang Rusia menamai Siberia sempana nama kelompok etnik Sibe/Xibe. Pawang Akkanat, salah satu pawang yang terakhir di Siberia Barat serta tokoh utama dalam masyarakat orang asli di Siberia Barat, berkata bahawa Siberia mendapatkan nama daripada Negaranya, iaitu kelompok etnik Sibirga. Pengertian moden untuk nama ini muncul dalam bahasa Rusia selepas penaklukan Kekhanan Siberia.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Para pelarian Perang Dunia I di landasan Siberia, 1918.

Siberia diduduki oleh berbagai-bagai kumpulan nomad yang berbeza seperti kaum-kaum Yenet, Nenet, Hun, dan Uyghur. Khan Sibir yang tinggal berhampiran dengan Tobolsk moden terkenal sebagai seorang tokoh utama yang menyokong Raja Kubrat sebagai Khagan di Avaria pada tahun 630. Kawasan ini kemudian ditaklukkan oleh orang Mongol pada abad ke-13 dan akhirnya menjadi Kekhanan Siberia yang berautonomi.

Kuasa Rusia yang semakin bertumbuh di barat mulai menjejaskan Kekhanan Siberia pada abad ke-16. Pada mula-mulanya, kumpulan-kumpulan pedagang dan orang-orang Kossak memasuki kawasan ini dan kemudiannya, tentera Rusia mula membina kubu-kubu mereka semakin ke timur. Kota-kota seperti Mangazeya, Tara, Yeniseysk, dan Tobolsk tumbuh dengan cepat, dengan Tobolsk diisytiharkan sebagai ibu kota Siberia. Menjelang pertengahan abad ke-17, kawasan-kawasan yang dikuasai oleh Rusia diperluas sehingga Pasifik.

Siberia masih merupakan sebuah kawasan yang kebanyakannya masih belum dijelajah dan dihuni. Pada tempoh beberapa abad yang berikut, hanya beberapa misi penjelajahan dan pedagang menghuni di Siberia. Kumpulan yang lain yang dihantar ke Siberia terdiri daripada banduan-banduan yang dibuang dari Rusia barat atau wilayah yang dikuasai oleh Rusia seperti Poland (sila lihat katorga).

Perubahan besar yang pertama di Siberia ialah Landasan Keretapi Rentas Siberia yang dibina antara tahun-tahun 1891 - 1903 dan yang mengaitkan Siberia dengan lebih rapat kepada Rusia Nicholas II yang sedang mengalami pengindustrian yang pesat. Siberia memiliki sumber-sumber semula jadi yang kaya dan pada sepanjang abad ke-20, sumber-sumber ini dikembangkan dan bandar-bandar periindustrian muncul di seluruh wilayah.

Katorga dan Gulag[sunting | sunting sumber]

Rusia, kemudiannya Kesatuan Soviet, mengendalikan satu siri kem buruh paksa yang dikenali sebagai Gulag di Siberia. Ini menjadi sangat kerap sehingga "Siberia" menjadi metafora untuk pembuangan dan hukuman: "Siberia birokratik". [2]

Menggunakan analogi, sebuah distrik kelas pekerja di pusat bandar Stockholm, Sweden pada akhir abad ke-19 bermula dengan nama Sibirien (Siberia) yang merujuk kepada rumah pangsa kos rendah yang dibina di pinggir bandar ketika itu. Nama ini kemudian dikekalkan dan kini merupakan sebahagian tradisi bandar Stockholm, walaupun daerah ini sebenarnya benar-benar merupakan sebahagian bandar raya dalam dan telah dihuni oleh kelas atas sejak dua puluh tahun yang lalu. Pangsapuri di sini kini amat mahal.

Geografi dan geologi[sunting | sunting sumber]

60-90°U, 60-90°T 60-90°U, 90-120°T 60-90°U, 120-150°T
30-60°U, 60-90°T 30-60°U, 90-120°T 30-60°U, 120-150°T
Rusia berkongsi sempadannya dengan China dan Mongolia di Siberia selatan.
Gunung Belukha di Pergunungan Altai.
Siberia.

Dengan 10,007,400 kilometer persegi luasnya, Siberia merupakan kira-kira 58% daripada seluruh kawasan di Rusia. Zon-zon geografi yang utama termasuk Dataran Siberia Barat serta Penara Siberia Tengah.

Sebahagian besar Dataran Siberia Barat yang terdiri daripada mendapan aluvium Senozoik adalah amat rendah sehingga kenaikan aras laut sebanyak 50 meter akan membanjiri semua kawasan di antara Lautan Artik dan Novosibirsk. Banyak mendapan di dataran ini dihasilkan oleh empangan ais yang menterbalikkan dan melencongkan pengaliran kedua-dua Sungai Ob dan Sungai Yenisei ke Laut Caspian dan mungkin juga ke Laut Aral. Kawasan ini amat berpaya dan terdiri daripada tanih Histosols yang bergambut, manakala di bahagian utara, tanahnya merupakan tanih Histels. Di bahagian selatan dataran yang ibun abadi biasanya tidak wujud, tanah rumput yang kaya kini merupakan peluasan Steppe Kazakh, dengan tumbuh-tumbuhan yang asal hampir kesemuanya dipugar.

Penara Siberia Tengah merupakan sebuah kraton yang amat purba (kekadang dipanggil Angaraland) yang membentuk benua yang terasing sebelum Zaman Perm (sila lihat Siberia (benua)). Penara ini amat kaya dengan galian, dan mengandungi mendapan emas, intan dan bijih-bijih mangan, plumbum, zink, nikel, kobalt dan molibdenum yang kaya. Sebahagian besar kawasannya merangkumi Siberia Traps yang merupakan sebuah provinsi igneus yang besar. Zaman peletupan besar-besaran itu lebih kurang berbetulan dengan peristiwan kepupusan Perm-Trias. Peristiwa peletupan gunung berapi ini dikatakan merupakan letupan gunung berapi terbesar yang diketahui dalam sejarah Bumi. Hanya kawasan yang paling barat laut diglasierkan semasa Era Kuarternari, tetapi hampir semuanya diselubungi oleh ibun abadi yang tebal dan satu-satunya pokok yang dapat hidup biak walau musim panas yang hangat ialah pokok Larix sibirica  (bahasa Inggeris: Siberian Larch) yang mempunyai akar-akar yang amat cetek. Di luar kawasan yang paling barat laut ini, hutan taiga paling menonjol. Sebahagian besar tanah di sini merupakan tanih Turbels yang digantikan dengan tanih Spodosols apabila lapis aktifnya menjadi lebih tebal dan kandungan aisnya menjadi kurang.

Sakha Tengah dan Timur terdiri daripada banyak banjaran gunung utara-selatan yang usianya berbeza-beza. Tingginya gunung-gunung ini sehingga hampir 3,000 meter, tetapi apabila melebihi beberapa ratus meter tingginya, gunung-gunung ini hampir tidak mempunyai sebarang tumbuh-tumbuhan. Banjaran Gunung Verkhoyansk amat diglasierkan pada Zaman Pleistosen, tetapi iklimnya terlalu kering untuk membolehkan pengglasieran menjangkau kawasan-kawasan yang lebih rendah. Kawasan-kawasan yang lebih rendah ini mempunyai banyak lembah, dengan banyaknya amat dalam dan dilitupi oleh hutan-hutan konifer yang terdiri daripada genus Larix,  kecuali di hujung yang paling utara yang dikuasai oleh dataran tundra. Sebahagian besar tanihnya terdiri daripada tanih turbel, dengan lapis aktif cenderung sebanyak semeter dalamnya, kecuali apabila berhampiran dengan sungai.

Titik tertinggi di Siberia ialah gunung berapi Klyuchevskaya Sopka yang aktif yang terletak di Semenanjung Kamchatka.

Iklim[sunting | sunting sumber]

Iklim Siberia berbeza-beza secara dramatik, dengan pantai utara Bulatan Artik mengalami musim panas yang amat pendek selama kira-kira sebulan.

Hampir semua penduduk tinggal di kawasan selatan di sepanjang Landasan Keretapi Rentas Siberia. Iklim di sini adalah subartik kebenuaan, dengan suhu purata tahunan sebanyak kira-kira 0 °C (32 °F) dan kira-kira −15 °C (-5 F) pada puratanya dalam bulan Januari serta +20 °C (68 °F) dalam bulan Julai. [3] Dengan musim tumbuh yang boleh diharap, banyak sinaran matahari dan tanih cernozem yang amat subur, Siberia Selatan memadai untuk pertanian yang menguntungkan, seperti dibuktikan pada awal abad ke-20.

Angin-angin barat daya di Siberia Selatan membawa udara hangat dari Asia Tengah dan Timur Tengah. Iklim Siberia Barat (Omsk, Novosibirsk) adalah beberapa darjah lebih hangat daripada iklim di Timur (Irkutsk, Chita). Dengan suhu tercatat yang paling rendah sebanyak -71.2 °C (-96.1 F), Oymyakon (Republik Sakha) merupakan bandar yang paling sejuk di Bumi. Walaupun demikian, suhu musim panas di berbagai-bagai kawasan di sini mencapai +36...+38 °C. Secara amnya, Sakha ialah kawasan Siberia yang tersejuk, dengan lembangan Sungai Yana mempunyai suhu-suhu yang paling rendah, serta ibun abadi yang mencapai 1,493 meter (4,900 kaki) tingginya. Bagi para perancang penempatan Empayar Rusia, kesejukan di sini tidak pernah dilihatkan sebagai suatu persoalan. Pada musim sejuk, Siberia Selatan berkedudukan di pusat Tekanan tinggi Siberia separa tetap dan oleh itu, angin-anginnya biasanya lembut ketika itu.

Hujan di Siberia umumnya sedikit dan melebihi 500 mm (20 inci) hanya di Kamchatka yang mendapat angin lembap yang mengalir dari Laut Okhotsk ke gunung-gunung tinggi — menghasilkan glasier-glasier utama yang tunggal di kawasan ini — dan di kebanyakan kawasan Primorye di hujung yang paling selatan yang pengaruh monsun boleh menghasilkan hujan musim panas yang agak lebat. Walaupun kawasan ini terkenal kerana terlalu sejuk, jumlah salji yang turun umumnya adalah terlalu sedikit, khususnya di bahagian timur kawasan ini.

Tasik dan sungai[sunting | sunting sumber]

Kawah Popigai

Kawah hentaman[sunting | sunting sumber]

Banjaran gunung[sunting | sunting sumber]

Padang rumput[sunting | sunting sumber]

Pembahagian pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Peta bandar raya dan bandar Siberia yang terbesar dengan nama-nama boleh klik (SVG)
Perbandingan antara sembilan pertumbuhan bandar raya Siberia yang terbesar pada abad ke-20.

Dari segi sejarah, seluruh Rusia Jauh Timur dianggap sebagai sebahagian Siberia. Sebaliknya dari segi geografi, Siberia merangkumi daerah-daerah taklukan persekutuan yang termasuk Daerah Persekutuan Ural, Daerah Persekutuan Siberia, dan Republik Sakha (Yakutia) yang merupakan sebahagian daripada Daerah Persekutuan Timur Jauh:

Bandar-bandar raya utama termasuk Irkutsk, Krasnoyarsk, Novosibirsk, Omsk, dan Tomsk.

Lihat juga peta untuk tiga puluh buah bandar raya Siberia yang terbesar, dengan pautan-pautan ke Wikipedia.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Siberia mempunyai kepadatan penduduk sebanyak kira-kira tiga orang setiap kilometer persegi. Kebanyakan orang Siberia adalah orang Rusia. Kelompok etnik Rusia adalah daripada keturunan kaum Slav yang hidup di Eropah timur sejak empat ratus tahun dahulu. Kelompok-kelompok Mongol dan Turkik seperti kaum-kaum Buryat, Tuvan, dan Yakut pada asalnya tinggal di Siberia, dan keturunan-keturunan mereka masih tinggal di sini. Kelompok-kelompok etnik yang lain termasuk kaum-kaum Ket, Evenk, Chukchi, Koryak, dan Yukaghir. Sila lihat rencana Orang-orang asli utara di Rusia untuk maklumat lanjut.

Lebih kurang 70% daripada penduduk Siberia tinggal di bandar-bandar raya. Kebanyakan mereka ini tinggal di pangsapuri, manakala banyak orang di kawasan-kawasan luar bandar tinggal di rumah kayu yang mudah tetapi lebih besar.

Novosibirsk ialah bandar raya yang terbesar di Siberia, dengan jumlah penduduk sebanyak lebih kurang 1.5 juta orang. Bandar-bandar Tobolsk, Tomsk, Irkutsk, dan Omsk merupakan pusat-pusat sejarah yang lebih lama.

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Dataran Siberia, sebagaimana dilihat dari Landasan Keretapi Rentas Siberia di luar outside Tatarskaya.

Siberia amat kaya dengan galian dan mempunyai bijih-bijih untu hampir semua logam yang bernilai dari segi ekonomi — sebahagian besarnya kerana ketiadaan glasieran kuaterner di luar kawasan-kawasan tanah tinggi. Siberia mempunyai sesetengah daripada mendapan-mendapan nikel, emas, plumbum, molibdenum, intan, perak, dan zink yang terbesar di dunia, serta juga sumber-sumber minyak dan gas asli yang amat besar yang masih belum dieksploitasikan. Kebanyakan ini terletak di bahagian timur yang sejuk dan terpencil, dengan akibat bahawa pelombongannya terbukti susah dan hanya bermula pada skala yang besar selepas Stalin bangkit untuk berkuasa dan mengembangkan kem-kem buruh paksa untuk mengatasi kesusahan menarik buruh-buruh ke iklim yang tidak menyenangkan.

Pertanian amat tersekat oleh musim tumbuh yang pendek di kebanyakan kawasan. Bagaimanapun, di kawasan barat daya yang mempunyai tanih hitam yang terlalu subur serta iklim yang sedikit lebih sederhana, terdapat penanaman gandum, barli, rai, dan ubi kentang yang luas, bersama-sama dengan penternakan sebilangan besar biri-biri dan lembu. Disebabkan oleh tanih-tanih podzol yang tidak subur dan musim tumbuh yang terlalu pendek, pengeluaran makanan dihadkan kepada penggembalaan rusa salji di kawasan tundra, suatu gaya hidup yang telah diamalkan oleh orang-orang asli sejak melebih sepuluh ribu tahun dahulu.

Siberia mempunyai hutan-hutan yang terbesar di dunia. Kayu balak masih merupakan sumber hasil yang penting, walaupun banyak hutan di timur telah dibalak jauh lebih cepat daripada pemulihannya. Laut Okhotsk ialah salah satu daripada dua atau tiga kawasan perikanan yang terkaya di dunia kerana arus dinginnya dan julat pasang surut yang terlalu besar. Oleh itu, Siberia menghasilkan melebihi 10% daripada tangkapan ikan tahunan di dunia, walaupun industri perikanan telah mengalami setakat kemerosotan sejak kejatuhan Kesatuan Soviet.

Sektor perindustrian yang diperkembangkan hanya kerana industri-industri di Rusia Barat yang membantu Perang Dunia II menghadapi ancaman tentera Nazi, telah merosot dengan ketara sejak kejatuhan Kesatuan Soviet. Pada suatu ketika, terdapat kilang-kilang yang besar di Siberia Barat serta juga banyak kilang di sekeliling Tasik Baikal, tetapi kesemua ini telah tutup sejak kejatuhan Kesatuan Soviet.

Agama[sunting | sunting sumber]

Seperti dengan di seluruh Rusia, agama memainkan peranan yang penting dalam kehidupan di Siberia. Adanya berbagai-bagai jenis kepercayaan, termasuk agama Kristian Ortodoks, Islam dan berbagai-bagai agama Kristian yang lain. [5] Kumpulan yang terutama ialah Gereja Ortodoks Rusia.

Bagaimanapun, agama asli bertarikh sejak dari beratus-ratus tahun lagi. Wilayah Siberia yang besar mempunyai berbagai-bagai tradisi dewa tempatan yang merangkumi: Ak Ana, Anapel, Bugady Musun, Kara Khan, Khaltesh-Anki, Kini'je, Ku'urkil, Nga, Nu'tenut, Numi-Torem, Numi-Turum, Pon, Pugu, Todote, Toko'yoto, Tomam, Xaya Iccita, dan Zonget.

Tempat-tempat yang mempunyai tempat suci termasuk Olkhon, sebuah pulau di Tasik Baikal. Lihat juga Budaya bomohan di Siberia.

Pembalakan di Siberia dijalankan pada musim sejuk kerana pokok getah membeku dan mudah ditebang.

Landasan Keretapi Rentas Siberia[sunting | sunting sumber]

Cara yang paling baik untuk mengunjungi Siberia ialah melalui Landasan Keretapi Rentas Siberia yang terbentang dari Moscow di barat ke Vladivostok di timur. Kereta apinya mempunyai petak kelas pertama 2-tempat tidur, dan petak kelas kedua 4-tempat tidur, serta juga sebuah gerabak restoran.

Kelompok etnik[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Minyak-minyak penyembuhan daripada tanah gersang Siberia yang asli
  2. ^ Apakah yang terjadi kepada CIA?, oleh Gabriel Schoenfeld. Lihat juga ini.
  3. ^ Laman web Weatherbase.com: Cuaca Sejarah untuk Novosibirsk, Rusia. Dicapai pada 6 November 2006.
  4. ^ "Altai: Menyelamatkan Mutiara Siberia". Dicapai pada 2006-11-30.
  5. ^ "Laman web Kedutaan Rusia: Agama di Rusia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2001-02-08. Dicapai pada 2001-02-08.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]